Monday, September 25, 2006

Ramadhan

SELAMAT MERAIH NIKMAT RAMADHAN
SEMOGA HADIRNYA RAMADHAN MEMBERI PELUANG KEPADA KITA
UNTUK SALING MENGINSAFI KURANGNYA PENGORBANAN KITA
TERHADAP TUNTUTAN HIDUP BERAGAMA

Pilihan Raya Kampus

"Saya cukup kenal Encik Amin, dan saya akan laporkan perkara ini kepada pihak atasan" kata En Madzlan kepada aku sambil mengarahkan aku membawa keluar wartawan dan jurufoto The Star dari UPM.

Pilihan Raya Kampus sudah berlalu. Seperti yang dijangka, Aspirasi mengekalkan kemenangan mereka untuk kali ke-4. Tahniah. Juga tahniah kepada calon-calon bukan Aspirasi baik yang menang atau yang kalah kerana sikap berani bertanding sebagai bukan calon Aspirasi. Terlalu banyak aspek boleh direnung dan disemak semula dalam hubungan Pilihan Raya Kampus dan nikmat hidup bernegara.

Ada yang mempersoalkan kenapa aku turut terlibat dalam boikot Pilihan Raya Kampus kali ini (boikot aku tidak ada kena mengena dengan boikot GMM meski mungkin sebahagiannya sama). Boikot aku hanya bermula apabila ada tindakan Pengetua-Pensyarah yang bagi aku keterlaluan, hingga memaksa aku menghubungi sendiri Dato' Adham Baba, SU KPT untuk menyatakan rasa tidak puas hati dan sudah tentu aku sendiri menghantar beberapa SMS yang aku klasifikasikan sedikit biadap kepada Pengetua-Pensyarah berkenaan.

Dan itu di luar sikap waras aku sebenarnya, tetapi Pengetua-pensyarah ini, meski sering keluar masuk di kaca TV, itu bukan jadi sebab untuk dia bersikap waras kepada mahasiswa - dan itu sebabnya.

Ada seorang rakan menghubungi aku menyatakan kegembiraan kerana Aspirasi tewas di UIA. Selamba aku jawab "Sekarang UIA mesti mengetuai agenda mengupas 'kecelaruan sikap' terhadap e-undi memandangkan MPPUIAM kali ini dimenangi oleh barisan bukan Aspirasi. Aku sempat duduk minum bersama Sook Swan, aktivis GMM yang dihubungi oleh wartawan The Star terbabit dan ada mempertikaikan beberapa sisi boikot GMM yang bagi aku terdedah kepada spekulasi. Justeru, aku memilih tidak menurunkan tandatangan pada borang yang disediakan oleh mereka kerana aku punya sebab dan sikap lain tentang Pilihan Raya Kampus kali ini.

Pilihan Raya Kampus kali ini mungkin telah berakhir, tetapi itu bukan bermakna siri perjuangan mahasiswa terhadap pelbagai isu telah tamat malah akan terus berlaku.

Selamat bertugas kepada MPP yang baru. Semoga kita mengerti amanah dan tuntutannya.

Thursday, September 21, 2006

Mengundi

"Apa pandangan anda tentang e-undi, anda juga menang dari sistem ini bukan?" Lebih kurang pertanyaan seorang bekas MPP Aspirasi kepadaku.

Umum kenal aku sebagai seorang 'fighter' di kampus. Aku tidak pasti ada atau tidak, tapi aku rasa aku bukan seorang politikus atau 'fighter' yang sebilangan kenali. Masakan tidak, di celah kesuraman mahasiswa dan tekanan yang bertalu pada 2003 (kali pertama Aspirasi mengambil alih pimpinan kampus), aku buat demonstrasi di kampus. Di mana-mana aku meletakkan 'penunaian hak' lebih daripada 'menuntut hak' dalam berkhidmat - kolej, fakulti atau universiti. Hampir tidak ada dialog yang aku tidak bangun bertanya, cuma aku bertanya dengan gaya pertanyaan yang tidak menghentam tetapi sinis. Paling parah, seingat aku ialah aku mencabar doktrin Melayu di satu kursus BTN itu sendiri.

