Islam dan Barat 2 : Warisan Intelektual Yunani-Romawi
"Sikap anti-Amerika (Westophobia) yang berleluasa di kalangan umat Muslim dan juga Arab hari ini juga akan mendorong dan memerangsangkan keghairahan mereka yang menyokong jenayah laknat seperti rempuhan pesawat di WTC pada '9-11' di Amerika untuk melakukan projek-projek terkutuk yang sama. Berjuta-juta orang Arab dan Muslim yang tidak mengganas akan dibawa lari oleh sekumpulan kecil pengganas-pengganas Islam yang melampaui batas!" - Kanan Makiya, Fighting Islam's Klu Klux Klan, The Observer(UK)
Bila kita mahu berkata sesuatu tentang Barat, sering kita 'lupa' bahawa Barat itu terus hidup dan mendahului 'pembangunan' kerana ada 'desakan sejarah'. Lupa ini bukan lupa dalam erti kata tidak dapat mengingati, tapi lebih kepada lupa bahawa akal fikiran digunakan untuk melonjakkan peradaban dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. Barat, meskipun menurut Garaudy hanya satu kebetulan (Occident est un accident), telah berinteraksi dan belajar sepanjang sejarahnya. Hinggakan aku percaya bahawa apa yang kita katakan kerosakan dalam Tamadun mereka pada hari ini hanyalah bentuk eksperimen mereka kepada penemuan-kejadian yang terkini.
Barat = Yunani-Romawi?
Barat dalam hampir semua aspek peradaban menggambarkan bahawa mereka cukup menyanjungi Tamadun Yunani dan Romawi (sebagaimana aku percaya kedua tamadun ini sudah tentu tidak asing daripada menerima pengaruh tamadun kuno Mesopotamia, Mesir, India dan Parsi). Pandangan hidup Barat, jika dibandingkan dengan pandangan hidup Yunani-Romawi tidak lebih daripada usaha melanjutkan cita-cita yang sama untuk kebebasan, optimisme, sekularisme, pengagungan akal dan sikap individualisme.
Tradisi keilmuan Yunani-Romawi (sebagaimana yang kita tahu cukup tinggi hingga terlahirnya sebilangan individu yang cukup kita kenali seperti Socrates, Plato dan Aristotle) telah menyuntik semangat mereka untuk menggunakan method-method eksperimental dan spekulatif yang penting dalam pengembangan pengetahuan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Yunani-Romawi adalah guru yang mengajar Barat untuk menempatkan akal sebagai sumber kebenaran.
Alfred North Whitehead pernah dikatakan menulis bahawa falsafah Barat tidak lebih hanya daripada rangkaian catatan kaki Plato dan Aristotles! Sukar untuk kita menafikan bahawa karya agung Aristotles seperti Politics, The Prince tulisan Machiavelli dan L'Esprit de Lois, karya Montesquieu (sekadar menyatakan beberapa buah karya) tidak dipengaruhi oleh tokoh-tokoh pemikir Yunani-Romawi. Sudah tentu aku tidak menolak jika dikatakan bahawa Reformasi, Renaissance dan banyak peristiwa lain termasuk gagasan tentang kuasa, keadilan dan demokrasi mempunyai 'genetik intelektual' daripada tradisi Yunani klasik.
Tentang Romawi,sekurang-kurangnya tiga hukum mempengaruhi Barat. 1) Hukum sivil khusus untuk warganegara yang dikenali sebagai Jus Civile, 2) Hukum umum yang dikenakan kepada semua tanpa mengira warganegara yang dikenali sebagai Jus Gentium dan yang terpenting 3) Jus Naturale, satu falsafah yang menganggap keadilan dan kebenaran itu sentiasa sesuai dengan hukum alam dan juga tuntutan rasional. Dalam falsafah ini dinyatakan bahawa semua manusia mempunyai hak dan kedudukan sama rata dari sudut undang-undang dan pemerintah tidak berhak mengubah hak-hak yang diperuntuk.
Romawi dikatakan menterjemahkan pemikiran spekulatif Yunani kepada praktis. Romawi dari sudut politik juga memberi suntikan pemahaman kepada Barat berkaitan teori imperium (teori berkaitan kuasa dan autoriti negara) di mana kedaulatan dan kekuasaan adalah bentuk pengagihan kuasa rakyat kepada pemerintah. Teori ini menjelaskan bahawa hakikat kekuasaan di muka bumi adalah sepenuhnya milik rakyat dan pemerintah hanyalah satu badan yang diberikan kepercayaan untuk menggunakan kedaulatan yang ada untuk kebaikan rakyat (sudah tentu aku tidak memaksudkan menguasai dan mendominasi rakyat dengan cara yang tidak wajar!). Dari teori ini juga rakyat punya hak politik yang sama dan berada pada kedudukan tertinggi kedaulatan negara.
Dalam kerangka pemikiran Romawi inilah, gagasan kontrak pemerintah dijadikan model teori bagi pemikir-pemikir seperti John Locke, Jean Jacques Rousseau dan Hobbes (sekadar menulis beberapa nama). Gagasan Barat mengenai pemisahan entiti individu dan negara punya kaitan yang intim dengan teori imperium kerana negara diperlukan kerana kewujudan masyarakat. Individu masih dijadikan pusat pemikiran hukum dan diberi perlindungan.
Dikatakan kerana teori imperium ini, kekuasaan gereja abad pertengahan berkembang kerana organisasi gereja pada masa itu mengadaptasi organisasi kekuasaan dan keagamaan mereka dari konsep imperium Romawi. Ini ditunjukkan pada gelar Paus 'Supreme Pontiff' (Pontifex Maximus);Kaisar sebagai pemimpin agama warganegara.
_______________________________
Sulit memahami Barat meskipun kita hanya baru bermula. Tapi itu bukan alasan untuk kita mengalah. Bila cadangan Dato' Seri Najib Tun Razak supaya Pusat Kajian Oksidental diwujudkan, aku antara orang yang gembira dan separuh tertanya. Gembira kerana mereka yang bermentaliti feudal (baca:taat pemerintah membuta tuli) terpaksa bergelumang dengan lautan idea yang akan mencabar kefeudalan mereka (dan mungkin aku juga!) dan separuh tertanya kerana apakah kita semua sedia berubah (setelah menemukan sesuatu yang kita tahu tapi kita gadai kerana kepentingan diri dan kelompok?).
Semoga 'cahaya matahari' yang terbit dari Barat, yang dikatakan dan kita faham tanda kiamat itu tidak kita faham secara literal semata-mata..
2 Comments:
Amin, kalau berminat, silalah baca tentang Ibn 'Arabi dalam Ummahonline.com. Beliau salah seorang failasuf sufi yang hidup setelah Imam Al-Ghazzali :-)
insyaAllah..
ana pun berkejar masa nak update selalu..
:)= maklumla dah tahun akhir..
ke alasan jer?
hehe
Post a Comment
<< Home