Thursday, April 27, 2006

Pluralisme

"Hate the sin, love the sinner" - Mahathma Gandhi (1869-1948)

Pluralisme bukanlah satu tajuk yang mudah untuk dikupas. Lebih-lebih lagi ramai tokoh Islam (maksud saya yang sudah dikenali) lebih awal menolak Pluralisme agama. Contohnya Al-Ustaz Dato' Dr. Siddiq Fadzil yang sangat aku hormati (lihat di sini).

Pluralisme mungkin telah jadi realiti kini atau zeitgeist (semangat zaman). Ia bukan satu hal bersifat fantasi kerana kita tidak sukar menemukan pluralisme ini di mana-mana dalam pelbagai segi kehidupan manusia. Justeru, rentetan dari hal ini, fikiran individualisme kian tercabar dalam wacana apa sekalipun. Maka, untuk berhadapan dengan hal ini perlukan lebih daripada ekadimensi.

Sejak globalisasi jadi isu penting yang diketengahkan, batas-batas yang memisahkan manusia kian dicabar dan sebahagiannya telah lebur, suka atau tidak, mahu atau tidak untuk kita akui. Dalam hal ini, aku sering berperang dengan fikiran sendiri kerana sejak kecil terasuh bahawa 'tidak menerima keberadaan agama lain' kerana Allah s.w.t. hanya menerima agama Islam. Lebih mendesak fikiran aku ialah bila adanya 'agamawan' yang mendakwa 'mengakui keberadaan agama lain boleh menyebabkan akidah tergelincir!

Untuk aku, aku menerima pluralisme! Kerana Allah s.w.t. sendiri menyatakan 'bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku' (maksud Al-Quran). Maka, keberadaan agama lain itu memang satu hal yang realiti dan bukan diadakan. Menolak pluralisme bagi aku adalah bentuk kegagalan diri sendiri. Menerima pluralisme tanpa pemahaman juga boleh jadi bentuk kegagalan diri sendiri juga! Maka, untuk aku, kita tak perlu cepat mahu menuduh sebaliknya berani berdepan dengan realiti ini.

Dato' Dr. Siddiq Fadzil, sebagai seorang Islam mungkin telah memilih konteks bicara yang selamat dalam link tulisan beliau yang aku sediakan. Beliau menolak apa yang dikatakan a. Kebenaran ada dalam semua agama dan b. Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.

Jadi, kenapa boleh aku menerima pluralisme?

1. Kerana bagi aku menerima keberadaan agama lain bukan beerti menganut faham agama tersebut melainkan penglibatan yang perlu lebih kepada cubaan memahami dan menghormati agama lain sebagai contoh agama Hindu tidak boleh makan daging lembu atas sebab kepercayaannya. Jika ini kita gagal lakukan, maka tidak payah kita bermimpi kononnya amalan Islam kita berada pada garis lurus.

2. Pluralisme juga harus dibezakan dengan universalisme. Ini kerana bicara tentang universalisme akan mengheret sama persoalan relativisme, di mana seseorang atau masyarakat akan menganggap hal-hal kebenaran dan nilai ditentukan oleh pandangan setempat. Contoh fakta kes - Hak Asasi Manusia (HAM)..boleh baca banyak juga kenyataan Tun Dr. Mahathir masa dia jadi PM malah boleh semak juga beberapa isu yang didepani SUHAKAM.

Faham universalisme itu cenderung mengheret, apa yang Dato' Dr. Siddiq Fadzil katakan sebagai penyataan bahawa a. Kebenaran ada dalam semua agama, dan b.Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.

3. Pluralisme bukan agama baru tetapi realiti yang harus didepani. Bagi aku Rasulullah s.a.w. dah menunjukkan banyak contoh kepimpinan. Dalam Fathul Makkah tak silap aku (tolong betulkan), masa kaum Quraisy minta nabi buang tandatangan Muhammad Rasulullah, nabi boleh je buang dan hanya tulis Muhammad je. Rasulullah tu gelar yang diberi Allah s.w.t. bukan manusia! Maka, kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. dalam urusan ummat itu aku percaya perlu terus menerus dicari hikmahnya.

Dulu, masa aktif beraktivisme, aku selalu berdepan dengan ramai teman yang mencabar 'absolute truth' yang aku percaya sebagai jalan untuk meyakinkan rakyat dan menang Pilihan Raya. Sudah tentu aku tidak punya jawapan waktu itu. Jika dipakai logik Dato' Dr. Siddiq Fadzil, untuk apa Allah s.w.t. menyuruh kita menjadi khalifah (maksud aku menegakkan hukum) jika kita fikir tak menang Pilihan Raya pun tak apa.

