Pertembungan Nilai *
Kebelakangan ini isu paling hangat sudah tentu isu karikartur yang dikatakan menghina Rasulullah s.a.w.. Dan pada hari ini, pada saat ini, seperti yang aku tahu sebelumnya, satu demonstrasi membantah perbuatan ini dianjurkan di Kedutaan Denmark. Syabas buat penganjur! Tadi, sebelum solat Jumaat, di masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya juga satu demo oleh mahasiswa diadakan. Tahniah! Keperihatinan dan keberanian saudara saudari sekalian sangat penting untuk ummat ini.
Di UPM, PMIUPM telah mengeluarkan satu kenyataan dan ditampal di serata kampus. Langkah proaktif ini patut dicontohi oleh Pihak Pentadbiran Universiti malah MPPUPM sendiri. Di laman Idealis Mahasiswa juga tak punya kenyataan (idealis jenis apa aku pun tak faham) tetapi di Kampus Negara telah disiar awal sejak isu dibincangkan.
Ada yang menarik terlintas di fikiran aku sekaligus meruntun rasa di hati. Di mana suara-suara aktivis non muslim? Apakah ini tahap kebebasan bersuara yang mereka mahukan? Hal ini pernah aku sebut sepintas lalu semasa menjadi panel Forum Muda Malaysia anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) sebelum ini. Bahawa tuntutan Hak Asasi Manusia (HAM) yang sering kita laungkan mesti dibahas. Apakah idea ini tidak boleh dicabar sedangkan kita sering menganggap bahawa wujudnya apa yang kita sebut nilai asia dan sebagainya. Isu ini tidak sepatutnya menjadikan jurang 'intellectual engagement' semakin berjarak. Sebaliknya ia perlu dirapatkan.
Tidak harus kita biar isu ini jadi isu sepihak (dalam kes ini Ummat Islam sahaja meluahkan rasa). Sepatutnya rakan-rakan non muslim juga hadir atau sekurang-kurangnya menunjukkan sikap terhadap isu ini kerana ia adalah isu penghinaan terhadap agama..ia bukan isu umat Islam semata-mata. Dah banyak isu Islam tapi pendirian non-muslim nampak tak jelas. Seolah-olah kebebasan beragama itu untuk lepaskan tengkok masing-masing saja!
Dan aku mahu menyatakan pendirian bahawa editor Sarawak Tribune tidak patut diadili secara membabi buta. Kerana aku percaya kita sebagai ummat Islam (yang mahu membantah) patut tahu isu ini secara jelas. Bagi aku wujudnya kartun tersebut memang ditentang dan aku percaya ia berniat jahat dan keji. Soalnya apakah kita membantah hanya dari cakap-cakap orang? Adilkah kita? Sekurang-kurangnya selepas Sarawak Tribune keluarkan lakaran sebenar kartun tersebut baru aku tahu bahawa memang patut ummat Islam di serata dunia bangun membantah dan menggesa Denmark memohon maaf.
Kita boleh kata bahawa Sarawak Tribune tak perlu keluarkan untuk jelaskan kepada rakyat kerana hari ini kita ada teknologi. Soalnya adakah teknologi ini dapat menampung kesedaran menyeluruh? Apakah tidak apa menonton di layar komputer dengan akhbar jika maksud asalnya ingin tahu? Dalam hal ini aku mendokong pandangan KSjT dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Aku juga suka nak bertanya di mana sikap UMNO dan keADILan dalam isu ini (adakah UMNO menganggap pandangan kerajaan itu adalah pandangan mereka (lihat pandangan kerajaan di bahagian berita lain Tak bertanggungjawab : Sarawak Tribune tidak sensitif terhadap umat Islam : PM)? Adakah keADILan menganggap pandangan terhadap Sarawak Tribune adalah pandangan mereka?). Kenyataan media parti keADILan (13/02/2006) bagi aku adalah terlalu lambat dan terlalu berbau politik sempit. Dan UMNO, terutama Pemudanya tidak harus terlalu bergantung kepada pandangan kerajaan. Soalan sinis yang tertera di UMNO-Reform bahawa dalam isu karikartur menghina Rasulullah s.a.w. pemuda dan puteri tidak selantang ketika karikartur Zunar menghina Tun Dr. M patut diberi perhatian.
Dan aku juga ingin bertegas bahawa tindakan membakar kedutaan Denmark amat tidak aku persetujui. Malah aku tolak. Ini jelas dalam kenyataan As-Syeikh Yusof Al-Qardhawi bahawa tindakan tersebut bercanggah daripada lunas Islam.
Tindakan memboikot barangan Denmark (walaupun sementara) bagi aku adalah waras malah kita patut mengajak seluruh dunia memberi tekanan ekonomi kepada negara Denmark sebagai pengajaran. Harus kita ingat, pengeluar produk tidak terbabit dalam isu ini, tekanan ekonomi ini kita harap akan menyedarkan masyarakat Denmark akan perlunya mereka menjaga kebebasan media mereka pada batas yang wajar.
Denmark malah negara-negara yang mungkin terkena kesan protes kita hampir mungkin tidak goyang walaupun sedikit. Denmark, malah negara-negara lain akan terus menguji tahap kebebasan dan sensitiviti kita. Pokoknya di sini Malaysia perlu lebih proaktif dalam menggerakkan OIC dan menjadi model negara Islam contoh (bukan sahaja dalam bab ekonomi, tetapi jauh lebih menjangkau soal kemanusian, kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan lain-lain). Lebih penting ialah kemelut ini segera dirungkai ketika proses globalisasi menuntut sikap matang semua pihak.
Ummat Islam harus bangun membuktikan bahawa kita tidak terkebelakang atau ke depan kerana jatuh bangunnya pihak lain sebaliknya kita bergerak kerana kekuatan diri. Kekuatan diri inilah yang perlu kita tumpukan (sudah tentu aku tidak maksudkan bertindak ganas). Harus aku tulis di sini bahawa kejadian ini akan digunakan oleh sang demokrat terpimpin alias diktator untuk mengunci kebebasan atas sikap bahawa kebebasan itu bahaya terhadap sensitiviti apa yang aku sebut 'doktrin agama, bangsa dan negara'.
Kita perlu kesedaran mendalam. Jangan sampai tafsir kebebasan dibiar pada tingkat yang cetek sehingga ia jadi ketakutan. Kerana kebebasan bukan musuh kepada kemajuan martabat ilmu dan insan tetapi kezaliman itu adalah musuh nyata kepada martabat ilmu dan insan!
Pandangan Hishamuddin Rais bagi aku sangat baik untuk kita tekuni. 'Perbincangan hangat' isu ini boleh didapati di forum UmmahOnline.com dan di forum AstoraJabat.com.
* Artikel ini ditulis pada 10/2/2006 dan diedit pada 18/2/2006
0 Comments:
Post a Comment
<< Home