Bukan! Bukan! Aku bukan mahu berpolitik atau mengangkat nama. Aku hanya mahu cuba jadi seorang negarawan. Bukan dikenang kerana ada bangunan tinggi melangit sedang tidak sampai 10 km drnya ada mereka yang merempat kerana setinggannya diroboh. Bukan! Bukan! Negarawan untuk aku ialah kombinasi sederhananya hidup Tuan Guru Nik Aziz dengan reputasi Dato' Seri Anwar Ibrahim. Mungkinkah seperti Ahmadinejad?

Ringkasnya, aku tahu jalannya tidak semudah kata.

Aku ikut bertanding dan menang majoriti terbesar dan kekal jadi sejarah setakat ini dengan 10500 undi setelah saban tahun melihat dan memberi pandangan serta galakan kepada mereka yang ikut terlibat dalam Pilihan Raya Kampus.

Hanya tinggal beberapa jam. Ramai yang bertanya pendirianku..dan jawab aku..

"BOIKOT!"

Bukan soal tidak merayakan demokrasi..tetapi tidak merayakan demokrasi pincang ;)=


..surat tunjuk sebab tidak turun mengundi tahun lalu entah di mana aku campakkan tanpa menjawabnya.

Negara Kota 4

"Aspirasi dan PMI sama saja (punya 'Godfather' di luar)" mungkin begitu ayat yang Aqil minta aku tegaskan..

Ya, sekarang musim Pilihan Raya Kampus. Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum mengundi. Tapi aku tidak berminat untuk mengulas banyak. Seingat aku, asas fikiran aku telah banyak aku ungkap dalam wawancara bersama UmmahOnline dulu, malah aku pertahankan di Forum Muda Malaysia dan dalam mana-mana kenyataan aku di pelbagai medium.
______________________

Rupanya telah agak lama aku berhenti menulis tentang Negara Kota. Seingat aku yang terakhir sebaik pulang dari Jepun. Projek penulisan ini sebenarnya aku cuba buat untuk aku bermula dari asas memahami 'Barat' yang sering dicemuh dan meneroka sisi 'Barat' mana yang tidak cocok dengan Islam. Kerana aku percaya aku perlu menangani realiti. Hmm, sambil menaip ni teringat sabda Rasulullah s.a.w. bahawa pada akhir zaman berpegang pada Islam ibarat menggenggam bara api..

Dalam tulisan lepas aku berakhir pada isu perhambaan yang didokong oleh Aristotle dengan alasan bersifat fungsional menyangkui waktu luang warga untuk berfikir soal sosial dan kenegaraan. Pandangan Aristotle ini antara sebab kenapa tidak dianggap pemikir demokrasi kerana tidak ada sisi dalam demokrasi yang membenarkan perhambaan(setakat rujukan terbatas).

Justeru kerana punya banyak masa luang dan hak istimewa, warganegara sebagai elit sosial dapat terlibat dalam kegiatan politik negara kota. Status mereka begitu penting hingga mereka yang berusia 20 tahun diwajibkan menjadi anggota sidang Ecclesia - satu forum di mana persoalan penting negara dirumuskan (aku bayangkan seperti Parlimen, tapi yang menariknya mereka berusia 20 tahun!). Status kewarganegaraan mereka diperoleh dengan kelahiran (ascribed status).

Di masa Pericles, Athen mengalami zaman kegemilangan, berperadaban tinggi, adil dan makmur. Negarawan ini juga berhasil membangun sistem pemerintahan demokrasi yang dinamakan 'Athenian democratia'. Demokrasi, berdasarkan aspek yang ada semasa Pericles memiliki kriteria tertentu; 1)Pemerintahan oleh rakyat dengan penglibatan rakyat sepenuhnya dan secara langsung 2)Kedaulatan undang-undang (Rule of law) 3)Pluralisme (hoho, sensitif!), yang dimengerti sebagai penghargaan atau sifat meraikan (Isham suka guna merayakan) semua bakat, minda, keinginan dan pandangan serta 4) Penghargaan terhadap suatu pemisahan wilayah peribadi untuk memenuhi dan menonjolkan sikap individu atau apa yang aku faham sikap individualistik.

Nah, aku rasa sambil-sambil membaca ini kita sudah boleh memikirkan argumen yang mahu dibentang ;)=

Dalam pemerintahan negara Athen itu, Pericles menekankan prinsip-prinsip demokrasi yang terlihat dari sistem pemerintahannya yang dikuasai atau diperintah oleh majoriti dan bukan segelintir warganegara atau oligarki. Pericles menyedari pemerintahan segelintir orang akan mudah menimbulkan salah guna kuasa (abuse of power) kerana tiadanya kawalan terhadap pemerintah (Berbeza dengan Perdana Menteri yang 'tidak ada kawalan'!)