Aku tak tahu pula kalau beliau percaya ummat ini harus bangkit menentang sistem demokrasi dan mencipta dunia baru sistem kekhalifahan (yang dipercayai tetapi tidak dapat aku bayangkan realitinya kini untuk berlaku). Jika kita percaya bahawa pluralisme itu jadi sebab pertelingkahan panjang, sanggupkah kita menyalahkan Tuhan kerana meletakkan kita dalam keadaan ini?

Aku tidak sanggup..kerana aku percaya selain dari itu.

Tuesday, April 25, 2006

Pengumuman

Blog ini kemungkinan besar tidak akan dikemaskini sehingga pertengahan Julai memandangkan penulis tidak dapat mengakses kemudahan internet berikutan penulis terpaksa memenuhi beberapa keperluan akademik (berada di dalam
hutan) dan juga ke luar negara.

Sekian, harap maklum.

Thursday, April 20, 2006

Negara Kota 1

"Sistem pendidikan hari ini membuat andaian yang salah"- Prof. Emeritus Dato' Dr. Khoo Khay Kim, pakar dalam bidang sejarah ketika ditanya pandangannya tentang sistem pendidikan pada hari ini.

Mengapa sebuah negara kota lahir dalam sejarah? Soalan ini mula aku cari bila debat tentang Negara Islam tajaan PAS jadi modal politik kerajaan dan pembangkang. Mula saat itu proses dan kekuatan sejarah yang melahirkannya mula aku perhatikan. Sebahagiannya boleh didapati dalam Kembara Seorang Reformis - Rashid Redha, buku terjemahan teks tulisan tokoh Islam itu dalam majalah Al-Manar. Maksud aku bagaimana ada ulama' Islam cuba terlibat dalam realiti wujudnya negara kota setelah runtuhnya Khilafah (dan Upaya Membangunkannya..hehe..ni saja tambah je..Pak Khalid mesti tahu apa aku maksudkan).

Max Weber, tokoh sosiologi Jerman pernah menyatakan bahawa perkembangan Kapitalisme adalah punca kepada lahirnya sebuah kota. Nilai-nilai rasional, perkembangan perdagangan, kerja keras dan efisien serta penghargaan terhadap waktu merupakan etika kapitalisme yang menjadi pemangkin kepada wujudnya suatu kota. Ada juga sejarawan dan pemikir yang menyatakan bahawa adanya interaksi perdagangan antara kota, perluasan wilayah melalui penaklukan dan wujudnya minoriti kreatif sebagai kekuatan sejarah yang mendorong kelahiran sebuah kota.

Berbeza dengan mereka, Lewis Mumford dalam City in History memilih jawapan lain. Katanya "Tidak ada jawapan sebenar kepada semua pertanyaan yang dikemukakan kerana tidak ada jawapan penjelasan tunggal yang mencakupi seluruh transformasi sebuah kota. Mumford percaya misteri sebuah negara kota tetap masih tak terpecahkan.

Sekitar abad ke 5 sebelum Masehi, jauh sebelum kelahiran Jesus dari Nazareth, timbul kota-kota di Yunani yang dalam sejarah pemikiran politik Barat (Yunani menyebut kota sebagai Polis, Inggeris sebagai city states). Kelahiran negara-negara kota itu terikat pula oleh hukum sosial dan sejarah. Kewujudan negara kota pada zaman itu dikatakan kerana berlakunya interaksi intensif antara peradaban kuno yang memiliki, meminjam Robert Redfield 'Tradisi besar' dengan minoriti sosial kreatif Yunani kuno yang memiliki 'Tradisi kecil'.

Friday, April 14, 2006

Islam dan Barat 4c (Siri Akhir) : Warisan Intelektual Peradaban Islam

"Curiosity has its own reason(s) for existing" - Albert Einstein (1879-1955)

Ibnu Haitham (Al-Hazen) (965-1039) adalah antara tokoh Islam yang dikatakan turut menyumbang kepada pencerahan tradisi pemikiran ilmiah Barat. Tokoh yang lahir di Kota Basrah dan meninggal di Cairo ini adalah seorang ahli matematik, astronomi dan ilmu optik. Pengetahuannya dikatakan merintis sains eksperimental untuk Barat. Roger Bacon, tokoh dari dunia Barat yang dikatakan perintis method eksperimental di Barat telah belajar daripada karya-karya Haitham semasa menuntut di universiti Islam di Sepanyol. Karyanya yang terkenal, Magnum Opus banyak mengutip pandangan Haitham terutama yang berkait dengan falsafah.

