Tuesday, November 21, 2006

Amin?

Kebanyakan rakyat Malaysia hari ini berkongsi pandangan bahawa "(Abdullah) bukanlah seorang perdana menteri yang pintar", kata Penyelidik Pelawat Kanan Asia Research Institute di National University Singapura, Maznah Mohamad.

Kenyataan Maznah Mohamad itu mungkin akan dilihat dengan penuh prejudis hanya kerana dia adalah penyelidik pelawat di SINGAPURA. Sentimen ini akan mudah dimainkan - jika perlu.

Tempoh hari aku berkunjung ke pejabat GERAK sempena Majlis Dialog dan juga sambutan raya. Rupanya jalan ke pejabat GERAK agak jauh tersorok, meski sebenarnya laluan ke sana tidak sesukar yang aku fikir (dan tersesat) sebelumnya.

Sampai sedikit lewat dan bertemu dengan beberapa muka yang biasa kelihatan serta beberapa muka yang kurang biasa kelihatan, malah ada juga muka yang tidak disangka akan kelihatan!

Dialog dengan pengerusi GERAK, sdr Ezam Mohd Nor bagi aku positif. Ezam nyata punya kekuatan tersendiri untuk membentangkan keperluan wujudnya GERAK dari segi prinsip perjuangan, rangkaian dan peribadi. Ada kenyataan penting yang ditunjuk oleh Ezam tentang keperluan anak muda memilih perjuangan yang tepat, dan bagaimana Ezam meyakinkan kami akan rasuah sebagai musuh nombor wahid dalam negara.

Ini bukan dialog pertama berkaitan rasuah yang pernah aku ikuti. Pejabar Pelan Integriti Nasional juga pernah aku kunjung.

Kerja memerangi rasuah tidak mudah. Kerana rasuah sinonim dengan dengan kuasa. Logiknya tidak ada mereka yang terhegeh-hegeh cuba merasuah orang yang tidak punya kuasa! Dan tingkat kuasa ini pelbagai, dari seorang polis trafik hingga ke Perdana Menteri! Jika ada orang yang tidak punya kuasa dalam bentuk pangkat, rasuah juga boleh berlaku kepada mereka yang punya kuasa dalam bentuk maklumat. Contohnya seorang penganggur yang menjadi saksi kejadian bunuh. Potensi untuk dirasuah masih wujud.

Dalam hubungan ini, soalan asas yang penting aku ajukan pada sdr Ezam ialah bagaimana demokrasi dalam konteks suara rakyat terbanyak ini mampu menjamin korupsi tidak berlaku sedangkan fenomena kuasa dari tingkat tertinggi hingga ke bawah ini seolah-olah menunjukkan rasuah telah terlembaga!

Selain itu, Ezam turut berkongsi perkongsian semasa beliau ditahan. Bagaimana seorang pengedar dadah menjadi mangsa, sedang bos besar mereka enak bermain golf dengan mereka yang punya kuasa dalam negara!

Sebab itu aku yakin agenda pendidikan dalam negara penting dan mendasar dalam pembentukan idealisme orang muda. Dapatan kajian Transparency International yang dibentangkan oleh Institut Integriti Nasional bahawa 30% mahasiswa sedia memberi atau menerima rasuah merupakan kenyataan pahit untuk ditelan. Dan ingat, dapatan ini mungkin hanya sebahagian, kerana rasuah ini seperti zina - tidak ada yang mahu melakukannya terang-terangan! Statistik jenayah kolar putih yang tidak pernah merosot adalah tanda pahit dalam proses kehidupan bernegara di Malaysia.

Ini ditambah dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang menyatakan 'rasuah dalam parti hanya perlu diselesaikan dalam parti'. Lebih buruk lagi bila bukan sahaja Perdana Menteri menunggu ini membuat kenyataan angkuh dan bodoh seperti ini, tetapi ia sama seperti 'ibu ketam'nya, Perdana Menteri sendiri. Buktinya lihat kenyataan ini..

KUALA LUMPUR 4 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) membuat pengisytiharan harta sebelum akhir bulan depan.

Abdullah berkata, pengisytiharan itu perlu dibuat meliputi harta-harta yang dimiliki oleh wakil rakyat serta ahli keluarga masing-masing.

dan bandingkan dengan kenyataan ini..

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sehubungan itu, Abdullah menegaskan, beliau tidak bercadang membuat pendedahan tentang harta yang dimiliki oleh anak-anak mahupun menantunya.

''Itu (harta) adalah hak ahli keluarga saya, tak payahlah saya umumkan harta yang mereka miliki,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Tambahan pula, katanya, tindakan ahli keluarganya untuk memiliki harta bukanlah satu perbuatan yang salah.

Perdana Menteri berkata, begitu juga dengan anak-anak dan menantunya, mereka tidak perlu mengambil tindakan mengisytiharkan harta mereka.

