Tuesday, February 28, 2006

(Harga) Minyak Naik!

"It's dangerous to be right when the government is wrong" - Voltaire (1694-1778)

Harga minyak naik lagi! Secara mengejut aku dapat berita ini jam 12 tengah malam tadi. Waktu ini aku teringat kata seorang teman di UBU dulu - Din Petai - "Soal (negara Islam) ni tak akan dianggap penting oleh rakyat lebih daripada kenaikan harga minyak!". Dan hari ini aku mahu katakan ya, meskipun saat Din mengungkap kata-kata itu aku hanya diam.

kenaikan tersebut khabarnya adalah bertujuan untuk menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung. kerajaan dalam kenyataan tambahan memberi jaminan harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

Hmm..dalam tempoh tak sampai 365 hari, 2 kali harga minyak naik dengan kadar yang bagi aku sangat tinggi. Sebagai pembawa kenderaan, memang aku sangat rasakan kesan kenaikan harga minyak ini.

Berikut adalah jadual kenaikan harga minyak di Malaysia sejak dulu..
sebelum 1990 - RM 0.89
Tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
Hari ini: 28/02/2006 – RM 1.92 (kenaikan RM 0.30)

Dan ini satu lagi bukti bagi ramai pihak bahawa Pak Lah masih gagal menunjukkan kekuatan dari perspektif ekonomi. Aku (meskipun percaya Pak Lah memerlukan ruang untuk menterjemahkan negara hasratnya) memang tak berapa nampak gambaran kekuatan ekonomi pada Pak Lah. Rombakan kabinet yang terbaru, yang dapat aku kesan ialah cubaan menguatkan ekonomi negara dengan meletakkan mereka-mereka yang 'diharapkan' dapat membantu beliau dari aspek ini.

Dari aspek ini, mereka yang berharap akan kejatuhan Pak Lah mungkin sedang bertepuk tangan..tapi kita rakyat, seperti yang telah aku kutip dalam artikel Parlimen..bahawa kerajaan adalah terlalu besar dan penting untuk ditinggalkan kepada ahli politik.

Kerana..negara itu adalah kita! Rakyat! dan bukan perkataan Malaysia. Malaysia hanya nama lain bagi kita!

Saturday, February 25, 2006

Islam (Dimensi) Intelektual 3

"Believe those who are seeking the truth. Doubt those who find it" - Andre Gide (1869-1951)

Perhubungan umat Islam dengan falsafah dikatakan melalui usaha menterjemahkan karya falsafah Yunani oleh sebilangan pemikir Islam. Dikatakan bahawa tokoh yang memainkan peranan ini ialah Abu Ya'qub Al-Kindi. Namun yang lebih dikenali dan disegani adalah Ibn Rusyd.

Perhatian utama (seperti yang selalu aku hujahkan kepada teman-teman) ialah mencari kebenaran. Hujah ideal ini aku pegang berdasarkan hadis "Ilmu itu adalah hak seorang muslim, di mana sahaja kamu temui kamulah yang paling berhak memilikinya" (Dalam risalah Jumaat Pusat Islam UPM satu ketika dulu pernah memetik daripada Saidina Ali k.w. a.s. dengan ayat yang sama dan ditambah walaupun daripada seorang kafir atau munafik sekalipun).

Atas maksud di atas Al-Kindi bergerak dan menemukan sejumlah sintesis daripada falsafah Yunani dan ajaran wahyu.
_____________________________

Nampaknya perjalanan sejarah panjang konflik Islam (wahyu) dan falsafah (atau konflik kita yang tak faham dengan yang faham (?) atau faham sikit sikit) ini akan mengheret kita ke perjalanan sejarah yang panjang! Wah..

Kita anak muda, rata-rata mungkin tidak bersedia..malah aku dapat rasakan selepas menulis hal ini bahawa ada missing link yang nyata dalam diri aku untuk memahami perjalanan sejarah (dengan maksud bahawa ilmu itu juga perlu difaham dari sudut konteks zaman).

Anehnya! (seperti yang pernah aku tertanya bila Kelab Al-Biruni ditubuhkan di UPM). Apakah mereka yang beria-ia menubuhkan badan-badan seperti ini benar-benar mahu memahami atau sekadar berlindung di sebalik nama (dengan harapan bahawa 'aku telah melaksanakan Islam') untuk menjustifikasikan tindakan politik (yang sebenarnya ditentang oleh tokoh tersebut!). Ia sama seperti nasib Ernesto Che Guevara! (bila namanya dikomersilkan walhal dia adalah penentang no 1 kapitalisme moden dalam erti kata menindas rakyat!)

Ilmu kita untuk apa sebenarnya?

Friday, February 24, 2006

Islam (Dimensi) Intelektual 2

"Fiat Sapienta Virtus - Manliness Through Wisdom (Kebijaksanaan Mutu Manusia)" - moto Kolej Melayu Kuala Kangsar

Salah satu karya Ibnu Rusyd yang penting ialah jawab balas (satu demi satu) kepada Al-Ghazali melalui tulisannya Tahafut al-Tahafut (Incoherence of the Incoherence). Sebagai seorang Muslim, nyata cara Ibnu Rusyd (Barat menamakannya Averrose) mengenengahkan kemurnian ajaran Aristotles cukup berbeza - kerana beliau bertujuan mengharmoniskan agama dan falsafah.

Tesis Ibnu Rusyd tidak lebih daripada alat pendorong takwil. Menurut doktrin ini, tidaklah terdapat dua kebenaran yang kontradiksi sebaliknya tunggal, yang dihadirkan dalam bentuk agama dan melalui takwil, menghasilkan pengetahuan falsafah. Agama baginya adalah untuk semua sedangkan falsafah bagi mereka yang punya cukup kekuatan intelektual. Meskipun demikian Ibn Rusyd menyatakan bahawa kebenaran yang dijangkau oleh sesuatu kelompok tidak tertolak dengan kebenaran yang ditemukan kelompok lain.

Prinsip ta'wil memungkinkan keharmonian antara agama dan falsafah. Kitab ini lebih dikenali dengan nama Fasl al-Maql. Ibn Rusyd sentiasa dianggap penting dalam pengalaman Barat berinteraksi dengan dunia Islam kerana melaluinya Barat dapat melihat falsafah Yunani dengan lebih baik. Lebih lagi, Barat melihat Ibn Rusyd sebagai 'simbol rasionalisme menentang agama'. Benarkah begitu sedangkan Ibn Rusyd sendiri percaya akan hal seperti yang telah aku nyatakan di perenggan dua?