J.B. Bury, dalam penyelidikannya, History of Freedom of Thought menyatakan Barat terhutang budi kepada Islam dalam bidang falsafah Rasionalisme. Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan, gelombang pengaruh intelektual yang memperkenalkan Islam pada akhir abad ke-12 ini dipelopori oleh Ibnu Rusyd (Averrose). Ajaran Ibnu Rusyd telah diperkenalkan di kalangan terpelajar di Western Christendom. Bagi dunia Barat Kristian, Ibnu Rusyd dikatakan tokoh awal pengembang pemikiran falsafah dalam Islam sedangkan bagi kelompok Islam tokoh tersebut mungkin yang terakhir (??).

Siapa Ibnu Rusyd? Aku pasti tulisan di sini tidak bertujuan memperkenalkan Ibnu Rusyd dengan lebih terperinci. Sekadar menyentuh beberapa bahagian yang aku tahu, beliau ialah seorang rasionalis pengikut aliran Muktazilah yang gagasannya sangat kuat dikatakan mempunyai pengaruh Aristotle. Melalui Ibnu Rusyd, dunia Barat dikatakan mula menganut kebebasan berfikir dan berupaya menyerap kekayaan intelektual Yunani-Kuno.

Ajaran Ibnu Rusyd tentang kekekalan benda (eternity of master) dan kefanaan jiwa (immortality of the soul) telah banyak melahirkan pemikir bebas (free thinker) dan dikatakan sangat mempengaruhi para pemikir Eropah seperti Alberto Magnus dan Thomas Aquinas. Aquinas misalnya dikatakan telah meniru secara sistematik tradisi keilmuan Islam menjadi sebahagian perkata penting dalam teologi ortodoks Kristian yang dikembangkan pada abad pertengahan.

Para murid Kristian yang selesai belajar ilmu pengetahuan dari filasuf muslim arab di Andalusia, Sepanyol kemudian kembali ke Eropah dianggap sebagai kelompok revolusioner oleh pendeta-pendeta Kristian kerana kembalinya mereka telah membawa banyak perubahan besar dan radikal kepada Eropah.
____________________________

Aku rasa penulisan aku tentang Islam dan Barat secara asasnya telah selesai. Aku percaya wujudnya lompong-lompong yang boleh dibetulkan oleh kalian, pembaca yang budiman.

Aku masih mahu menangguhkan hasrat meneruskan penulisan Islam Intelektual seperti yang pernah diajukan oleh seorang sahabat, Aqil Fithri, editor di UmmahOnline. Bagi aku, meminjam kata-kata Imam Al-Ghazali..falsafah..lebih banyak hanyut dari sampai ke seberang. Sebenarnya mengambil tahu fikiran-fikiran asli banyak pemikir di kedua belahan dunia ini (maksud aku Islam dan Barat) sangat menuntut ketinggian stamina mental dan fizikal selain ketabahan jiwa untuk sabar menekuni, membandingkan, menilai dan sebagainya.

Terima kasih kepada En. Khalid Jaafar yang selalu mendorong anak muda membuktikan ketinggian cita keilmuan.

Jadi, apa akan aku tulis selepas ini? Aku mungkin kembali kepada penulisan berbentuk respon kepada isu selain daripada projek ke-2 aku iaitu pergi ke temasya intelektual pemikir Barat, meninjau pandangan mereka tentang masyarakat, negara dan kuasa..hehe..ayat macam gempak je..hasil belum tentu!

Tokoh Islam bila lagi? Sebenarnya aku punya keinginan menulis tentang mereka, biar masa menentukan. Biar aku melayan kecenderungan semasa..tentang oksidental..sebelum aku jemu..haha..jemu apa ntah!?

Thursday, April 13, 2006

Islam dan Barat 4b : Warisan Intelektual Peradaban Islam

"Boleh dikatakan semua rumah ibadat di dunia saya telah masuk kecuali masjid" kata seorang teman beragama Hindu kepada saya dengan nada sedikit kecewa.

Garaudy menyatakan bahawa zaman Renaissance tidak mewarisi secara langsung ajaran yang kebudayaan Yunani. Ajaran Yunani hanya menjadi bahan kajian akademik zaman itu hanya apabila sarjana dan filasuf Islam membuat komentar dan terjemahan pada semua karya-karya besar Yunani. Garaudy lebih lanjut dari itu mendakwa St Thomas bukan pengganti Aristotles dalam mengatakan kebudayaan Kristian sebagai bukan penerus fikiran Yunani. Malah Garaudy juga menyangkal peranan Galileo sebagai penggerak semula evolusi sains yang vakum sejak kematian Archimedes.

