Thursday, October 19, 2006

Raya

'Shahrir pesimistik pertemuan Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri' lebih kurang kenyataan YB Shahrir Samad yang dipetik di UMNO-Reform

Raya makin dekat. Dalam tempoh menjelang raya banyak yang selalu dibincangkan. Persiapan keluarga sudah tentu berlaku - tidak banyak, sikit tetap ada ataupun sekurang-kurangnya kemahuan untuk itu.

Dalam sibuk-sibuk nak raya, tiba-tiba muncul kenyataan Tun Dr Mahathir akan bertemu empat mata tanpa saksi dengan Perdana Menteri meskipun syarat asal Tun ialah dengan seorang saksi yang diyakini. Sudah tentu pertemuan ini sesuatu yang dinantikan ramai kerana mereka mengharapkan penyelesaian dan boleh dikatakan ia sebahagian daripada pelampung penyelamat UMNO Baru.

Namun YB Shahrir Samad pesimis, berdasarkan kenyataan beliau yang kenal dengan watak Tun Dr Mahathir. Namun, beliau tidak menafikan bahawa pertemuan ini boleh jadi sesuatu yang baik.

Tapi aku terkilan kerana ramai menganggap pertemuan ini akan menyelamat Melayu dan UMNO. Bukan kerana aku anti UMNO Baru atau tidak kasih bangsa, tapi terkilan aku kerana agendanya cukup cetek. Ia tidak langsung berani menyatakan kepentingan ketelusan, hak rakyat mendapat maklumat dan sebagainya dalam agenda menyelamat yang dimaksudkan. Cukup jelas dan nyata ia hanya satu jalan yang difikirkan untuk memastikan UMNO Baru tidak kalah.

UMNO Baru, bagi aku, mesti merubah indikator dalam penilaian kerajaan..bahawa negara ini akan tinggi martabatnya bila integriti diberikan keadilan (diletakkan pada tempatnya). Aku tidak pasti sejauh mana faham ini dapat diterjemahkan dengan baik oleh kerajaan kerana ada conflict of interest yang cukup nyata dalam operasi kerajaan dan tuntutan parti berasaskan kaum dalam BN.

Tentang raya juga..syabas kepada PM dengan keputusan membebaskan tahanan ISA meski bersyarat. Syarat tidak boleh berucap di pentas selama 11 bulan yang dikenakan kepada Nik Adli Nik Aziz mungkin satu indikator bahawa Pilihan Raya akan dijalankan dalam tempoh tersebut.

Menyentuh Pilihan Raya, juga berkaitan dengan hari raya..kerajaan baru menaikkan tarif air dan ini ternyata bertentangan dengan aspirasi rakyat. Dulu, masa aku mula melangkah ke universiti sekitar 2000, pernah aku suarakan dalam dialog bersama menteri tentang murahnya air yang kita jual kepada Singapura sehingga RM 1 bezanya dengan kadar yang dibayar oleh rakyat Kedah! Ia umpama menyusukan kera di hutan sedang anak di rumah mati kelaparan.

Kenaikan tarif air ini akan pasti menyusahkan rakyat! Dan aku bersetuju dengan memorandum MTUC yang boleh dibaca di UMNO Reform. Sehingga kini meski jualan minyak setong di pasaran dunia telah berkurangan dengan banyaknya, rakyat masih terus terpaksa membayar harga yang sama semasa kenaikannya.

Apa ertinya semua ini?

Kita ada raya dan kita ada Pilihan Raya..kita jangan cepat berpuas hati dalam syukur. Ramadhan berlalu untuk ditangisi, Pilihan Raya berlalu..kita sering menangis kemudiannya..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home