Semua warganegara dianggap memiliki hak dan kewajipan yang sama di sisi undang-undang. Justeru, bertitik tolak dari hal ini, diskriminasi tidak wujud dalam proses merumuskan kepentingan pengurusan negara kerana ADANYA KEBEBASAN BERSUARA KEPADA SEMUA TANPA KECUALI. Indikator penentu ialah sejauh mana reputasi dan prestasi yang dimiliki untuk mempengaruhi suara ramai. Inilah bentuk prinsip demokrasi yang kita kenal pada hari ini sebagai politik egalitarian.
_______________________

Saturday, September 16, 2006

Pilihan Raya Kampus dan Nikmat Hidup Bernegara

"Kenapa mereka mainkan isu kaum?" tanya seorang rakan bukan muslim kepada saya.

Pilihan Raya Kampus (PRK) datang lagi. Ini adalah kali ke-7 sempat aku melihat suasananya dari dekat. Entah kenapa, setiap Pilihan Raya, selepas tahun 2001, aku sentiasa dirujuk oleh sebilangan teman dari kem-kem berlainan tentang ia.

Sejujurnya aku hanya betul-betul terlibat dengan PRK hanya pada tahun aku masuk bertanding, 2004. Alhamdulillah menang dengan undi majoriti dan masih jadi rekod di UPM dengan 10500 undi. PRK yang lain, aku hanya memerhati, menyumbang idea kepada mereka yang bertanya - calon, wakil calon atau siswa biasa.

PRK di UPM untuk aku semakin tahun semakin hambar, ikut sama perkembangan persatuan, kelab dan aktiviti pelajar seluruhnya. Pengalaman aku sebagai pimpinan di kolej, persatuan, fakulti dan universiti buat aku punya jawab untuk semua itu.

Semalam seorang rakan bukan muslim bertanya aku tentang isu kaum yang ditiup di UPM. Memang ada rakan muslim yang berpendapat strategi meniup isu kaum ini telah salah. Pandangan aku pelbagai. 1) Kerana isu yang ribut di UPM sebelum ini - tentang isu kaum di Kolej 12, 14, 15 dan 16 (huh, punya banyak kolej kongsi satu cafe!), maka cubaan isu kaum adalah potensi. Dikatakan silap memainkan isu ini ialah khabarnya GMM meneruskan boikot terhadap PRK kali ini.

2) Ini lebih aku yakini, ini percubaan untuk 'test market' sama ada isu perkauman masih boleh subur dalam iklim politik negara memandangkan dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kelompok di kampus sekarang adalah sebilangan pengundi.

Umum, yang terbiasa dengan budaya politik popular di Malaysia akan hanya melihat isu kaum dan agama sebagai syarat khusus untuk menang. Kata mereka sebab itu UMNO dan PAS boleh terus hidup (UMNO dan PAS hanyalah contoh kerana perbualan kami berkisar tentang isu Melayu).

Aku percaya tembok ini perlu dirobohkan. Telah tiba masanya kita melangkau sempadan agama dan kaum dalam memberi erti hidup bernegara. Bila Zaid Ibrahim mengatakan isu Lina Joy bukan isu yang mengancam umat Islam, aku bersetuju dalam konteks tersendiri. Secara idealnya, ya, kita bimbang..tetapi jika kita sebagai penggerak sistem, kita akan temui kerumitannya. Sebab itu dalam banyak isu, aku akui umat Islam tersepit. Tersepit kerana kita berada dalam sistem yang separuh dualisme. Antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil, ya, sudah tentu umat Islam mahukan bicara di mahkamah syariah, tetapi sebagai contoh, isu Moorthy, hak isterinya untuk memohon bicara dalam mahkamah sivil perlu dipenuhi.

