Friday, May 11, 2007

Negara Kota : Athens yang runtuh dan bangkit semula

"Saya yang 2.000 (CGPA bergraduat) ni lebih mulia daripada dia (pegawai kanan universiti yang berpangkat PhD dan mendapat Profesor penuh baru-baru ini)" kata seorang kenalan aku kepada seorang pensyarah bila akhirnya dia sendiri merasa kezaliman yang sering didengarnya sebelum ini.

Sekitar tahun 400 SM, negara kota yang pernah dikenal agung ini runtuh dalam serangan tentera Sparta – Perang Peloponnesian di mana rakyat Athens sebahagiannya telah dijadikan hamba. Sparta berhasil mengalahkan Athens kerana kekuatan tentera dan ini tidak menghairankan kerana dalam konstitusi Sparta tertulis bahawa seluruh rakyatnya, tanpa pengecualian, adalah tentera! Setiap warga, berbeza dengan Athens, diberi latihan ketenteraan – baik lelaki atau wanita. Mereka telah dipersiapkan dengan kekuatan fizikal serta disiplin yang ketat.

Kekalahan Athens menimbulkan trauma sejarah dan psikologi serta menjadi antara kisah yang paling diingati dalam sejarah pemikiran barat. Ratapan kekalahan ini dapat dilihat dalam banyak karya Plato. Namun demikian, kekalahan Athens ini juga pada sisi yang lain telah memberikan kesan positif di mana Athens menjadi pusat pengembangan ilmu pengetahuan dan falsafah kenegaraan pasca ketewasan mereka kepada Sparta. Jika kita renung semula, mungkin kebangkitan Athens ini tidak jauh beza dengan Jepun, selepas dilanda atom yang menjadi tanda ketewasan mereka kepada Amerika dalam Perang Dunia kedua, Jepun berhasil menjadi kuasa di rantau ini, malah suara yang diberi perhatian oleh dunia. Kita orang Islam, yang sering bangga dengan kesempurnaan ajaran kita, dalam meratapi runtuhnya pemerintahan Uthmaniyyah, masih keliru untuk bangkit semula. Pada hemat aku, kerana kita mengharapkan teks yang sempurna untuk bergerak walhal kita juga sering membaca bahawa “para sahabat r.a. adalah umpama al-Quran bergerak” malah kenyataan saidatina Aisyah r.a. “akhlaq Rasul s.a.w. adalah Al-Quran”. Di mana silap kita agaknya?

Athens, pasca perang, tidak terus terhakis pengaruhnya bahkan kekal menjadi pusat pendidikan negara sekitar Laut Tengah dan babak baru dalam sejarahnya menunjukkan lahir gerakan intelektual dan falsafah yang dipelopori kaum Sofis. Gerakan Sofis ini telah memugar pelbagai persoalan dengan soalan-soalan yang bersifat fundamental sehingga teknikal. Antaranya “apakah ada?”, “apakah Tuhan itu?”, “bagaimana Tuhan mungkin ada?”, “Apakah negara?”, “Mengapa perlu membentuk negara? “Bentuk negara apa yang paling baik?”, “Haruskah keadilan ada di dalam negara? Jika harus, apakah keadilan itu?” dan tentunya sejumlah besar lagi pertanyaan-pertanyaan yang berkait langsung dengan banyak proses hidup.

Kaum Sofis melihat negara sebagai alat yang digunakan manusia untuk memenuhi keperluan mereka. Manusia pula dilihat sebagai objek. Tidak ada yang buruk atau yang baik kerana semuanya ditentukan manusia, bergantung kepada sejauh mana nilai kegunaannya. Mereka berkembang menjadi kelompok pendidik dan mendapat bayaran dari pengajaran mereka. Kaum Sofis diakui menjadi perintis gerakan pendidikan zaman Yunani klasik. Pendidikan akhirnya menjadi satu keperluan hidup. Kaum Sofis ini pada satu tingkat yang lain tidak dipersetujui oleh kaum pemikir di Athens kerana mereka mencari pendapatan dengan mengajarkan pengetahuan.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home