Garaudy seakan terpesona dengan kegemilangan peradaban Islam Sepanyol dan Sicilia(aku selama ni tahu tentang Sicilian ni hanya satu bentuk strategi dalam permainan catur!). Tentang Garaudy aku rasa ada satu tulisan ringkas yang menarik tentang beliau - dari seorang filasuf Perancis yang menganut aliran Marxis (bukan Maxis!) kepada Islam. Islam bagi Garaudy telah menyuburkan masa lalu dan mempersiapkan masa depan. Islam baginya seakan memindahkan 1000 tahun pengalaman menerajui peradaban kepada Barat! Hal ini dakwanya dimungkinkan oleh usaha terjemahan yang dilakukan dengan perintah Alphonse X Raja Castille.

Di Sicilia, Michael Scotus menterjemahkan karya Ibnu Sina, kitab al Hayawan (Livre des animaux)dan karya Ibnu Rusyd, Syarah (Commentaries) berisi komentar-komentar tokoh Rasional islam itu terhadap karya-karya Aristotles. Karya-karya pemikir Islam inilah dikatakan kemudiannya menjadi titik tolak pandangan Barat tentang alam dan kajian penelitian eksperimental. Roger dan Francis Bacon yang memperkenalkan method eksperimental, yang sangat mempengaruhi perkembangan ilmu pengetahuan Barat.

Ibnu Khaldun..aku rasa tokoh ini sehingga hari ini dianggap punya peranan dalam mengembangkan tradisi pemikiran Barat. Kalau di kampus selalu dikatakan Teori Maslow tu sebenarnya dibina oleh Ibnu Khaldun! Aku tak dapat pastikan sebab membaca Muqaddimah Ibnu Khaldun memerlukan stamina yang tinggi bagi aku. Tak tahulah mungkin ada kitab lain yang mempopularkan beliau. Yang aku pasti, melalui Muqaddimah, Khaldun dikatakan menyumbang methodologi ilmiah berupa kajian empirikal di bidang ilmu sosial. Mungkin Khaldun boleh diakui sebagai perintis kajian sosiologi secara empirikal dan bukan Auguste Comte yang lahir berabad sesudahnya. Dalam methodologinya, Khaldun dikatakan amat mengutamakan data-data empirik, verifikasi teoritikal, pengujian hipotesis dan method pemerhatian yang semuanya merupakan dasar-dasar pokok dalam penelitian ilmu Barat dan dunia umumnya pada hari ini!!

Khaldun, menurut Garaudy, juga menunjukkan adanya pengaruh iklim, geografi dan keadaan ekonomi bangsa-bangsa, mempelajari struktur dan fungsi masyarakat bertitik tolak daripada pembahagian kerja, peranan solidariti sosial melalui semangat assabiyah dan pembentukan negara dan kehancuran kekuasaan empayar. Beliau juga turut membuktikan bahawa perbezaan cara menjalani hidup akan mempengaruhi adat kebiasaan dan fikiran bangsa-bangsa. Khaldun, terakhir, memberi formula teori berkaitan faham materialisme sejarah yang dikembangkan oleh Karl Marx dan Frederich Engels kemudiannya. Secara methodologi, Khaldun diakui melebihi apa yang telah dilakukan Machiavelli dan Montesqiueu yang lahir pada abad sesudahnya.

Kita akan pergi ke siri akhir Warisan Intelektual Peradaban Islam ini kemudian.

Tuesday, April 11, 2006

Islam dan Barat 4a : Warisan Intelektual Peradaban Islam

"Selamat Menyambut Maulidur Rasul s.a.w." - sms yang bertubi-tubi masuk ke dalam kotak mesej handset aku.

Pada zaman yang disebut Dark Ages (sebelum abad ke-14), sukar untuk dikatakan tradisi keilmuan Barat itu memiliki sebuah tradisi moden dan progresif. Tradisi ilmiah masih dianggap 'musuh agama' dan pengkhianatan terhadap ajaran Al-Kitab dan juga Jesus Kristus. Tunggu..ada beberapa hal yang aku fikirkan di sini. 1) Di mana kedudukan pemikiran Yunani-Romawi ketika ini? Jika ada kesinambungan, siapa tokoh di zaman kegelapan yang meneruskannya hingga berterusan ke hari ini? 2)Nampak seakan apa yang berlaku dalam dunia Islam hari ini telah dilalui oleh dunia Barat jauh lama sebelum ini - pertembungan agama dan intelek (baca:akal).

Para ilmuan yang cuba meneruskan tradisi intelektual (yang biasanya mencabar doktrin status quo) sering menjadi mangsa inkuisisi (kezaliman la!) gereja. Barat mulai mengalami proses 'pencerahan intelektual' (intellectual enlightenment)setelah dikatakan berlakunya hubungan dan interaksi intensif dengan peradaban Islam, baik melalui perdagangan mahu pun penghantaran mahasiswa Barat ke dunia Islam.