Aku dulu pernah mengadu, dalam sibuk kita bicara soal Negara Islam, Islam Hadhari dan Masyarakat Madani, kita langsung tidak bersungguh mahu menyebarkan apa hak mereka yang bukan Islam dalam sebuah negara yang ditadbir berdasarkan sistem Islam. Ya, bunyinya macam aku melebih-lebih membantu bukan Islam. Tapi jika ini tidak dilihat sebagai satu agenda ketiga-tiga gagasan tadi, aku fikir lebih baik kita lupakan saja gagasan-gagasan tersebut kerana ia jelas kontang makna! Ia nyata gagal memenuhi aspek syumul yang sering didakwa!

Kita bisa bertanya untuk apa? Sedang isu sesama muslim belum selesai! Huh, itu bukan syarat berdalih..dan ia hanya lebih jelas menunjukkan ketidakadilan! Metod Socrates dalam berfikir mungkin dapat kita telah - kerana ia adil maka ia Islam, atau kerana ia Islam, maka ia adil?

Kita harus menimbang pandangan Syeikh Amir Syakib Arsalan bila beliau mendakwa bahawa Barat 'lebih Islam' dalam amalan mereka..

Wednesday, September 13, 2006

Kenangan

"Kenangan umpama anjing, yang menyalak menggangu tidurku" kata Din kepadaku..

Ya, kenangan boleh jadi anjing..boleh juga jadi yang lain!

Sejak awal semester ini (insyaAllah semester akhir bagiku untuk Ijazah), aku fikir terlalu banyak kenanganku berputar sekitar kampus kesayangan. Bagaimana rasanya dari hanya emosi dan rasa cinta bergelora, aku jadi aktivis (jika layak dipanggil begitu).

Menarik juga, hingga ada yang tak percaya, malah ada yang mempertikaikannya. Dulu dalam satu tamrin badan Islam yang agak dihormati - ada yang mempertikaikan kenapa aktivis dakwah tabligh sepertiku sering duduk dalam majlis anjuran UBU (yang tidak Islamik, malah Sosialis!). Yang menarik pertikaian ini berlaku ketika mereka makan berjemaah, umpat ini kebetulan sampai ke telingaku ketika aku baru hendak duduk di belakangnya makan. Lantas mereka diam. (Aktivis Islam juga mengumpat, ya? Begitu detik hati).

Maka, aku sampai kepada kesimpulan - Sistem tidak bergerak sendiri, manusia yang menggerakkan sistem. Benarlah ingatan Allah s.w.t. bahawa jadinya segala kebinasaan di muka bumi ini adalah dari tangan manusia. Malah telah dikhuatirkan malaikat tentangnya lalu Allah s.w.t. menjawab - Aku lebih tahu.

Apa mimpi Saidina Hussein akan pesan Rasul s.a.w. untuk berjumpa Allah s.w.t. dalam keadaan terbunuh akan juga jadi mimpi kita? Maksudku, adakah rakyat terbanyak yang kita sering sebut berdosa ini akan juga mudah mendapat pesan yang sama dari Rasul s.a.w.? Jika semudah itu, aku tak fikir umat Islam punya masalah banyak dalam hidup berbaki ini..

Dalam ranjau berdepan dengan tekanan, menjadi aktivis(?) bukan satu kerja mudah. Di mana-mana launganku kembali kepada Islam. Islam (Hadhari? Madani? Fundamental? Liberal? Wahabi? Sunni? Syiah?), label apa lagi kita mahu palitkan? Untuk aku ia hanya label kepada jenis fikiran umat, bukan ajaran..

Dalam tempoh itu aku tercabar bila Lee Ban Chen, dalam satu bual tidak sengaja kami di meja makan, beliau rancak menghujahkan pandangannya sambil diselit pandangan Islam. Begitu juga dalam banyak bual bersama teman aktivis lain..mereka tidak sunyi daripada pengetahuan tentang Islam, dan kadangkala bertanya.

Kita, bagi aku cukup angkuh..hanya kerana kita dilahirkan dan diIslamkan dengan proses itu. Syukur juga..tapi aku rasa syukur aku tidak memadai, kerana tidak aku sertakan dengan faham dan amal yang cukup.

Kita memisahkan hakikat dengan rasional..bagaimana ya untuk dakwahkan ini kepada yang bukan Islam? Islam hanya satu jalan yang rigid? Aku rasa faham aku tidak begitu..masih Islamkah aku di mata mereka bila ada salam seorang Islam lain dijawab seperti jawab salam kepada bukan Islam? Oh Islamnya sahabat Islamku..

