Wednesday, March 29, 2006

Tun Dr. Mahathir dan AUKU

"Only the educated is free" - Epictetus (55 AD-135 AD), Discourses

Sejak 'berhenti' daripada menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir aku lihat seperti tidak menerima sepenuhnya pelepasan jawatan beliau. Aku percaya kenyataan rambang aku ini tidak sedikit yang menyetujuinya.

Agak kesal bila mengetahui Tun Dr. Mahathir menyeleweng fakta kematian semasa peristiwa Baling 1974. Ada sesuatu yang jelas, beliau menyatakan AUKU digubal atas maksud politik - untuk membendung mereka yang ditafsirkan kerajaan sebagai membawa anasir politik peribadi. Hmm..1974, siapa menggunakan untuk kepentingan politik peribadi?

Sejarah yang digelapkan ialah sikap rebel Tun Dr. Mahathir semasa beliau jadi pelajar dan semasa beliau menghasut pelajar menggesa Tunku Abdul Rahman turun daripada jawatan Perdana Menteri! Hal ini cukup terang dan nyata ditulis oleh Tunku dalam buku Sebelum dan Sesudah 13 Mei. Lebih keras lagi Tun Dr. M adalah antara tokoh yang dikatakan menyemarakkan semangat Melayu sehingga tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969! Kenapa ini tidak dibentangkan?

Aku boleh menerima beberapa kenyataan Tun Dr. Mahathir tentang kepentingan akademik dan sebagainya. Jika dikira dari konteks zaman, memang keperluan meningkatkan taraf pendidikan anak Melayu adalah keperluan yang mendesak. Tapi untuk menghalalkan AUKU atas alasan ini cukup tidak munasabah!

Lebih malang lagi bila kajian ilmiah tentang AUKU dalam buku Mahasiswa, Politik dan Undang-undang tulisan Junaidi Abu Bakar, terbitan DBP tidak pernah diambil kira. Malah, Dr. Junaidi Abu Bakar adalah antara think tank UMNO di kalangan pensyarah di UKM yang terlibat dalam perancangan politik yang tidak sihat di UKM! Aku secara peribadi bukan menentang beliau, tetapi aku percaya ilmu itu mesti diangkat pada kedudukan yang tinggi dan semua dari kita harus menghormatinya.

Dan Tun Dr. Mahathir, meski aku lihat beliau punya kekuatan yang jauh lebih ke depan dan nyata berbanding Pak Lah..secara terbuka aku ingin nyatakan bahawa aku tidak mahu dia di kerusi Perdana Menteri sekali lagi (jika aku punya pilihan).

Dialog

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk - Al-Quran, An-Nahlu ayat 125

Aku ingin berterima kasih kepada seorang sahabat, Aqil Fithri yang mengendalikan laman web UmmahOnline kerana menyiarkan semula wawancara yang terbengkalai sebelum ini. Dengan sedikit promosi yang beliau lakukan, aku menerima beberapa tetamu di blog ini dan email peribadi. Terima kasih. Kesan daripada itu, sebagaimana yang boleh dibaca di ruangan komen, gesaan 'update' perlu aku penuhi. Memang aku punya keinginan tersebut cuma tak punya kesempatan yang cukup. Memang banyak isu sejak akhir-akhir ini yang mahu aku katakan sesuatu.. :(=
___________________________________________________

Dialog mungkin kata yang lunak dalam proses revolusi atau reformasi. Kerana dialog itu umumnya difahami sebagai satu tindakan diplomasi, iaitu tanpa kekerasan. Kita di Malaysia sudah lama mengenal kata ini, lebih-lebih lagi kita merdeka dengan rundingan!

Dialog bagi aku cukup penting dan menentukan. Meski pada satu tingkat usaha dialog hanya jadi teks yang dibukukan, diingati atau 'terpagar' dalam ruang dewan seminar dan sebagainya, namun usaha ini perlu diteruskan kerana praktis adalah usaha lain yang perlu kita bersama lakukan. Dialog meski pada tingkat tertentu dipandang sinis oleh sesetengah pihak (kerana cakap saja tidak cukup), sebenarnya lebih daripada apa yang difahami oleh mereka yang konon buat kerja (tapi tak faham apa pun!). Akal pada satu tingkat adalah ciri khas yang membezakan manusia dengan haiwan! Maka, sejak bila dialog itu tidak relevan?

