Thursday, November 09, 2006

Ekonomi

"It's economy, stupid" begitulah bunyi manifesto yang pernah popular dan mengangkat naik seorang Presiden US.

Ekonomi sering dinisbahkan dengan duit. Tapi realiti kini, bila cakap soal ekonomi kita nisbahkannya kepada kestabilan sosial. Sebab itu kata-kata 'duit bukan segalanya' tidak hidup kerana jawabnya 'segalanya nak duit'. Cakap-cakap mudah tentunya 'masuk tandas pun kena bayar 30 sen tau!' (walaupun tandas tak pernah dijaga dengan baik, huh!)

Kenapa dikaitkan dengan kestabilan sosial? Kerana kayu ukur kestabilan sosial bagi aku integral dengan keadilan sosial. Dan keadilan sosial ini sering dibeli dengan duit. Contoh politik - bila diberi wang RM50 serta sedikit kain batik dan sebagainya, maka ada mereka yang gelap mata dan memilih mereka yang perasuah (?) untuk naik menjadi 'somebody' dalam masyarakat. Dan 'somebody' inilah yang mengaut harta kekayaan, menjadi angkuh dengan kuasa dan sebagainya yang jelek. Dan nilai RM50 tu jadi nilai prinsip individu kerana dengan RM50 manusia sanggup gadaikan 'perancangan sosial' dan ia petunjuk bahawa RM50 sudah cukup penting dalam kehidupan sosial masyarakat kini (jika RM50 terlalu kecil di KL, bolehlah ditaburkan di Perlis atau Sabah barangkali). Tanya saja siswa yang sanggup menunggu sehingga jam 2-3 pagi untuk mendapatkan RM50 'duit raya Menteri Besar' tempoh hari.

Dan pengumuman kerajaan bahawa DEB telah dicapai dengan perangkaan 36.6% jelas satu tamparan hebat sebenarnya. Kerana pada hari ini amat jelas bahawa masih ketara masyarakat miskin di mana-mana.

Kenapa ia tamparan hebat?

Pertamanya tentu sekali dakwaan angkuh 18.9% yang pernah sedap mulut dicakap oleh orang-orang besar kita malah ada yang keterlaluan.

Kedua, seperti yang pernah aku dakwa..bahawa sebahagian besar kekayaan dari hasil DEB ini HANYA DIMILIKI oleh tidak lebih 10000 orang berbanding berjuta umat Melayu yang ada di Malaysia. Malah tidak mustahil angkanya sekitar 5000 orang. Daripada 36.6% ini, mungkin 25% hanya dimiliki oleh orang-orang tertentu, dan jika dinilai lebih halus akan tertulis bahawa si polan dan si polan punya kaitan politik dengan si polan dan si polan - secara akrab! Jika tidak bisnes, cukuplah menjadi seorang think tank..jika dapat memasukkan RM100 000 dalam akaun seseorang jadi cukup mudah, selain hadiah berlian dan barangan kemas..maka, sudah tentu nilai kekayaan beberapa kerat individu ini cukup lumayan.

Justeru, kerelevenan sebuah dasar ekonomi yang lebih menyeluruh pada aku satu tuntutan yang cukup wajar. Hal ini aku rasakan cukup dalam bila menilai semula emolumen universiti dalam dasar pengkorporatan IPTA dan bagaimana jerit perih seorang siswa bersabung 10-15 tahun untuk hanya membayar hutang pinjaman pelajaran.
Ada banyak alasan boleh disenaraikan sebenarnya.

Agenda memerdekakan graduan dan universiti daripada masalah kewangan adalah satu tuntutan kestabilan sosial sebenarnya untuk aku. Kerana pendidikan tidak boleh digadai untuk apa juga kepentingan sempit termasuk faham agama (yang sempit!)..misalnya jika seorang Sunni mendakwa mereka yang paling benar dan larangan dikeluarkan untuk membincangkan perkara Syiah, Liberal dan sebagainya. Ataupun mungkin seorang Melayu melarang perbincangan tentang tuntutan Suqiu.

Kedua, tenaga muda yang bergraduat mesti dioptimumkan. Jika seorang anak muda telah 'diperangkap' dengan 'beban hutang lapuk' yang sentiasa meningkat - bagaimana realiti hidup berkeluarga dan sebagainya di celah gembar-gembur pengangguran, masalah jenayah, tenaga muda yang tidak balik berkhidmat dalam negara serta seribu macam kisah yang mengongkong sumbangan anak muda.

Pokoknya semua mesti berkongsi cita-cita membangun sebuah negara yang adil dan makmur. Kerana adil untuk aku adalah cita-cita masyarakat yang beragama. Di mana hak ditunaikan kepada semua warga. Dan warga akan merasai kemanisan sebuah sistem yang ditadbir dengan roh agama bila yang elok terus ditambahbaik, yang kurang elok malah buruk itu bersama berkongsi cita dan tindakan menghapuskannya.

Yang ideal itu sentiasa nampak sempurna dalam fikiran. Bukankah yang sempurna itu sering kita dakwa sebagai agama atau kepercayaan kita?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home