Friday, October 20, 2006

Deeparaya

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin bagi selurut umat Islam dan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua yang beragama Hindu.

Semoga perayaan kali ini akan memberikan kita keinsafan dan kesedaran untuk kembali kepada fitrah dan memberikan kita kekuatan untuk membawa obor kebenaran dalam hidup.

Thursday, October 19, 2006

Raya

'Shahrir pesimistik pertemuan Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri' lebih kurang kenyataan YB Shahrir Samad yang dipetik di UMNO-Reform

Raya makin dekat. Dalam tempoh menjelang raya banyak yang selalu dibincangkan. Persiapan keluarga sudah tentu berlaku - tidak banyak, sikit tetap ada ataupun sekurang-kurangnya kemahuan untuk itu.

Dalam sibuk-sibuk nak raya, tiba-tiba muncul kenyataan Tun Dr Mahathir akan bertemu empat mata tanpa saksi dengan Perdana Menteri meskipun syarat asal Tun ialah dengan seorang saksi yang diyakini. Sudah tentu pertemuan ini sesuatu yang dinantikan ramai kerana mereka mengharapkan penyelesaian dan boleh dikatakan ia sebahagian daripada pelampung penyelamat UMNO Baru.

Namun YB Shahrir Samad pesimis, berdasarkan kenyataan beliau yang kenal dengan watak Tun Dr Mahathir. Namun, beliau tidak menafikan bahawa pertemuan ini boleh jadi sesuatu yang baik.

Tapi aku terkilan kerana ramai menganggap pertemuan ini akan menyelamat Melayu dan UMNO. Bukan kerana aku anti UMNO Baru atau tidak kasih bangsa, tapi terkilan aku kerana agendanya cukup cetek. Ia tidak langsung berani menyatakan kepentingan ketelusan, hak rakyat mendapat maklumat dan sebagainya dalam agenda menyelamat yang dimaksudkan. Cukup jelas dan nyata ia hanya satu jalan yang difikirkan untuk memastikan UMNO Baru tidak kalah.

UMNO Baru, bagi aku, mesti merubah indikator dalam penilaian kerajaan..bahawa negara ini akan tinggi martabatnya bila integriti diberikan keadilan (diletakkan pada tempatnya). Aku tidak pasti sejauh mana faham ini dapat diterjemahkan dengan baik oleh kerajaan kerana ada conflict of interest yang cukup nyata dalam operasi kerajaan dan tuntutan parti berasaskan kaum dalam BN.

Tentang raya juga..syabas kepada PM dengan keputusan membebaskan tahanan ISA meski bersyarat. Syarat tidak boleh berucap di pentas selama 11 bulan yang dikenakan kepada Nik Adli Nik Aziz mungkin satu indikator bahawa Pilihan Raya akan dijalankan dalam tempoh tersebut.

Menyentuh Pilihan Raya, juga berkaitan dengan hari raya..kerajaan baru menaikkan tarif air dan ini ternyata bertentangan dengan aspirasi rakyat. Dulu, masa aku mula melangkah ke universiti sekitar 2000, pernah aku suarakan dalam dialog bersama menteri tentang murahnya air yang kita jual kepada Singapura sehingga RM 1 bezanya dengan kadar yang dibayar oleh rakyat Kedah! Ia umpama menyusukan kera di hutan sedang anak di rumah mati kelaparan.

Kenaikan tarif air ini akan pasti menyusahkan rakyat! Dan aku bersetuju dengan memorandum MTUC yang boleh dibaca di UMNO Reform. Sehingga kini meski jualan minyak setong di pasaran dunia telah berkurangan dengan banyaknya, rakyat masih terus terpaksa membayar harga yang sama semasa kenaikannya.

Apa ertinya semua ini?

Kita ada raya dan kita ada Pilihan Raya..kita jangan cepat berpuas hati dalam syukur. Ramadhan berlalu untuk ditangisi, Pilihan Raya berlalu..kita sering menangis kemudiannya..

Tuesday, October 17, 2006

Bebas

"Sahlah kau dah jadi produk sistem yang tidak bebas ini" lebih kurang kata Fathi kepada aku.

Bebas.

Bebas sudah tentu kata yang menguja. Bebas cukup dekat dengan orang muda kerana sering yang muda itu rasa terkongkong dan menunjukkan protes dengan banyak cara.

