Thursday, December 21, 2006

Dasar Ekonomi Baru (DEB) - Pandangan Umum (dan Cetek?) Seorang Aku

“Amin, saya rasa ada ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO hari tu yang sangat berbau perkauman dan buat saya takut” kata seorang teman berbangsa Cina kepada aku.

Tulisan ini hanya memuatkan beberapa pandangan umum aku tentang DEB berdasarkan pembacaan, pengalaman dan pemerhatian aku. Aku berharap untuk berupaya membuat penelitian lebih halus terhadap isu ini kerana DEB adalah isu penting dan boleh dikatakan nyawa kepada politik UMNO khususnya. Benarkah DEB alat memacu kemajuan Melayu? Benarkah dakwaan segelintir pihak mengaut kepentingan ini?

Kesan daripada peristiwa Reformasi 1998 adalah cukup besar dalam membentuk sikap dan pandangan dunia aku. Sikap dan pandangan dunia ini jugalah yang merubah hampir seluruh perjalanan hidup aku, sekurang-kurangnya dari tidak punya apa untuk difikirkan kepada ada sesuatu yang difikirkan. Bersandar kepada pengalaman cetek politik ‘ikut-ikut’ semasa ayah dan mak masih aktif berpolitik, tempiasnya kena pada aku. Dan mungkin kerana itu, minat aku pada politik tidaklah dilihat sebagai suatu yang asing pada mereka.

Membesar sepenuhnya pada zaman pemerintahan (Tun) Dr. Mahathir, sudah tentu aku dapat merasai pelbagai perubahan sama ada dari sudut pembangunan infrastruktur, sosial dan ekonomi. Untuk aku, zalim jika kita mahu katakana Tun tidak ada sumbangan positif walau sekelumit pun terhadap apa yang kita ada pada hari ini. Tentang sumbangan negatif, sudah tentu kita juga tidak boleh pejamkan mata jika ia memang merugikan.

Lewat 80-an, seorang Profesor mengkaji ekonomi negara membangun, Ozay Mehmet pernah memilih Malaysia sebagai fokus kajian dan beliau. Antara kenyataan penting Prof. Ozay ini yang selalu aku fikirkan ialah “…bahawa pemerintahan elit, yang menjalankan peranan sebagai pemegang amanah, telah muncul sebagai kartel. Kartel biasanya terdiri daripada sebilangan orang tertentu tetapi berjaya memonopoli penentuan harga, pasaran dan peluang-peluang perniagaan serta arus niaga itu sendiri”. Dan aku kira kenyataan Prof. Ozay ini ada benarnya.

Ribut DEB muncul semula meskipun mengikut perancangan asal Tun Abdul Razak ialah sehingga tahun 1990. Dan seperti mana kita tahu, kita gagal mencapai ekuiti 30% seperti yang dirancang (pada tahun itu). Kesan daripada itu, berlaku beberapa penerusan kepada dasar ini dan aku mengesan silent protest bila muncul peluang-peluang pekerjaan yang mensyaratkan penguasaan bahasa mandarin dan sebagainya. Dan aku ingin bertegas bahawa ini bukanlah satu perkembangan yang sihat untuk erti hidup bernegara apatah lagi sebuah negara yang menuju Jubli Perak.

Maka muncul sekurang-kurangnya dua kelompok. Pertama, yang bermatian mahu DEB diteruskan malah hingga kenyataan meningkatkan peratusan ekuiti jadi cadangan. Kedua, kelompok yang mahu DEB dimansuhkan dan alternatifnya ada dua iaitu dasar baru diwujudkan seperti mana yang dipelopori oleh mantan Menteri Kewangan dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui parti keADILan dan satu lagi ialah tidak menggantikan apa-apa dasar alternatif. Tidak kurang juga seruan agar DEB diteruskan dengan menggantikan playernya.

DEB, pada tingkat tertentu untuk aku telah berhasil meramaikan bumiputera yang maju. Dan kelompok ini aku rasa cukup sentimental dengan DEB. Kenyataan ini adalah berdasarkan banyak perbualan aku dengan kelompok orang-orang lama. Meski mereka juga punya kecenderungan berfikiran bahawa UMNO sudah tersasar dari landasan mereka, kelompok ini masih percaya DEB membantu, sekurang-kurangnya untuk zaman mereka.