Ibn Rusyd telah 'tiada' dan menjadi tugas kita menanggapi persoalan benarkah dakwaan Barat bahawa aktiviti intelektual umat Islam telah mati?

Thursday, February 23, 2006

Islam (Dimensi) Intelektual

"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya. Dan janganlah kamu turuti langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Al-Quran, Al Baqarah, ayat 108

"I won't take my religion from any man who never works except with his mouth" - Carl Sandburg (1878-1967)

Suka atau tidak, orientalis telah berjaya menanam satu penyataan yang tidak perlu dibuktikan mereka - bahawa aktiviti intelektual umat Islam telah mati! Aku katakan bahawa mereka tidak perlu bersusah untuk membuktikan kerana umat Islam itu sendiri, meski sedar, tetapi sering tercari-cari di mana mahu bermula. Maka bergema pelbagai tema - Negara Islam, Islam Hadhari, Masyarakat Madani, Islam Liberal dan pelbagai lagi istilah yang 'sarat berbau gagasan'. Cuma yang nyata bagi aku adalah satu - bahawa umat ini memang percaya bahawa Islam itu sebuah ajaran sempurna dan mampu jadi petunjuk untuk keluar daripada kegelapan yang ada.

Sebab itu aku tidak kisah bergelut dalam dunia politik yang pelbagai. Sehingga pada satu tingkat aku dianggap 'bahaya'..kerana tidak jelas pendirian politiknya.

Aku cenderung percaya bahawa ilmu adalah jalan keluar untuk umat ini selamat. Kerana Islam itu tertegak dengan hujah..hujah dalam konteks idea dan hujah non verbal (praktis). Sebab itu ilmu ini perlu betul-betul difahami maknanya. Pernah aku bertanya kepada sebilangan pensyarah daripada yang bertaraf Profesor penuh hingga kepada Encik (pensyarah tanpa gelaran) "Apa yang membezakan ilmu, maklumat dan fakta?". Jawabnya nyata dalam keadaan yang sangat tidak bersedia, tidak konsisten dan lebih malang lagi ada yang mengamuk padaku!

Aku bukan mahu menguji, tapi ada desakan ingin tahu yang sangat dalam kerana sering kita bicara manis "ilmu itu penting, ilmu suluh hidup dan banyak lagi..", soalnya apa itu ilmu? Yang aku pernah tahu dan aku terima hingga kini ialah pandangan Prof Syed Naquib Al-Attas bahawa "ilmu itu bermaksud ketibaan makna dalam diri individu".

Cukup dulu sehingga itu..balik kepada bicara asal..tulisan ini sebetulnya cuba meneroka dimensi intelektual dalam Islam.

Sekurang-kurangnya ada 3 dalih yang sering digunakan orientalis untuk meyakinkan atau dengan kata lain menunjukkan kepada kita bahawa dimensi intelektual umat Islam telah mati dan umat Islam akan terus terkebelakang (dalam bahasa lain menunggu Imam Mahdi sahaja untuk menyelamatkan - itu pun jika benar-benar dapat bertahan!). Dalih-dalih ini pada hemat aku saling bersangkutan.

Dalih 1 - tertutupnya pintu ijtihad , Dalih 2 - serangan Imam Al-Ghazali kepada falsafah dalam kitabnya Tahafut Al-Falasifat (Kesesatan Ahli Falsafah) dan meninggalnya simbol rasionalisme umat Islam, seperti yang didakwa Ernest Renan - Ibnu Rusyd.

Aku bercita-cita jika tidak ada orang lain, maka aku perlu membongkar hegemoni intelektual yang cuba menutup pengaruh Islam (wahyu) dalam kehidupan umat. Moga kekuatan itu dianugerahkan kepadaku kerana sedar jurang intelektual dalam diri sangat jauh..sayup dari cita-citaku. Dan aku sedar, kata-kata Carl Sandburg seperti yang dipetik di atas sangat perlu diberi perhatian.

Tidak cukup mendakwa negara Islam jika rasuah dan kebejatan bermaharajalela. Mana mungkin kita mendakwa Serambi Mekah model pentadbiran Islam kerana tempangnya nampak nyata. Kita - kau dan aku - harus ke depan dalam soal ini.

Mahukah, dan lebih penting bersediakan kita untuk ini?

Sunday, February 19, 2006

Akal 1

"If knowledge can create problems, it is not through ignorance that we can solve them" - Isaac Asimov (1920-1992)

Ikut perihatin dalam isu semasa menemukan aku dengan perbincangan tajam atau debat kedudukan akal dalam Islam. Hal ini nampak runcing dan tajam lebih-lebih lagi revolusi gelombang ketiga menuntut keterbukaan dan kematangan dalam menginterpretasi soal dunia yang cepat berubah. Dalam hal ini juga aku difahamkan bahawa dalam bidang Feqah, Feqah berkaitan politik atau isu semasa adalah yang paling banyak dan cepat berubah kerana ia bergerak seiring dengan masa.

Tidak sedikit hal-hal yang berbangkit sejak millenium baru ini menonjolkan isu-isu yang semakin mengasak kita bicara soal akal dan wahyu ini. Apakah ia bertentangan atau sebaliknya komplimen?

Kita tak perlu cepat melatah dalam hal ini. Bab akal ini kita patut santuni sebagai mana kata-kata hikmat yang aku petik di awal artikel ini. Yang aku harapkan ialah kita semua berada pada kedudukan sedia untuk beradu hujah.

Semoga perbezaan pendapat di sini akan jadi rahmat dan bukan musibah.

Sebagai permulaan, aku letak di sini satu hadis nabi s.a.w. berkaitan akal (terus terang niat aku sebagai provokasi agar kita sedia untuk berhujah)

Diriwayatkan oleh Ka'ab r.a. dan Abu Hurairah r.a. bahawa mereka datang bertanya Rasulullah s.a.w.
"Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling pintar?"
Rasulullah s.a.w. menjawab "orang yang berakal".
"Siapa pula orang yang paling berbakti?"
Jawab Rasulullah s.a.w. "orang yang berakal."
"Siapa pula yang paling utama?"
Jawab Rasulullah s.a.w. "orang yang berakal kerana setiap sesuatu mempunyai alat dan alat orang mukmin adalah akal dan setiap daripada kamu ada pemimpin dan pemimpin bagi orang mukmin adalah akal. Setiap daripada kamu mempunyai tujuan dan yang utama bagi hamba ALLAH s.w.t. adalah akal".

Dalam satu hadis lain Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa orang yang paling pintar adalah mereka yang banyak mengingati mati dan paling hebat persediaan untuk menghadapinya, mereka pergi ke alam baqa dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat".

