Islam dan Barat 3 : Warisan Intelektual Judeo-Kristian
Seperti yang aku nyatakan dalam tulisan pertama hubungan tentang Barat, pengaruh Judeo-Kristian boleh diklasifikasikan sebagai peradaban kedua yang memacu dasar intelektual dan falsafah Barat.
Max Dimont, pakar sejarah peradaban Yahudi, dalam mengulas sisi sumbangan Yahudi kepada peradaban Barat melalui tulisannya Jews, God and History dan Instructable Jews membuat penyataan yang boleh kita persetujui - bahawa orang Yahudi adalah 'historic people' atau kata lain kelompok Yahudi adalah kelompok yang melahirkan peristiwa-peristiwa sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah yang dizahirkan oleh kelompok Yahudi ini sebenarnya berbeza daripada faham sejarah tipikal yang disumbat ke dalam fikiran anak muda Malaysia di bangku sekolah! Yahudi, seperti yang dimaksudkan dengan kata 'historic people' itu diagungkan kerana mereka menjadi subjek, bukan objek peristiwa-peristiwa sejarah! Ini kerana jelas mereka menunjukkan kehadiran mereka dengan gagasan-gagasan unggul.
Sulit bagi kita menyangkal dakwaan Dimont memandangkan fakta sejarah cukup utuh membuktikan hal ini. Malah susur galur sejarah kenabian dan Rasul juga cukup untuk menunjukkan bahawa sebahagian besar mereka adalah kelompok Yahudi. Namun, sukar untuk saya beroleh fakta sejak bila Yahudi memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban Barat. Cuma sedikit penemuan menyatakan bahawa Yahudi bertebaran ke pelbagai penjuru dunia terutama Eropah dan di kawasan empayar Islam Andalusia di Sepanyol dikesan dengan lahirnya filasuf terkemuka Yahudi, Musa Ibnu Maimun atau Maimonides di abad ke-12 dan abad ke-13. Maimonides dikatakan mempengaruhi secara signifikan perkembangan pemikiran dan falsafah pengetahuan dan keagamaan di Barat. Dikatakan Spinoza, filasuf Barat berketurunan Yahudi itu, yang gagasannya sangat mempengaruhi falsafah Barat moden, merupakan murid Maimonides secara tidak langsung. Spinoza, meski hidup pada zaman berbeza dikatakan kuat dipengaruhi gagasan falsafah Maimonides.
Lady Magnus dalam Outlines of Jewish History menyatakan bahawa Maimonides sangat terhutang budi dengan para pendidik dan filasuf Islam di Andalusia kerana mengajarnya. Soalnya di sini, siapakah para pendidik dan filasuf Islam yang dimaksudkan Maimonides? Adakah akar fikiran Barat akhirnya balik kepada Islam sekaligus menafikan dakwaan sekian ramai umat Islam yang 'bimbang' dipengaruhi faham 'kafir'?
Tulisan ini akan bersambung..
0 Comments:
Post a Comment
<< Home