Kita masih punya harapan dalam memberi erti hidup bernegara. Jangan marah bila orang mempersenda slogan-slogan angkuh dan penuh retorika seperti Agenda Melayu, Islam Hadhari dan sebagainya..

Ini juga peringatan kepada mereka-mereka selain pendokong pseudo-agenda ini (ini bukan dokong, ini jilat!). Cita-cita mentadbir negara adalah seperti lakonan. Bila anda di atas pentas, kami rakyat sentiasa mahukan persembahan yang menarik dan bukan tipuan dan khayalan semata-mata. Kerana hidup ini ada erti, maka erti itu yang selalu melonjak menjadi hadhari.

Dalam hal ini, teguran kepada pemerintah tidak mungkin berlaku dalam suasana ilmuan mengambil sikap 'buat apa sibuk-sibuk dengan politik, buat susah saja'. Di Barat, berbondong mereka yang bekerja di lapangan praktis mahu jadi ilmuan di universiti (untuk berkongsi realiti dengan mahasiswa). Di Malaysia, ramai ilmuan yang mahu menjadi ahli politik kerana 'kuasa' telah bermaharajalela dalam negara.

Kita yang sedar masih mahu 'amin'kan semua kata-kata?

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. tentang dua golongan yang jika baik keduanya maka baiklah seluruhnya, jika buruk keduanya maka buruklah seluruhnya. Bila ditanya, Baginda s.a.w. menjawab bahawa mereka adalah ilmuan dan pemerintah!

5 Comments:

Blogger me,myself n all around da world said...

undang2 islam???

pendekatan islam sudah ada di zaman mahathir...

10:54 AM  
Blogger me,myself n all around da world said...

"apa" yg tertulis di perlembagaan??

sbnarnya pendekatan islam sudah ada di zaman mahathir, cuma skg di renew-pack balik.

10:30 AM  
Blogger Amin Ahmad said...

Salam,

Dalam soal perlaksanaan Islam di Malaysia ini ia nyata cukup kompleks apatah lagi jika sirah Nabi s.a.w. dan teladan Sahabat r.a. yang kita faham terpecah2 kepada beberapa sisi kecil dan sempit.

Saya selalu lebih senang melihat gambaran besar atau big picture kepada semua dari hal yang ada.

Secara asasnya saya mengatakan perkembangan Islam di Malaysia memang berlaku. Tetapi saya mahu juga katakan ia tidaklah sampai saya mahu mengatakan sangat baik.

Kita tak dapat elak daripada membuat perbandingan sama ada dalam konteks zaman yang berbeza antara zaman kita dan Rasul s.a.w. serta teladan sahabat r.a., malah juga sudut komparatif antara negara kita dan juga negara2 Islam yang lain.

Namun akhirnya, teori hanya enak jadi makanan minda..dan sentiasa kita dahagakan kesempurnaan dari amalan.

Dalam konteks amalan Tun, Pak Lah malah Anwar atau Tok Guru sendiri, saya kira kita orang muda janganlah terlalu gopoh mahu mencampakkan semua kesalahan kepada pundak individu meski kita punya sikap politik yang menagih kita bersikap dalam memilih tokoh. Kerja Islam adalah kerja bersama, jika kita santuni dengan ilmu insyaAllah yang tegang tidak akan putus tetapi menguatkan.

Pokoknya, saya sering tegaskan bahawa kita perlu dialog yang segar dan terbuka..sudah tentu adil dan telus. Sejauh mana kita bersedia dan berani untuk ini? Apatah lagi dalam kalut politik yang tidak kenal jalur kelabu?

Sebab itu kita sering tegaskan bahawa political will perlu! Dan kerajaan jangan cepat terngadah kerana mereka mempelopori dasar. Untuk saya, kritik kepada kerajaan lebih penting tetapi tidaklah sampai mengurangkan kritik kepada selainnya, kerana demokrasi memerlukan segalanya. Kritik kepada pembangkang harus lebih bertumpu kepada bagaimana mereka harus jadi pembangkang yang baik. Jika kita punya pilihan alternatif yang kuat, saya percaya kerajaan akan jadi lebih baik..

8:54 AM  
Blogger munirah hayati said...

amin, rasuah sudah jadi macam udara kat malaysia ni.

saya pilih utk tidak bernafas..

3:35 PM  
Blogger Amin Ahmad said...

rasuah sudah terlembaga..

suka atau tidak untuk kita menerimanya?

saya sudah menulis tentang DEB untuk bahagian 1..tapi terlupa pula bawa pendrive kerana terlalu asyik bertumpu memapah teman ke hospital-suspek denggi.

skrg dlm persiapan hendak pulang ke kampung dan akan kembali insyaAllah untuk menyambung pengajian..

tentang blog ini? inysaAllah tulisan tentang DEB akan jadi satu-satunya posting untuk bulan Disember

3:46 PM  

Post a Comment

<< Home