Ya, sudah tentu jika kita merenung akarnya bahawa DEB wujud lantaran keperluan menyusun semula sosio-ekonomi masyarakat melalui agihan kekayaan yang adil dan seimbang serta membasmi kemiskinan sebagai idealisme yang jitu. Umum maklum, peristiwa Mei 1969 adalah peristiwa yang pahit lantaran ketidakseimbangan sosial dari pelbagai sudut. Hakikat bahawa negara kita, Malaysia masih bertatih saat itu adalah alasan yang wajar. Dan saat itu, generasi muda memilih perjuangan yang betul melalui siri demonstrasi, seminar dan sebagainya berorientasikan hal agihan kekayaan dan kemiskinan.

Langkah kerajaan mewujudkan pelbagai badan seperti PETRONAS, PNB, MARDI, FELDA dan sebagainya adalah langkah terpuji di mana sumber dan pelaburan dibuat oleh kerajaan termasuk kawalan perbelanjaan. Badan-badan ini akhirnya berhasil mewujudkan kelompok bumiputera yang meningkat dalam pemilikan saham dan korporat.

Jadi, apa masalahnya dengan DEB? Ada beberapa wilayah yang perlu kita sama-sama jengok.

Untuk aku..

1) Nilai 30% pada tahun 70-an dan juga 30% pada millennium baru ni sudah tentu menunjukkan margin yang ketara dari segi nilai milikan. Maka, gesaan menilai semula peratusan ini adalah wajar tetapi bukanlah sampai 90% seperti yang digesa oleh Naib Ketua Pemuda sebuah parti kerana angka itu menunjukkan keangkuhan yang bodoh sama seperti lagak pengucapnya semasa membuat tuntutan tersebut.

2) Berapa juga peratusan yang ada, seperti pandangan Prof. Ozay, kartel ini jelas satu bentuk halangan kepada pencapaian DEB. Tulis kartel “They have taken advantage of their positions, promoting self-enrichment through rent-seeking, behaviour and other non competitive rewards accruing to distributional coalitions. Sehubungan dengan ini, meski DEB pada tingkat tertentu telah berjaya meningkatkan ekonomi, agihannya masih tidak merata dan juga gagal membasmi kemiskinan.

3) Tarif atau petunjuk kemiskinan juga harus diubah, sebagaimana nilai 30% yang marginnya berbeza ketara antara tahun 70-an dan 90-an apatah lagi millennium baru! Malah ia tidak boleh digeneralisasikan untuk seluruh negara kerana nilai RM1000 untuk sebuah keluarga yang bekerja di Kuala Lumpur tidak akan sama dengan mereka yang tinggal di Kangar!

4) Agenda baru dengan perlaksanaan yang lebih telus perlu untuk mencapai objektif DEB yang asal. DEB bukan sahaja gagal secara teknikal tetapi juga telah merubah pemikiran bangsa ini sebahagiannya mirip kepada sikap Yahudi-Zionis yang merasakan diri superior sehingga nilai kebenaran jadi mainan dan diperolok dengan kuasa (maaf mungkin kasar).

Sebenarnya banyak boleh ditulis tentang DEB, positif dan negatifnya. Aku percaya sebuah sistem atau perancangan yang baik mesti dilaksanakan oleh mereka yang baik dari konteks pemahaman, integriti dalam perlaksanaan dan sebagainya. Generasi baru lebih banyak diajar dengan sentimen perkauman berbanding matlamat perpaduan yang dirangka melalui DEB. Maka, ramai yang dirasuk semangat yang anti matlamat DEB atas nama DEB!

Suka atau tidak suka, realiti Malaysia tetap tidak terpisah dengan keperluan orang Melayu untuk mempunyai kuasa yang wajar terhadap ekonomi, politik dan sosial. Namun, bangsaku – Melayu ini harus sedar bahawa dalam sistem kepercayaan kita, Islam adalah yang tertinggi. Dan Islam tidak pernah menganjurkan kezaliman atas nama apa sekalipun termasuk membiarkan kezaliman pemimpin atau bangsa terhadap selainnya.

Islam tidak pernah nampak indah di mata mereka yang tidak melihat penghayatan penganutnya. Semoga aku, kau dan semuanya sedar bahawa perkongsian hidup ini meski pada realitinya jama’, ia mampu disantuni dengan Islam.

Telah bersediakah kita?

6 Comments:

Blogger me,myself n all around da world said...

