Saturday, February 18, 2006

Rasulullah s.a.w. dan Islam (Wahyu) - Kita dan Islam (Konteks)

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagi dirimu...- Al, Quran, Al-Ahzab, ayat 21

Belum habis mahu bicara soal penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. oleh sebilangan karikartur Denmark. Sedih memang sedih. Tapi ia tidak harus jadikan kita seorang yang tidak waras. Moga ALLAH S.W.T. berikan kekuatan untuk ummat ini bergerak pada kehendak-Nya. Rasulullah s.a.w. dalam hayatnya bukan sedikit dikeji, dihina dan diperlekehkan. Dalam hal ini kita dapat lihat bagaimana akhirnya akhlaq Rasulullah s.a.w. jadi perisai utuh membentengi sikap yang tidak jelas.

Aku bukan nak berpolitik, tapi ada satu peristiwa hampir serupa telah berlaku lebih awal di Malaysia. Juga isu karikartur digunakan untuk mempersenda tokoh. Terus terang aku sebut di sini karikartur Zunar yang diterbitkan Harakah. Ingat? Bila Zunar melukis SAR disebabkan Khinzir dan SARS disebabkan Mahathir? Ya, pada waktu itu ada parti (terutama Pemuda dan Puterinya) lantang bangun membela, tapi di mana mereka dalam isu penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w.?

Masih kita ingat ustaz-ustaz parti ini bangun menghina dan mencela lukisan Zunar? Bukan sehari dua, malah seminggu dua ratib cela perbuatan Zunar dikumandangkan malah diselang seli dengan bait-bait Al-Quran dan hadis. Seolah-olah ada insan yang lebih mulia daripada Rasulullah s.a.w. (mengikut kepercayaan orang Islam).

Aku belum mahu menuduh. Kerana kita juga sering lebih tersinggung bila mak ayah, diri kita atau pemimpin-pemimpin yang kita puja dan sayang itu malah kekasih atau kawan kita dihina lebih daripada rasa tersinggung bila Rasulullah s.a.w. dihina. Dan hinaan terhadap Rasulullah s.a.w. ini jika kita mahu luaskan maknanya maka akan tertunjuk bahawa kita hampir tidak pernah memberi apa-apa kepada maksud hidup beragama. Hal ini pernah aku tanya kepada diri dan kawan-kawan bila melihat amalan agama jadi susut (baik ritual atau tidak). Maksud aku kita lebih sensitif jika parti, gerakan atau pemimpin kita dikritik berbanding rasa sensitif terhadap kemunduran praktis agama kerana sikap tidak rasional orang lain (apatah lagi diri kita sendiri!). Contohnya bila aku mengkritik, tidak setuju atau sinis kepada parti-parti UMNO, PAS atau keADILan, atau lebih tepat mengkritik terus tepat ke batang hidung pemimpin-pemimpin tersebut, maka melentinglah pengikut masing-masing.

Di situ, aku namakan kebijaksanaan tidak memilih taqlid parti atau gerakan tertentu (sekurang-kurangnya pada usia muda ini). Kerana kita harus berani menguji diri sendiri dan pendokong pelbagai aliran ini - sama ada mereka komited atau tidak dengan idea mereka sendiri. Sebagai contoh bila ada tokoh bicara soal Islam - Hadhari, Madani atau Negara Islam katanya, maka ia harus mampu mencabar fikirannya dalam bentuk praktis mencakupi soal-soal yang luas dan lebih penting asas seperti kebebasan dan keadilan.

Dan alhamdulillah, aku beroleh kesempatan untuk meninjau di pelbagai daerah dan arena - untuk mengenal kaca dan manikam. Sebab itu tatkala ada jeritan-jeritan yakin oleh sebilangan pendokong pimpinan, parti atau gerakan, aku lebih senang mengambil sikap sederhana. Maksud aku sikap yang tidak keterlaluan. Tulisan ini bukan untuk menjustifikasikan kelonggaran amalan Islam kerana terpisahnya kita dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat. Juga ia tidak dirangka untuk menunjukkan kesulitan yang ada. Ia sekadar mengingatkan diri (yang mahu beringat) akan pesan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna "kerja kita banyak tetapi masa kian suntuk".

Prof. Syed Hussein Al-Attas dalam mengupas realiti ummat pada hari ini menyimpulkan sebaris kata yang bermakna "Kita (Orang Islam khususnya di Malaysia) dan Islam (Wahyu) ibarat pokok tumbuh tak berbuah". Dalam dan tajam kata-kata ini masuk ke dalam diri. Waktu ini aku teringat bila Hishamuddin Rais, semasa kami duduk minum di Bangsar lewat malam itu dia membuat satu panggilan kepada Zunar dan mengucapkan tahniah kerana jadi berita sensasi. Zunar menjawab "Kau cakap senang la" (seperti yang diberitahu kepada kami).

Benarlah rindu Rasulullah s.a.w. kepada sahabat-sahabatnya, dan bila ditanya oleh para sahabat akan sahabat yang manakah selain mereka, dijawab Baginda bahawa rindunya pada umat yang mengasihinya tanpa beroleh kesempatan melihatnya. (maksud hadis)

Di mana kita?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home