Bebas boleh mengundang interpretasi yang banyak. Yang pasti bebas selalu mengundang wacana besar. Dari kebebasan pasaran hingga kepada kebebasan individu.

Ada satu ayat semasa sahur inklusif tempoh hari yang aku selalu ingat.."Burung tidak akan lupa di mana sarangnya meski terbang bebas di jagat raya.."

Bebas, bebaskanlah..bebas, bebaskanlah..

ASLI

"Ekuiti bumiputera telah mencapai 45%" lebih kurang kenyataan ASLI. "Tidak!" jawab balas kerajaan dan beberapa tokoh UMNO

Asli dalam bahasa kita bukan bermaksud tiruan. Asli adalah kata lain bagi tulen. Tapi kenyataan ASLI sejak beberapa hari lalu telah bikin ribut. Kenyataan bahawa ekuiti bumiputera telah mencapai 45% telah menyebabkan banyak suara muncul dari kalangan pelbagai tokoh baik kerajaan atau pembangkang.

Ada isu lain yang aku cuba lihat selain daripada ribut bagaimana kerajaan menentukan jumlah 18.9% dalam kenyataannya. Ya, sudah tentu tuntutan hitam-putih untuk fakta ini mesti dibentangkan. Sudah lebih 20 tahun DEB dilaksanakan dan pada awal 90-an telah diforumkan 'kenapa DEB gagal' mencapai ekuiti seperti yang dirancang dalam tempoh masa tersebut dan kini telah hampir masuk 20 tahun selanjutnya selepas forum tersebut diadakan, DEB masih lagi disebut dan perangkaannya seolah-olah tidak ada perubahan meski dalam banyak kenyataan kita sering dimomokkan dengan kata 'negara kita maju, berdaya saing dan makmur'.

Ada yang tidak kena di sini. Sudah tentu aku melihat terma 'maju, berdaya saing dan makmur' itu sangat tidak mencerminkan nilai angka ekuiti bumiputera yang sangat mencurigakan. Dan bukan sekadar bagaimana matematik yang menunjukkan angka itu yang patut ditanya, tetapi siapa pemegang jumlah ekuiti itu juga patut ditunjuk. Daripada hampir 60% orang Melayu Bumiputera, aku yakin sebahagian besar ekuiti itu hanya dipegang oleh tidak sampai 10% Melayu Bumiputera pun! Dan mereka ini sebahagian besarnya berpagi petang menyebut tentang 'SELAMATKAN MELAYU!' malah mereka juga yang bagi aku 'meracuni' fikiran anak muda dengan 'Agenda Melayu' yang sempit hingga anak muda pada hari ini hanya mengenal perjuangan melayu yang disandarkan pada Islam bila tersepit dan penuh dengan kacau bilau pemikiran dan praktis yang tidak adil malah menjauhi Islam serta budaya melayu itu sendiri!

Pelik memang pelik. Aku hanya melihat isu sejak dua menjak ini seakan menepati ramalan aku bila keputusan Pilihan Raya 2004 diumumkan. Ia masih sekitar soal politik perkauman yang sangat sempit dan berbahaya. Jika pada Pilihan Raya 1999, majoriti undi Melayu pindah kepada Barisan Malaysia Baru atau Barisan Alternatif, Pilihan Raya 2004 undi Melayu tidak lagi majoriti kepada mereka, seolah-olah wujud perancangan untuk membiarkan Lim Kit Siang menerajui Parlimen di pihak oposisi dan agenda Pembangkang di Dewan adalah Cina dapat terus dihidupkan.

Isu kaum makin marak sejak akhir-akhir ini. Aku percaya selain itu juga isu lain yang tipikal seperti nasionalisme juga sering ditiup. Hanya dua itu isu yang menjadi kubu akhir aparat politik yang kununnya mahu menyelamatkan Melayu.

Maka kajian ASLI ini mesti dilihat secara kritis. Dalam masa kita setuju bahawa banyak tuntutan-tuntutan yang datang kemudian sebagai perlu, kita perlu peka bahawa yang berani menyatakannya adalah seorang intelek Cina, yang mana isu ini akan cuba diputar semahunya. Ia sudah tidak akan dirujuk kepada akal, tetapi emosi dan nafsu.