Dalam konteks ini, Perang Salib selama 2 abad merupakan salah satu punca utama dalam proses interaksi antara peradaban Islam dan Barat. Hubungan Islam dan Barat melalui pelbagai medium itu bagaimanapun tidak seimbang kerana Barat lebih banyak memperoleh manfaat berbanding dunia Islam. Hal yang sama dikatakan terjadi ketika Tariq bin Ziyad (seorang anak muda!) menakluki Sepanyol dan membangun peradaban Islam di kawasan itu. Dalam hal ini, apakah umat Islam itu jauh ke depan sehingga tidak ada apa yang boleh dipelajari dari Barat atau umat Islam dilanda penyakit sombong untuk belajar sesuatu dari 'orang asing'.

Selama tujuh abad (antara abad ke 8 hingga abad ke-15), peradaban Islam Sepanyol berjaya meluaskan kegemilangannya ke penjuru Eropah. Dari pusat peradaban Islam Sepanyol inilah Barat mula membuka jalan ke arah pencerahan intelektual. Proses yang sama dikatakan berlaku di pusat peradaban Islam yang lain seperti Cairo, Baghdad dan Iskandariah. Barat akhirnya meruntuhkan tembok pemikiran dogmatik yang mengongkong mereka selama beberapa abad dan terus merambat lurus membuka jalan pencerahan ke depan.

Sebenarnya warisan peradaban Islam sebagai salah satu penyumbang lahirnya peradaban dan perkembangan tradisi pemikiran politik Barat sangat sukar atau kata lain enggan diakui oleh Barat. Cuma akhirnya ada beberapa pemikir Barat yang mengakui perihal ini antaranya Roger Garaudy, Bernard Lewis, Bertrand Russell dan Louis Massignon (sekadar menyatakan beberapa nama).

Apakah kenyataan mereka? Kita nantikan dalam siri seterusnya.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul - peribadi untuk dicontohi sepenuhnya.

Monday, April 10, 2006

Islam dan Barat 4 : Warisan Intelektual Peradaban Islam

"(Sebahagian kegagalan itu) kerana tidak ada kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara," kata Profesor Dr Murat Cizakca kepada wartawan selepas menyampaikan ceramahnya 'The Correlation between Democracy and Economic Development' di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Cendekiawan gagal memainkan peranan menjelaskan inti pati utama agama sehingga masyarakat lebih cenderung melihat Islam sebagai amalan ibadat dan kurang menghargai tradisi intelektual, jelas pemikir Turki tersebut.

"Mereka (orang Eropah) dulu juga meminjam (idea dan institusi) daripada tamadun Islam, misalnya (institusi) waqaf," jelasnya lagi.
___________________________

Warisan intelektual peradaban Islam adalah tiang ketiga seperti yang aku telah nyatakan sebelum ini - penyumbang kewujudan peradaban Barat yang tidak disengajakan itu.

Bagaimanapun, sebelum pergi lebih jauh, elok kita merenung pendapat sebahagian pemikir yang menganggap Islam hanyalah saduran fikiran Yunani-Romawi (yang sudah tentu diwakili oleh Aristotles dan Plato) cuma ditambah dengan kepercayaan kepada Tuhan! Begitu berpengaruhnya Yunani-Romawi!

Ziya Gokalp misalnya menganggap bangsa Arab Muslim menyerap pengetahuan seni, falsafah, logik, matematik, kedoktoran dan lain-lain melalui terjemahan karya pemikir Yunani kuno. Dikatakan pengaruh ini terpampang pada kerja intelektual dalam dunia Islam. Para pengikut aliran periphetik dikatakan pengikut Aristotles dan aliran illuminasi pula pengikut Plato. Kaum mutakallimun (teolog) dipengaruhi ajaran falsafah atomistik Demokritus dan Epicurus!

Gokalp dalam penulisan yang sama, Turkish Nationalism and Western Civilization, menambah bahawa kelompok Mistik dipengaruhi ajaran Neo-Platonisme yang dikembangkan di Alexandriah dan Plotinus. Dinyatakan juga wujud pengikut Phytagoras dan Zeno di dunia Islam, iaitu Riwakiyyun (harap ada sesiapa yang tahu dapat jelaskan kepada aku apa jenis kelompok ini! Pertama kali aku membaca tentang ini).

Ibnu Arabi..haha..aku yakin Aqil atau Pak Khalid mungkin nak respon..tokoh mistik Andalusia itu dikatakan sangat terpengaruh dengan Plato! Tapi Gokalp juga menyebut bahawa karya Ibnu Arabi, Akhlaq-i-Nasiri, Akhlaq-i-Jalali dan Akhlaq-i-Ala'ihanyalah saduran pemikiran Aristotles!