Moga aku juga mampu menjawab seperti seorang sahabat bahawa "Bukan aku masuk Islam, tetapi Islam yang masuk dalam diriku..". Indahnya..kenangan..

Dari Blog Jiwa Rasa

"Baca dan ulas" ringkas jawapan sms Khalid Jaafar pada aku.

Dua minggu lepas aku ke MPH - jalan-jalan tengok buku. Memandangkan aku dah tak ada PTPTN, aku hanya tengok-tengok saja mengubat rindu nak beli buku baru (sebab aku tambah sem, saja ambil kursus tambahan = 2 minor, pinjaman hanya untuk tempoh tertentu, tak buat lanjutan).

Aku jumpa satu buku dalam Bahasa Inggeris yang pernah aku tengok dalam Bahasa Indonesianya. Waktu itu Khalid Jaafar suruh aku baca - tapi aku tak ambil baca sebab ada beberapa buku lain aku tengah baca. Tentang Kemunduran Umat Islam - Sebab dan Penyelesaiannya.

Aku jumpa ini di blog jiwa rasa. Mungkin ini resensi ringkas. Tapi bagi aku cukup sebagai promosi. Moga ini cukup sebagai asas jawapan kepada sms Khalid Jaafar kepada aku bila aku sampaikan melalui sms juga padanya tentang kewujudan buku ini.

Our Decline Its Causes and Remedies
Amir Shakib Arslan
Foreword by Rashid Rida
Islamic Book Trust
Kuala Lumpur
2004

Buku ini adalah buku lama. Sudah ditulis di tahun 1930-an. Ianya diterbitkan semula oleh Islamic Book Trust pada tahun 2004. Tulisan asalnya dalam Bahasa Arab.

Amir Shakib Arslan (1869-1946) adalah rakan baik tokoh reformis Mesir, Rashid Rida. Beliau adalah seorang ahli politik, ahli sejarah juga penulis berbangsa Druze yang berasal dari Lubnan. Beliau adalah penyokong kuat idea-idea Muhammad Abduh dan Jamaludin Afghani.

Buku ini sebenarnya adalah tulisan beliau sebagai menjawab surat dari Sheikh Muhammad Bisyooni Umran dari Indonesia, yang diterima di tahun 1928. Sheikh Umran ingin tahu apakah penyebab kemunduran umat Islam, khususnya bagi umat Islam di Tanah Jawa dan Tanah Melayu. Sheikh Umran telah menulis surat kepada editor majalah Al Manar, Rashid Rida agar mengajukan soalan ini kepada Shakib Arslan.

Shakib Arslan dianggap tokoh yang paling sesuai menjawab soalan ini berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam memperjuangkan Islam. Shakib kuat mempertahankan kerajaan Khilafah Uthmaniyyah sebagai benteng terakhir umat Islam. Beliau juga mempelopori kemudian menyokong kesatuan Arab dan Islam. Seperti Jamaluddin Afghani, beliau menentang keras penjajahan barat. Arslan menyokong perjuangan Umar Mukhtar melawan Itali di Libya dan antara pelopor awal perjuangan membebaskan Palestin dari penjajahan.

Arslan menangguh menjawab soalan Sheikh Umran ini sehingga beliau pulang dari menziarahi Sepanyol. Tulisan ini ditulis setelah beliau melihat sendiri tinggalan tamadun Islam di Andalusia dan melihat bagaimana Perancis cuba untuk mengubah agama kaum Berber di Maghribi kepada Kristian.

Tulisan Arslan sangat tajam dan menikam umat Islam. Dalam buku ini Shakib Arslan menyalahkan umat Islam yang tidak mahu menyumbang harta benda kepada Islam. Kata beliau, Negara Eropah adalah pengamal sebenar ajaran Islam. Negara dan rakyat Jerman, Itali, Inggeris telah membelanjakan berbilion untuk kelengkapan perang dan kehilangan berjuta nyawa di medan perang. Inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka yang sudah tidak ada pada orang Islam. Umat Islam diseru berkorban harta dan nyawa tetapi, umat Islam sudah jadi kedekut dan tidak mahu berpisah dengan wang mereka. Tidak mahu berkoraban walaupun itu adalah suruhan agama.