Jauh daripada itu, untuk aku, ekuiti bumiputera atau tidak jatuh isu sampingan kerana big picture atau gambaran sebenarnya ialah soal agihan kekayaan negara, soal ketelusan pemerintahan, soal demokrasi liberal dan soal penghayatan Islam.

Sebenarnya UMNO Baru tidak perlu bimbang pun kerana faktor pembangkang bukanlah begitu kuat sebelum ini, tetapi aku lebih percaya bahawa UMNO terlungkup kerana anai-anai yang cukup banyak dalam rumahnya!

Jangan biarkan yang asli jadi tiruan!

Sunday, October 15, 2006

Sahur Inklusif

"Abang pergi disko ke?" soalan cepu emas mekanik kereta kepada aku..

Semalam rancang untuk ikut serta dalam sahur inklusif. Tapi terencat di pertengahan jalan kerana kereta aku bermasalah. Tapi sempat la antara jam 11.15 malam hingga 1 pagi aku duduk bersama KOOL sebelum mekanik datang.

Ada beberapa hal yang buat aku gembira bila hadir iaitu tanpa tekanan, aku dapat melihat kawan-kawan yang bersunguh dalam jenaka dan jenaka dalam bersungguh untuk membangun hasrat negara Malaysia yang benar-benar merdeka dan baru. Bermula di Davis Corner, kami bergerak ke Pelita Nasi Kandar..umat manusia cukup ramai dan tentunya Bangsar kawasan yang penuh dengan gadis-gadis manis serta kereta-kereta elit.

Antara hal yang sempat aku kutip ialah isu penterjemahan tidak dijalankan dengan serius di Malaysia sebab orang hanya tunggu ada projek baru nak terjemah. Dan Mus sini bila menyatakan bahawa "jangan cakap orang lain, kawan-kawan yang rapat dengan kita pun belum cukup serius". Dan aku rasa terpukul..tapi perlahan aku akui cita-cita menterjemah ini memang ada, dan aku pasti satu hari nanti aku akan berupaya menterjemah buku-buku penting. Aku akui faktor Bahasa Inggeris yang tidak cukup mantap, hanya sekadar cukup makan (walaupun SPM aku dapat 3) menyebabkan kerja menterjemah jadi sangat perlahan hingga jadi bosan.

Lain-lain lebih banyak borak santai tentang kerja, bola sepak, bahasa, buku dan masalah kereta aku!! Arghh..begitu mengganggu!

Aku gembira ke Bangsar, bukan kerana gadis-gadis genit yang ada dan tipikal pandangan orang kepada pengunjung Bangsar (seperti kata mekanik yang aku kutip di atas)..tetapi kerana Bangsar menjadikan aku rendah dan sedar diri (humble) bahawa ruang untuk kemajuan itu cukup luas dan banyak.

Pilihannya di tangan aku!

Tuesday, October 10, 2006

Hilang

"Anwar Ibrahim tu siapa" soalan yang mengejutkan aku..

Entah aku yang berada di dunia lain atau dia.

Pagi ini aku berborak di Yahoo! Messenger. Tiba-tiba ada seorang yang tidak aku kenali datang menyapa. Sampai satu peringkat ditanya pada aku pernah datang Damansara? Jawab aku pernah, hanya atas 2 sebab.

1. Ke PTPTN
2. Ke rumah Anwar Ibrahim

Lalu terpacul soalan "Anwar Ibrahim tu siapa?"

Hah! Ini masalah serius. Budak ni dari gua mana aku tak pasti. Tapi selepas borak-borak baru aku tahu dia ni fanatik Tun Dr. Mahathir. Maka, aku faham kenapa soalan tadi muncul.

Selepas seketika berborak. Nasihat aku kepada diri sendiri dan dia - Kita generasi muda jangan fanatik kerana fikiran terbuka penting untuk masa depan. Setiap manusia ada sisi baik dan kurang baik untuk kita teladani dan baiki.

Semoga kita akan jadi generasi muda yang berguna untuk agama dan masyarakat.

