Islam dan Barat 4b : Warisan Intelektual Peradaban Islam
Garaudy menyatakan bahawa zaman Renaissance tidak mewarisi secara langsung ajaran yang kebudayaan Yunani. Ajaran Yunani hanya menjadi bahan kajian akademik zaman itu hanya apabila sarjana dan filasuf Islam membuat komentar dan terjemahan pada semua karya-karya besar Yunani. Garaudy lebih lanjut dari itu mendakwa St Thomas bukan pengganti Aristotles dalam mengatakan kebudayaan Kristian sebagai bukan penerus fikiran Yunani. Malah Garaudy juga menyangkal peranan Galileo sebagai penggerak semula evolusi sains yang vakum sejak kematian Archimedes.
Garaudy seakan terpesona dengan kegemilangan peradaban Islam Sepanyol dan Sicilia(aku selama ni tahu tentang Sicilian ni hanya satu bentuk strategi dalam permainan catur!). Tentang Garaudy aku rasa ada satu tulisan ringkas yang menarik tentang beliau - dari seorang filasuf Perancis yang menganut aliran Marxis (bukan Maxis!) kepada Islam. Islam bagi Garaudy telah menyuburkan masa lalu dan mempersiapkan masa depan. Islam baginya seakan memindahkan 1000 tahun pengalaman menerajui peradaban kepada Barat! Hal ini dakwanya dimungkinkan oleh usaha terjemahan yang dilakukan dengan perintah Alphonse X Raja Castille.
Di Sicilia, Michael Scotus menterjemahkan karya Ibnu Sina, kitab al Hayawan (Livre des animaux)dan karya Ibnu Rusyd, Syarah (Commentaries) berisi komentar-komentar tokoh Rasional islam itu terhadap karya-karya Aristotles. Karya-karya pemikir Islam inilah dikatakan kemudiannya menjadi titik tolak pandangan Barat tentang alam dan kajian penelitian eksperimental. Roger dan Francis Bacon yang memperkenalkan method eksperimental, yang sangat mempengaruhi perkembangan ilmu pengetahuan Barat.
Ibnu Khaldun..aku rasa tokoh ini sehingga hari ini dianggap punya peranan dalam mengembangkan tradisi pemikiran Barat. Kalau di kampus selalu dikatakan Teori Maslow tu sebenarnya dibina oleh Ibnu Khaldun! Aku tak dapat pastikan sebab membaca Muqaddimah Ibnu Khaldun memerlukan stamina yang tinggi bagi aku. Tak tahulah mungkin ada kitab lain yang mempopularkan beliau. Yang aku pasti, melalui Muqaddimah, Khaldun dikatakan menyumbang methodologi ilmiah berupa kajian empirikal di bidang ilmu sosial. Mungkin Khaldun boleh diakui sebagai perintis kajian sosiologi secara empirikal dan bukan Auguste Comte yang lahir berabad sesudahnya. Dalam methodologinya, Khaldun dikatakan amat mengutamakan data-data empirik, verifikasi teoritikal, pengujian hipotesis dan method pemerhatian yang semuanya merupakan dasar-dasar pokok dalam penelitian ilmu Barat dan dunia umumnya pada hari ini!!
Khaldun, menurut Garaudy, juga menunjukkan adanya pengaruh iklim, geografi dan keadaan ekonomi bangsa-bangsa, mempelajari struktur dan fungsi masyarakat bertitik tolak daripada pembahagian kerja, peranan solidariti sosial melalui semangat assabiyah dan pembentukan negara dan kehancuran kekuasaan empayar. Beliau juga turut membuktikan bahawa perbezaan cara menjalani hidup akan mempengaruhi adat kebiasaan dan fikiran bangsa-bangsa. Khaldun, terakhir, memberi formula teori berkaitan faham materialisme sejarah yang dikembangkan oleh Karl Marx dan Frederich Engels kemudiannya. Secara methodologi, Khaldun diakui melebihi apa yang telah dilakukan Machiavelli dan Montesqiueu yang lahir pada abad sesudahnya.
Kita akan pergi ke siri akhir Warisan Intelektual Peradaban Islam ini kemudian.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home