Rombakan Kabinet
Seminggu ini orang ramai bicara soal rombakan kabinet. Sebelum aku mengulas lanjut, di sini ada beberapa ulasan yang boleh kita baca, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7 dan 8 (aku percaya ada banyak lagi).
Apa yang aku 'rasa pasti', pengguguran bekas Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr Shafie Salleh sangat dialukan oleh ramai mahasiswa (lagi di sini) dan pensyarah (lagi di sini). Umum sedia maklum 'kegagalan' Dato' Dr Shafie menonjolkan imej 'mesra dengan dunia akademia' bila pertelingkahan antara beliau dengan Prof. Dato' Dr Zohadie Bardaie, mantan Naib Canselor UPM diketahui umum melalui media. Selain itu juga beberapa isu lain yang berkaitan (baca : mesra akademia) turut mempengaruhi 'kebencian' ramai kepada beliau. Sebelum ini juga beliau dikatakan mempunyai masalah dengan Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Adham Baba.
Sebenarnya rombakan kabinet adalah satu proses biasa dalam sebuah kerajaan. Namun yang penting, seperti apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ialah "...perubahan dalam pentadbiran ini dilaksanakan untuk menunaikan janji seperti yang termaktub dalam manifesto Barisan Nasional - sebuah Kerajaan untuk semua; sebuah kerajaan yang menyokong rakyat; dan sebuah kerajaan yang akan berkerja untuk memastikan masa depan yang lebih baik, aman dan makmur".
"Kabinet ini adalah untuk masa depan – dalam meningkatkan daya saing; dalam menggerakkan prestasi dan kecemerlangan; dalam membangunkan masyarakat; dalam memupuk pemikiran kelas pertama, budaya dan nilai-nilai; dan dalam memastikan
pembangunan yang mampan".
Dalam kenyataan-kenyataan akhbar oleh YAB Perdana Menteri jelas menunjukkan bahawa beliau mahukan kabinet yang mantap, mesra rakyat, berfikiran tinggi dan berkemampuan tinggi. Dalam kenyataan yang disiarkan terbaru PM mahukan sesiapa anggota kabinetnya yang tidak mampu supaya berhenti saja (Utusan Malaysia 16/02/06).
Aku mengalu-alukan kehadiran Menteri baru di KPT. Sebagaimana pandangan aku sejak Perdana Menteri baru mengambil alih, kepimpinan negara harus bukan sahaja bercakap soal yang baik tentang rakyat, tetapi memastikan prosesnya juga baik untuk rakyat. Aku tidak mahu cepat menutup peluang kepada 'muka-muka baru' yang dilantik untuk cuba sedaya upaya menunaikan amanah rakyat. Hal ini bukan sahaja aku, malah aku percaya seluruh rakyat malah Perdana Menteri mahukan begitu. Di sinilah titik tajam yang memisahkan seorang negarawan dan politikus.
Sudah tentu kata-kata pesimis terhadap kabinet baru malah Menteri baru di KPT punya asas. Umum maklum tentang isu AP Dato' Seri Rafidah Aziz, umum juga tahu sikap bebal Dato' Seri S. Samy Vellu malah jika mahu diungkit daripada persoalan popular dalam masyarakat, mungkin Perdana Menteri sendiri akan dipertikaikan terutamanya isu-isu berhubung Sdr. Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO merangkap menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (rujuk Malaysia-Today di bahagian Special Report bersiri - The Khairy Chronicles).
Dulu, sewaktu menjawat kedudukan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM, aku telah jelaskan bahawa kesanggupan aku mendokong Aspirasi Universiti (kelompok pelajar yang dilabel dan mendakwa pro-kerajaan) kerana aku percaya Perdana Menteri telah meletakkan banyak dasar-dasar penting yang aku persetujui dan memerlukan orang yang serius untuk melaksanakannya. Namun, integriti, hadhari dan apa juga tema yang baik lebih banyak jadi mainan bibir daripada praktis. Hingga jemu dan jelak bersarang dalam diri.
Di situlah titik-titik prasangka yang aku katakan wajar dan punya asas bagi rakyat, parti politik pembangkang malah siapa sahaja untuk meragui perubahan yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri dengan penuh kehalusan. Perdana Menteri mungkin berniat benar, tetapi realiti tidak selamanya seperti dirancang.
Semoga Perdana Menteri Malaysia kelima ini akan dibantu oleh mereka yang memahami erti keadilan dan amanah yang dimaksudkan ALLAH S.W.T..
Baik Islam Hadhari, Negara Islam atau Masyarakat Madani (apa saja yang kita suka untuk namakan), kita harus jelas bahawa "Destiny is no matter of chance. It's a matter of choice. It's not a thing to be waited for, it is a thing to be achieved" - William Jennings Bryan (1860-1925).
Selamat berlabuh Malaysiaku, aku akan sentiasa bersamamu!
0 Comments:
Post a Comment
<< Home