Hmm..maka, ke mana akal ini kita bawakan? Atau ke mana akal ini membawa kita?

Parlimen

"Government is too big and too important to be left to the politician(s)" - Chester Bowles (1901-1986)

Hari ini ada satu berita menarik yang aku baca di Malaysia-Today. Seruan Perdana Menteri kepada semua ahli Parlimen untuk memantapkan Parlimen melalui peningkatan dalam perbahasan amat aku puji. Kepada mereka yang menganggap Perdana Menteri telah 'lost control' terhadap perbahasan di Parlimen sepatutnya menyambut 'kelonggaran' ini dengan menekankan kepentingan ahli Parlimen memanfaatkan ruang itu untuk perbahasan yang membina. Syabas kepada Perdana Menteri kerana menggunakan kuasa yang ada untuk kebaikan rakyat. Semoga ALLAH s.w.t. akan memberi kekuatan agar kata jadi amalan. Seruan Perdana Menteri ini adalah penegasan lanjut apa yang dinyatakan oleh Ketua Whip Parlimen sebelum ini.

Sebelum ini juga Dato' Shahrir Samad, Ketua Kelab Penyokong BN di Parlimen atau ringkasnya disebut Backbenchers pernah menegaskan bahawa integriti harus bermula di Parlimen. Beliau dalam seruan mempraktiskan 'Dewan Yang Mulia' mengingatkan seluruh ahli Parlimen agar tidak menjadi kedai kopi. Usaha beliau mengingatkan bahawa Parlimen adalah institusi terpenting dalam sistem politik di negara disokong oleh Ketua Pembangkang di Parlimen. Kit Siang dalam kenyataan yang sama turut membangkitkan pelbagai isu, apa yang disifatkannya sebagai mengecewakan.

Berhubung integriti institusi Parlimen ini juga, sepanjang di bawah pentadbiran Perdana Menteri baru, aku dapat melihat sedikit pergerakan yang boleh aku katakan kemajuan berperingkat (sudah tentu aku tidak maksudkan mencukupi).

Perjalanan Parlimen menuju kepada usaha autonomi (ada lagi di sini, dan di sini) adalah sesuatu yang penting dan wajar diberi perhatian oleh rakyat. Sebagai siswa, aku percaya dengan adanya autonomi di Parlimen, ruang autonomi Universiti dibicarakan semakin cerah.

Sejak 2 Pilihan Raya terakhir ini, umum melihat adanya denyut gelombang dalam politik Malaysia (kerana pada tahun 1999 berlakunya Reformasi berikutan kontroversi pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan 2004 berlakunya transisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi). Aku percaya Pilihan Raya akan datang mungkin berlaku lagi gelombang kerana pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim (tidak mungkin beliau akan berdiam jika (1) Beliau percaya pada perjuangannya (2) Beliau mahu atau dimahukan untuk menjawat kedudukan Perdana Menteri).

Sebagai rakyat, aku percaya seruan lama, untuk rakyat menikmati akses kepada perbahasan di Parlimen dapat ditunaikan. Kerana wakil rakyat, selain daripada dibiarkan terus memomok rakyat dengan pelbagai agenda perlu juga dipantau sumbangan mereka setelah diangkat sebagai wakil. Apakah benar mereka mewakili rakyat setempat yang memilih mereka, atau mereka lebih kepada wakil parti, atau lebih hina mereka sekadar mewakili diri. Usaha ini nampak tidak mustahil memandangkan ada seruan menyiarkan siaran langsung melalui laman web. Ketidaksediaan kerajaan untuk menimbangkan permintaan ini akan mengundang lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Ringkasnya ada fikiran yang tersirat daripada hal ini yang sering didiamkan. Lihat, lihat, lihat akal waras manusia sebenarnya percaya bahawa integriti itu datang daripada usaha untuk bebas dengan tanggungjawab.

Tapi kenapa seruan bebas sering dimangsakan? Malah sang penyeru kebebasan juga ada waktunya merantai kebebasan itu sendiri atas nama 'damage control' (walaupun isunya adalah isu rasuah dan salahguna kuasa yang patut ditentang!).

Parlimen tidak bergerak sendiri. Integriti harus bermula dari diri.

Membaca *

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)" - Al-Quran, Al-'Alaq, ayat 1.

Membaca adalah hasutan! Mungkin sebab tu orang kita tak berapa suka nak membaca..yer ke? Aku antara percaya dan tidak dengan kenyataan tu. Tetapi yang penting bagi aku ialah bagaimana membaca itu dapat mencerahkan. Ada saja orang (dan mungkin aku) yang membaca tapi tidak dicerahkan. Hal ini penting kerana membaca boleh jadi alat penindasan!

Dulu waktu kecil, sering aku dengan lagu Andrian di kaca televisyen. Bunyinya lebih kurang begini.. "Buat apa kawan, buat apa kawan..kenapa kita duduk termenung sahaja? Ibu dan ayah pasti gembira, melihat kita duduk dan rajin membaca" ..entah betul ke tidak tapi lagu tu khas untuk kempen membaca. Dan aku pada waktu itu bukanlah orang yang suka membaca!

Ada berita menarik hari ini. Sebenarnya berita ni aku dah dengar berkali-kali dari pelbagai pihak. Ada yang pro dan ada yang kontra. Jom kita tengok..

Memang memeranjatkan bila meneliti hasil ‘Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia’ oleh Perpustakaan Negara pada 1996 yang merumuskan secara amnya rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Kajian ini juga mendapati, bahan bacaan yang paling digemari ialah komik, diikuti majalah, buku dan surat khabar.

Antara jawapan yang diperoleh menerusi hasil tinjauan orang ramai ialah tidak mempunyai lebih masa atau juga kurang berminat membaca.Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Apakah masyarakat sudah terlalu sibuk dengan urusan seharian sehingga tidak mempunyai masa untuk mentelaah sebarang bentuk bahan bacaan yang terjual di pasaran? Atau mungkinkah masyarakat tidak lagi berminat untuk membaca buku, sebaliknya lebih tertumpu kepada sumber ilmiah lain seperti Internet, televisyen atau radio untuk mendapatkan maklumat terkini?