Berhubung dengan penegasan aku (boleh baca dalam komen tulisan sebelum ini), isu Islam dan Barat sudah tentu menuntut kemahuan dialog yang tinggi. Dialog tidak wujud statik tapi datang dengan satu pakej intelektual yang rumit. Tidak semua mampu bersedia untuknya.

Islam sejak perkembangan awalnya tidak wujud sendiri melainkan berinteraksi dengan kepelbagaian kepercayaan. Pernah aku persoalkan warisan intelektual Islam yang bagi aku 'kusut' kerana yang sering kita dengar adalah khabar-khabar indah konteks zaman Rasulullah s.a.w., para Anbia' a.s. yang terdahulu dan juga sirah sahabat. Jarang ada antara kita yang mahu mendepankan realiti konteks zaman tersebut (entahkan ada atau tidak). Realiti konteks zaman tersebut bagi aku penting kerana hanya dengan itu kita berpeluang beroleh kefahaman yang lebih dalam tentang segala keputusan yang diambil oleh tokoh-tokoh Islam yang kita hormati (tanpa benar memahami). Usaha sdr. Khalid Jaafar menulis dengan lebih jelas sejarah konflik politik dalam Islam melalui siri Jasad Umat dan Darah Khulafa' sangat aku hargai.

Gesaan Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat 13 untuk manusia yang terbeza meski asal daripada Bani Adam agar saling kenal mengenal. Dan Islam tidak pernah mengenal perbezaan ras bangsa dan warna kulit melainkan ketaqwaan. Dasar ini yang perlu kita pandang dengan jelas.

Pernah seorang sahabat di kampus, seorang aktivis PMIUPM seakan menyindir aku bila aku melontarkan sebahagian ayat daripada surah Al-Hujurat ayat 13 ini. Dia, dengan sedikit tinggi suaranya daripada biasa menegaskan bahawa yang membezakan manusia itu adalah taqwa. Bola tanggung ini aku jawab "Bagaimana kau tentukan taqwa seseorang? Dan bagaimana taqwa ini kau dapat tunjukkan pada masyarakat bukan Islam terutama dalam realiti Malaysia?"

Aku secara peribadi bukan seorang yang anti-Islam. Bahkan aku mahu memperjuangkannya!Mungkin cara berbeza. Islam, pada hemat aku, dari teks yang aku petik sebelum ini jelas memandang manusia dan kemanusiaan secara optimis dan positif. Pada tingkat ini firman Allah s.w.t. "Telah aku muliakan Bani Adam.." jadi peluru hidup untuk kelompok Islam yang percaya akan dialog berbanding tindakan memerangi 'musuh Islam'. Jika ditanya pada FAO, aku percaya FAO akan sinis menganggap kelompok yang tidak gemar akan dialog adalah kelompok malas! Jika tidak setuju aku gemar juga mahu mendengar jawapan..sudah tentu ia akan jadi debat panjang :)=

Aku belum habis. Dalam komen-komen panjang yang tercatat dalam artikel sebelum ini, aku kira sahabat tersebut mesti mengambil kira akar penghujahan aku yang mahu dinyatakan di sini. Islam dari sabda Rasulullah s.a.w. jauh lebih awal telah menyatakan dengan jelas bahawa manusia lahir dalam suci (fitrah). Dengan fitrah inilah manusia mencari, menganalisa dan memahami kebenaran hidup..sehingga pada tingkat mengakui dari hati yang dalam bahawa Allah s.w.t. adalah Tuhan yang Esa. Menyebut hal ini, aku teringat satu perbincangan dengan seorang pensyarah muda di UPM, bila aku sengaja mencungkil keseronokan zaman mudanya di luar negara dan cuba untuk tahu cabaran hidup sebagai seorang Islam di negara orang, dia menjelaskan bahawa wujudnya kekeliruan tentang Islam ialah kerana ada orang bukan Islam dari belahan dunia Arab juga memanggil Tuhan mereka dengan nama Allah!

