Saturday, April 01, 2006

Islam dan Barat 3a : Warisan Intelektual Judeo-Kristian

"Those who cannot remember the past are condemned to repeat it" - George Santayana (1863-1952), The Life of Reason, Volume 1,1905

Orang Yahudi juga berperanan dalam proses kelahiran Renaissance di Eropah. Seperti kandungan teks sejarah sekolah menengah, kita tahu bahawa kota-kota yang terbangun hasil aktiviti ekonomi yang pelbagai bermula seawal abad ke-14. Dan Revolusi Industri adalah tanda nyata semaraknya Renaissance selepas zaman ini.Yahudi, meski minoriti menjadi 'avantgarde' intelektual dan antara tokohnya yang sangat dikenali pada waktu itu ialah Reuchlin.

Abad ke-18, hubungan intelektual pemuda-pemuda terpelajar Yahudi dengan peradaban Islam dan Yunani-Romawi berhasil melahirkan gagasan-gagasan cemerlang selepasnya. Dimont, dalam tulisannya membayangkan bagaimana kelompok ini cuba membaratkan diri mereka tanpa menjadi Kristian dan mencipta kebudayaan Yahudi yang boleh dimanfaatkan oleh dunia Barat.

Abad kemudian, cukup jelas bagaimana minoriti Yahudi Eropah telah bangkit dengan pelbagai tokoh seperti Hegel, Karl Marx, Sigmund Freud, Nietzsche, Bertrand Russell, Albert Einstein dan lain-lain (sekadar menamakan sebahagian). Dalam dunia intelektual Barat, mereka ini mempelopori pelbagai aliran pemikiran (school of thought) seperti Marxisme, Liberalisme, Kapitalisme, Komunisme, Darwinisme dan sebagainya. Pendek kata, hampir di semua lapangan, Yahudi berhasil meletakkan 'wakil' mereka secara intelektual!

Sumbangan mereka ini akan kita cuba halusi dalam tulisan-tulisan akan datang, insyaAllah.

Selain daripada kelompok Yahudi, kelompok Kristian juga telah memainkan peranan dalam usaha membangun peradaban Barat. Fasa penting yang boleh kita rujuk sudah tentu pada zaman pertengahan atau banyak sejarawan menyebutnya sebagai 'dark ages'.

Zaman kelam disinonimkan dengan fasa ini kerana berlakunya beberapa hal seperti pertumpahan darah, semaraknya tahyul, anti rasionalisme bahkan anti intelektualisme!
Meski dalam banyak catatan hal-hal yang dinyatakan ini lebih menonjol, kita tidak boleh terlepas daripada melihat dari beberapa sisi tertentu iaitu seperti terbangunnya universiti-universiti, kota-kota baru, parlimen, undang-undang awam serta wujudnya negara bangsa. Peristiwa-peristiwa ini berlaku juga dengan peranan pemuka Kristian.

Empayar Romawi jelas memperakui Kristian sebagai agama negara justeru membolehkan organisasi gereja berkembang. Hasilnya gereja berpeluang menstrukturkan masyarakat Eropah dan terus berperanan penting meski pada saat Empayar Romawi menuju kejatuhan.
Gereja mengambil alih tugas mengawal kekacauan sosial ketika kejatuhan Empayar Romawi. Gereja dalam konteks ini telah memperkenalkan cita-cita luhur bersangkut keadilan sosial sebagai usaha mentertibkan kelompok yang mencetuskan kekacauan.

Kristian, sebenarnya dilihat memainkan peranan lebih nyata pada abad ke-12 dan 13 bila Thomas Aquinas merintis aliran falsafah yang dikenali sebagai Scholasticisme. Aliran ini dikatakan mendominasi abad pertengahan merupakan penjelmaan semula karya-karya Aristotles yang kemudian diajar di universiti Islam Andalusia, Sepanyol. Karya Aquinas, Summa Theologica dikatakan cerminan usaha Aquinas menemukan falsafah pemikiran Yunani dengan doktrin ajaran Kristian.

Kita akan bersambung lagi selepas ini..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home