Thursday, October 05, 2006

Adu

"Tentang, marilah tentang, marilah tentang..bersama-sama" sebahagian lirik protes Butterfingers dalam lagu Tentang-tentang (melodi Geylang si paku geylang)

Bila ada cawangan UMNO di Kubang Pasu buat aduan soal kepincangan pemilihan bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO, maka ada komen dari orang besar di sana. Bunyinya lebih kurang begini "Mereka sepatutnya rujuk/bagitau/maklumkan kepada UMNO bahagian/negeri dulu" (maaflah, aku malas nak copy paste). Namun akhirnya mereka pasrah bahawa segalanya atas keputusan MT. Di sini MT UMNO, yang dipengerusikan Presidennya yang juga PM kita yang penuh gagasan-gagasan Islamik, akan teruji - kata dikota atau retorika belaka.

Bila berlaku hal ni aku ingat banyak hal di kampus. Dulu banyak kali, bila mana cara diplomasi dipakai, aku cuba runding, dengan fakta dan sebagainya dalam banyak isu kolej dan universiti, tapi gagal..aku pun langkah birokrasi. Kerana hal ni, ramai yang panas punggung terutama Pengetua atau mudahnya mereka yang berjawatan. Mulalah yang guna kuasa untuk burukkan aku dalam banyak pertemuan dengan student, kenyataan rasmi yang diedar di semua kolej. Dan ia tidak terhenti di situ..kini ditambah dengan BTN dan sebagainya.

Aku sebenarnya tidaklah ambil hati sangat. Aku yakin aku buat semua ni dengan jujur. Cuma aku bimbang, pembohongan dan ketakutan yang diterjemahkan dengan kezaliman kepada mahasiswa jadi budaya..dan ia dipropagandakan sampai kepada aparat negara!

Dalam kes ni, aku memang layan birokrasi..tapi kalau birokrasi tu jadi alat untuk menutup salah laku, maka birokrasi bukan jawab kepada masalah. Dan memang dalam banyak hal, aspek-aspek teknikal digunapakai untuk menghalalkan kepincangan, misalnya AUKU.

Sebab tu, dalam banyak pertemuan dengan mahasiswa aku minta mereka berfikir kerana dalam hidup ini memang perlu undang-undang, tetapi roh undang-undang ini apa? Yang selalu disebut hanya teknikal..malah ada satu ketika aku terpaksa tempelak seorang Pengetua yang mengatakan MPP tidak perlu campur hal kolej. Kataku, antara 4 perkara dalam AUKU berkaitan tugas MPP adalah untuk 'representasi masalah/isu/perkara berkaitan kediaman pelajar'..lebih kurang macam tu (malas lagi nak rujuk betul-betul).

Ini yang disebut "Procedurally right, morally wrong!"..kita mahukan kedua-duanya betul. Dan selalu aku sebut, prosedur ini hanya buatan manusia..kita boleh mudahkan jika kita betul punya azam yang kuat untuk membaiki/merubah/membawa agenda yang lebih baik. Sayangnya banyak tenaga disalurkan untuk meneruskan kebebalan dalam sistem. Akhirnya kerjaya sebagai ahli akademik jadi "Low morale profession"..

Berjuta wang negara habis untuk taja pelajar, pensyarah..rupanya hanya balik untuk 'toe the line and shut up!". Terima kasih (kerajaan) Malaysia..maafkan aku kerana aku tidak pernah bertemu di dalam kitab suci Al-Quran bahawa adanya insan yang lebih mulia di sisi Allah SELAIN taqwa..

Sunday, October 01, 2006

Penangguhan Pemilihan UMNO

"Justice delayed is justice denied" antara slogan popular yang sering diulang dalam pandangan kritis terhadap penghakiman.

Pengumuman telah dibuat. Sekali lagi penangguhan pemilihan UMNO diumumkan. Ini bukan kali pertama, malah dinyatakan juga bahawa ia memberi kelebihan kepada UMNO.

Pemilihan UMNO adalah antara 'acara tahunan' yang sering jadi perhatian. Banyak sebab kita boleh senaraikan. Pandangan aku, pemilihan UMNO jadi penting kerana telah sekian lama UMNO memerintah Malaysia melalui pakatan BN. UMNO sebagai parti induk mewakili Melayu, di mana Presidennya secara automatik akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Apa yang terjadi kepada UMNO sedikit sebanyak, suka atau tidak boleh menentukan corak perjalanan politik negara.