Dalam hubungan dengan agama lain, yang menariknya bagi aku ialah Islam dari teks Al-Quran jelas mengakui keistimewaan malah mengesahkan kebenaran agama Yahudi dan Kristian! Nanti dulu, aku tahu soalan pertama yang mungkin muncul ialah "Tapi kitab mereka telah diseleweng!" Justeru, jadi tugas kita, sebagaimana yang diusahakan keras oleh Almarhum Sheikh Ahmad Deedat untuk memperkasa suara Islam dalam dialog yang tinggi dan dalam. Pokoknya, aku melihat uniknya Islam kerana tidak ada satu agama pun di dunia ini yang memberi pengiktirafan sebagaimana Islam mengenakan syarat keimanan agama sendiri dengan mengakui kebenaran agama lain!

Keyakinan kepada misi Profetis (meminjam istilah Dato' Dr. Siddiq Fadzil) sebelum Muhammad s.a.w. adalah sebahagian tuntutan keimanan seorang Muslim kerana tanpanya kita telah menafikan garis penghubung sejak Adam a.s. hingga kepada Rasulullah s.a.w..

Suka atau tidak, sebagaimana yang mahu aku kupaskan dalam siri Islam dan Barat, ketiga agama ini telah memainkan peranan yang cukup penting dalam sejarah kemanusiaan. Waima apa juga kepercayaan pilihan manusia, aku percaya bahawa semua kepercayaan punya tugas membina dan memajukan urusan umat kepada kebaikan dan bukan sebaliknya.

Peradaban - Hadhari, Madani, Negara Islam - waima apa juga istilah berbaur politik yang mahu kita persembahkan akan mengheret kita kepada pertentang terhadap feudalisme dan segala kebobrokan jahiliyah. Dialog, sebagaimana pernah aku suarakan kepada SU Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Adham Baba dan TNC HEP UPM, malah siapa juga bahawa ia punya kaitan rapat dengan universiti. Bahasa aku cukup terang dan jelas bahawa hujah itu lawannya hujah, itu universiti. Apabila hujah dipatahkan dengan kuasa, itu jahiliyah!

Tidak ada seorang pun suka digelar Jahiliyah. Tapi pengamal Jahiliyah sering tidak malu dengan amalan mereka.

Kenyataan hari ini telah berubah berbanding masa lampau. Namun, akar kepada soal kemanusiaan tidak pernah berganjak daripada apa yang dicirikan Islam. Datanglah isu apa juga - perang? globalisasi? pengangguran? - pokoknya umat Islam perlu bersedia sepanjang masa untuk mendepani cabaran ini dengan tindakan strategik. Globalisasi tidak datang dengan satu wajah tetapi misi kerasulan yang tidak bersempadan juga jelas menunjukkan teks Islam sedia menanganinya. Soalnya di mana teks dalam konteks?

Kematangan dituntut daripada kita. Bukan sahaja kau, termasuk aku!

Tuesday, March 21, 2006

Terrorisme

"Apakah dakwaan Bush benar?" - ayat terakhir Fathi Aris Omar (FAO) dalam sms kepada aku lewat petang 21 Mac 2006.

Pagi ini aku mahu menulis. Baru tadi aku baca apa yang FAO hantarkan melalui pesan ringkas. Dan sebentar tadi, lewat malam sebaik habis kuliah Pengucapan Awam aku dan dua orang teman yang lebih berusia bergegas ke kedai makan sambil berborak beberapa hal tentang hidup sebagai mahasiswa. Dan isu yang tidak terlepas dari perbualan kami ialah Islam. Puncanya bila 'A' semacam sengaja memulakan provokasi "Islam ni ada banyak ke?". "Kenapa?" jawab aku. Yerla, ada Islam Hadhari, Liberal dan sebagainya.

Hmm..mulanya aku malas menjawab kerana isu ini isu lama. Tapi aku fikir bahawa ini mungkin jadi satu peluang untuk aku mendengar pandangan baru (yang akhirnya tiada).

