Friday, November 17, 2006

Etika Global

"Peace and freedom, these are the foundations of humane existence. Without peace and freedom, nations cannot develop, and mankind can enjoy neither happiness nor tranquility. Peace for the individual is impossible without peace for the community. Nor can peace for the individual be achieved without peace for entire nation.But peace without freedom is no peace at all" - Kondrad Adenauer, 1952

Aku tonton TV3 dan tengok sedutan hal ehwal Perhimpunan Agung UMNO. Isu etika global yang disebut oleh seorang perwakilan cukup menggamit aku untuk menulis, dan bukan isu Dato' Mukhriz Mahathir.

Tentang etika global dan cubaan meletakkan Islam sama taraf dengan agama lain. Aku tidak mendengar atau membaca hujah perwakilan ini tapi yang disebut dan dipetik dalam berita ialah kerana lambang Islam (?) diletak sebaris dengan lambang-lambang agama lain (?).

Kebetulan buku berkaitan etika global ini aku baca sejak 2001. Buku itu pun sudah dicetak sejak 1993! Dan kebetulan juga Konrad Adenauer Foundation (KAF), yang menerbitkan buku yang dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini disebut. Dan buku itu, aku pasti adalah lanjutan daripada buku umum Perisytiharan Ke Arah Etika Dunia yang dibincangkan dalam Parlimen Agama-agama Dunia pada 4 September 1993.
Cuma turut dinyatakan ada bersamanya terbitan filem-filem pendek yang diselitkan bersama buku kali ini - dan dikatakan mencabar sensitiviti dan kedaulatan Islam di Malaysia.

Ada kegembiraan dan kerisauan dalam diri. Gembira kerana isu-isu Islam sudah mendapat tempat secara nyata dalam Perhimpunan Agung UMNO. Risau kerana isu Islam ini dihujah dengan rasukan sentimen lebih daripada kemampuan berhujah. Maka, aku tertanya - Islam jenis inikah yang kita tawarkan?

Konrad Adenauer bukan nama baru bagi aku. Tokoh dari Jerman ini adalah Canselor pertama Jerman (Barat) selepas Perang Dunia, 1949. Jalan panjang yang ditempuh Adenauer nyata tidak semudah menjadi Naib Ketua Pemuda Parti Paling Besar di Malaysia. Di Jerman, Adenauer dianggap negarawan dan orang yang bertanggungjawab terhadap demokrasi. Hitler menggemari bapa kepada Eropah Bersatu (EU) ini namun tidak sedia menerima pandangan-pandangan Adenauer yang dilihat tidak membantu Agenda Nazi yang bersifat perkauman.

Ini bukan serangan pertama kepada KAF. Dalam ribut gerakan mahasiswa pasca reformasi. Dalam era Aspirasi (yang jelek! moga ada era yang lebih baik..), ada bekas pimpinan pelajar, malah institusi yang cuba 'memusuhi' pergerakan KAF di Malaysia yang bermula lebih lama dengan penglibatan ramai tokoh, yang mungkin di luar pengetahuan mereka. Dan lebih malang, mereka ini hanya menghentam pengaruh kecil yang lahir daripada program-program bantuan KAF kepada beberapa pertubuhan di Malaysia sedangkan mereka yang kaya raya dan punya aset kewangan dan tempat hampir gagal mewujudkan wacana penting, berkesan dan menentukan! Dan sekali lagi aku tertanya, Islam apa yang mereka tawarkan ini?

Aku percaya ada konsensus perlu dibentuk dalam menangani realiti. Syabas kepada Tan Sri Dato' Ahmad Sarji, Dato' Haji Ismail Ibrahim, Prof Syed Hossein Nasr, Prof Dr Mohammad Hamidullah dan ramai lagi yang mewakili suara Islam serta tokoh-tokoh yang mewakili agama dan kepercayaan masing-masing kerana sedia duduk dan membentuk etika global ini satu saat dulu. Dan aku yang membacanya tersenyum dengan komentar perwakilan UMNO tersebut.

Islam yang aku percaya bukan Islam yang takut kepada ilmu dan hujah. Islam yang aku percaya bukan Islam yang bangga dengan kezaliman perkauman dan perlakuan. Islam yang aku percaya bukan Islam yang memberi kasta kepada hidup kemanusiaan (kerana taqwa hanya ditentukan Allah s.w.t. sambil ditunjuk jalannya dari firman-Nya serta pesuruh-Nya).

Dan jenis islam yang dilontarkan perwakilan itu hanyalah islam versi Melayu..dan lebih malang lagi hanya jenis Islam Melayu-UMNO (dan disangkanya Islam sebenar)..

