Sunday, April 29, 2007

Ijok : Pasca Pilihan Raya 1

"Hanya satu kata untuk penindasan - Lawan!" begitu kata yang terpacul daripada sebahagian teman yang 'masih bersemangat untuk berjuang' selepas kekalahan Parti keADILan Rakyat di Ijok.

Pilihan Raya di Ijok selesai. Yang menang gembira dan yang kalah sugul. Itu lumrah yang tidak asing dalam persaingan kalah menang. Keputusan telah keluar dan diumumkan pada khalayak. Agak menarik untuk hadir dan melihat dengan kaca mata sendiri suasana di Ijok. Semangat, kesungguhan, keberanian, kerjasama dan tidak kurang jenaka saling jadi tanda yang aku rindu tatkala sunyi sendiri - tanda erti hidup bernegara secara merdeka.
Aku mahu menulis tentang ini. Ini detik hati yang meronta dan tak mahu aku nafikan. Terlalu banyak yang mahu aku ungkap hingga tak tahu yang mana satu. Dan aku tetap mahu mulakan..
Parti keADILan Rakyat (PKR)
Untuk aku, langkah PKR untuk bertanding dan mendapat laluan dari parti oposisi yang lain adalah satu langkah yang bijak. Dan PKR telah memulakan kempen di Ijok sesuai dengan imej PKR dalam real-politik BN-UMNO - bahawa PKR adalah parti yang punya upaya menggugat kekuatan hegemoni BN.
Nota : Kenapa aku menulis pada ayat di atas BN-UMNO dan seterusnya hanya menggunakan perkataan BN sahaja adalah cukup penting jika kita mahu berfikir lebih sedikit (tak banyak pun!).
PKR, pada aku, tidak perlu terlalu bersedih. PAS (boleh dirujuk surat TG Nik Aziz kepada Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim), telah lama bertarung dan sekian banyak kalinya KALAH! Dan sesungguhnya Ijok telah menunjukkan dengan jelas SEGALANYA tentang PKR.
Aku bukan orang parti. Tapi aku suka bercampur dengan orang parti politik. Pada mereka, jika aku berpeluang, aku kongsikan pandangan yang mungkin jauh berpijak dari realiti masing2. Tapi sekurang-kurangnya aku punya hak sebagai pemerhati luar. Politik itu juga cukup rapat dengan persepsi.
Apa persepsi aku tentang Ijok?
Aku tidak mahu komentar banyak tentang sistem. SPR, Pengundi Hantu, taburan duit, sistem dan sebagainya telah banyak diperkatakan. Entah betul atau tidak aku serahkan kepada orang ramai.
Yang mahu aku sebut di sini ialah bagaimana lemahnya kelihatan Angkatan Muda keADILan dalam pertembungan di Ijok. Kelemahan ini dengan sendirinya telah menunjukkan kekuatan Pemuda UMNO di Ijok. Lemahnya AMK ini pada hemat aku adalah lemahnya Parti keADILan itu sendiri kerana seharusnya Reformasi yang dilaungkan keADILan sebagai Politik Baru ditunjangi oleh pemuda. Pun begitu, bukanlah ramainya pemuda UMNO beerti mereka ditunjangi pemuda yang bercita untuk Politik Baru. Tapi cukup untuk aku membuat analisa awal bahawa keADILan akan kalah.
Cuba bayangkan bila (pemangku) ketua AMK turun ke padang hanya diiring oleh seorang dua teman, yang secara psikologinya jelas tidak menunjukkan 'crowd'..berbanding Naib Ketua Pemuda UMNO yang jelas turun dengan 'crowd' yang cukup menunjukkan dia penting.
Entah kenapa, aku berasa ada yang tidak kena pada AMK..dan aku tidak tahu apa jenis politik yang sedang dicatur oleh keADILan waktu ini. Dan seharusnya Ezam, sebagai mantan pimpinan tidak melihat ini sebagai enteng kerana dia harus menggalas tanggungjawab kepada generasi yang ditinggalkannya.
Ezam, pada aku tidak harus, mungkin kerana kecil hati atas perbezaan pendapat dengan Azmin, atau punya strategu lain, membiarkan AMK lemah dan hadir berjuang bersama parti atas kapasiti individu atau GERAK. Selaku benchmark kepada gerakan AMK, Ezam harus memainkan peranan yang lebih daripada apa yang ada sekarang.
Seorang teman menasihatkan aku, sia-sia mengkritik Ezam atau AMK kerana 1) aku bukan ahli parti 2) aku boleh memutuskan talian dengan orang2 politik penting 3) Ezam malah AMK boleh sahaja membelasah hujah2 aku yang sudah tentu tidak kemas kerana aku di luar struktur parti dan macam2 lagi..
Sikap aku? Aku tahu apa yang diperkatakan teman aku itu ada benarnya. Dan aku memetik nama Ezam bukan beerti aku menyerang dia secara peribadi, tetapi ingatan kepada generasi lama tidak kira siapa pun.
Dalam banyak hal generasi lama sering membanding bahawa zaman mereka lebih perit dan mereka telah terbukti berjuang. Dan sering generasi lama menyalahkan generasi baru dalam banyak hal. Tetapi tiba bab tanggungjawab dan hak generasi baru, semua seakan berlepas diri tanpa mahu mengakui bahawa sikap 'aku makan garam lebih' tu yang menyebabkan 'sakit jantung dan darah tinggi'!
Generasi baru bukan sombong atau angkuh mencabar generasi lama..tetapi lumrah kegelapan harus diterangi. Kita tidak mungkin dapat menghalau kegelapan, nyalakan lampu untuk menghilangkannya!
Dan sempena Kongres Parti keADILan Rakyat dalam tempoh sebulan ini, aku berharap sikap yang tegas dan berprinsip akan terus dipegang. Kelemahan dan kesilapan terus dibaiki. Pokoknya untuk aku rakyat mesti untung dari pelaburan mereka..dan sistem mesti memberi keadilan kepada rakyat untuk melabur mencari keuntungan mereka.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home