Sunday, February 19, 2006

Membaca *

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)" - Al-Quran, Al-'Alaq, ayat 1.

Membaca adalah hasutan! Mungkin sebab tu orang kita tak berapa suka nak membaca..yer ke? Aku antara percaya dan tidak dengan kenyataan tu. Tetapi yang penting bagi aku ialah bagaimana membaca itu dapat mencerahkan. Ada saja orang (dan mungkin aku) yang membaca tapi tidak dicerahkan. Hal ini penting kerana membaca boleh jadi alat penindasan!

Dulu waktu kecil, sering aku dengan lagu Andrian di kaca televisyen. Bunyinya lebih kurang begini.. "Buat apa kawan, buat apa kawan..kenapa kita duduk termenung sahaja? Ibu dan ayah pasti gembira, melihat kita duduk dan rajin membaca" ..entah betul ke tidak tapi lagu tu khas untuk kempen membaca. Dan aku pada waktu itu bukanlah orang yang suka membaca!

Ada berita menarik hari ini. Sebenarnya berita ni aku dah dengar berkali-kali dari pelbagai pihak. Ada yang pro dan ada yang kontra. Jom kita tengok..

Memang memeranjatkan bila meneliti hasil ‘Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia’ oleh Perpustakaan Negara pada 1996 yang merumuskan secara amnya rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Kajian ini juga mendapati, bahan bacaan yang paling digemari ialah komik, diikuti majalah, buku dan surat khabar.

Antara jawapan yang diperoleh menerusi hasil tinjauan orang ramai ialah tidak mempunyai lebih masa atau juga kurang berminat membaca.Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Apakah masyarakat sudah terlalu sibuk dengan urusan seharian sehingga tidak mempunyai masa untuk mentelaah sebarang bentuk bahan bacaan yang terjual di pasaran? Atau mungkinkah masyarakat tidak lagi berminat untuk membaca buku, sebaliknya lebih tertumpu kepada sumber ilmiah lain seperti Internet, televisyen atau radio untuk mendapatkan maklumat terkini?

Bila melihat purata membaca buku di kalangan masyarakat kita nyata jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan senario masyarakat di negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China yang menjadikan buku sebagai teman setia di waktu terluang. Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Dr Wan Ali Wan Mamat, berkata berdasarkan kajian pada 1996 itu, Perpustakaan Negara sekali lagi mengadakan kajian terbaru bagi meneliti kadar celik huruf (literasi) dan tabiat membaca di kalangan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, kajian bertajuk Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 yang dimulakan pada Jun lalu dengan kerjasama Jabatan Statistik dijangka dapat diketahui hujung tahun ini.“Kajian ini merangkumi tinjauan membabitkan seramai 60,000 rakyat pelbagai peringkat usia di seluruh negara.“Dalam kajian ini juga, kita akan ketahui tahap kecenderungan masyarakat Malaysia membaca, selain bahan bacaan yang dibaca untuk dikumpulkan ke dalam data.“Tinjauan bermula Jun sehingga Ogos lalu penting bagi mengemas kini maklumat, di samping mengetahui tahap kecenderungan membaca masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kajian yang masih dalam peringkat semakan data itu bakal menjadi kayu pengukur bagi jabatan itu dalam usaha memperkasakan lagi tabiat membaca.Ditanya mengenai kelompok usia paling cenderung mengamalkan budaya membaca, Dr. Wan Ali berkata, golongan remaja mendahului senarai paling tinggi yang kerap membaca. “Kelompok ini (remaja) terutama penuntut universiti dan kolej semestinya memilih buku teks sebagai bahan bacaan wajib dan tidak terkecuali memilih bahan bacaan berbentuk hiburan dan novel sebagai pilihan mereka,” katanya. Dr Wan Ali berkata, walaupun kempen membaca dilaksanakan Julai, pihaknya turut mempromosikan kempen galakan membaca secara berterusan sepanjang tahun.