Aku menanti laungan perjuangan Islam daripada mereka-mereka ini kerana meletakkan Islam di tempat yang tinggi, wacana harus dibuka..dalam realiti sejarah Islam..Tuhan juga jadi subjek pembicaraan. Dan harus ada di kalangan umat ini yang mampu menjawabnya dengan hujah dan adab, bukan perintah dan biadab.

Kita perlukan lebih banyak ta'aruf (perkenalan) melalui jama' perspektif. Kesannya ialah pemahaman dan penghormatan yang segar. Tanpa sikap ini, mustahil kita dapat bina sebuah masyarakat yang stabil di mana penghormatan terhadap bani Adam sebagaimana Allah s.w.t. mengangkatnya dalam Al-Quran dan sikap saling percaya (bukan cakap baik depan, belakang atur strategi zalim! apatah lagi zalim terang-terangan!).

Saat kita mengecapi merdeka, Adenauer ada menyebut "Our enemies of today (selain Syaitan yang direjam - fikir ikut kepercayaan masing-masing) are not other nations. Our enemies of today are poverty, ignorance, disease and discrimination. What we need is co-operation based on the idea that the entire world is one human family. Ignorance and lack of understanding among Asian, African and Western nations is the greatest danger we are facing today".

Aku risau lagi..seruan Melayu dibajukan dengan Islam. Dan nama Islam diburukkan lagi oleh tindakan-tindakan yang mendahulukan sentimen berbanding hujah.

Katakan ya pada dialog! Katakan ya pada ilmu!

Allah s.w.t. tidak zalim, tanya pada diri kenapa Islam tidak dihormati lagi..

Semoga Allah s.w.t. beri kepada kita (terutama aku) kefahaman, kebijaksanaan, kejujuran dan keberanian untuk mendokong cita-cita Islam yang universal dan bukan ciptaan-ciptaan yang ada had dan hari (berdasarkan amalan kelompok tertentu).

14 Comments:

Blogger rastom said...

Sdr Amin,

Bidang pengkhususanmu itu menjurus kepada kelestarian alam! Potensi besar kerana dunia menuju ke arah polusi total. Sebut fasal Jerman Adenauer, ingat sungai Rhein, dulu yang paling tercemar, sekarang dgn teknologi Jerman, airnya boldeh diminum, ikan membiak-biak. Pakar Jerman juga di panggil untuk baikki pencemaran hebat di kilang simen langkawi tidak lama dulu.

Kita sebenarnya selalu terlewat. Baru mau belajar bikin kilang/industri, mereka sudah setapak maju- fokus sekarang bagaimana mau selesaikan soal kumbahan supaya lestari alam.

Terlewat lagi bagi mereka yang mau tinggalkan Islam, kerana Barat pula maukan Islam.

Barat mau kurangkan kenderaan bermotor, kita mau lambakkan Proton dan yang sepertinya dijalanraya.

Kabilah yang suka menghunus hunus keris pun sudah jauh ketinggalan, kalau saya di beri kontrak konsultan imej, saya cadangkan guna lightsaber yang laser spt yg digunakan dalam Star Wars.....dari marah orang jadi suka dan terpegun..baru nampak glokal.....

6:19 PM  
Blogger Hidayah Shahidan said...

assalammualaikum sdr

Saya sebenarnya secara kebetulan menjumpai blog saudara ini, link ke link dari blog Faisal Tehrani. Benar seperti yg Sdr Rastom perkatakan, Barat kini "come towards Islam", di UK dan di USA contohnya, Islam terus naik dan dijangkakan akan mendominasi seluruh Europe dalam masa 100 tahun. Peristawa 9/11 bukan dianggap satu musibah, tetapi ia adalah satu kurnia dari Allah Azza Wajalla yang telah membuka kaca mata masyarakat Barat tentang Islam, seterusnya menyebabkan mereka menyedari keindahan "deen" ini dan menjadi sebahagian daripadanya. Malaysia kini menjadi tumpuan serangan pemikiran dari pelbagai arah. Anak-anak muda yang diharap menjadi perintis generasi akan datang terlocat-loncat menyorak Akademi Fantasia. Faedah apa yang dapat tidak langsung difikirkan, hana keseronokan yang dicari. Malaysia sesungguhnya mengalami masalah yang amat serius, bukan Islam yang ditegakkan, tetapi lebih kepada dominasi kaum. Islam sinonim dengan bangsa Melayu. Jika 10 tahun lagi,jika terlalu banyak Melayu menjadi Kristian, adakah mereka masih orang Melayu? Kerana mengikut perlembangan orang Melayu mestilah beragama Islam. Hai, inilah yang jadi apabila Islam diambil sedikit dibuang yang lain. Compang-camping lah Islam itu. Sekadar memberi pandangan. Assalammualaikum.

