Tuesday, June 13, 2006

Piala Dunia

"Dia katakan saya gemuk, semua orang tahu dia juga suka minum" balas penyerang bola sepak Brazil ketika ditanya komen Perdana Menteri Brazil bahawa beliau agak 'berat'.

Piala Dunia datang 4 tahun sekali. Ada apa dengan Piala Dunia?

Aku pernah menulis tentang Aku, Bola Sepak dan Politik. Jadi tulisan ini hanya satu kemaskini kepada tulisan lama aku masa EURO 2004.
__________________________________________________

21 Jun 2004, kuliah semester pertama 2004/2005 bermula. Seperti biasa hari pertama kuliah akan jadi medan bercerita aktiviti semasa cuti. Sebahagian mahasiswa menghabiskan latihan praktikal selain ada yang menghabiskan percutian dengan bekerja sementara di pelbagai premis dan bentuk perniagaan. Namun, topik yang sukar dibuang daripada isu lewat seminggu sebelumnya ialah Kejohanan Bola Sepak EURO 2004. Topik ini nampak lebih popular di kalangan siswa berbanding siswi. Sebahagian kami telah mula mewujudkan kelompok penyokong pasukan tertentu sebagai pilihan juara selain perbualan bagaimana individu-individu bertaraf bintang akan memainkan peran penting (playmaker) kepada pasukan masing-masing. Sebahagian pensyarah yang juga ‘kaki bola’ turut sama menyelitkan isu ini di dalam bilik kuliah dengan nada provokatif sambil mengadu minatnya menyebabkan tubuh tidak cukup segar semasa mengajar.

Selang beberapa hari bermula kejohanan, aku sempat hadir dalam satu forum anjuran Institut Kajian Dasar bertajuk ‘Masa Depan Politik Teologi’ atau bahasa mudahnya ‘Masa Depan Politik Agama’ bertempat di Shah Village Hotel, Petaling Jaya. Malam itu saya kira sambutan sangat menggalakkan. Peserta yang hadir untuk sama mengikuti kupasan terdiri daripada pelbagai latar belakang demografik. Aku kira sambutan yang begini bukan sekadar kerana isu yang cuba diketengahkan penting, tetapi juga disokong faktor kehadiran Astora Jabat, penulis kontroversi yang kini menjadi editor majalah Al-Islam selain Khalid Jaafar, Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD) sendiri dan Dr. Dzulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan Parti Islam se-Malaysia (PAS). Tapi itu bukanlah apa yang ingin aku ceritakan di sini – mungkin di ruangan lain. Cuma terkenang sebaris ayat yang dikeluarkan secara spontan oleh moderator forum pada malam tersebut, Fathi Aris Omar, seorang penulis yang cukup terkenal di kalangan aktivis media di Malaysia. Fathi yang awalnya sedikit tidak senang dengan kehadiran lewat ahli panel cuba mengingatkan sidang tentang masa yang perlu dipatuhi sambil berjenaka bahawa perlawanan Bola Sepak EURO akan berlangsung pada pukul 11.45 malam. Beliau juga sempat membawa fikiran hadirin bagaimana situasi kempen Pilihan Raya Presiden di Indonesia sedikit tenggelam dilanda demam Kejohanan Bola Sepak EURO 2004. Betapa besar kuasa bola!

Bola sepak pernah jadi sukan kegemaran aku ketika di zaman persekolahan menengah rendah hingga akhirnya aku terpaksa memilih untuk meninggalkan sukan ini kerana menumpukan perhatian pada akademik dan sukan lain (juga kerana sedikit masalah dengan jurulatih). Tapi kecintaan aku pada sukan ini masih tersisa biarpun sudah hampir sedekad sukan ini sudah ditinggalkan (sepenuhnya!). Mungkin aku tidak mampu bercerita dengan baik perkembangan bola sepak semasa, namun sedikit sebanyak, pengalaman tidaklah menjadikan aku janggal mendengar tentangnya.

Bola sepak sejenis sukan yang unik. Di mana-mana tidak sukar untuk kita bertemu dengan padang bola sepak. Sukan ini juga tidak sekadar dimainkan oleh golongan dewasa malah kanak-kanak. Aku sendiri mula bermain bola sepak sejak umur 4 tahun sebelum bermain secara serius ketika darjah 5. Waktu itu main dengan pakcik-pakcik dan abang-abang. Mereka memanggil aku 'Korea', mungkin kerana saiz aku yang kecil. Adik aku, ketika berusia 6 tahun dan bertadika pernah selamba menjawab pertanyaan guru tadikanya bahawa dia bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak apabila besar nanti (walaupun akhirnya dia senasib dengan aku!). Tidak hairan bola sepak jadi permainan nombor satu di dunia. Isu-isu hangat tentang bola sepak sering jadi perhatian media dan masyarakat. Masih ingat isu rasuah yang melanda bola sepak negara satu ketika dulu? Itu belum masuk soal Persatuan Bola Sepak Negeri yang menghadapi masalah kewangan dan beberapa isu bersifat popular seperti pertukaran pemain antarabangsa.