Bila melihat purata membaca buku di kalangan masyarakat kita nyata jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan senario masyarakat di negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China yang menjadikan buku sebagai teman setia di waktu terluang. Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Dr Wan Ali Wan Mamat, berkata berdasarkan kajian pada 1996 itu, Perpustakaan Negara sekali lagi mengadakan kajian terbaru bagi meneliti kadar celik huruf (literasi) dan tabiat membaca di kalangan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, kajian bertajuk Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 yang dimulakan pada Jun lalu dengan kerjasama Jabatan Statistik dijangka dapat diketahui hujung tahun ini.“Kajian ini merangkumi tinjauan membabitkan seramai 60,000 rakyat pelbagai peringkat usia di seluruh negara.“Dalam kajian ini juga, kita akan ketahui tahap kecenderungan masyarakat Malaysia membaca, selain bahan bacaan yang dibaca untuk dikumpulkan ke dalam data.“Tinjauan bermula Jun sehingga Ogos lalu penting bagi mengemas kini maklumat, di samping mengetahui tahap kecenderungan membaca masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kajian yang masih dalam peringkat semakan data itu bakal menjadi kayu pengukur bagi jabatan itu dalam usaha memperkasakan lagi tabiat membaca.Ditanya mengenai kelompok usia paling cenderung mengamalkan budaya membaca, Dr. Wan Ali berkata, golongan remaja mendahului senarai paling tinggi yang kerap membaca. “Kelompok ini (remaja) terutama penuntut universiti dan kolej semestinya memilih buku teks sebagai bahan bacaan wajib dan tidak terkecuali memilih bahan bacaan berbentuk hiburan dan novel sebagai pilihan mereka,” katanya. Dr Wan Ali berkata, walaupun kempen membaca dilaksanakan Julai, pihaknya turut mempromosikan kempen galakan membaca secara berterusan sepanjang tahun.

Mengenai tema Rajin Membaca Pasti Berjaya, beliau berkata, setiap tema yang diketengahkan bertujuan untuk menarik minat serta sebagai galakan untuk menyedarkan rakyat pentingnya membaca buku.Beliau berkata, dalam merancakkan lagi usaha membentuk masyarakat yang gemar membaca, kerajaan juga menambahkan lagi infrastruktur perpustakaan di luar bandar dengan mewujudkan sebanyak 200 perpustakaan desa yang kini dalam tempoh 90 peratus disiapkan.Ketika ini, Perpustakaan Negara mempunyai 700,000 ahli berdaftar dengan purata seramai 3,000 pengunjung pada setiap hujung minggu, manakala purata 1,000 pengunjung setiap hari.“Pada pandangan saya, kemajuan teknologi maklumat turut sama penting dengan peranan buku kerana bagi saya masing-masing mampu memberikan maklumat dalam kita mendapatkan sumber maklumat terkini,” katanya.

Ditanya juga mengenai pandangan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang dipetik berkata “Jika kita meminjam buku di perpustakaan, kita sentiasa terkebelakang lima tahun.” (Berita Harian (BM) 31 Julai 2005).“Pada pandangan saya, falsafah yang dikemukakan datuk itu sebenarnya menggalakkan orang ramai memiliki sendiri buku, iaitu tidak menangguhkan untuk mendapatkan buku sendiri,” katanya yang tidak menganggap kenyataan itu sebagai mengkritik Perpustakaan Negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah, berkata adalah sukar sebenarnya untuk mengukur budaya membaca di kalangan masyarakat.“Jika dikatakan orang ramai tidak baca, tetapi pada masa yang sama kita dapat lihat kebanjiran toko buku dengan penerbitan majalah dan buku pada setiap tahun.“Persoalannya, adakah masyarakat kita membeli untuk membaca atau melihat gambar semata-mata?” katanya.Dr Firdaus berkata, ketika ini sukar untuk menyaksikan amalan membacakan cerita kepada anak-anak oleh ibu bapa kerana kehadiran bentuk maklumat lain seperti televisyen.“Sekiranya amalan membacakan cerita sebelum tidur tidak kiralah cerita pendek atau sajak, saya percaya dengan sendirinya ia mampu merapatkan kemesraan keluarga secara amnya,” katanya. Apakah masa depan buku dan pengaruh teknologi maklumat (IT) terhadapnya? “IT adalah ‘penawar dan racun”, jelas Dr Firdaus.

Baca, rehat dan minum di kedai buku“Ramai yang suka buku dan baca buku tetapi lokek beli buku.” Itu kata-kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.Tambahnya lagi: “Jika ini keadaannya, sama ada anda pergi ke kedai buku dan duduk di sana dan habiskan membaca buku itu di sana, kerana mahalnya, atau pergi ke perpustakaan. Tetapi biasanya di perpustakaan buku baru lambat sampai, jadi anda akan sentiasa terkebelakang lima tahun.“Jika kita beli, dalam detak dan detik yang sama, kita membaca buku berkenaan dengan orang lain di negara lain.”Jadi, mana satu pilihan anda? Beli, baca di kedai atau pinjam di perpustakaan?Masing-masing pasti ada jawapan tersendiri. Hendak membeli mungkin tidak mampu, pinjam di perpustakaan, mungkin jadi seperti yang disebut Sasterawan Negara, `sentiasa terkebelakang lima tahun’!

Mungkin bagi kebanyakan yang gemar membaca, tetapi tidak mampu membeli kerana mahal dan tidak mahu ketinggalan dengan meminjam di perpustakaan, membaca di kedai buku adalah pilihan paling sesuai.Lebih-lebih lagi, kebanyakan kedai buku utama hari ini seperti MPH, Borders dan Kinokuniya, bukan saja menyajikan bahan bacaan pelbagai dan terkini malah menyediakan ruang untuk pengunjung menghayati isi kandungan buku di situ.Tidak cukup dengan itu, ada kedai buku yang turut menempatkan kafe di dalamnya dan pelanggan boleh membaca, sambil menikmati kopi ditemani muzik yang setia berkumandang.i-Kon turut mengunjungi beberapa kedai buku utama di sekitar ibu kota bagi melihat senario di sana. Memang ramai pengunjungnya, dari yang kecil, remaja hingga ke dewasa. Ada yang sampai duduk bersila membaca buku dan ada yang khusyuk `merenung’ komputer, mencari tajuk buku yang dihajati.Rata-rata yang ditemui mengakui kunjungan ke kedai buku utama ini adalah untuk `membaca secara percuma’. Ramai juga yang beranggapan kedai buku ini adalah `perpustakaan’, malah lebih berkesan fungsinya berbanding perpustakaan sedia ada kerana menyediakan 1,001 macam bahan bacaan yang terkini.Tidak kurang juga yang `berhabis’ berbelanja di kedai buku ini, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan buku terkini, juga buku dari luar negara.Menarikkan? Oleh itu, kepada sesiapa yang jarang-jarang hendak menjejakkan kaki ke kedai buku atau langsung tidak pernah ke kedai buku sebegini..bawa-bawalah diri ke sana. Semoga kita menjadi masyarakat yang gemar membaca.
________________________