Hmm..sudah tentu kita boleh mempersoalkan pandangan Gokalp yang dah semacam satu propaganda berlebihan. Aku, yang tak pernah baca buku-buku di atas tu tak boleh la nak respon lebih-lebih. Harapnya ada antara pembaca yang boleh lakukan bahagian itu sambil berkongsi maudhuk bicara buku tu. Yang penting jangan kita pun ikut sama nak buat propaganda di pihak Islam dah la. Ilmu ni tak payah sembunyi. Sembunyi ilmu ni kira korup juga!

Cuma ada satu hal yang suka aku nyatakan. Nampak sangat jelas bagi aku bagaimana kelompok pemikir zaman Yunani-Romawi ni hebat..dirasai. Sebenarnya bila aku menonton The Emperor's Club dekat Institut Integriti Malaysia aku dah dapat rasakan bagaimana hebatnya kelompok pemikir Yunani-Romawi ni.

Pandangan Gokalp, meski kita harus punya hak untuk mempersoalkannya, bagi aku tidak mudah ditolak begitu sahaja. Aku yang sangat dhaif dalam hal-hal membaca teks Arab ni (nihil!) tak boleh la nak buat komentar apa pun..apatah lagi teks klasik Yunani-Romawi ni pun aku tak pernah habiskan! Sekarang aku betul-betul harap dapat terus hadir diskusi kelompok seminggu sekali tu..dah lama tak berusrah yang tinggi macam tu!

Berbalik kepada cerita kita, mungkin soal yang boleh kita ajukan ialah bagaimana rupa bentuk penerimaan Islam pada waktu itu? Adakah penerimaan ini melalui satu proses pertembungan intelektual yang panjang dan setanding?

Bagi aku bukanlah sesuatu yang asing pemikir Islam menerima pengaruh luar. Ini kerana Islam adalah agama inklusif, bersikap terbuka dan toleran terhadap apa juga pengaruh selagi ia tidak bercanggah dengan tauhid selain memperkaya tradisi keilmuan Islam. Dengan cara ini juga pada aku Islam keluar daripada sikap rendah diri bila berhadapan atau berinteraksi dengan mana-mana bahagian dunia. Watak Islam yang begini untuk aku adalah punca utama kenapa 'perluasan wilayah' atau kata lainnya penaklukan Islam itu tidak diiring bersama proses penghancuran peradaban setempat sebagaimana yang sering berlaku! Islam membiarkan malah memperkaya peradaban yang sedia ada di tempat yang ditakluk. Bernard Lewis dalam The Arabs in History memperakui watak Islam yang berhasil menemukan Eropah dengan jayanya.

Ok, aku rasa cukup panjang dah. Nanti Aqil kata jemu pula..haha. Nampaknya kita baru bermula..lepas ni aku akan cuba perincikan apakah warisan intelektual peradaban Islam yang ada pada Barat. Cuma aku pasti sebahagian kalian sudah tahu sebahagian besar apa yang nak aku tulis..untuk aku, pengetahuan korang itu boleh merancakkan apa yang boleh disifatkan kekeliruan, kesilapan malah memperkaya fakta dan maklumat di sini. Sedia?

Saturday, April 01, 2006

Islam dan Barat 3b : Warisan Intelektual Judeo-Kristian

"Leisure is mother of the philosophy" - Thomas Hobbes (1588-1679)

Aku bercadang nak habiskan bab Judeo-Kristian ni sebab lepas ni aku boleh tumpukan kepada Warisan Intelektual Islam :)

Bila menyebut Aquinas dengan Scholasticisme, ada beberapa ciri padanya yang perlu diketahui antaranya :-

a. Rasionalis, tetapi tidak empiris (ada ke kata empiris ni?). Kata lain ialah ia lahir dengan logik bukan sains atau pengalaman. Sebagaimana Descartes (baru habis diskusi awal tentang Descartes semalam :)), Aquinas mengikuti para filasuf dan pemikir Yunani kuno dengan penyataan kebenaran tertinggi tidak bisa ditanggapi oleh pancaindera (sense of perception). Panca indera, menurut mereka boleh memberi pengetahuan tentang apa yang nampak, tetapi realiti alam semesta hanya dapat dicapai dengan akal. Contoh mudah yang boleh dinyatakan di sini ialah saiz matahari. Apa yang kita nampak? Kecil atau besar? Hakikatnya pula bagaimana?

b. Scholasticisme juga mementingkan etika. Menurut etika mereka, tujuan manusia adalah bagaimana hidup mereka jadi lebih baik di dunia mahu pun sesudah mati.

c. Aliran ini juga dikatakan tidak mementingkan asal segala sesuatu sebaliknya bagaimana segala sesuatu dapat dijelaskan dengan baik.

