Wednesday, June 14, 2006

Konichiwa 1

"O tsukare sama deska" ayat yang aku suka sebut sepanjang di Jepun.

Alhamdulillah. Cita-cita masa kecil untuk menjejakkan kaki di Jepun tercapai juga. Kalau kalian ada membaca The Star pada 14 Mei dulu (haha, punya lama cerita ni) ada satu tulisan tentang pemergian aku ke Jepun.

Sebetulnya aku mendapat biasiswa tajaan Rotary Fujisawa untuk seminggu berada di Jepun. (Hah! Rotary? Haha..abis la aku kena tuduh jadi missionari lepas ni.) Biasiswa ini aku dapat selepas mengikuti dua peringkat temuduga selepas membuat permohonan. Sebetulnya ini bukan kali pertama aku memohon biasiswa ke Jepun. Pertama, sebaik tamat SPM, biasiswa Monbusho (biasiswa kerajaan Jepun melalui kedutaannya) aku pohon. Masih aku ingat jelas borang berwarna hijau itu. Tak dapat!
Waktu itu seingat aku semua berlumba untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Kali kedua di UPM untuk pertukaran pelajar selama setahun, sikap nakal aku mengusik penemuramah menyebabkan aku ditolak. Apa yang aku usik? Haha..aku nyatakan tentang Dato' Seri Anwar Ibrahim! Haha..tapi aku yakin masa temuramah tu aku agak 'outstanding' sebab banyak pemohon selepas tu jumpa aku cakap penemuramah tanya kat diorang tentang aku. Waktu itu aku ingat sebab aku cuba keluar dari kotak semasa menjawab soalan-soalan yang diberikan.

Kata aku "Saya mahu ke Jepun kerana 2 faktor. 1) Sikap aku yang sukakan cabaran, benda baru dan menjelajah. Aku juga suka meluaskan zon selesa aku dengan membiasakan diri dengan apa yang pendapat umum merasakan 'tidak sesuai' untuk mereka. 2) Kerana faktor Jepun itu sendiri. Ya, sejak kecil bila Dr. M (sekarang Tun) melancarkan Dasar Pandang ke Timur dan Buy British Last, entah kenapa nama Jepun jadi satu tarikan yang kuat untuk aku. Waktu itu Anwar Ibrahim ada membuat kenyataan bahawa dasar ini bukan untuk 'menjepunkan' orang Malaysia tetapi menerapkan nilai-nilai yang sesuai dengan kita. Sudah tentu ada yang unik tentang mereka! Hendak pula Malaysia dan negara ASEAN yang lain sangat memerlukan Jepun terlibat dalam pakatan ekonomi EAEG (East Asean Economic Group) dan juga ASEAN+3

Aku nyatakan kepada mereka "Program ini pertukaran budaya. Budaya itu apa? Saya cenderung memakai takrifan Sutan Takdir Alisjahbana yang mengatakan budaya itu adalah penjelmaan nilai-nilai dalam kehidupan dan nilai wujud dalam hidup manusia kerana ada agama. Saya pernah terbaca dan percaya bahawa nilai Jepun yang kita kagumi itu punya kaitan yang intim dengan kepercayaan Zen Buddhisme". Sebenarnya di Jepun kalau nak dikira agamanya saja mencecah ratusan ribu! Entah bagaimana mereka mahu tentukan ajaran mana yang sesat yang mana yang tidak sesat, haha!

Di mana cerita Anwar keluar dan kenapa aku ditolak pada waktu itu? Cerita keluar bila aku menyatakan buku penting yang aku baca dan punya kaitan dengan biasiswa yang aku pohon adalah Gelombang Kebangkitan Asia tulisan Anwar Ibrahim (bukan Asian Values tulisan Dr. M ya!). Waktu itu penemuramah aku, salah seorangnya orang kuat UMNO di kampus dan seorang lagi pegawai Unit Perhubungan Antarabangsa. Mereka terlopong dan terkejut, kemudian cuba 'cool' dan bertanya "Dia dah tulis buku ke?"

Aku jawab "Buku ini dah lama, sejak dia jadi orang besar dalam kerajaan". "Oo, Anwar dengan Dr.M siapa kamu suka?". Aku jawab "Pemimpin datang dan pergi, idea bergerak. Tidak timbul soal suka atau tidak. Bagi saya generasi saya harus mampu punya daya saring dan objektif dalam menelan idea. Sudah tentu ada sisi idea yang kuat dan lemah. Apakah kerana DS Anwar merengkok dalam penjara maka ideanya harus dilupakan? Apakah kerana DS Dr. M akan bersara maka ideanya akan dilupakan? (Waktu itu Dr. M belum bersara dan sudah tentu Anwar terpenjara). Aku tambah "Plato telah lama mati tapi ideanya masih segar dibincangkan".

Mereka angguk. Esoknya aku dapat panggilan. Dia (aku rahsiakan), nyatakan pada aku bahawa aku yang terbaik dalam banyak pemohon tetapi dia tak dapat lepaskan aku pergi kerana faktor Anwar Ibrahim. Dan dia pohon maaf. Tapi aku puas walaupun sukar juga menerima keputusan itu. Dalam hati bergurau, haha..rupanya Anwar Ibrahim ni memang ditakuti..dan dia memang 'menyusahkan' hidup aku dengan idea-ideanya! Haha..gurau saja. Mereka bimbang sebab bagi mereka yang terpilih perlu menduduki kelas politik, sosial dan ekonomi Jepun..mereka bimbang keterbukaan dalam perbincangan akan mengheret isu Anwar ke dalamnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home