Pluralisme
Pluralisme bukanlah satu tajuk yang mudah untuk dikupas. Lebih-lebih lagi ramai tokoh Islam (maksud saya yang sudah dikenali) lebih awal menolak Pluralisme agama. Contohnya Al-Ustaz Dato' Dr. Siddiq Fadzil yang sangat aku hormati (lihat di sini).
Pluralisme mungkin telah jadi realiti kini atau zeitgeist (semangat zaman). Ia bukan satu hal bersifat fantasi kerana kita tidak sukar menemukan pluralisme ini di mana-mana dalam pelbagai segi kehidupan manusia. Justeru, rentetan dari hal ini, fikiran individualisme kian tercabar dalam wacana apa sekalipun. Maka, untuk berhadapan dengan hal ini perlukan lebih daripada ekadimensi.
Sejak globalisasi jadi isu penting yang diketengahkan, batas-batas yang memisahkan manusia kian dicabar dan sebahagiannya telah lebur, suka atau tidak, mahu atau tidak untuk kita akui. Dalam hal ini, aku sering berperang dengan fikiran sendiri kerana sejak kecil terasuh bahawa 'tidak menerima keberadaan agama lain' kerana Allah s.w.t. hanya menerima agama Islam. Lebih mendesak fikiran aku ialah bila adanya 'agamawan' yang mendakwa 'mengakui keberadaan agama lain boleh menyebabkan akidah tergelincir!
Untuk aku, aku menerima pluralisme! Kerana Allah s.w.t. sendiri menyatakan 'bagi kamu agama kamu, bagi aku agama aku' (maksud Al-Quran). Maka, keberadaan agama lain itu memang satu hal yang realiti dan bukan diadakan. Menolak pluralisme bagi aku adalah bentuk kegagalan diri sendiri. Menerima pluralisme tanpa pemahaman juga boleh jadi bentuk kegagalan diri sendiri juga! Maka, untuk aku, kita tak perlu cepat mahu menuduh sebaliknya berani berdepan dengan realiti ini.
Dato' Dr. Siddiq Fadzil, sebagai seorang Islam mungkin telah memilih konteks bicara yang selamat dalam link tulisan beliau yang aku sediakan. Beliau menolak apa yang dikatakan a. Kebenaran ada dalam semua agama dan b. Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.
Jadi, kenapa boleh aku menerima pluralisme?
1. Kerana bagi aku menerima keberadaan agama lain bukan beerti menganut faham agama tersebut melainkan penglibatan yang perlu lebih kepada cubaan memahami dan menghormati agama lain sebagai contoh agama Hindu tidak boleh makan daging lembu atas sebab kepercayaannya. Jika ini kita gagal lakukan, maka tidak payah kita bermimpi kononnya amalan Islam kita berada pada garis lurus.
2. Pluralisme juga harus dibezakan dengan universalisme. Ini kerana bicara tentang universalisme akan mengheret sama persoalan relativisme, di mana seseorang atau masyarakat akan menganggap hal-hal kebenaran dan nilai ditentukan oleh pandangan setempat. Contoh fakta kes - Hak Asasi Manusia (HAM)..boleh baca banyak juga kenyataan Tun Dr. Mahathir masa dia jadi PM malah boleh semak juga beberapa isu yang didepani SUHAKAM.
Faham universalisme itu cenderung mengheret, apa yang Dato' Dr. Siddiq Fadzil katakan sebagai penyataan bahawa a. Kebenaran ada dalam semua agama, dan b.Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.
3. Pluralisme bukan agama baru tetapi realiti yang harus didepani. Bagi aku Rasulullah s.a.w. dah menunjukkan banyak contoh kepimpinan. Dalam Fathul Makkah tak silap aku (tolong betulkan), masa kaum Quraisy minta nabi buang tandatangan Muhammad Rasulullah, nabi boleh je buang dan hanya tulis Muhammad je. Rasulullah tu gelar yang diberi Allah s.w.t. bukan manusia! Maka, kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. dalam urusan ummat itu aku percaya perlu terus menerus dicari hikmahnya.
Dulu, masa aktif beraktivisme, aku selalu berdepan dengan ramai teman yang mencabar 'absolute truth' yang aku percaya sebagai jalan untuk meyakinkan rakyat dan menang Pilihan Raya. Sudah tentu aku tidak punya jawapan waktu itu. Jika dipakai logik Dato' Dr. Siddiq Fadzil, untuk apa Allah s.w.t. menyuruh kita menjadi khalifah (maksud aku menegakkan hukum) jika kita fikir tak menang Pilihan Raya pun tak apa.
Aku tak tahu pula kalau beliau percaya ummat ini harus bangkit menentang sistem demokrasi dan mencipta dunia baru sistem kekhalifahan (yang dipercayai tetapi tidak dapat aku bayangkan realitinya kini untuk berlaku). Jika kita percaya bahawa pluralisme itu jadi sebab pertelingkahan panjang, sanggupkah kita menyalahkan Tuhan kerana meletakkan kita dalam keadaan ini?
Aku tidak sanggup..kerana aku percaya selain dari itu.
2 Comments:
salam,
alumni U of Minnesota ke?
w'salam..
takla..but have lotsa friend there..
Post a Comment
<< Home