Info Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996
Literasi penduduk meningkat 93 peratus.
87 peratus penduduk benar-benar mengamalkan tabiat membaca.
79 peratus rakyat Malaysia membaca akhbar, majalah (47 peratus), buku (52 peratus) dan komik (32 peratus).
Akhbar dipilih oleh kelompok berusia 15 tahun hingga 44 tahun.
Majalah dibaca sebahagian besar kelompok berumur 15 tahun hingga 34 tahun.
Minat membaca buku dan komik pula menurun selepas umur 24 tahun.
________________________

Dari maklumat di atas, membaca sudah tentu punya kaitan rapat dengan faktor ekonomi..dan juga psikologi. Pernah aku baca dalam majalah i di mana sebilangan pengusaha menafikan fakta 2 buah buku setahun kerana hasil jualan mereka sangat memuaskan. Mungkin soalan aku - sama ada bacaan itu mencerahkan atau tidak relevan dalam kupasan lanjut persoalan ini.

Bagaimana rupa masyarakat buku di Malaysia 30 tahun akan datang ya? Membaca - antara "penawar" dan "racun", siapa boleh jelaskan apa itu ilmu? maklumat? dan fakta? Dan aku bertanya lagi ilmu, maklumat dan fakta itu untuk apa? Bukankah sang penguasa sering kali cemburu dengan 'bijak pandai'?

Di Austria, pada abad ke-19, dalam satu perhimpunan guru di Lyceum Laibach pada tahun 1821, Sang Diktator - Maharaja Francis - dengan angkuhnya "Aku tidak mahukan bijak pandai, aku mahukan orang yang taat. Tugas kamu adalah mengajar mereka (orang muda) hingga ke tahap itu. Siapa yang bekerja dengan aku mesti mengajar apa yang aku mahu".

Bukankah kita di Malaysia seakan menuju (malah telah berada) di landasan yang sama? Dan kita bersikap tidak apa (?) malah berbangga dengannya... (?).

* Artikel ini telah siap sejak 16/10/2005 dan diedit pada 19/02/2006

Saturday, February 18, 2006

Rombakan Kabinet

"It's not that some people have willpower and some don't. It's that some people are ready to change and others are not" - James Gordon, M.D.

Seminggu ini orang ramai bicara soal rombakan kabinet. Sebelum aku mengulas lanjut, di sini ada beberapa ulasan yang boleh kita baca, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7 dan 8 (aku percaya ada banyak lagi).

Apa yang aku 'rasa pasti', pengguguran bekas Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr Shafie Salleh sangat dialukan oleh ramai mahasiswa (lagi di sini) dan pensyarah (lagi di sini). Umum sedia maklum 'kegagalan' Dato' Dr Shafie menonjolkan imej 'mesra dengan dunia akademia' bila pertelingkahan antara beliau dengan Prof. Dato' Dr Zohadie Bardaie, mantan Naib Canselor UPM diketahui umum melalui media. Selain itu juga beberapa isu lain yang berkaitan (baca : mesra akademia) turut mempengaruhi 'kebencian' ramai kepada beliau. Sebelum ini juga beliau dikatakan mempunyai masalah dengan Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Adham Baba.

Sebenarnya rombakan kabinet adalah satu proses biasa dalam sebuah kerajaan. Namun yang penting, seperti apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ialah "...perubahan dalam pentadbiran ini dilaksanakan untuk menunaikan janji seperti yang termaktub dalam manifesto Barisan Nasional - sebuah Kerajaan untuk semua; sebuah kerajaan yang menyokong rakyat; dan sebuah kerajaan yang akan berkerja untuk memastikan masa depan yang lebih baik, aman dan makmur".

"Kabinet ini adalah untuk masa depan – dalam meningkatkan daya saing; dalam menggerakkan prestasi dan kecemerlangan; dalam membangunkan masyarakat; dalam memupuk pemikiran kelas pertama, budaya dan nilai-nilai; dan dalam memastikan
pembangunan yang mampan".

Dalam kenyataan-kenyataan akhbar oleh YAB Perdana Menteri jelas menunjukkan bahawa beliau mahukan kabinet yang mantap, mesra rakyat, berfikiran tinggi dan berkemampuan tinggi. Dalam kenyataan yang disiarkan terbaru PM mahukan sesiapa anggota kabinetnya yang tidak mampu supaya berhenti saja (Utusan Malaysia 16/02/06).

Aku mengalu-alukan kehadiran Menteri baru di KPT. Sebagaimana pandangan aku sejak Perdana Menteri baru mengambil alih, kepimpinan negara harus bukan sahaja bercakap soal yang baik tentang rakyat, tetapi memastikan prosesnya juga baik untuk rakyat. Aku tidak mahu cepat menutup peluang kepada 'muka-muka baru' yang dilantik untuk cuba sedaya upaya menunaikan amanah rakyat. Hal ini bukan sahaja aku, malah aku percaya seluruh rakyat malah Perdana Menteri mahukan begitu. Di sinilah titik tajam yang memisahkan seorang negarawan dan politikus.

Sudah tentu kata-kata pesimis terhadap kabinet baru malah Menteri baru di KPT punya asas. Umum maklum tentang isu AP Dato' Seri Rafidah Aziz, umum juga tahu sikap bebal Dato' Seri S. Samy Vellu malah jika mahu diungkit daripada persoalan popular dalam masyarakat, mungkin Perdana Menteri sendiri akan dipertikaikan terutamanya isu-isu berhubung Sdr. Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO merangkap menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (rujuk Malaysia-Today di bahagian Special Report bersiri - The Khairy Chronicles).

Dulu, sewaktu menjawat kedudukan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM, aku telah jelaskan bahawa kesanggupan aku mendokong Aspirasi Universiti (kelompok pelajar yang dilabel dan mendakwa pro-kerajaan) kerana aku percaya Perdana Menteri telah meletakkan banyak dasar-dasar penting yang aku persetujui dan memerlukan orang yang serius untuk melaksanakannya. Namun, integriti, hadhari dan apa juga tema yang baik lebih banyak jadi mainan bibir daripada praktis. Hingga jemu dan jelak bersarang dalam diri.

Di situlah titik-titik prasangka yang aku katakan wajar dan punya asas bagi rakyat, parti politik pembangkang malah siapa sahaja untuk meragui perubahan yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri dengan penuh kehalusan. Perdana Menteri mungkin berniat benar, tetapi realiti tidak selamanya seperti dirancang.