Islam tetap Islam pada aku. Hadhari dan Liberal adalah bentuk Islam dalam kotak fikiran umat. Kenapa aku berani berhujah begitu? Kerana jelas dan nyata umat ini memilih simpang-simpang yang berbeza dalam menuju apa yang kita percaya sebagai redha Ilahi, Aliran Sunnah Wal-Jamaah dan lain-lain (namakan apa yang kita suka!).

Dan terrorisme. Pernah dulu aku menggunakan istilah 'terrorisme minda'. Kerana aku yakin kegagalan minda berfungsi akan menghumban manusia ke lembah hina. Dan manusia ini bukan orang lain semata tetapi termasuk aku!

Dengan berita seperti yang dipaparkan di mstar, aku percaya kita harus mula berfikir - 1) di mana air muka Islam bila umatnya yang konon membela agama dikesan pendokong terror? 2) dan pendokong kempen anti-terror seperti Bush akan menunjukkan lagi keangkuhannya dengan dakwaan ini sambil memuji kecekapan agen risikannya. Ada lagi jika mahu diungkapkan.

Dialog, meski itu yang terbaik, tidak cukup kerana masa terus berlalu dan kita telah bermula jauh lama sebelum ini. Jika kita mengharapkan keajaiban semalam, lupakan dan kita seharusnya percaya bahawa masa depan untuk dicorakkan..bukan dilalui kerana masa itu bergerak.

Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Kita yang perlukan Islam, Islam tidak perlukan kita (secara idealnya). Dan Islam tidak mungkin tertegak dengan pedang semata kerana percaya itu satu bentuk kemahuan internal yang tidak dipaksa-paksa.

Sunday, March 19, 2006

Fikiran Saya

"If you love your universities, you must let them free" - Prof. Madya Dr. Azmi Sharom, Timbalan Dekan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, surat terbuka kepada Dato' Mustapha Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi.

Hari ini aku dimaklumkan siaran semula dalam bentuk penuh fikiran aku yang dinyatakan di dalam Forum Maya di UmmahOnline seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini.

Memandangkan forum ini telah berlalu lebih kurang setahun, maka ia mungkin sedikit keluar daripada perkembangan terkini. Tapi aku percaya jika ada begitu tidak banyak.

Suka juga aku nyatakan di sini satu surat terbuka Prof. Madya Dr. Azmi Sharom, Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya kepada Dato' Mustapha Mohamed, Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi seperti yang disiarkan di The Sun pada 11 Mac 2006 sangat aku alukan. Aku tidak mahu katakan surat terbuka itu satu hal yang telah memenuhi semua persoalan di universiti, tetapi sebagai permulaan ia baik untuk dunia akademik itu sendiri.

Selamat menikmati!

Saturday, March 18, 2006

AUKU

"Demoracy is the name we give to the people whenever we need them" - Marquis de Flers Robert and Arman de Caillavet

Dua hari lepas aku telah ditemuramah oleh seorang rakan berketurunan Cina yang kini bekerja di The Star. Temuramahnya tentang pindaan AUKU (singkatan bagi Akta Universiti dan Kolej Universiti) untuk membolehkan mahasiswa terlibat dalam pergerakan belia.

Menariknya cadangan ini datang dari Presiden MBM (Majlis Belia Malaysia) iaitu Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo!

Aku jawab kepada teman itu bahawa AUKU dari sudut semangatnya jelas bertentangan dengan perlembagaan persekutuan jika mengambil takrif kebebasan dan keadilannya.
Soalan ini pernah aku tanya pada Dato' Zaid Ibrahim dalam satu forum. Dan beliau mengakui tentang itu sambil pada yang sama menerangkan exception yang memang ada pada AUKU.

Pada aku untuk meminda AUKU tidak boleh hanya merujuk kepada bahagian-bahagian tertentu melainkan perlu dirujuk keseluruhannya.

Aku sangat tak bersetuju bila Dato' Seri Dr. Khir Toyo mengatakan mahasiswa dilarang menyertai pertubuhan belia sebelum ini kerana banyak pengaruh politik. Dalam erti kata yang lain adakah beliau berpendirian bahawa mahasiswa tidak boleh berpolitik?