Arslan mempersoalkan, berapa peratuskah dari pendapatan seorang Muslim, yang boleh disumbangkan untuk kerja-kerja Islam. Arslan bertanya kenapa 400 juta umat Islam tidak boleh melawan sumbangan yang diberikan oleh hanya 20 juta Yahudi kepada Israel.

Arslan juga menyalahkan kemunduran Islam kepada dua golongan iaitu ultra modern dan konservatif. Mereka ini telah memberikan nama buruk kepada Islam dengan tafsiran sempit mereka terhadap agama. Golongan ultramodern mahu menjaga hati tuan penjajah, dan golongan konservatif pula mahu menjaga status dalam masyarakat.

Yang satu mendakap Barat dan segala budaya buruknya tanpa tapis, yang satu lagi berpegang pada fahaman rigid terhadap Islam yang tidak menerima sebarang perubahan. Sikap kedua golongan ini adalah disebabkan kejahilan mereka terhadap agama Islam dan juga peredaran zaman.

Arslan juga menghentam pembelot kepada agama, mereka yang bersekongkol dengan penjajah Barat dalam menjajah Negara umat Islam. Mereka ini rela berbuat apa sahaja untuk menggembirakan tuan mereka. Mereka menyalahkan Islam sebagai penyebab kemunduran dan berkempen menyatakan bahawa kedatangan penjajah adalah untuk menolong umat Islam.

Tulisan Shakib Arslan ini sangat-sangat relevan dengan keadaan di zaman ini. Walaupun ditulis sudah lebih 70 tahun, dan negara umat Islam sudah bebas dari penjajahan, namun tanpa sedar, umat Islam masih lagi terjajah pemikiran mereka. Inggeris sudah lama kita halau, namun anak didik yang ditinggalkan mereka, lebih Inggeris dari Inggeris. Golongan sebegini akan berbuat apa yang tidak berani penjajah lakukan.

Kalau kita sendiri tidak mahu berubah, kita akan terus dibelenggu kemunduran.

* Tambahan : Sumbangan yang dimaksudkan Syeikh Amir Syakib Arsalan ini, boleh jadi dapat diguna untuk yang bagus-bagus oleh umat Islam yang bagus-bagus. Contohnya kempen kumpul RM1 untuk karya filem Islam bermutu yang mungkin sedang disiapkan oleh sdr. Faisal Tehrani..atau mungkin dalam bentuk lain? Pokoknya buat, ye tak?

Saturday, September 09, 2006

Kecilnya Dunia..

"Kita jumpa di Darul Ehsan"

"Hah? Kat mana tu"

"Restoran bawah ni jer, bukan Kelab Darul Ehsan!"

Babak perbualan aku dan Amir satu waktu dulu..


Aku belum tidur. Tidak dapat tidur sebenarnya. Usai Subuh, aku terkenang jalan yang bawa aku ke sini. Muncul satu nama - Munirah Hayati. Lantas aku mencari di ruangan Yahoo! Search..

..Bangsar memang tempat baru bagi aku waktu itu, 2000. Aku siswa baru, yang masuk ke Universiti dalam bidang yang tak pernah aku impi (sebelumnya). Tapi aku gagahi, kerana satu maksud lain yang beriring. Kerana ia di kota Kuala Lumpur, aku tahu di situ aku akan banyak belajar lebih dari sekadar teks. Kata aku pada emak dan ayah waktu bulat tekad menerima masuk dalam jurusan Perhutanan "Amin hendak jadi aktivis pelajar, cuma satu yang Amin harap..tak ada sesiapa datang jumpa Amin menangis jika Amin ditangkap".

Waktu itu ribut Reformasi 1998 belum reda. Belum terperuk lagi mereka yang 6 di dalam ISA. Ibu mana, bapa mana yang tak gundah gulana mendengar tekad anaknya begitu. Aku sambut lagi "InsyaAllah Amin tak sebodoh itu. Dalam usaha yang ada, Amin cakap begini kerana mungkin berdepan dengan mereka yang tidak waras!", Titik.

Jujur sepanjang 2000 hingga 2003, aku tak jemu dengan sikap tebal bahawa reformasi perlu. Ada nilai sentimental tentang reformasi dan diri aku. Dari seorang kutu kepada pencinta buku. Dari seorang yang pelajarannya mengundang tangis ibu bapa kerana kecewa kepada tangis yang sebaliknya. Reformasi diri aku, mungkin hanya mereka yang rapat dengan aku saja yang bisa bercerita.