Semoga Perdana Menteri Malaysia kelima ini akan dibantu oleh mereka yang memahami erti keadilan dan amanah yang dimaksudkan ALLAH S.W.T..

Baik Islam Hadhari, Negara Islam atau Masyarakat Madani (apa saja yang kita suka untuk namakan), kita harus jelas bahawa "Destiny is no matter of chance. It's a matter of choice. It's not a thing to be waited for, it is a thing to be achieved" - William Jennings Bryan (1860-1925).

Selamat berlabuh Malaysiaku, aku akan sentiasa bersamamu!

Rasulullah s.a.w. dan Islam (Wahyu) - Kita dan Islam (Konteks)

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagi dirimu...- Al, Quran, Al-Ahzab, ayat 21

Belum habis mahu bicara soal penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. oleh sebilangan karikartur Denmark. Sedih memang sedih. Tapi ia tidak harus jadikan kita seorang yang tidak waras. Moga ALLAH S.W.T. berikan kekuatan untuk ummat ini bergerak pada kehendak-Nya. Rasulullah s.a.w. dalam hayatnya bukan sedikit dikeji, dihina dan diperlekehkan. Dalam hal ini kita dapat lihat bagaimana akhirnya akhlaq Rasulullah s.a.w. jadi perisai utuh membentengi sikap yang tidak jelas.

Aku bukan nak berpolitik, tapi ada satu peristiwa hampir serupa telah berlaku lebih awal di Malaysia. Juga isu karikartur digunakan untuk mempersenda tokoh. Terus terang aku sebut di sini karikartur Zunar yang diterbitkan Harakah. Ingat? Bila Zunar melukis SAR disebabkan Khinzir dan SARS disebabkan Mahathir? Ya, pada waktu itu ada parti (terutama Pemuda dan Puterinya) lantang bangun membela, tapi di mana mereka dalam isu penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w.?

Masih kita ingat ustaz-ustaz parti ini bangun menghina dan mencela lukisan Zunar? Bukan sehari dua, malah seminggu dua ratib cela perbuatan Zunar dikumandangkan malah diselang seli dengan bait-bait Al-Quran dan hadis. Seolah-olah ada insan yang lebih mulia daripada Rasulullah s.a.w. (mengikut kepercayaan orang Islam).

Aku belum mahu menuduh. Kerana kita juga sering lebih tersinggung bila mak ayah, diri kita atau pemimpin-pemimpin yang kita puja dan sayang itu malah kekasih atau kawan kita dihina lebih daripada rasa tersinggung bila Rasulullah s.a.w. dihina. Dan hinaan terhadap Rasulullah s.a.w. ini jika kita mahu luaskan maknanya maka akan tertunjuk bahawa kita hampir tidak pernah memberi apa-apa kepada maksud hidup beragama. Hal ini pernah aku tanya kepada diri dan kawan-kawan bila melihat amalan agama jadi susut (baik ritual atau tidak). Maksud aku kita lebih sensitif jika parti, gerakan atau pemimpin kita dikritik berbanding rasa sensitif terhadap kemunduran praktis agama kerana sikap tidak rasional orang lain (apatah lagi diri kita sendiri!). Contohnya bila aku mengkritik, tidak setuju atau sinis kepada parti-parti UMNO, PAS atau keADILan, atau lebih tepat mengkritik terus tepat ke batang hidung pemimpin-pemimpin tersebut, maka melentinglah pengikut masing-masing.

Di situ, aku namakan kebijaksanaan tidak memilih taqlid parti atau gerakan tertentu (sekurang-kurangnya pada usia muda ini). Kerana kita harus berani menguji diri sendiri dan pendokong pelbagai aliran ini - sama ada mereka komited atau tidak dengan idea mereka sendiri. Sebagai contoh bila ada tokoh bicara soal Islam - Hadhari, Madani atau Negara Islam katanya, maka ia harus mampu mencabar fikirannya dalam bentuk praktis mencakupi soal-soal yang luas dan lebih penting asas seperti kebebasan dan keadilan.

Dan alhamdulillah, aku beroleh kesempatan untuk meninjau di pelbagai daerah dan arena - untuk mengenal kaca dan manikam. Sebab itu tatkala ada jeritan-jeritan yakin oleh sebilangan pendokong pimpinan, parti atau gerakan, aku lebih senang mengambil sikap sederhana. Maksud aku sikap yang tidak keterlaluan. Tulisan ini bukan untuk menjustifikasikan kelonggaran amalan Islam kerana terpisahnya kita dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat. Juga ia tidak dirangka untuk menunjukkan kesulitan yang ada. Ia sekadar mengingatkan diri (yang mahu beringat) akan pesan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna "kerja kita banyak tetapi masa kian suntuk".

Prof. Syed Hussein Al-Attas dalam mengupas realiti ummat pada hari ini menyimpulkan sebaris kata yang bermakna "Kita (Orang Islam khususnya di Malaysia) dan Islam (Wahyu) ibarat pokok tumbuh tak berbuah". Dalam dan tajam kata-kata ini masuk ke dalam diri. Waktu ini aku teringat bila Hishamuddin Rais, semasa kami duduk minum di Bangsar lewat malam itu dia membuat satu panggilan kepada Zunar dan mengucapkan tahniah kerana jadi berita sensasi. Zunar menjawab "Kau cakap senang la" (seperti yang diberitahu kepada kami).

Benarlah rindu Rasulullah s.a.w. kepada sahabat-sahabatnya, dan bila ditanya oleh para sahabat akan sahabat yang manakah selain mereka, dijawab Baginda bahawa rindunya pada umat yang mengasihinya tanpa beroleh kesempatan melihatnya. (maksud hadis)

Di mana kita?

Pertembungan Nilai *

"Picture(s) worth a thousand words (and meaning)"

Kebelakangan ini isu paling hangat sudah tentu isu karikartur yang dikatakan menghina Rasulullah s.a.w.. Dan pada hari ini, pada saat ini, seperti yang aku tahu sebelumnya, satu demonstrasi membantah perbuatan ini dianjurkan di Kedutaan Denmark. Syabas buat penganjur! Tadi, sebelum solat Jumaat, di masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya juga satu demo oleh mahasiswa diadakan. Tahniah! Keperihatinan dan keberanian saudara saudari sekalian sangat penting untuk ummat ini.

