Parlimen
Hari ini ada satu berita menarik yang aku baca di Malaysia-Today. Seruan Perdana Menteri kepada semua ahli Parlimen untuk memantapkan Parlimen melalui peningkatan dalam perbahasan amat aku puji. Kepada mereka yang menganggap Perdana Menteri telah 'lost control' terhadap perbahasan di Parlimen sepatutnya menyambut 'kelonggaran' ini dengan menekankan kepentingan ahli Parlimen memanfaatkan ruang itu untuk perbahasan yang membina. Syabas kepada Perdana Menteri kerana menggunakan kuasa yang ada untuk kebaikan rakyat. Semoga ALLAH s.w.t. akan memberi kekuatan agar kata jadi amalan. Seruan Perdana Menteri ini adalah penegasan lanjut apa yang dinyatakan oleh Ketua Whip Parlimen sebelum ini.
Sebelum ini juga Dato' Shahrir Samad, Ketua Kelab Penyokong BN di Parlimen atau ringkasnya disebut Backbenchers pernah menegaskan bahawa integriti harus bermula di Parlimen. Beliau dalam seruan mempraktiskan 'Dewan Yang Mulia' mengingatkan seluruh ahli Parlimen agar tidak menjadi kedai kopi. Usaha beliau mengingatkan bahawa Parlimen adalah institusi terpenting dalam sistem politik di negara disokong oleh Ketua Pembangkang di Parlimen. Kit Siang dalam kenyataan yang sama turut membangkitkan pelbagai isu, apa yang disifatkannya sebagai mengecewakan.
Berhubung integriti institusi Parlimen ini juga, sepanjang di bawah pentadbiran Perdana Menteri baru, aku dapat melihat sedikit pergerakan yang boleh aku katakan kemajuan berperingkat (sudah tentu aku tidak maksudkan mencukupi).
Perjalanan Parlimen menuju kepada usaha autonomi (ada lagi di sini, dan di sini) adalah sesuatu yang penting dan wajar diberi perhatian oleh rakyat. Sebagai siswa, aku percaya dengan adanya autonomi di Parlimen, ruang autonomi Universiti dibicarakan semakin cerah.
Sejak 2 Pilihan Raya terakhir ini, umum melihat adanya denyut gelombang dalam politik Malaysia (kerana pada tahun 1999 berlakunya Reformasi berikutan kontroversi pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan 2004 berlakunya transisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi). Aku percaya Pilihan Raya akan datang mungkin berlaku lagi gelombang kerana pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim (tidak mungkin beliau akan berdiam jika (1) Beliau percaya pada perjuangannya (2) Beliau mahu atau dimahukan untuk menjawat kedudukan Perdana Menteri).
Sebagai rakyat, aku percaya seruan lama, untuk rakyat menikmati akses kepada perbahasan di Parlimen dapat ditunaikan. Kerana wakil rakyat, selain daripada dibiarkan terus memomok rakyat dengan pelbagai agenda perlu juga dipantau sumbangan mereka setelah diangkat sebagai wakil. Apakah benar mereka mewakili rakyat setempat yang memilih mereka, atau mereka lebih kepada wakil parti, atau lebih hina mereka sekadar mewakili diri. Usaha ini nampak tidak mustahil memandangkan ada seruan menyiarkan siaran langsung melalui laman web. Ketidaksediaan kerajaan untuk menimbangkan permintaan ini akan mengundang lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
Ringkasnya ada fikiran yang tersirat daripada hal ini yang sering didiamkan. Lihat, lihat, lihat akal waras manusia sebenarnya percaya bahawa integriti itu datang daripada usaha untuk bebas dengan tanggungjawab.
Tapi kenapa seruan bebas sering dimangsakan? Malah sang penyeru kebebasan juga ada waktunya merantai kebebasan itu sendiri atas nama 'damage control' (walaupun isunya adalah isu rasuah dan salahguna kuasa yang patut ditentang!).
Parlimen tidak bergerak sendiri. Integriti harus bermula dari diri.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home