Friday, May 11, 2007

Siri Negara Kota Muncul Lagi!

"Aku tak dapat tidur kerana fikir tentang hal ini (nasib rakyat)" kata seorang teman pada aku bila aku lihat dia lesu kerana tidur yang tidak cukup.

Warganegara sebagai elit sosial-politik mempunya waktu lapang yang banyak untuk membolehkan mereka terlibat dalam kegiatan politik negara kota dan mereka juga punya hak istimewa dalam proses kenegaraan yang menjadikan status mereka begitu kukuh.

Sidang Ecclesia, forum yang merumuskan perihal urus tadbir dan kepentingan negara telah, diwajibkan kepada warganegara yang mencapai usia dua puluh tahun untuk ikut serta. Status kewarganegaraan diperoleh berdasarkan kelahiran (ascribed status) dan bukan prestasi (achieved status). Status ini dinilai sebagai kemuliaan tertinggi yang mewujudkan kebanggaan kepada warganegara.

Pericles menamakan sistem pemerintahan yang berhasil membangunkan Athens sebagai Athenian democratia. Saat ini Athens dikira cukup berjaya, berperadaban tinggi, adil dan makmur. Beberapa criteria dapat dikenalpasti daripada pemerintahan Pericles iaitu 1) pemerintahan oleh rakyat melalui penyertaan penuh dan langsung (participatory); 2) persamaan di depan undang-undang; 3) pluralisme yakni penghargaan kepada semua bakat dan pandangan serta 4) penghargaan terhadap pemisahan atau wilayah individu untuk mengekspresikan keperibadian individual.

Pemerintahan Pericles menyaksikan pemerintahan rakyat terbanyak dan bukan segelintir warganegara (oligarki). Pericles sedar bahawa pemerintahan segelintir warga hanya akan mendorong penyalahgunaan kuasa (abuse of power) kerana tidak adanya timbal balik kawalan terhadap penggunaan kuasa. Dalam hal persamaan hak di depan undang-undang, tidak wujud diskriminasi atas nama apa sekalipun dan isu pemerintahan negara bebas diperkatakan secara bebas oleh semua warga daripada semua golongan - bangsawan atau rakyat jelata, kaya atau miskin. Kebebasan bersuara ini membolehkan penyertaan rakyat dan menjelaskan lagi kesamaan semua di depan undang-undang. Kayu ukur kepada pandangan yang pelbagai ini adalah merit dan juga prestasi yang dimiliki. Dalam konteks dunia moden, prinsip-prinsip demokrasi ini dipanggil egalitarian.

Pericles berhasil mewujudkan rasa bangga dan memiliki (self pride and belonging) seorang warga terhadap negaranya. Negara telah menjadi pusat kehidupan. Seni dan agama adalah seni dan agama negara. Apa juga perbuatan yang dapat memberikan nilai kebesaran dan keagungan bagi negara Athens adalah ritual heroisme politik tertinggi bagi negara. Segalanya menjadi hebat bila ia dapat memberikan nilai kepada kehidupan dan kebesaran Athens.

Ritual seperti ini disuarakan Pericles dalam pidato pemakamam (funeral oration) kepada parajurit yang terkorban semasa menentang tentera Sparta. Katanya “…Saya berharap setiap hari saudara akan memusatkan perhatian kepada keagungan Athens, sampai saudara diliputi rasa cinta terhadapnya. Dan jika saudara terpesona kerana keagungannya itu, saudara akan menginsafi bahawa negara ini telah didirikan oleh orang-orang yang tahu akan kewajipannya dan memiliki tekad untuk berbuat demikian. Mereka yang tidak pernah kenal takut untuk turun ke medan tempur; yang mereka sedar bahawa jika mereka terkorban sekalipun tidak akan mengorbankan kehormatan negara mereka, tetapi dengan sukarela akan mengorbankan jiwa mereka sebagai persembahan termulia kepada negaranya”. Di Athens, Pericles berhasil mewujudkan suasana di mana setiap warga adalah bersaudara seperti keluarga dan hubungan penguasa dan rakyat adalah seperti hubungan bapa dan anak-anak.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home