Aquinas mendakwa bahawa Scholsticisme adalah ajaran tentang bagaimana mencari kebenaran. Katanya kebenaran boleh dicapai dengan wahyu (revelation) dan akal (reason). Aquinas mendakwa keduanya tidak bertentangan sebaliknya komplimen! Alasan Aquinas mudah - keduanya dari sumber yang sama iaitu Tuhan!

Puncak sumbangan Kristian dikatakan bila lahirnya ramai tokoh dalam menggerakkan reformasi Protestan seperti Martin Luther dan John Calvin. Reformasi sebagai mana yang kita tahu adalah sendi awal yang menggerakkan sejarah pemikiran dan peradaban Barat. Reformasi Protestan pada hakikatnya adalah reinterpretasi doktrin-doktrin Katholik Ortodoks dan reaksi kepada penyimpangan kuasa gereja. Banyak alasan sosial, ekonomi dan politik yang melatari reformasi Protestan. Namun, sebagaimana yang kita tahu daripada catatan sejarah, gerakan intelektual keagamaan ini dimulai ketika gereja menjual surat-surat pengampunan dosa yang diprotes oleh Luther.

Dasar pemikiran reformasi Protestan yang dikemukakan adalah ajaran tentang etika kerja atau ethos kapitalisme seperti yang dirumuskan John Calvin. Max Weber dalam karya monumentalnya The Protestant Ethic and The Spirit of Capitalism menjelaskan bagaimana perkembangan kemajuan peradaban Eropah sangat dipengaruhi etika kerja yang dirumus Calvin. Menurutnya, Calvin mengajar bahawa kerja merupakan panggilan Tuhan. Demikian juga dengan sifat menghargai waktu, rasional dalam berfikir dan bertindak, hemat dalam kegiatan ekonomi serta melihat kepada masa depan adalah sesuai dengan ajaran Kristian.

Doktrin Calvin akhirnya mempengaruhi etika kerja orang-orang Kristian di Barat dan mereka berkembang sekaligus menguasai segalanya secara relatif.

Pada saat itu, di mana kita agaknya? Masih terbuai dengan kegemilangan empayar Islam?

Islam dan Barat 3a : Warisan Intelektual Judeo-Kristian

"Those who cannot remember the past are condemned to repeat it" - George Santayana (1863-1952), The Life of Reason, Volume 1,1905

Orang Yahudi juga berperanan dalam proses kelahiran Renaissance di Eropah. Seperti kandungan teks sejarah sekolah menengah, kita tahu bahawa kota-kota yang terbangun hasil aktiviti ekonomi yang pelbagai bermula seawal abad ke-14. Dan Revolusi Industri adalah tanda nyata semaraknya Renaissance selepas zaman ini.Yahudi, meski minoriti menjadi 'avantgarde' intelektual dan antara tokohnya yang sangat dikenali pada waktu itu ialah Reuchlin.

Abad ke-18, hubungan intelektual pemuda-pemuda terpelajar Yahudi dengan peradaban Islam dan Yunani-Romawi berhasil melahirkan gagasan-gagasan cemerlang selepasnya. Dimont, dalam tulisannya membayangkan bagaimana kelompok ini cuba membaratkan diri mereka tanpa menjadi Kristian dan mencipta kebudayaan Yahudi yang boleh dimanfaatkan oleh dunia Barat.

Abad kemudian, cukup jelas bagaimana minoriti Yahudi Eropah telah bangkit dengan pelbagai tokoh seperti Hegel, Karl Marx, Sigmund Freud, Nietzsche, Bertrand Russell, Albert Einstein dan lain-lain (sekadar menamakan sebahagian). Dalam dunia intelektual Barat, mereka ini mempelopori pelbagai aliran pemikiran (school of thought) seperti Marxisme, Liberalisme, Kapitalisme, Komunisme, Darwinisme dan sebagainya. Pendek kata, hampir di semua lapangan, Yahudi berhasil meletakkan 'wakil' mereka secara intelektual!

Sumbangan mereka ini akan kita cuba halusi dalam tulisan-tulisan akan datang, insyaAllah.

Selain daripada kelompok Yahudi, kelompok Kristian juga telah memainkan peranan dalam usaha membangun peradaban Barat. Fasa penting yang boleh kita rujuk sudah tentu pada zaman pertengahan atau banyak sejarawan menyebutnya sebagai 'dark ages'.