Mengenai tema Rajin Membaca Pasti Berjaya, beliau berkata, setiap tema yang diketengahkan bertujuan untuk menarik minat serta sebagai galakan untuk menyedarkan rakyat pentingnya membaca buku.Beliau berkata, dalam merancakkan lagi usaha membentuk masyarakat yang gemar membaca, kerajaan juga menambahkan lagi infrastruktur perpustakaan di luar bandar dengan mewujudkan sebanyak 200 perpustakaan desa yang kini dalam tempoh 90 peratus disiapkan.Ketika ini, Perpustakaan Negara mempunyai 700,000 ahli berdaftar dengan purata seramai 3,000 pengunjung pada setiap hujung minggu, manakala purata 1,000 pengunjung setiap hari.“Pada pandangan saya, kemajuan teknologi maklumat turut sama penting dengan peranan buku kerana bagi saya masing-masing mampu memberikan maklumat dalam kita mendapatkan sumber maklumat terkini,” katanya.

Ditanya juga mengenai pandangan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang dipetik berkata “Jika kita meminjam buku di perpustakaan, kita sentiasa terkebelakang lima tahun.” (Berita Harian (BM) 31 Julai 2005).“Pada pandangan saya, falsafah yang dikemukakan datuk itu sebenarnya menggalakkan orang ramai memiliki sendiri buku, iaitu tidak menangguhkan untuk mendapatkan buku sendiri,” katanya yang tidak menganggap kenyataan itu sebagai mengkritik Perpustakaan Negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah, berkata adalah sukar sebenarnya untuk mengukur budaya membaca di kalangan masyarakat.“Jika dikatakan orang ramai tidak baca, tetapi pada masa yang sama kita dapat lihat kebanjiran toko buku dengan penerbitan majalah dan buku pada setiap tahun.“Persoalannya, adakah masyarakat kita membeli untuk membaca atau melihat gambar semata-mata?” katanya.Dr Firdaus berkata, ketika ini sukar untuk menyaksikan amalan membacakan cerita kepada anak-anak oleh ibu bapa kerana kehadiran bentuk maklumat lain seperti televisyen.“Sekiranya amalan membacakan cerita sebelum tidur tidak kiralah cerita pendek atau sajak, saya percaya dengan sendirinya ia mampu merapatkan kemesraan keluarga secara amnya,” katanya. Apakah masa depan buku dan pengaruh teknologi maklumat (IT) terhadapnya? “IT adalah ‘penawar dan racun”, jelas Dr Firdaus.

Baca, rehat dan minum di kedai buku“Ramai yang suka buku dan baca buku tetapi lokek beli buku.” Itu kata-kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.Tambahnya lagi: “Jika ini keadaannya, sama ada anda pergi ke kedai buku dan duduk di sana dan habiskan membaca buku itu di sana, kerana mahalnya, atau pergi ke perpustakaan. Tetapi biasanya di perpustakaan buku baru lambat sampai, jadi anda akan sentiasa terkebelakang lima tahun.“Jika kita beli, dalam detak dan detik yang sama, kita membaca buku berkenaan dengan orang lain di negara lain.”Jadi, mana satu pilihan anda? Beli, baca di kedai atau pinjam di perpustakaan?Masing-masing pasti ada jawapan tersendiri. Hendak membeli mungkin tidak mampu, pinjam di perpustakaan, mungkin jadi seperti yang disebut Sasterawan Negara, `sentiasa terkebelakang lima tahun’!