Bola sepak selain jadi isu turut memperagakan selebriti. Aku masih ingat bagaimana sepupu aku (seorang wanita) yang cukup mengkagumi David Beckham di zaman kenaikannya. Tidak ramai pemain bola sepak yang diberi perhatian seperti Beckham sehingga skandal seks beliau juga jadi bahan popular dalam media cetak malah pernah jadi bahan undian sms (sistem pesanan ringkas) di saluran televisyen! Rata-rata pemain bola sepak lebih dikenali kerana ‘keperwiraan’ mereka di padang seperti Zinedine Zidane. Umumnya ramai yang tahu dan berminat dengan sukan bola sepak secara serius atau sebaliknya. Zaman persekolahan adalah detik yang menjadi bukti bagaimana seorang pemain bola sepak jadi kebanggaan si dara (walaupun hanya sekadar mewakili sekolah!). Bola sepak akan sentiasa menjadi ‘permainan lelaki’ di kalangan pelajar sekolah selain sukan ragbi. Aku sendiri punya pengalaman menonton Piala Dunia Remaja secara ‘live’ di stadium bersama rakan-rakan lelaki dan wanita sekolah. Mungkin tidak banyak yang mereka tahu, tetapi tumpuan mereka biasanya kepada figura yang terkenal dan lebih penting ‘berpenampilan’ (sebut saja punya paras yang tampan!).

Bola sepak tidak akan jadi meriah tanpa penonton. Siapa tidak tahu bagaimana fanatiknya penyokong bola sepak England? Tanpa penonton bola sepak hilang seri. Di Malaysia mungkin berbeza berbanding di luar negara (entah sama, saya tidak punya pengalaman!), penonton kita selalunya ‘lebih pandai’ berbanding pemain dan jurulatih. Namun secara tersirat dapat difahami bahawa kritikan, komentar dan maki hamun mereka asasnya untuk menonton sebuah perlawanan yang sihat. Bila menonton EURO 2004 aku tidak banyak memfokuskan kepada perlawanan yang berlangsung.

Setakat penulisan ini aku masih boleh berasa lega kerana pasukan Belanda yang jadi pilihan aku untuk kali ini masih berjaya meneruskan sisa perjuangan mereka berikutan kekalahan Jerman kepada Republik Czech (akhirnya hanya dapat no. 3). Aku selalu menghimbau EURO 2004 dan kejohanan bola sepak antarabangsa sebagai satu aspek pengurusan yang bersifat sejagat. Terma sejagat ini bukanlah terma yang diungkapkan sekadar pemanis bibir. Terma sejagat pada aku adalah tema besar yang patut difikirkan secara serius. Sejagat itu sendiri adalah satu mesej jelas bahawa nanti akhirnya manusia akan sedar bahawa kita menghuni dunia yang sama. Dan sejagat juga tentunya membawa bersama segala jenis kepelbagaiannya yang ada. Sebab itu terma ini pada aku bukan terma picisan. Malah ia harus jadi tema yang mendasar. Direnung dan difikir peranan FIFA mengurus kesejagatan ini melalui bola sepak sedikit sebanyak ada membenihkan pujian dari aku. Paling jelas, aku pasti para penggemar sukan ini tahu kempen anti perkauman melalui iklan ‘Kick Out Racism From Football’.

Akhirnya, aku mula meneroka jauh dan mendasar. Bola sepak tidak sekadar permainan. Malah boleh jadi ia satu penyampai mesej kepada masyarakat sejagat. Aku lebih senang untuk menyebut bola sepak ini adalah tidak ubah seperti satu sistem yang digerakkan oleh pelakunya. Ini persis bagaimana perjalanan sistem yang ada di dunia yang pelakunya adalah terdiri daripada orang-orang politik. Paling utama yang aku lihat dalam sebuah sistem ialah keadilan. Dalam bola sepak ini ditekankan secara tidak langsung melalui pewujudan pengadil dan penjaga garisan. Seperti sebuah sistem, bola sepak juga punya undang-undang dan syaratnya tersendiri. Sebuah perlawanan yang ‘jantan’ dalam bola sepak tentunya akan dimainkan secara adil. Tidak pernah saya dengar perlawanan bola sepak boleh berlaku adil tanpa ‘level playing field’. Tema ini tidak ubah sebuah tuntutan politik yang sering kita dengar. ‘Level playing field’ inilah yang akan jadi azimat untuk sebuah persembahan yang dinamik dan adil dalam mana-mana pertandingan. Tentu penggemar bola sepak boleh mengingati bagaimana Perancis, ketika zaman gergasinya ‘diperbudakkan’ oleh Senegal dalam Piala Dunia 2002? Contoh yang ada tidak sedikit tetapi realiti.