Sebab itu aku katakan soal AUKU ini perlu dilihat secara keseluruhannya. MPP tahun ini pernah membuat kenyataan mengatakan AUKU tidak perlu dipinda dan jika perlu dipinda ialah dengan cara mengetatkannya lagi. Sangat malang mahasiswa Malaysia!

Tentang AUKU, aku kira ini hanya permulaan. Aku akan menulis tentangnya kerana aku mahu memberi perspektif lebih jelas dengan tulisan yang lebih padat pada masa akan datang. Sebahagian besar garis dasar pandangan aku pernah aku suarakan di UmmahOnline pada satu ketika dulu melalui forum maya (sayang forum terbengkalai di pertengahan jalan).

Pokok pangkalnya, AUKU tetap punya pro dan kontra. Dan kita jangan cepat melatah tentang ini. Dato' Mustapha Mohamed, Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi cukup sedar tentang tuntutan ini, namun belum ada tanda yang jelas bahawa beliau punya kemungkinan untuk memindanya.

Telah banyak Menteri, sejak (Tun) Dr. Mahathir, Dato' Seri Anwar Ibrahim sehingga kini..terlalu banyak harapan diberikan kepada mahasiswa, dan mahasiswa sebenarnya tidak boleh mengharapkan siapa lagi melainkan terus berjuang dengan cara yang paling baik agar AUKU digubal dan lebih penting diimplementasikan dengan cara yang lebih baik.

Nampaknya kesimpulan awal telah aku beri. Sudah tentu aku punya rasional untuk itu. Nantikan!

Tuesday, March 14, 2006

Islam dan Barat (Selingan)

"The empires of the future are the empires of the mind" - Sir Winston Churchill (1874-1965), speech at Harvard University, September 6, 1943

Ada yang menarik dipaparkan di Malaysia-Today pada hari ini. Masih dalam ruang lingkup kecenderungan aku di sini. Dan seperti aku nyatakan dalam beberapa artikel sebelum ini, tokoh yang konsisten tentang isu ini ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau dalam banyak kenyataannya telah menjawab pelbagai persoalan Prof Jorgen Nielsen sebagaimana yang tertera dalam petikan berita di Malaysia-Today.

Dan apa yang Prof Jorgen Nielsen ini telah katakan menuntut pemikiran yang mendalam dari kita tentang simpang-simpang Islam dan Barat ini. Tahniah kepada UIAM atas inisiatif tersebut, moga dicontohi oleh IPTA dan IPTS yang lain.

(Hari ini aku sedar bahawa banyaknya 'tuduhan' bahawa aku fanatik Dato' Seri Anwar Ibrahim mungkin kerana pada banyak tingkat fikiran aku bersetuju dengannya dan pada tingkat tertentu sama (cewah, bukanlah kata aku setara dengan dia!). Dan aku jadi tersenyum lagi kerana di situ jelas orang kita tebal feudalismenya (kerana cenderung bicara soal siapa) dan bicara soal maju orang kita bicara yang aku tak pasti di mana (idea, gagasan, tapak dan prosesnya), apa? Hidup mesti terus!)

Thursday, March 02, 2006

Islam dan Barat 2 : Warisan Intelektual Yunani-Romawi

"We can draw lessons from the past, but we cannot live in it" - Lyndon B. Johnson (1908-1973), 13 December 1963

"Sikap anti-Amerika (Westophobia) yang berleluasa di kalangan umat Muslim dan juga Arab hari ini juga akan mendorong dan memerangsangkan keghairahan mereka yang menyokong jenayah laknat seperti rempuhan pesawat di WTC pada '9-11' di Amerika untuk melakukan projek-projek terkutuk yang sama. Berjuta-juta orang Arab dan Muslim yang tidak mengganas akan dibawa lari oleh sekumpulan kecil pengganas-pengganas Islam yang melampaui batas!" - Kanan Makiya, Fighting Islam's Klu Klux Klan, The Observer(UK)

Bila kita mahu berkata sesuatu tentang Barat, sering kita 'lupa' bahawa Barat itu terus hidup dan mendahului 'pembangunan' kerana ada 'desakan sejarah'. Lupa ini bukan lupa dalam erti kata tidak dapat mengingati, tapi lebih kepada lupa bahawa akal fikiran digunakan untuk melonjakkan peradaban dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. Barat, meskipun menurut Garaudy hanya satu kebetulan (Occident est un accident), telah berinteraksi dan belajar sepanjang sejarahnya. Hinggakan aku percaya bahawa apa yang kita katakan kerosakan dalam Tamadun mereka pada hari ini hanyalah bentuk eksperimen mereka kepada penemuan-kejadian yang terkini.