7:29 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Salam,

Pak Rastom, saya setuju sangat. Sebenarnya pada asalnya saya langsung tidak berminat dengan kursus yang saya ambil sekarang..sehinggalah saya membaca buku-buku terbitan bersama KAF-IKD tentang alam sekitar dan hubungannya dengan aspek-aspek lain.

Ya, saya mempunyai pandangan dan sikap yang liberal terhadap Barat atas beberapa faktor yang mungkin didorong oleh pandangan (dari pembacaan) dan pengalaman peribadi.

Sebab itu saya tertanya sama ada kita boleh bertakwil bahawa 'Cahaya matahari yang terbit dari Barat sebagai tanda kiamat' itu adalah cahaya kebenaran ilmu Islam ini muncul dari Barat!

Saya melihat keruntuhan institusi kekeluargaan di Barat bukan sbg bencana sebaliknya hikmah dan teladan untuk kita. Hari ini, bukan sahaja kita sedar, malah Barat sudah mula mencorak jalan untuk memperbaikinya..dan saya melihat proses jatuh bangun di Barat sebagai sisi eksperimen mereka.

Tapi saya bukanlah orang yang layak untuk bertakwil..

Ya, sudah tentu Jerman menunjukkan contoh yang baik dalam banyak perkara terutama pendidikan. Di sana kita masih boleh bertemu dengan pendidikan percuma! Malah sebilangan siswa tempatan diberi pelbagai kemudahan untuk menjalani latihan praktikal di sana! Hal ini boleh dirujuk kepada sdr Muhtar Suhaili, mantan Presiden UIAM.

Jerman, dalam hal alam sekitar telah menunjukkan kesedaran. Negara Jerman telah banyak melabur dana untuk negara-negara yang sanggup memelihara kuantiti hutan sehingga 60% (tidak silap saya sekitar 500 billion untuk diagihkan!).

Tentang Konrad Adenauer, ya, kita boleh skeptikal tentang idea-ideanya atas perbezaan agama..tetapi pre-emptive judgement untuk saya tidak seharusnya menghalalkan permusuhan.

Konrad Adenauer dan Friedrich Naumann adalah dua yayasan Jerman yang telah banyak membantu pihak-pihak pemikir di Malaysia dalam banyak kajiannya.

Saya teringat sdr Faisal Tehrani pernah menyebut dalam satu forum anjuran IKD-KAF, tatkala menjelaskan susah payahnya menyiapkan 1511 lebih kurang maksudnya "Apa salahnya saya mengambil dana Yahudi jika Rafidah Aziz tidak mahu menyediakan dana untuk ini?" (kenyataan ini hanyalah sindiran.. :))

9:45 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Sdri Hidayah,

Dalam usaha menangani mehnah dalam dunia Islam pada hari ini, untuk saya, kita jangan terlalu cepat mendahulukan sentimen..

Saya bimbang, apa yang Stephen Covey nyatakan tentang fenomena 'quick fix'. Ya, sudah tentu kita sedih dan mahu melihat diri sendiri serta umat ini bangun dan mempraktikkan ajaran agama Islam sebagaimana yang dituntut..dari hal ini, kita mesti santuni dengan hati-hati dan berani.

Hati-hati maksud saya dengan ilmu. Berani maksud saya sedia membetulkan diri sendiri..

10:55 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Pak Rastom,

Saya baca kali kedua komentar Pak Rastom..dan kali ni saya senyum lebar.

Indahnya generasi Pak Rastom, bak kata sdr Wahyu, teman aktivis di Indonesia bahawa di sana aktivisnya berhati panas tetapi berotak dingin!

Ertinya sentimen masih belum sampai menewaskan kewarasan..

Saya ngak mahu komentar tentang itu, kerana yang sering dengar itu ribut aja di sana..dan saya tidak melihatnya..

Ingat lagi terkejutnya seorang teman dari Indonesia kerana katanya dalam dialog bersama DS Anwar Ibrahim "Di Malaysia ini tiada langsung berita tentang Pak Anwar, sedangkan di Indonesia itu semasa Pak Anwar hadir seminggu itu berita tentang bapak saja di muka depan!"

Suka saya dengan sense of humor generasi Pak Rastom..tentang keris tu DS Anwar kata ia pusaka..nanti tikam diri sendiri kerana di mulut yang lain dari yang dibuat..