Di UPM, PMIUPM telah mengeluarkan satu kenyataan dan ditampal di serata kampus. Langkah proaktif ini patut dicontohi oleh Pihak Pentadbiran Universiti malah MPPUPM sendiri. Di laman Idealis Mahasiswa juga tak punya kenyataan (idealis jenis apa aku pun tak faham) tetapi di Kampus Negara telah disiar awal sejak isu dibincangkan.

Ada yang menarik terlintas di fikiran aku sekaligus meruntun rasa di hati. Di mana suara-suara aktivis non muslim? Apakah ini tahap kebebasan bersuara yang mereka mahukan? Hal ini pernah aku sebut sepintas lalu semasa menjadi panel Forum Muda Malaysia anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) sebelum ini. Bahawa tuntutan Hak Asasi Manusia (HAM) yang sering kita laungkan mesti dibahas. Apakah idea ini tidak boleh dicabar sedangkan kita sering menganggap bahawa wujudnya apa yang kita sebut nilai asia dan sebagainya. Isu ini tidak sepatutnya menjadikan jurang 'intellectual engagement' semakin berjarak. Sebaliknya ia perlu dirapatkan.

Tidak harus kita biar isu ini jadi isu sepihak (dalam kes ini Ummat Islam sahaja meluahkan rasa). Sepatutnya rakan-rakan non muslim juga hadir atau sekurang-kurangnya menunjukkan sikap terhadap isu ini kerana ia adalah isu penghinaan terhadap agama..ia bukan isu umat Islam semata-mata. Dah banyak isu Islam tapi pendirian non-muslim nampak tak jelas. Seolah-olah kebebasan beragama itu untuk lepaskan tengkok masing-masing saja!

Dan aku mahu menyatakan pendirian bahawa editor Sarawak Tribune tidak patut diadili secara membabi buta. Kerana aku percaya kita sebagai ummat Islam (yang mahu membantah) patut tahu isu ini secara jelas. Bagi aku wujudnya kartun tersebut memang ditentang dan aku percaya ia berniat jahat dan keji. Soalnya apakah kita membantah hanya dari cakap-cakap orang? Adilkah kita? Sekurang-kurangnya selepas Sarawak Tribune keluarkan lakaran sebenar kartun tersebut baru aku tahu bahawa memang patut ummat Islam di serata dunia bangun membantah dan menggesa Denmark memohon maaf.

Kita boleh kata bahawa Sarawak Tribune tak perlu keluarkan untuk jelaskan kepada rakyat kerana hari ini kita ada teknologi. Soalnya adakah teknologi ini dapat menampung kesedaran menyeluruh? Apakah tidak apa menonton di layar komputer dengan akhbar jika maksud asalnya ingin tahu? Dalam hal ini aku mendokong pandangan KSjT dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Aku juga suka nak bertanya di mana sikap UMNO dan keADILan dalam isu ini (adakah UMNO menganggap pandangan kerajaan itu adalah pandangan mereka (lihat pandangan kerajaan di bahagian berita lain Tak bertanggungjawab : Sarawak Tribune tidak sensitif terhadap umat Islam : PM)? Adakah keADILan menganggap pandangan terhadap Sarawak Tribune adalah pandangan mereka?). Kenyataan media parti keADILan (13/02/2006) bagi aku adalah terlalu lambat dan terlalu berbau politik sempit. Dan UMNO, terutama Pemudanya tidak harus terlalu bergantung kepada pandangan kerajaan. Soalan sinis yang tertera di UMNO-Reform bahawa dalam isu karikartur menghina Rasulullah s.a.w. pemuda dan puteri tidak selantang ketika karikartur Zunar menghina Tun Dr. M patut diberi perhatian.

Dan aku juga ingin bertegas bahawa tindakan membakar kedutaan Denmark amat tidak aku persetujui. Malah aku tolak. Ini jelas dalam kenyataan As-Syeikh Yusof Al-Qardhawi bahawa tindakan tersebut bercanggah daripada lunas Islam.

Tindakan memboikot barangan Denmark (walaupun sementara) bagi aku adalah waras malah kita patut mengajak seluruh dunia memberi tekanan ekonomi kepada negara Denmark sebagai pengajaran. Harus kita ingat, pengeluar produk tidak terbabit dalam isu ini, tekanan ekonomi ini kita harap akan menyedarkan masyarakat Denmark akan perlunya mereka menjaga kebebasan media mereka pada batas yang wajar.

Denmark malah negara-negara yang mungkin terkena kesan protes kita hampir mungkin tidak goyang walaupun sedikit. Denmark, malah negara-negara lain akan terus menguji tahap kebebasan dan sensitiviti kita. Pokoknya di sini Malaysia perlu lebih proaktif dalam menggerakkan OIC dan menjadi model negara Islam contoh (bukan sahaja dalam bab ekonomi, tetapi jauh lebih menjangkau soal kemanusian, kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan lain-lain). Lebih penting ialah kemelut ini segera dirungkai ketika proses globalisasi menuntut sikap matang semua pihak.

Ummat Islam harus bangun membuktikan bahawa kita tidak terkebelakang atau ke depan kerana jatuh bangunnya pihak lain sebaliknya kita bergerak kerana kekuatan diri. Kekuatan diri inilah yang perlu kita tumpukan (sudah tentu aku tidak maksudkan bertindak ganas). Harus aku tulis di sini bahawa kejadian ini akan digunakan oleh sang demokrat terpimpin alias diktator untuk mengunci kebebasan atas sikap bahawa kebebasan itu bahaya terhadap sensitiviti apa yang aku sebut 'doktrin agama, bangsa dan negara'.

Kita perlu kesedaran mendalam. Jangan sampai tafsir kebebasan dibiar pada tingkat yang cetek sehingga ia jadi ketakutan. Kerana kebebasan bukan musuh kepada kemajuan martabat ilmu dan insan tetapi kezaliman itu adalah musuh nyata kepada martabat ilmu dan insan!

Pandangan Hishamuddin Rais bagi aku sangat baik untuk kita tekuni. 'Perbincangan hangat' isu ini boleh didapati di forum UmmahOnline.com dan di forum AstoraJabat.com.

* Artikel ini ditulis pada 10/2/2006 dan diedit pada 18/2/2006

Muda

"Gaudeamus igitur, juvenes dum sumus (We will enjoy as long as we are young)"- tema kelompok Hippies

Keterangan blog ini bagi aku sudah cukup untuk memberi arah kepada kandungan blog ini. Blog ini untuk mengetengahkan sumbangan anak muda dalam bentuk idea, pandangan, kritikan, berita dan sebagainya. Ia bukan blog tentang diri aku dalam erti kata sempit.

