Islam dan Barat 4a : Warisan Intelektual Peradaban Islam
Pada zaman yang disebut Dark Ages (sebelum abad ke-14), sukar untuk dikatakan tradisi keilmuan Barat itu memiliki sebuah tradisi moden dan progresif. Tradisi ilmiah masih dianggap 'musuh agama' dan pengkhianatan terhadap ajaran Al-Kitab dan juga Jesus Kristus. Tunggu..ada beberapa hal yang aku fikirkan di sini. 1) Di mana kedudukan pemikiran Yunani-Romawi ketika ini? Jika ada kesinambungan, siapa tokoh di zaman kegelapan yang meneruskannya hingga berterusan ke hari ini? 2)Nampak seakan apa yang berlaku dalam dunia Islam hari ini telah dilalui oleh dunia Barat jauh lama sebelum ini - pertembungan agama dan intelek (baca:akal).
Para ilmuan yang cuba meneruskan tradisi intelektual (yang biasanya mencabar doktrin status quo) sering menjadi mangsa inkuisisi (kezaliman la!) gereja. Barat mulai mengalami proses 'pencerahan intelektual' (intellectual enlightenment)setelah dikatakan berlakunya hubungan dan interaksi intensif dengan peradaban Islam, baik melalui perdagangan mahu pun penghantaran mahasiswa Barat ke dunia Islam.
Dalam konteks ini, Perang Salib selama 2 abad merupakan salah satu punca utama dalam proses interaksi antara peradaban Islam dan Barat. Hubungan Islam dan Barat melalui pelbagai medium itu bagaimanapun tidak seimbang kerana Barat lebih banyak memperoleh manfaat berbanding dunia Islam. Hal yang sama dikatakan terjadi ketika Tariq bin Ziyad (seorang anak muda!) menakluki Sepanyol dan membangun peradaban Islam di kawasan itu. Dalam hal ini, apakah umat Islam itu jauh ke depan sehingga tidak ada apa yang boleh dipelajari dari Barat atau umat Islam dilanda penyakit sombong untuk belajar sesuatu dari 'orang asing'.
Selama tujuh abad (antara abad ke 8 hingga abad ke-15), peradaban Islam Sepanyol berjaya meluaskan kegemilangannya ke penjuru Eropah. Dari pusat peradaban Islam Sepanyol inilah Barat mula membuka jalan ke arah pencerahan intelektual. Proses yang sama dikatakan berlaku di pusat peradaban Islam yang lain seperti Cairo, Baghdad dan Iskandariah. Barat akhirnya meruntuhkan tembok pemikiran dogmatik yang mengongkong mereka selama beberapa abad dan terus merambat lurus membuka jalan pencerahan ke depan.
Sebenarnya warisan peradaban Islam sebagai salah satu penyumbang lahirnya peradaban dan perkembangan tradisi pemikiran politik Barat sangat sukar atau kata lain enggan diakui oleh Barat. Cuma akhirnya ada beberapa pemikir Barat yang mengakui perihal ini antaranya Roger Garaudy, Bernard Lewis, Bertrand Russell dan Louis Massignon (sekadar menyatakan beberapa nama).
Apakah kenyataan mereka? Kita nantikan dalam siri seterusnya.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul - peribadi untuk dicontohi sepenuhnya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home