Saturday, February 18, 2006

Awal Kisah

"Thing without past is the thing without future" - Aristotle

Memandangkan ini adalah antara tulisan awal aku (dalam blog ini), elok juga aku nyatakan beberapa hal tentang diri aku dan kegiatan menulis. Kadang-kadang lucu kerana penulis mentah seperti aku ni dapat mehnah yang tak terduga dek akal. Apatah lagi kawan-kawan yang jauh lebih kritikal.

Memang aku gembira dengan keputusan untuk memiliki blog sendiri. Aku bangga kerana aku berani mencuba. Memang aku akui kelewatan aku mengusahakan blog sendiri. Soalnya tidak penting di mana bermula, cuma aku harap biar akhirnya jelas. Selain FAO yang menguja aku untuk menulis (dan teman-teman KSjT), aku perlu beri kredit kepada kawan keluaran Koleq Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nazmi pernah 'hangat di pasaran' kerana terbitan maya - SuaraAnum. Dan di situ aku rasa sangat dihargai bila tulisan picisan aku diterbit jadi isu utama edisi Julai tentang "Mahasiswa dan Perjuangan Bahasa". Aku percaya bahawa kebanyakan penulis memang sangat menghargai penerbit pertama penulisan mereka. Sebelum itu lagi Nazmi telah menyiarkan komentar aku pada satu tulisan Rahmat Haron. Aku memang tidak mahir menulis (semoga aku akan terus belajar). Apa yang aku tulis datang dari fikiran dan rasa hati yang kadangkala sangat mendalam. Dan aku percaya bahawa revolusi gelombang ketiga ini hadir untuk mengajar dan menguji kita tentang makna kebebasan dan jati diri. Semoga kita akan cepat menyesuaikan diri.

Selepas Nazmi, seingat aku kawan-kawan di Bangsar yang menamakan diri sebagai Komunite Seni Jalan Telawi (KSjT) adalah kelompok yang lebih ke depan memupuk aku untuk menulis. Projek awal dulu adalah majalah Siasah. Bagi aku majalah Siasah sangat berjaya walaupun hanya mampu bertahan setahun. Berjaya dalam konteks kandungan dan cara penyampaiannya. Sebab kawan-kawan bukanlah orang yang mahu menghitung jutaan wang melainkan cukup sekadar berbaloi dengan kerja yang diusahakan. Terima kasih kepada Institut Kajian Dasar (IKD) dan Yayasan Konrad Adenauer (KAF) yang memberi peluang kepada kami untuk bereksperimen. Aku, meskipun punya tiga artikel pendek (yang di'reject' kerana pendeknya), sekurang-kurangnya merasa punya keberanian menulis.

Uniknya kawan-kawan di KSjT bagi aku kerana latar belakang yang berbeza tapi lekas dapat menentukan common ground. Ada aktivis seni budaya - penulis, pelukis, pemuzik, penyajak dan lain-lain, ada ustaz bertaraf hafiz, ustaz keluaran pondok, ustaz keluaran luar negara, ada bekas aktivis pelajar dari IPT tempatan dan luar negara, ada peguam, peniaga, pekerja di sektor awam dan swasta malah ada yang masih namanya mahasiswa.

Common ground yang aku maksudkan asasnya adalah kebebasan bersuara dalam erti kata menyatakan pendapat. Ringkasnya ruang demokrasi itu mesti dihormati kerana ia adalah ruang yang membolehkan penglibatan semua kelompok dalam masyarakat untuk bicara apa sahaja. Terma apa sahaja ini mungkin dipersoalkan, tapi bagi KSjT, tidak ada self censorship dalam konteks pencarian dan penggalian ilmu.

Pengalaman aku dalam hal penerbitan tidak banyak. Di fakulti pengajian aku - Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia, aku pernah menjadi Ketua Pengarang bagi Buletin dwi mingguan - Rentis Rimba selain menjadi Editor Buletin RECCERS (buletin bagi mahasiswa yang membuat pengkhususan dalam bidang Rekreasi Luar).

Lainnya, aku memang minat kepada kelompok seni budaya - kerana jiwa bebas mereka selalu ditunjukkan secara nyata. Dan keseronokan membaca tidak membataskan aku kepada bacaan berat atau ringan. Pokoknya aku menghargai imaginasi penulis. Malah abang aku pernah bekerja dengan Ahadiat Akashah (pelukis majalah Boom - Eye) dan Ujang (pelukis majalah Ujang - Gandum). Masakan aku boleh memusuhi mereka yang terlibat dalam bidang kreatif?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home