Barat = Yunani-Romawi?

Barat dalam hampir semua aspek peradaban menggambarkan bahawa mereka cukup menyanjungi Tamadun Yunani dan Romawi (sebagaimana aku percaya kedua tamadun ini sudah tentu tidak asing daripada menerima pengaruh tamadun kuno Mesopotamia, Mesir, India dan Parsi). Pandangan hidup Barat, jika dibandingkan dengan pandangan hidup Yunani-Romawi tidak lebih daripada usaha melanjutkan cita-cita yang sama untuk kebebasan, optimisme, sekularisme, pengagungan akal dan sikap individualisme.

Tradisi keilmuan Yunani-Romawi (sebagaimana yang kita tahu cukup tinggi hingga terlahirnya sebilangan individu yang cukup kita kenali seperti Socrates, Plato dan Aristotle) telah menyuntik semangat mereka untuk menggunakan method-method eksperimental dan spekulatif yang penting dalam pengembangan pengetahuan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Yunani-Romawi adalah guru yang mengajar Barat untuk menempatkan akal sebagai sumber kebenaran.

Alfred North Whitehead pernah dikatakan menulis bahawa falsafah Barat tidak lebih hanya daripada rangkaian catatan kaki Plato dan Aristotles! Sukar untuk kita menafikan bahawa karya agung Aristotles seperti Politics, The Prince tulisan Machiavelli dan L'Esprit de Lois, karya Montesquieu (sekadar menyatakan beberapa buah karya) tidak dipengaruhi oleh tokoh-tokoh pemikir Yunani-Romawi. Sudah tentu aku tidak menolak jika dikatakan bahawa Reformasi, Renaissance dan banyak peristiwa lain termasuk gagasan tentang kuasa, keadilan dan demokrasi mempunyai 'genetik intelektual' daripada tradisi Yunani klasik.

Tentang Romawi,sekurang-kurangnya tiga hukum mempengaruhi Barat. 1) Hukum sivil khusus untuk warganegara yang dikenali sebagai Jus Civile, 2) Hukum umum yang dikenakan kepada semua tanpa mengira warganegara yang dikenali sebagai Jus Gentium dan yang terpenting 3) Jus Naturale, satu falsafah yang menganggap keadilan dan kebenaran itu sentiasa sesuai dengan hukum alam dan juga tuntutan rasional. Dalam falsafah ini dinyatakan bahawa semua manusia mempunyai hak dan kedudukan sama rata dari sudut undang-undang dan pemerintah tidak berhak mengubah hak-hak yang diperuntuk.

Romawi dikatakan menterjemahkan pemikiran spekulatif Yunani kepada praktis. Romawi dari sudut politik juga memberi suntikan pemahaman kepada Barat berkaitan teori imperium (teori berkaitan kuasa dan autoriti negara) di mana kedaulatan dan kekuasaan adalah bentuk pengagihan kuasa rakyat kepada pemerintah. Teori ini menjelaskan bahawa hakikat kekuasaan di muka bumi adalah sepenuhnya milik rakyat dan pemerintah hanyalah satu badan yang diberikan kepercayaan untuk menggunakan kedaulatan yang ada untuk kebaikan rakyat (sudah tentu aku tidak memaksudkan menguasai dan mendominasi rakyat dengan cara yang tidak wajar!). Dari teori ini juga rakyat punya hak politik yang sama dan berada pada kedudukan tertinggi kedaulatan negara.

