Tuesday, October 17, 2006

ASLI

"Ekuiti bumiputera telah mencapai 45%" lebih kurang kenyataan ASLI. "Tidak!" jawab balas kerajaan dan beberapa tokoh UMNO

Asli dalam bahasa kita bukan bermaksud tiruan. Asli adalah kata lain bagi tulen. Tapi kenyataan ASLI sejak beberapa hari lalu telah bikin ribut. Kenyataan bahawa ekuiti bumiputera telah mencapai 45% telah menyebabkan banyak suara muncul dari kalangan pelbagai tokoh baik kerajaan atau pembangkang.

Ada isu lain yang aku cuba lihat selain daripada ribut bagaimana kerajaan menentukan jumlah 18.9% dalam kenyataannya. Ya, sudah tentu tuntutan hitam-putih untuk fakta ini mesti dibentangkan. Sudah lebih 20 tahun DEB dilaksanakan dan pada awal 90-an telah diforumkan 'kenapa DEB gagal' mencapai ekuiti seperti yang dirancang dalam tempoh masa tersebut dan kini telah hampir masuk 20 tahun selanjutnya selepas forum tersebut diadakan, DEB masih lagi disebut dan perangkaannya seolah-olah tidak ada perubahan meski dalam banyak kenyataan kita sering dimomokkan dengan kata 'negara kita maju, berdaya saing dan makmur'.

Ada yang tidak kena di sini. Sudah tentu aku melihat terma 'maju, berdaya saing dan makmur' itu sangat tidak mencerminkan nilai angka ekuiti bumiputera yang sangat mencurigakan. Dan bukan sekadar bagaimana matematik yang menunjukkan angka itu yang patut ditanya, tetapi siapa pemegang jumlah ekuiti itu juga patut ditunjuk. Daripada hampir 60% orang Melayu Bumiputera, aku yakin sebahagian besar ekuiti itu hanya dipegang oleh tidak sampai 10% Melayu Bumiputera pun! Dan mereka ini sebahagian besarnya berpagi petang menyebut tentang 'SELAMATKAN MELAYU!' malah mereka juga yang bagi aku 'meracuni' fikiran anak muda dengan 'Agenda Melayu' yang sempit hingga anak muda pada hari ini hanya mengenal perjuangan melayu yang disandarkan pada Islam bila tersepit dan penuh dengan kacau bilau pemikiran dan praktis yang tidak adil malah menjauhi Islam serta budaya melayu itu sendiri!

Pelik memang pelik. Aku hanya melihat isu sejak dua menjak ini seakan menepati ramalan aku bila keputusan Pilihan Raya 2004 diumumkan. Ia masih sekitar soal politik perkauman yang sangat sempit dan berbahaya. Jika pada Pilihan Raya 1999, majoriti undi Melayu pindah kepada Barisan Malaysia Baru atau Barisan Alternatif, Pilihan Raya 2004 undi Melayu tidak lagi majoriti kepada mereka, seolah-olah wujud perancangan untuk membiarkan Lim Kit Siang menerajui Parlimen di pihak oposisi dan agenda Pembangkang di Dewan adalah Cina dapat terus dihidupkan.

Isu kaum makin marak sejak akhir-akhir ini. Aku percaya selain itu juga isu lain yang tipikal seperti nasionalisme juga sering ditiup. Hanya dua itu isu yang menjadi kubu akhir aparat politik yang kununnya mahu menyelamatkan Melayu.

Maka kajian ASLI ini mesti dilihat secara kritis. Dalam masa kita setuju bahawa banyak tuntutan-tuntutan yang datang kemudian sebagai perlu, kita perlu peka bahawa yang berani menyatakannya adalah seorang intelek Cina, yang mana isu ini akan cuba diputar semahunya. Ia sudah tidak akan dirujuk kepada akal, tetapi emosi dan nafsu.

Jauh daripada itu, untuk aku, ekuiti bumiputera atau tidak jatuh isu sampingan kerana big picture atau gambaran sebenarnya ialah soal agihan kekayaan negara, soal ketelusan pemerintahan, soal demokrasi liberal dan soal penghayatan Islam.

Sebenarnya UMNO Baru tidak perlu bimbang pun kerana faktor pembangkang bukanlah begitu kuat sebelum ini, tetapi aku lebih percaya bahawa UMNO terlungkup kerana anai-anai yang cukup banyak dalam rumahnya!

Jangan biarkan yang asli jadi tiruan!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home