Pak Rastom di Kedah ka? Nantila bila-bila saya balik Kangaq saya turun Aloq Setaq kita jumpa ka..hehe

Sempoi!

6:41 AM  
Blogger rastom said...

"Apa salahnya saya mengambil dana Yahudi jika Rafidah Aziz tidak mahu menyediakan dana untuk ini?"
Dalam tusukan tu. Yahudi boleh tahan juga, jangan Zionis, mungkin Zionis tidak layan langsung. Ya, saya terpinggir jauh dari pusat perkembangan intelektual nasional, cuma harapkan lowongan internet untuk kekal waras! Hang orang Kangaq ka?

6:48 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

haha..saya tak tau la yahudi dgn zionis ni dia punya kesulitan pergerakannya bagaimana..tapi secara peribadi, tanpa bukti, saya percaya bahawa sentiasa ada agen2nya yang bergerak! dengan bayaran duniawi yang mahal!

ya pak rastom, orang kangaq!

ya, internet ni saya kira antara pandangan ke depan Tun Dr M melalui projek MSC. Ingat hal Toffler meletakkan jawatan sbg penasihat MSC semasa isu DS Anwar?

di situ sebenarnya ada jutaan makna tentang kebebasan dan sikap kompetitif orang Islam.

7:07 PM  
Blogger rastom said...

a, internet ni saya kira antara pandangan ke depan Tun Dr M melalui projek MSC Mohon dikoreksi. Kebetulan saja Dr. M berkuasa tatkala teknologi internet digunapakai diseluruh dunia. Saya sudah bermain PC sebelum ada MSC, ketika itu belum ada Jaring atau TMnet, tetapi ada Bulletin Board dan newsgroups. Saya kira sokongan dari para penasihat yang telah memberi Dr.M ilham untuk MSC. Pun demikian banyak projek flagshipnya yang dah kantoi dan duit hangus. Thailand tidak sibuk pasal MSC tetapi terkedepan berbanding Malaysia dari segi membangunkan sofwer Open Source - sudah ada Linux Thailand. Padahal modal untuk itu tak seberapa hebat tetapi tiada dibikin. India tiada bikin projek agung seperti MSC tetapi berjaya mendidik anak bangsa sebagai jurutera-sofwer yang diterima kerja oleh Microsoft.

Tak sangka orang Kangaq hebat hebat sekarang!

9:06 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Terima kasih Pak Rartom atas koreksi yang diberi.

Mungkin saat itu TDM jadi PM..ya, kenapa konteks itu tidak saya lihat?
Cuma mungkin alasan saya begini..

Sekurang-kurangnya TDM memilih untuk mendengar nasihat saat itu..hehe
Saya baca dari risalah kecil ucapan PM saat itu akan kepentingan MSC (entah ada lagi atau tidak dalam kotak stor buku2 saya).

Dari hemat saya, bukanlah sesuatu yang mudah sebenarnya untuk membuat keputusan membina MSC saat itu Pak Rastom. Di tengah-tengah gawat segalanya - ekonomi, politik dll..
Jadi keputusan TDM saat itu, yang mungkin datang dari kerahan idea orang lain bagi saya tepat.

Cuma sayang, kita mungkin selalu tidak fikir habis. Cabaran globalisasi dari gelombang ketiga ini dinilai terlalu cetek. Saya katakan ini kerana kita masih ada YB-YB yang sekeras-kerasnya mahu mempertahankan OSA, ISA, AUKU malah internet juga mahu dipantau!

Mereka ini untuk saya, bukan saja YB-YB kerajaan tetapi juga sekelompok pendokong Islam yang percaya ketaatan pada pemerintah tidak ada tolok bandingnya hingga mereka tidak sedar bahwa ramai yang menumpang hujah itu menghalalkan kezaliman atas faham..

pemerintah = kebenaran..

dan malayasia akan terus berlabuh tanpa sedar bahawa kapalnya sudah menjadi sangat perlahan!

orang Kangaq syukur bergaul dengan pelbagai kelompok yang mencerahkan..
tapi cukup sedar diri ketinggalan.

11:55 PM  
Blogger me,myself n all around da world said...

amin, bukankah race itu sendiri memainkan peranan dlm agama kerana islam juga mengiktiraf uruf. disamping islam itu bersifat alamiyyah, islam juga bersifat waqi'iyah. apakah yg kita cari islam yg authentic, kalu begitu wahabi lah jalannya,hehe

tapi setelah nazi jatuh,german semacam hilang taring, mungkin dari segi teknologi berkembang tapi dr segi kuasa berbanding USA jauh sgt. mungkin kdg2 stail demokrasi tak byk membantu, diktatorial itu mungkin lebih sesuai atau lebih tepat stail autokratik.

pak rostam, sy penah guna OS-Linux,agak pening juga nak guna OS. so akhirnya kembali kpd window microsoft...menambahkan kekayaan bill gates,hehe


p/s: seperti keris pusaka DSAI menikam diri sendiri,hehe

10:32 AM  
Blogger rastom said...