Dalam kerangka pemikiran Romawi inilah, gagasan kontrak pemerintah dijadikan model teori bagi pemikir-pemikir seperti John Locke, Jean Jacques Rousseau dan Hobbes (sekadar menulis beberapa nama). Gagasan Barat mengenai pemisahan entiti individu dan negara punya kaitan yang intim dengan teori imperium kerana negara diperlukan kerana kewujudan masyarakat. Individu masih dijadikan pusat pemikiran hukum dan diberi perlindungan.

Dikatakan kerana teori imperium ini, kekuasaan gereja abad pertengahan berkembang kerana organisasi gereja pada masa itu mengadaptasi organisasi kekuasaan dan keagamaan mereka dari konsep imperium Romawi. Ini ditunjukkan pada gelar Paus 'Supreme Pontiff' (Pontifex Maximus);Kaisar sebagai pemimpin agama warganegara.
_______________________________

Sulit memahami Barat meskipun kita hanya baru bermula. Tapi itu bukan alasan untuk kita mengalah. Bila cadangan Dato' Seri Najib Tun Razak supaya Pusat Kajian Oksidental diwujudkan, aku antara orang yang gembira dan separuh tertanya. Gembira kerana mereka yang bermentaliti feudal (baca:taat pemerintah membuta tuli) terpaksa bergelumang dengan lautan idea yang akan mencabar kefeudalan mereka (dan mungkin aku juga!) dan separuh tertanya kerana apakah kita semua sedia berubah (setelah menemukan sesuatu yang kita tahu tapi kita gadai kerana kepentingan diri dan kelompok?).

Semoga 'cahaya matahari' yang terbit dari Barat, yang dikatakan dan kita faham tanda kiamat itu tidak kita faham secara literal semata-mata..

Islam dan Barat

"Dan Kami jadikan kamu (manusia) dari lelaki dan perempuan, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar kamu saling berkenalan. Yang lebih mulia di kalangan kamu (di sisi Kami) adalah mereka yang bertaqwa" - maksud Al-Quran, surah Al-Hujurat, ayat 13."

"Neither east nor west, Islam is the best" - Almarhum Maulana Sheikh Abu Hassan Ali An-Nadwi

Dah lama sebenarnya tajuk di atas ni aku nak tulis. So, seiring dengan cubaan aku untuk menghadam dan kupas Islam (Dimensi) Intelektual, aku selitkan juga di sini tajuk Islam dan Barat. So, kawan-kawan jangan terconfius. Tajuk Islam (Dimensi) Intelektual tu aku akan cuba teruskan lagi..seperti yang Aqil Fithri katakan tentang Suhrawadi dan sebagainya. Ya, nama-nama (ramai lagi selain Suhrawadi) memang pernah aku tengok..nantikan masa mahu meneliti.

So, berbalik kita kepada maudhuk pembicaraan(dah macam pidato lak!)- Islam dan Barat. Seingat aku antara tokoh Malaysia paling banyak bicara soal Islam dan Barat ini sudah tentu Dato' Seri Anwar bin Ibrahim. Kelebihan didikan di The Malay College Kuala Kangsar mendedahkan beliau kepada beberapa fikiran Barat sebelum dia dapat meninjau lebih dalam kemudiannya. Mujur ras Melayu telah menerima Islam dan beliau dididik baik dengannya selain pilihan beliau sendiri. Ketekunan beliau penting untuk anak muda contohi (bukan beliau sahaja, malah sesiapa sahaja..walaupun ada bahagian dari sisi hidup mereka yang kita tidak setuju). Wah, meleret pula..ya, tapi ia sangat menentukan..kerana sikap kita sering melihat Barat sebagai musuh bagi aku lebih banyak merugikan berbanding menguntungkan. Atas sebab ini juga Maulana Sheikh Abu Hassan Ali An-Nadwi bingkas menitip kata-kata keramat yang aku kutip seperti di atas - agar umat Islam jelas misi profetis (baca=kerasulan).