Aku percaya tidak ada penonton bola sepak, jika dia benar-benar seorang pencinta bola sepak, mahu pasukannya bermain secara tidak berkualiti dan menang dengan cara yang kotor. Tidak sukar untuk kita jumpa penyokong yang mengkritik dan memaki hamun pasukan kegemarannya sendiri atas pelbagai sebab. Malah kadangkala sokongan dialihkan kepada pasukan lawan sebagai tanda protes. Penonton adalah rakyat yang berpeluang menghakimi permainan melalui sesuatu yang mereka tahu setelah melihat.

Hal ini mengingatkan aku tentang idea ruang awam yang selalu diperdengarkan oleh Fathi dalam siri penulisannya ke arah kempen pendidikan demokrasi untuk rakyat. Pemberita adalah media yang jarang kita dapat lihat dan baca berita-berita palsu tentang bola sepak. Malah aku rasa tidak ada! Ini juga adalah satu keperluan dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan sistem politik yang sihat. Melalui berita-berita yang benar inilah sedikit sebanyak penonton ‘di luar stadium’ beroleh maklumat dan terlibat, meskipun tidak seaktif mereka yang melihat sendiri permainan ‘di stadium’. Namun, seperti sebuah sistem, bola sepak juga terdedah kepada pengkhianatan pelakunya. Isu rasuah seperti yang aku nyatakan sebelum ini. Bola sepak juga boleh jadi terdedah kepada ‘human error’ sekiranya pengadil tidak mengesan kesilapan yang berlaku seperti kekasaran atau bola terkena tangan. Ingat ‘tangan ajaib Maradona’? Aku sendiri punya pengalaman mengadili sebuah perlawanan akhir peringkat sekolah hingga akhirnya aku dijadikan punca kekalahan tanpa mahu mengakui langsung bagaimana pasukan yang menang tersebut lebih layak menjadi juara dan ada beberapa pendekatan strategi yang silap telah dibuat. Bola sepak dalam mengangkat tema sejagat juga terdedah kepada bangkitnya semangat nasionalisme kepada warga. Nasionalisme atau semangat cintakan negara pastinya satu perkara yang sihat dan wajar dipupuk. Namun nasionalisme kadang-kadang menjadi duri dalam daging kepada pengkhianatan cita-cita sejagat. Itupun kalau dikesan, jika tidak?

Aku percaya masih banyak lagi ‘di sebalik bola sepak’ boleh difikirkan dengan lebih baik dan secara mendalam. Kadang-kadang aku tertanya, adakah ini sebenarnya mesej yang hendak disampaikan oleh bola sepak kepada jutaan warga dunia yang mencintainya? Atau hanya saya seorang yang ‘pandai-pandai’ mahu berfikir seperti itu? Apapun, itulah bola sepak dan kehidupan manusia. Sebanyak mana sekalipun pandangan yang wujud bola sepak akan terus jadi satu permainan yang paling diminati. Harapan aku moga bola sepak tidak akan selamanya mahu dilihat sebagai sukan semata-mata. Bola sepak juga punya tanggungjawab dalam realiti kini – dunia tanpa sempadan. Cuma aku meneka-neka, tidak ada satu sistem pun di dunia ini yang mampu bergerak sendiri tanpa pelakunya. Dan bola sepak bukanlah permainan yang hanya berbicara sekitar pemain-pemainnya yang ada sahaja, bahkan melangkau sempadannya. Cuma jarang-jarang kita mahu belajar dalam situasi serius ataupun tidak. Apakah boleh diharap ada perjuangan dari sikap yang begitu? Hidup ini kadang-kadang tidak seperti yang selalu kita harapkan. “Manusia yang tidak belajar daripada ilmu (seorang guru) akan diajar oleh hidupnya”. Itu kata Ibnu Khaldun. Sejauh mana kebenarannya, tepuk dada tanya selera. Mungkin bola sepak ada jawabnya.

Dan aku perlu kembali ke kampus untuk belajar berfikir. Mungkin itu dapat membantu.

Tulisan ini disediakan sempena kerancakan Kejohanan Bola Sepak EURO 2004
_________________________________________________

0 Comments:

Post a Comment

<< Home