Itu senario sebelum ini.

Penangguhan pemilihan UMNO, lazimnya integral dengan krisis UMNO. Pemilihan 3 tahun sekali itu nyata perlu dipertimbangkan sama ada perlu dijalankan atau tidak kerana ia tidak lama sebelum Pilihan Raya seterusnya. Malah ini diakui dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

Umum maklum UMNO sedang bergolak. Bermula dengan kritikan Tun Dr. M, satu demi satu kelemahan pentadbiran BN di bawah pimpinan PM sekarang mula diperkatakan bagi menjustifikasikan keperluan PM berundur. Dan ini membuka spekulasi politik yang sangat luas. Jika sebelum berlaku kritikan-kritikan tajam TDM, rakyat telah mula rasa tidak selesa dengan beberapa perkembangan contohnya kenaikan harga minyak, kini ketidakselesaan itu semakin bertambah dan menjurus kepada satu keputusan - Perdana Menteri mesti diturunkan!

Dalam suasana setempat di mana Thaksin digulingkan melalui kudeta, maka agenda menurunkan PM nampak semakin disuntik.

Sebenarnya berita Pilihan Raya lebih awal dan penangguhan pemilihan UMNO bukanlah baru. Ia mula rancak dikatakan sejak mahkamah membuat keputusan bahawa Anwar Ibrahim tidak boleh aktif politik hingga 2008. Maka, ia bukanlah satu kejutan sangat.

Apa yang membuatkannya semakin penting ialah spekulasi politik yang kian tajam, terbuka dan sangat menuntut jawapan atau penyelesaian segera. Justeru, tidak hairanlah banyak spekulasi timbul antaranya :-

1) Team Najib Tun Razak@TPM kita sedang meneroka peluang untuk mengambil alih pimpinan sekarang. Regunya sudah tentu Hishamuddin Tun Hussein.

2) Anwar Ibrahim akan memainkan peranan - secara langsung atau tidak dalam proses penggantian kepimpinan yang ada di samping memastikan kelompok TDM tidak kembali menguasai kepimpinan negara. Ramalan bahawa PM sekarang berkuasa sementara sebelum Anwar kembali menjadi PM telah diramal oleh seorang teman ketika kami berborak panjang pada hujung tahun 2000.

3) Isu Melayu-Islam akan jadi propaganda paling ampuh malah mungkin sampai menjadi sebab dikuatkuasakan perintah darurat jika UMNO tidak dapat bertahan dengannya.

dan banyak lagi tentunya.

3 perkara di atas aku senaraikan sebagai sebab-sebab yang begitu mendesak bermain di kepala aku. Jelas di sini ada beberapa fraksi.

1) PM yang tentunya antara percaya dan curiga dengan sebahagian kabinetnya yang diwarisi dari zaman TDM.
2) TDM yang sudah tentu masih punya sokongan dari dalam, tetapi adakah perlu membawanya kembali sebagai PM? atau fraksinya di dalam sedia menggantinya?
3) TPM, sama ada dia gopoh atau tidak. Dia boleh jadi fraksi TDM, atau mengambil jalan sendiri membentuk regu baru. Atau terus menerus memilih bersama PM yang sudah tentu disedarinya bahawa agak berisiko sementara ini.
4) DSAI, dia sudah tentu tidak bersama TDM (hampir mustahil). Bersama PM juga bukan satu idea yang bagus untuknya, meski ia adalah satu sikap terbuka untuk menyatakan dia tidak menyetujui TDM. Jalan terbaik baginya sebenarnya ialah terus memperkuatkan barisan alternatif@BA dan
ke-5) Barisan Alternatif sendiri. Adakah DAP mahu jadi pembangkang seumur hidup? Adakah mampu mereka bekerjasama dengan PAS yang keliru lagi mengelirukan? PAS - adakah mereka mampu kembali dalam pakatan besar BA bersama DAP dan keADILan mewujudkan sistem 2 parti?

Pokoknya anak muda akan jadi alat penting. Sama ada anak muda jadi penyokong membawa rebah atau jadi teras keupayaan.

Waktu ini rakyat berkuasa. Waktu ini kita sepatutnya menjadikan semua 'samseng' dalam politik sedar tentang amanah..atau kita pilih untuk jadi hamba makhluk?