Wednesday, September 13, 2006

Dari Blog Jiwa Rasa

"Baca dan ulas" ringkas jawapan sms Khalid Jaafar pada aku.

Dua minggu lepas aku ke MPH - jalan-jalan tengok buku. Memandangkan aku dah tak ada PTPTN, aku hanya tengok-tengok saja mengubat rindu nak beli buku baru (sebab aku tambah sem, saja ambil kursus tambahan = 2 minor, pinjaman hanya untuk tempoh tertentu, tak buat lanjutan).

Aku jumpa satu buku dalam Bahasa Inggeris yang pernah aku tengok dalam Bahasa Indonesianya. Waktu itu Khalid Jaafar suruh aku baca - tapi aku tak ambil baca sebab ada beberapa buku lain aku tengah baca. Tentang Kemunduran Umat Islam - Sebab dan Penyelesaiannya.

Aku jumpa ini di blog jiwa rasa. Mungkin ini resensi ringkas. Tapi bagi aku cukup sebagai promosi. Moga ini cukup sebagai asas jawapan kepada sms Khalid Jaafar kepada aku bila aku sampaikan melalui sms juga padanya tentang kewujudan buku ini.

Our Decline Its Causes and Remedies
Amir Shakib Arslan
Foreword by Rashid Rida
Islamic Book Trust
Kuala Lumpur
2004

Buku ini adalah buku lama. Sudah ditulis di tahun 1930-an. Ianya diterbitkan semula oleh Islamic Book Trust pada tahun 2004. Tulisan asalnya dalam Bahasa Arab.

Amir Shakib Arslan (1869-1946) adalah rakan baik tokoh reformis Mesir, Rashid Rida. Beliau adalah seorang ahli politik, ahli sejarah juga penulis berbangsa Druze yang berasal dari Lubnan. Beliau adalah penyokong kuat idea-idea Muhammad Abduh dan Jamaludin Afghani.

Buku ini sebenarnya adalah tulisan beliau sebagai menjawab surat dari Sheikh Muhammad Bisyooni Umran dari Indonesia, yang diterima di tahun 1928. Sheikh Umran ingin tahu apakah penyebab kemunduran umat Islam, khususnya bagi umat Islam di Tanah Jawa dan Tanah Melayu. Sheikh Umran telah menulis surat kepada editor majalah Al Manar, Rashid Rida agar mengajukan soalan ini kepada Shakib Arslan.

Shakib Arslan dianggap tokoh yang paling sesuai menjawab soalan ini berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam memperjuangkan Islam. Shakib kuat mempertahankan kerajaan Khilafah Uthmaniyyah sebagai benteng terakhir umat Islam. Beliau juga mempelopori kemudian menyokong kesatuan Arab dan Islam. Seperti Jamaluddin Afghani, beliau menentang keras penjajahan barat. Arslan menyokong perjuangan Umar Mukhtar melawan Itali di Libya dan antara pelopor awal perjuangan membebaskan Palestin dari penjajahan.

Arslan menangguh menjawab soalan Sheikh Umran ini sehingga beliau pulang dari menziarahi Sepanyol. Tulisan ini ditulis setelah beliau melihat sendiri tinggalan tamadun Islam di Andalusia dan melihat bagaimana Perancis cuba untuk mengubah agama kaum Berber di Maghribi kepada Kristian.

Tulisan Arslan sangat tajam dan menikam umat Islam. Dalam buku ini Shakib Arslan menyalahkan umat Islam yang tidak mahu menyumbang harta benda kepada Islam. Kata beliau, Negara Eropah adalah pengamal sebenar ajaran Islam. Negara dan rakyat Jerman, Itali, Inggeris telah membelanjakan berbilion untuk kelengkapan perang dan kehilangan berjuta nyawa di medan perang. Inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka yang sudah tidak ada pada orang Islam. Umat Islam diseru berkorban harta dan nyawa tetapi, umat Islam sudah jadi kedekut dan tidak mahu berpisah dengan wang mereka. Tidak mahu berkoraban walaupun itu adalah suruhan agama.

Arslan mempersoalkan, berapa peratuskah dari pendapatan seorang Muslim, yang boleh disumbangkan untuk kerja-kerja Islam. Arslan bertanya kenapa 400 juta umat Islam tidak boleh melawan sumbangan yang diberikan oleh hanya 20 juta Yahudi kepada Israel.

Arslan juga menyalahkan kemunduran Islam kepada dua golongan iaitu ultra modern dan konservatif. Mereka ini telah memberikan nama buruk kepada Islam dengan tafsiran sempit mereka terhadap agama. Golongan ultramodern mahu menjaga hati tuan penjajah, dan golongan konservatif pula mahu menjaga status dalam masyarakat.

Yang satu mendakap Barat dan segala budaya buruknya tanpa tapis, yang satu lagi berpegang pada fahaman rigid terhadap Islam yang tidak menerima sebarang perubahan. Sikap kedua golongan ini adalah disebabkan kejahilan mereka terhadap agama Islam dan juga peredaran zaman.

Arslan juga menghentam pembelot kepada agama, mereka yang bersekongkol dengan penjajah Barat dalam menjajah Negara umat Islam. Mereka ini rela berbuat apa sahaja untuk menggembirakan tuan mereka. Mereka menyalahkan Islam sebagai penyebab kemunduran dan berkempen menyatakan bahawa kedatangan penjajah adalah untuk menolong umat Islam.

Tulisan Shakib Arslan ini sangat-sangat relevan dengan keadaan di zaman ini. Walaupun ditulis sudah lebih 70 tahun, dan negara umat Islam sudah bebas dari penjajahan, namun tanpa sedar, umat Islam masih lagi terjajah pemikiran mereka. Inggeris sudah lama kita halau, namun anak didik yang ditinggalkan mereka, lebih Inggeris dari Inggeris. Golongan sebegini akan berbuat apa yang tidak berani penjajah lakukan.

Kalau kita sendiri tidak mahu berubah, kita akan terus dibelenggu kemunduran.

* Tambahan : Sumbangan yang dimaksudkan Syeikh Amir Syakib Arsalan ini, boleh jadi dapat diguna untuk yang bagus-bagus oleh umat Islam yang bagus-bagus. Contohnya kempen kumpul RM1 untuk karya filem Islam bermutu yang mungkin sedang disiapkan oleh sdr. Faisal Tehrani..atau mungkin dalam bentuk lain? Pokoknya buat, ye tak?

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home