Ungku aziz berpendapat angka 18%,30% sebenarnya tidaklah penting sgt. sbb kebanyakkan org melayu adalah masyarakat desa diwaktu itu.

ambil shj contoh di Perak, diwaktu itu pekan2 kecil(small china town)semuanya dibangunkan oleh org2 cina sblm dan selepas merdeka.

DEB yg dulu lebih mementingkan org melayu di bandar. mereka2 ini diberi bail out oleh kerajaan atas dasar tujuan mereka ini akan menjadi "ibu" dan kemudiannya bercambah dr mereka usahawan2 melayu yg lain. tetapi ini tidak berlaku.

kalu ada pun usaha utk melayu di luar bandar adalah seperti memberi peruntukan kewangan utk berniaga. tetapi bisnes bukanlah skill org melayu diwaktu itu.mrk rugi, peruntukan itu terbuang begitu shj. mereka tidak dibantu di dlm bidang kemahiran trtentu mereka.

pd sy DEB perlu diteruskan cuba dgn pendekatan berbeza. dan sy setuju ia mestilah dikerangkakan brdasarkan situasi setempat.

p/s: ada pendapat mengatakan bhw melayu-kaum yg mmg tidak serasi tinggal di bandar.

9:03 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Salam.

Mengatakan angka tersebut sebagai tidak penting boleh dilihat dalam 2 kerangka untuk saya. Ia tidak penting kerana sikap kita yang gemar memanipulasikan angka dan penipuan..sudah tentu atas maksud politik sempit.

bagi saya angka penting dalam konteks kajian yang telus. angka boleh jadi indikator.

saya tidak mahu terlalu banyak bicara soal bangsa. saya kira lebih mudah kita fikir yang susah kita bantu, dengan cara yang wajar tanpa kira kaum. ketidakadilan dan kemiskinan bagi saya cukup kritikal.

tentang DEB, saya kira objektifnya jelas..tp pendekatan yang kita nampak pincang..why not AEB?

10:28 PM  
Blogger me,myself n all around da world said...

jika yg miskin(tanpa mengira bangsa) kita bantu, sudah tentulah melayu/bumiputera yg plg byk kena di bantu. angka 18% sudah menunjukkan segala2nya.

sy lebih suka melihat cara bagaimana bantuan itu disampaikan mengikut bangsa. kerana foundation utk melayu, cina dan india serta kaum bumiputera yg lain adalah berbeza. jadi methodology nya mesti berbeza.

AEB atau DEB, yg penting adalah cara pendekatan yg baru dan harus belajar dr kesilapan DEB yg lepas.

p/s: lupa pula yg keADILan tidak mengira kaum,hehe..=P

11:34 AM  
Blogger Amin Ahmad said...

nampaknya seruan sdr mirip dgn seruan DSAI :)=

sebenarnya dalam hal ini, kata sepakatnya telah dipersetujui bahawa semua yang memerlukan wajib dibantu..kaedahnya masih boleh dibincangkan. itu yang pokok. sebab itu saya fikir cadangan AEB oleh parti keADILan adalah satu pendekatan segar dalam arena politik negara. Terus terang saya katakan bahawa saya menantikan rumusan keADILan tentang ini sebelum pilihan raya akan datang.
dalam hal ini, nampaknya keADILan lebih ke depan daripada PAS dan UMNO.

Dan nampaknya, PAS walaupun lebih terdahulu dalam perjuangan perlu sedar untuk memilih erti perjuangan sebenar dalam praktis hidup. dan UMNO pula perlu bermatian menegaskan keperluan DEB diteruskan dengan reformasi yang perlu atas kelemahan.

Saya tidak kisah mana-mana organisasi pun mahu menjuarai isu rakyat. Hatta, mahasiswa juga mungkin boleh mula merangka atau bekerjasama dengan mana-mana organisasi untuk mengukuhkan struktur pelan ekonomi negara untuk agihan yang adil.

Untuk saya, kesejahteraan rakyat adalah kemenangan. Dan saya juga suka menegaskan bahawa tidak mungkin kesejahteraan ini lahir dari tembolok perasuah!

3:26 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Urm, angka 18%? Siapa yang tentukan ya? Ada bias? Ada kepentingan?

Rakyat sangat perlukan kebenaran!

3:27 PM  
Blogger Elhakim said...

pasti rencam? pasti?

9:11 PM  

Post a Comment

<< Home