Dan blog ini bukan untuk orang muda, tetapi untuk mereka yang percaya dan mengiktiraf bahawa anak muda itu punya peranan dalam perjalanan panjang sejarah kehidupan manusia tentang apa saja. Ertinya, tidak cukup 'muda' bagi anda jika 'jiwa muda' anda itu dicampakkan untuk menjadi 'hamba makhluk' semata-mata.

Prinsip dan etika blog ini sangat mudah - terbuka selagi mana ia menghormati hak dan martabat ilmu dan insan. Ia mungkin subjektif. Tetapi akal waras mudah menanggapinya.

Anda 'muda' dan waras? Jom!

Awal Kisah

"Thing without past is the thing without future" - Aristotle

Memandangkan ini adalah antara tulisan awal aku (dalam blog ini), elok juga aku nyatakan beberapa hal tentang diri aku dan kegiatan menulis. Kadang-kadang lucu kerana penulis mentah seperti aku ni dapat mehnah yang tak terduga dek akal. Apatah lagi kawan-kawan yang jauh lebih kritikal.

Memang aku gembira dengan keputusan untuk memiliki blog sendiri. Aku bangga kerana aku berani mencuba. Memang aku akui kelewatan aku mengusahakan blog sendiri. Soalnya tidak penting di mana bermula, cuma aku harap biar akhirnya jelas. Selain FAO yang menguja aku untuk menulis (dan teman-teman KSjT), aku perlu beri kredit kepada kawan keluaran Koleq Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nazmi pernah 'hangat di pasaran' kerana terbitan maya - SuaraAnum. Dan di situ aku rasa sangat dihargai bila tulisan picisan aku diterbit jadi isu utama edisi Julai tentang "Mahasiswa dan Perjuangan Bahasa". Aku percaya bahawa kebanyakan penulis memang sangat menghargai penerbit pertama penulisan mereka. Sebelum itu lagi Nazmi telah menyiarkan komentar aku pada satu tulisan Rahmat Haron. Aku memang tidak mahir menulis (semoga aku akan terus belajar). Apa yang aku tulis datang dari fikiran dan rasa hati yang kadangkala sangat mendalam. Dan aku percaya bahawa revolusi gelombang ketiga ini hadir untuk mengajar dan menguji kita tentang makna kebebasan dan jati diri. Semoga kita akan cepat menyesuaikan diri.

Selepas Nazmi, seingat aku kawan-kawan di Bangsar yang menamakan diri sebagai Komunite Seni Jalan Telawi (KSjT) adalah kelompok yang lebih ke depan memupuk aku untuk menulis. Projek awal dulu adalah majalah Siasah. Bagi aku majalah Siasah sangat berjaya walaupun hanya mampu bertahan setahun. Berjaya dalam konteks kandungan dan cara penyampaiannya. Sebab kawan-kawan bukanlah orang yang mahu menghitung jutaan wang melainkan cukup sekadar berbaloi dengan kerja yang diusahakan. Terima kasih kepada Institut Kajian Dasar (IKD) dan Yayasan Konrad Adenauer (KAF) yang memberi peluang kepada kami untuk bereksperimen. Aku, meskipun punya tiga artikel pendek (yang di'reject' kerana pendeknya), sekurang-kurangnya merasa punya keberanian menulis.

Uniknya kawan-kawan di KSjT bagi aku kerana latar belakang yang berbeza tapi lekas dapat menentukan common ground. Ada aktivis seni budaya - penulis, pelukis, pemuzik, penyajak dan lain-lain, ada ustaz bertaraf hafiz, ustaz keluaran pondok, ustaz keluaran luar negara, ada bekas aktivis pelajar dari IPT tempatan dan luar negara, ada peguam, peniaga, pekerja di sektor awam dan swasta malah ada yang masih namanya mahasiswa.

Common ground yang aku maksudkan asasnya adalah kebebasan bersuara dalam erti kata menyatakan pendapat. Ringkasnya ruang demokrasi itu mesti dihormati kerana ia adalah ruang yang membolehkan penglibatan semua kelompok dalam masyarakat untuk bicara apa sahaja. Terma apa sahaja ini mungkin dipersoalkan, tapi bagi KSjT, tidak ada self censorship dalam konteks pencarian dan penggalian ilmu.

Pengalaman aku dalam hal penerbitan tidak banyak. Di fakulti pengajian aku - Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia, aku pernah menjadi Ketua Pengarang bagi Buletin dwi mingguan - Rentis Rimba selain menjadi Editor Buletin RECCERS (buletin bagi mahasiswa yang membuat pengkhususan dalam bidang Rekreasi Luar).

Lainnya, aku memang minat kepada kelompok seni budaya - kerana jiwa bebas mereka selalu ditunjukkan secara nyata. Dan keseronokan membaca tidak membataskan aku kepada bacaan berat atau ringan. Pokoknya aku menghargai imaginasi penulis. Malah abang aku pernah bekerja dengan Ahadiat Akashah (pelukis majalah Boom - Eye) dan Ujang (pelukis majalah Ujang - Gandum). Masakan aku boleh memusuhi mereka yang terlibat dalam bidang kreatif?

Selamat Datang!

A thousand miles journey begin with the first step" - Kung Fu Tze

Setelah agak lama aku menyepikan diri daripada dunia penulisan, hari ini, sebagai hadiah sempena ulangtahun aku yang ke-24 (20 Februari), aku telah buat keputusan untuk menulis kembali - sebagai hadiah 'kedewasaan' (?) aku.

Terima kasih kepada Fathi Aris Omar (FAO), kerana sikap beliau yang tekun dalam menulis selalu jadi motivasi untuk aku. Sebenarnya aku bukan penulis (dalam erti kata yang mudah difahami). Aku hanya seorang anak muda yang percaya bahawa 'kami' (dalam konteks aku sebagai orang muda) bukan beban kepada masyarakat (umumnya) sebaliknya kami punya peranan yang sering diasir kerana 'jiwa muda' kami. Jiwa muda inilah yang sering gagal aku terjemahkan dengan kata-kata dan laku. Kerana kita sering sinis dengan anak muda yang percaya jiwa mudanya harus bebas menelah dunia untuk diwarisi.

Syukur kepada ALLAH S.W.T. dan terima kasih kepada manusia yang menemukan teknologi ini untuk memberi aku ruang bebas (?) untuk meluahkannya.

Tumpang muda (atau ayat 'buku teks' - muda datang sekali). Untuk kita semua terus hidup, saling menyayangi, belajar dan mengajar serta meninggalkan yang baik untuk generasi akan datang.

Selamat datang!