Bagi aku tajuk ini penting dan relevan dalam konteks zaman (baca=globalisasi). Jarang kita beroleh bahan bacaan yang objektif sebagaimana layaknya sebuah tulisan yang menuruti disiplin akademik dan lebih banyak didorong oleh emosi atau lebih tepat keputusan sebelum hipotesis! Moga usaha kecil ini akan jadi bahagian sumbangan kebangkitan umat mencerahkan masa depan.
_____________________________________

Arnold Toynbee pernah menyatakan bahawa Barat pada hari ini adalah bahagian kecil serpihan Tamadun Yunani-Romawi yang cuba muncul semula (nama Toynbee ini mula terkenal di Malaysia sejak projek MSC dan dia pernah mahu menarik diri -aku tak ikuti tindakan seterusnya- daripada menjadi penasihat MSC sebagai solidariti kepada Dato' Seri Anwar bin Ibrahim semasa zaman reformasi). Aku yakin pendapat Toynbee bukanlah pendapat yang dikeluarkan tanpa justifikasi. Malah aku cenderung percaya kerana sehingga hari ini nama Aristotle, Socrates, Plato dan ramai lagi kekal jadi bahan sebutan dan rujukan.

Lebih menarik bagi aku (untuk perhatian anak-anak muda) ialah kenyataan sokongannya bahawa yang memungkinkan terjadinya kemunculan semula ini ialah apabila adanya minoriti kreatif yang mampu bereaksi secara positif terhadap cabaran lingkungan (Challenge Response Theory). Dalam hal ini minoriti kreatif adalah kata kunci penting selain cabaran lingkungan. Teori Toynbee bagaimanapun bukan mutlak cuma aku rasa menarik dan dekat dengan apa yang aku percaya (haha..dah macam Khalid Jaafar pula berpendapat bahawa Reformasi bergantung kepada pemikir-pemikir mudanya).

Bagaimanapun ada lagi satu pendapat yang lebih menarik dan mendorong aku untuk meninjau dan menyelongkar lebih dalam tentang Islam dan Barat bila Roger Garaudy menyatakan tiga teras yang mendirikan Tamadun Barat pada hari ini ialah peradaban Yunani-Romawi (tidak mungkin ada yang menafikan ini), Judeo-Kristiani (kita mungkin mudah bersetuju dengannya) dan Islam! Nah, sesuatu yang menarik untuk kita tekuni.

Alasan Garaudy bahawa kebudayaan tidak punya dimensi asli kerana Barat muncul dengan tidak sengaja memungkinkan Garaudy meneroka ruang-ruang yang mungkin telah digelapkan oleh pihak-pihak yang iri terhadap Islam atau mungkin sekali kerana gagalnya umat Islam menterjemah aspirasi Islam dengan baik. Atau ada alasan yang lain?

Aku percaya, sebagaimana riak-riak awal dalam tulisan aku Islam (Dimensi) Intelektual yang sengaja dimulakan daripada pertembungan Ibn Rusyd dan Imam Al-Ghazali - bahawa tokoh Islam dulunya cenderung melihat ilmu dengan akal dan bukan dengan emosi. Lanjutan dari itu debat berlangsung meski pun pada tingkat tertentu berlaku juga tuduhan takfir (kafir mengkafir).

Ya, kita akan cuba menjelajah 'mesin masa' jika mahu benar-benar meneliti bahagian ini (maksud aku memahami Barat dan Islam). Ada rasa tak kisah dalam diri aku kerana aku rasa aku minat untuk tahu. Cuma aku bimbang stamina aku tak daya, sebagaimana bila aku cuba membaca tentang Teologi Islam (demi meneliti Suhrawadi, Al-Asya'ri dll). Mungkin benar kata Imam Al-Ghazali - lebih ramai yang hanyut dan tenggelam dari sampai ke seberang dalam meneroka alam ilmu tinggi ini.

Aku akan teruskan, insyaALLAH..pentas telah dibuka, dan sebagaimana aku cuba yakinkan ramai rakan-rakan bahawa pentingnya belajar Tamadun Islam dan Tamadun Asia di universiti, maka aku harus dulu ke depan meski pun seinci untuk membongkar rahsia ini..(cewah, rahsia..macam "Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri")..haha.

Jangan biarkan sejarah ditulis oleh orang-orang yang menang!!