Sdr Amin, dan me, myself!

Sedikit tambahan mengenai undang undang zalim vis-a-vis MSC. Kedua dua nya tidak cocok samasekali. Niat asal MSC mahu wujudkan semacam Lembah Silikon, tetapi apa kesudahannya? Silicon Valley menarik insan cemerlang IT beroperasi dari seluruh dunia kerana ada "iklim hikmat" yang menarik. Orang berfikiran kreatif lebih selesa dengan "iklim hikmat" itu. Iklim itu jugalah yang sudah kini lesap dari IPT-IPT. Jika contohnya UKM atau UM punyai iklim hikmat itu, bisa menarik pakar pakar, ilmuan, cerdik pandai untuk melabuhkan kapal mereka di sana. TEtapi dengan ketiadaan iklim lestari minda akhirnya kita perolehi brain-drain. Wallahua'lam

1:44 PM  
Blogger rastom said...

sdr me,myself n all around da world,

(dengan izin Sdr Amin)

Os Linux pada asalnya dibangunkan untuk yang ahli sahaja tidak seperti Windows yang pada asalnya dibina untuk home user/end user. Cerita evolusinya cukup menarik lagi warna warni dari asalnya UNIX. Budaya siswa/siswi IPT di kampus meneroka teknologi terangkum didalamnya. OS Linux membawa obor KEBEBASAN BERFIKIR - kod sumbernya percuma dan dari hasil percambahan fikiran semua aktivisnya lahir pelbagai versi Linux. JAngan terkejut, Google juga menggunakan server yang dijana oleh sejenis versi Linux. Dengan Linux kita boleh (jika berkepakaran) mengubah suaikannya untuk keperluan spesifik, misalnya SDr Amin boleh ubahsuaikan OS LInux untuk digunakan dalam kerja memantau alam sekitar, bikin sofwer sendiri untuk itu, sedangkan Windows - apa yang ada didalamnya dirahsiakan...mesti ada lesen jika digunakan didalam industri!

1:52 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Wah, semacam menarik bunyinya.

Nanti akan saya explore Pak Rastom. Saya ni hanya mengenal komputer (dalam erti kata menggunakannya) hanya lewat sekolah menengah.

Maklumlah, orang Kangaq bukan berduit sangat..masa tu kat Kangaq pun CC 1 jam = RM10!

2:05 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Islam antara global dan lokal..

Islam adalah rahmatan lil 'alamin, untuk saya aspek waqi' adalah soal perlaksanaan setempat..prinsipnya masih sama di mana-mana.

Islam tetap tertegak dengan dasar ilmu dan ditunjukkan dengan keadilan.

Ya, Pak Rastom..iklim hikmat itulah yang jadikan internet penting..tapi masih ada mereka yang tidak mahu mengerti atau dalam erti kata lain sengaja memilih untuk tidak mengerti. Ini aspek waqi' yang mengatasnamakan Islam untuk kepentingan diri.

Me, Myself..sejak Reformasi 1998 (dengan 'R' besar), saya ternanti-nanti jutaan kekayaan DSAI untuk ditelanjangkan oleh orang-orang UMNO. Apakah ini terlalu sukar? Malah jika ada 1 pun sudah tentu ia akan dicanangkan seantero dunia!

Saya melihat Tun dan tokoh2 UMNO sama seperti yang lain - tidak terlepas dari kedaulatan undang2. Kenyataan Tun menyalahgunakan kuasa disebut sendiri oleh bekas Pengarah BPR dalam mahkamah semasa bicara DSAI. Apakah ada political will dalam diri pimpinan kerajaan sekarang untuk membawa perkara ini ke atas? Dan banyak lagi laporan polis telah dibuat malah sebahagiannya telah disahkan oleh Peguam Negara, Tun dan Rais Yatim!

Orang kita memang suka yang spekulasi. Yang terbukti depan mata masih mahu ditidak-tidakkan.

Maka hadhari hilang makna..dan orang bukan Islam akan melihat erti tamadun dari perspektif Islam sebagai mengarut dan penuh dengan kejelikan. Kita boleh cerita tentang kegemilangan Islam pada zaman lampau..tapi dunia bukan wayang kulit!

2:13 PM  

Post a Comment

<< Home