Mungkin bagi kebanyakan yang gemar membaca, tetapi tidak mampu membeli kerana mahal dan tidak mahu ketinggalan dengan meminjam di perpustakaan, membaca di kedai buku adalah pilihan paling sesuai.Lebih-lebih lagi, kebanyakan kedai buku utama hari ini seperti MPH, Borders dan Kinokuniya, bukan saja menyajikan bahan bacaan pelbagai dan terkini malah menyediakan ruang untuk pengunjung menghayati isi kandungan buku di situ.Tidak cukup dengan itu, ada kedai buku yang turut menempatkan kafe di dalamnya dan pelanggan boleh membaca, sambil menikmati kopi ditemani muzik yang setia berkumandang.i-Kon turut mengunjungi beberapa kedai buku utama di sekitar ibu kota bagi melihat senario di sana. Memang ramai pengunjungnya, dari yang kecil, remaja hingga ke dewasa. Ada yang sampai duduk bersila membaca buku dan ada yang khusyuk `merenung’ komputer, mencari tajuk buku yang dihajati.Rata-rata yang ditemui mengakui kunjungan ke kedai buku utama ini adalah untuk `membaca secara percuma’. Ramai juga yang beranggapan kedai buku ini adalah `perpustakaan’, malah lebih berkesan fungsinya berbanding perpustakaan sedia ada kerana menyediakan 1,001 macam bahan bacaan yang terkini.Tidak kurang juga yang `berhabis’ berbelanja di kedai buku ini, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan buku terkini, juga buku dari luar negara.Menarikkan? Oleh itu, kepada sesiapa yang jarang-jarang hendak menjejakkan kaki ke kedai buku atau langsung tidak pernah ke kedai buku sebegini..bawa-bawalah diri ke sana. Semoga kita menjadi masyarakat yang gemar membaca.
________________________

Info Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996
Literasi penduduk meningkat 93 peratus.
87 peratus penduduk benar-benar mengamalkan tabiat membaca.
79 peratus rakyat Malaysia membaca akhbar, majalah (47 peratus), buku (52 peratus) dan komik (32 peratus).
Akhbar dipilih oleh kelompok berusia 15 tahun hingga 44 tahun.
Majalah dibaca sebahagian besar kelompok berumur 15 tahun hingga 34 tahun.
Minat membaca buku dan komik pula menurun selepas umur 24 tahun.
________________________

Dari maklumat di atas, membaca sudah tentu punya kaitan rapat dengan faktor ekonomi..dan juga psikologi. Pernah aku baca dalam majalah i di mana sebilangan pengusaha menafikan fakta 2 buah buku setahun kerana hasil jualan mereka sangat memuaskan. Mungkin soalan aku - sama ada bacaan itu mencerahkan atau tidak relevan dalam kupasan lanjut persoalan ini.

Bagaimana rupa masyarakat buku di Malaysia 30 tahun akan datang ya? Membaca - antara "penawar" dan "racun", siapa boleh jelaskan apa itu ilmu? maklumat? dan fakta? Dan aku bertanya lagi ilmu, maklumat dan fakta itu untuk apa? Bukankah sang penguasa sering kali cemburu dengan 'bijak pandai'?

Di Austria, pada abad ke-19, dalam satu perhimpunan guru di Lyceum Laibach pada tahun 1821, Sang Diktator - Maharaja Francis - dengan angkuhnya "Aku tidak mahukan bijak pandai, aku mahukan orang yang taat. Tugas kamu adalah mengajar mereka (orang muda) hingga ke tahap itu. Siapa yang bekerja dengan aku mesti mengajar apa yang aku mahu".

Bukankah kita di Malaysia seakan menuju (malah telah berada) di landasan yang sama? Dan kita bersikap tidak apa (?) malah berbangga dengannya... (?).

* Artikel ini telah siap sejak 16/10/2005 dan diedit pada 19/02/2006

2 Comments:

Blogger Unknown said...

Minat membaca nampaknya berlaku jika ianya mendapat pulangan..membaca yang boleh dapat duit..membaca yang boleh lulus periksa..membaca untuk tenangkan hati...membaca saja-saja tu agaknya tak ada ...baca surat khabar pun setengahnya nak tahu tentang nombor...Bacalah apa saja yang anda minat.

11:32 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

Wah, sengaja saya jengok tulisan lama, x sangka ada juga orang masih mahu meninggalkan pesan.

Arigato!

8:29 PM  

Post a Comment

<< Home