Tuesday, June 13, 2006

Negara Kota 2

"Realiti kini berbeza dalam soal penafsiran negara. Soal empayar sudah tidak relevan" Lebih kurang pandangan Khalid Jaafar yang pernah aku dengan waktu mula mengenali beliau sekitar tahun 2001.

Apakah negara kota itu? Persepsi kita tentang ia berbeza jika dibandingkan dengan persepsi zaman Yunani kuno. Dalam sistem Yunani kuno, negara ditafsirkan sebagai masyarakat dan begitulah sebaliknya. Negara kota Yunani klasik juga jelas berbeza dengan negara moden dari segi keluasan wilayah, struktur sosial, jumlah penduduk dan juga lembaga politiknya. Jumlah penduduknya sekitar 30 ribu orang atau lebih kurang seluruh pelajar UPM! Dengan jumlah penduduk yang relatif kecil,ia memungkinkan rakyat negara kota tersebut untuk saling berinteraksi dan memahami. Mungkin sebab itu dari sudut komunikasi politik, demokrasi langsung (direct democracy) dapat dilaksanakan pada waktu itu. Setiap warganegara dapat turut sama membuat keputusan politik pada waktu itu. Di sini kita dapat lihat perbezaannya kerana negara moden relatif penduduknya besar dan sistem yang dipakai kini adalah perwakilan (representative government atau indirect democracy).

Tapi aku meragui dan percaya sistem perwakilan ini boleh dibaiki. Kerana wakil seharusnya mampu membawa suara warga, tidak seperti di Malaysia. Fakta kes MP Jasin itu sudah cukup menunjukkan bagaimana BNBBC gagal menunjukkan fungsi dengan semangat demokrasi yang tulen untuk warga.

Secara geografi, tempat-tempat yang sering dipilih untuk dibuat negara kota pada zaman dulu adalah di lembah-lembah, daerah bukit dan gunung serta berhampiran laut atau sumber air kekal. Haha, rasa macam belajar sejarah pula tentang kehidupan zaman agraria. Dalam banyak hal, perhitungan untuk memilih tempat bagi wujudnya negara kota didasarkan kepada upaya untuk berlindung dari serangan musuh, selain faktor makanan dan sebagainya. Di negara kota inilah semua kegiatan; dari pemerintahan kepada hal-hal kehidupan yang lain seperti sukan dan kesenian dijalankan.

Sudah menjadi satu kebiasaan orang Yunani kuno untuk membicarakan pelbagai persoalan hidup, termasuk masalah politik dan negara. Ada beberapa faktor yang aku fikir telah merancakkan hal ini antaranya 1) Negara mereka mengalami pelbagai bentuk pemerintahan seperti monarki, aristokrasi, autokrasi dan demokrasi. Aku percaya peristiwa-peristiwa ini membenihkan rangsangan timbulnya pemikiran politik.

2) Kerana masyarakat dan negara dilihat sebagai satu. Maka, semua persoalan hidup masyarakat adalah persoalan negara.

3) Adanya kebebasan bersuara (dan selepas bersuara, haha) dan bukan penggunaan senjata. Maka segala sesuatu akan dinilai dari sudut kekuatan hujah, bukan senjata. Dari hal ini sikap kritis rakyat dipupuk secara tidak langsung.

Kebebasan bersuara? Ah..ni semua propaganda pembangkang dan NGO yang pro pembangkang! Haha..aku tolong tulis bagi pihak BNBBC.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home