Zaman kelam disinonimkan dengan fasa ini kerana berlakunya beberapa hal seperti pertumpahan darah, semaraknya tahyul, anti rasionalisme bahkan anti intelektualisme!
Meski dalam banyak catatan hal-hal yang dinyatakan ini lebih menonjol, kita tidak boleh terlepas daripada melihat dari beberapa sisi tertentu iaitu seperti terbangunnya universiti-universiti, kota-kota baru, parlimen, undang-undang awam serta wujudnya negara bangsa. Peristiwa-peristiwa ini berlaku juga dengan peranan pemuka Kristian.

Empayar Romawi jelas memperakui Kristian sebagai agama negara justeru membolehkan organisasi gereja berkembang. Hasilnya gereja berpeluang menstrukturkan masyarakat Eropah dan terus berperanan penting meski pada saat Empayar Romawi menuju kejatuhan.
Gereja mengambil alih tugas mengawal kekacauan sosial ketika kejatuhan Empayar Romawi. Gereja dalam konteks ini telah memperkenalkan cita-cita luhur bersangkut keadilan sosial sebagai usaha mentertibkan kelompok yang mencetuskan kekacauan.

Kristian, sebenarnya dilihat memainkan peranan lebih nyata pada abad ke-12 dan 13 bila Thomas Aquinas merintis aliran falsafah yang dikenali sebagai Scholasticisme. Aliran ini dikatakan mendominasi abad pertengahan merupakan penjelmaan semula karya-karya Aristotles yang kemudian diajar di universiti Islam Andalusia, Sepanyol. Karya Aquinas, Summa Theologica dikatakan cerminan usaha Aquinas menemukan falsafah pemikiran Yunani dengan doktrin ajaran Kristian.

Kita akan bersambung lagi selepas ini..

Islam dan Barat 3 : Warisan Intelektual Judeo-Kristian

"Civilization begins with order, grows with liberty and dies with chaos" - Will Durant (1885-1981)

Seperti yang aku nyatakan dalam tulisan pertama hubungan tentang Barat, pengaruh Judeo-Kristian boleh diklasifikasikan sebagai peradaban kedua yang memacu dasar intelektual dan falsafah Barat.

Max Dimont, pakar sejarah peradaban Yahudi, dalam mengulas sisi sumbangan Yahudi kepada peradaban Barat melalui tulisannya Jews, God and History dan Instructable Jews membuat penyataan yang boleh kita persetujui - bahawa orang Yahudi adalah 'historic people' atau kata lain kelompok Yahudi adalah kelompok yang melahirkan peristiwa-peristiwa sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah yang dizahirkan oleh kelompok Yahudi ini sebenarnya berbeza daripada faham sejarah tipikal yang disumbat ke dalam fikiran anak muda Malaysia di bangku sekolah! Yahudi, seperti yang dimaksudkan dengan kata 'historic people' itu diagungkan kerana mereka menjadi subjek, bukan objek peristiwa-peristiwa sejarah! Ini kerana jelas mereka menunjukkan kehadiran mereka dengan gagasan-gagasan unggul.

Sulit bagi kita menyangkal dakwaan Dimont memandangkan fakta sejarah cukup utuh membuktikan hal ini. Malah susur galur sejarah kenabian dan Rasul juga cukup untuk menunjukkan bahawa sebahagian besar mereka adalah kelompok Yahudi. Namun, sukar untuk saya beroleh fakta sejak bila Yahudi memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban Barat. Cuma sedikit penemuan menyatakan bahawa Yahudi bertebaran ke pelbagai penjuru dunia terutama Eropah dan di kawasan empayar Islam Andalusia di Sepanyol dikesan dengan lahirnya filasuf terkemuka Yahudi, Musa Ibnu Maimun atau Maimonides di abad ke-12 dan abad ke-13. Maimonides dikatakan mempengaruhi secara signifikan perkembangan pemikiran dan falsafah pengetahuan dan keagamaan di Barat. Dikatakan Spinoza, filasuf Barat berketurunan Yahudi itu, yang gagasannya sangat mempengaruhi falsafah Barat moden, merupakan murid Maimonides secara tidak langsung. Spinoza, meski hidup pada zaman berbeza dikatakan kuat dipengaruhi gagasan falsafah Maimonides.

Lady Magnus dalam Outlines of Jewish History menyatakan bahawa Maimonides sangat terhutang budi dengan para pendidik dan filasuf Islam di Andalusia kerana mengajarnya. Soalnya di sini, siapakah para pendidik dan filasuf Islam yang dimaksudkan Maimonides? Adakah akar fikiran Barat akhirnya balik kepada Islam sekaligus menafikan dakwaan sekian ramai umat Islam yang 'bimbang' dipengaruhi faham 'kafir'?

Tulisan ini akan bersambung..