Bangsar bukan tempat biasa untuk aku. Tapi memang zaman hangat kesan ledak Reformasi 1998 membawa aku ke sana. Di situ aku kenal seorang kakak, yang entah dari mana punya akses pada email dan nombor telefonku.

Kak Nirah, dia lulusan luar negara. Katanya dia aktivis Hizbi semasa belajar di UK. Berminat untuk kenal aku kerana sikap aku dalam mempertahankan hujah dalam Debat Negara Hasrat di UBU waktu itu. Entah dari mana datang keberanian..waktu itu aku tidak kenal, tidak mahu kenal sebenarnya figura-figura yang ada dalam sepak terajang politik. Setelah lama, baru aku tahu bahawa yang aku tentang habis-habisan tadi namanya Latheefa Koya, peguam lantang dan berani yang juga aktivis PRM pada waktu itu. Haha, aku tertawa sendiri..dan aku tahu..hujah aku hujah tipikal aktivis Islam yang mungkin pada hari ini aku akan pandang sebagai pengalaman cetek anak muda.

Dari Bangsar Utama aku terheret ke Jalan Telawi..dan di situ aku kenal Khalid Jaafar. Masih aku ingat perkenalan pertama. Aku fikir entah betul ke dia ni tiba-tiba ajak aku buka syarikat. Dia ajak aku minum di restoran bawah (rupanya itulah Darul Ehsan!). Di situ kehendak reformasi aku tercabar. Dia, seorang yang aku tahu dulunya Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim seolah-olah mencabar pandangan aku tentang reformasi. Hingga akhirnya aku sedar, bahawa reformasi tidak cukup sekadar mengancung tangan ke udara dan berteriak (meski itu sebahagiannya).

Waktu itu borak di Bangsar cukup sukar untuk aku temui borak kosong. Jika ada ia hanya selingan yang tidak diambil serius. Dari satu babak ke satu babak, masa berganti..saat tadi, aku temui blog Kak Nirah..sengaja belek-belek apa yang ada. Aku kira sudah lama, sangat lama kami tak berhubung..ada sebab lain yang memisahkan, mungkin..

Dan akhirnya aku temui dalam ruangan komen lewat petikan tulisan Hasmi di JalanTelawi.Com - Puisi kepada seorang ibu, bunyinya begini..

But the Jalan Telawi guys seems alike JIL.

Comment by imran — April 22, 2006 @ 8:03 pm

yes, that’s what they appear like. i’m fundamentalist, bukanliberal.org
but i have a weakness, i melt at beautifully crafted words

Comment by munirah — April 24, 2006 @ 8:50 am


Banyak mata rantai kisah yang bermain di kepalaku. Terlihat laman bukanliberal.org, aku terbayang Menj, kami pernah sekali bertemu dan berbual bersama Nik Nazmi dan Shin di Jelan Telawi..projek Bancuh Kopi..kemudiannya dari situ, aku tahu Menj cukup aktif menyerang Rosina Kamis yang membuat pengakuan terbuka bahawa dia telah murtad. Dalam perang Menj dengan Rosina, aku tidak fikir ia menguntungkan Islam secara 'big picture' (jika kita bercakap tentang perjalanan hidup yang berbaki ini), jika Menj mahu mendakwa tindakannya hanya untuk redha Allah, hanya di akhirat ia akan terjawab sama ada itu tindakan yang wajar. Kebetulan Rosina Kamis aku kenal secara tidak langsung!

Oh kecilnya dunia..

Thursday, September 07, 2006

Tumit Aru, Chee dan Ali

"Jika kamu tak temui sesuatu yang kamu sanggup berkorban apa sahaja untuknya maka kamu tidak layak untuk hidup" Martin Luther King

Sengaja aku pilih tajuk Tumit Aru, Chee dan Ali (ambil dari epik Tumit Achilles yang popular itu). Kisahnya tentang tiga kaum utama di Malaysia yang aku wakilkan dari tiga nama itu.

Soalnya?

Tiba Pilihan Raya nanti, bila terus-terusan isu bangsa, negara dan agama dilaungkan oleh regim rasis yang mahu menggunakannya sebagai pelindung ampuh segala kebobrokan yang ada..apa sikap mereka?

Adakah ia akan jadi Tumit Achilles?