Wednesday, August 16, 2006

Konichiwa 5

"Bagaimana hasilnya?" soal Mr Kojima kepada Dekan aku

Dua minggu lalu penaja kami (peserta lawatan ke Jepun) datang. Namanya Kojima. Dia pernah beberapa kali datang ke Malaysia. Seorang peniaga yang berjaya. Bila dia datang ke Malaysia tempoh hari, dia minta untuk berjumpa kami. Sayang hanya 4 orang daripada kami yang ada. Yang lain telah bekerja.

Mr Kojima bawa bersama beberapa keping gambar yang diambil oleh rakan-rakannya semasa malam bersama Rotary Fujisawa. Malam itu kami buat persembahan kebudayaan, maka tak ada siapa yang tolong ambilkan gambar.

Petang itu hanya lebih kurang 45 minit. Tapi perbincangan agak serius. Dekan dan pihak Rotary Kajang cuba melanjutkan perbincangan tentang apa, bagaimana dan semua tentang program yang sudah dijalankan serta peluang masa depan. Perbincangan meski pun hangat, tetapi berlaku agak perlahan kerana memerlukan penterjemah. Kami yang tak faham ni hanya jadi pemerhati, sambil menghabiskan kuih-kuih yang ada. Bukan tak faham sebenarnya tapi tak mahu menyampuk.

Aku dapat rasakan bagaimana seriusnya perbincangan tersebut. Dan memang aku sendiri mahukan lebih ramai lagi berpeluang ke sana. Dalam hal ini, seperti mana dalam semua interview aku sejak dulu, aku sentiasa memuji Dasar Pandang ke Timur yang digagaskan oleh (Tun) Dr. M semasa beliau baru menjawat kerusi Perdana Menteri. Timur di sini bukan sahaja Jepun, tapi entah kenapa sejak dulu memang Jepun yang lebih sinonim bila kita sebut dasar ini.

Aku masih ingat malam itu semasa makan. Aku berada satu meja dengan ramai tokoh peniaga. Entah kenapa aku terpisah dengan kawan-kawan lain yang dapat duduk semeja 6 orang! Dalam hati rasa susah gak la sebab semua cakap Jepun. Aku kental je cakap Bahasa Inggeris. Rupanya aku tahu juga salah satu sebab kenapa aku dipilih ialah kerana rupa aku ada iras Anwar Ibrahim. Haha, aku rasa nak tergelak. Tapi memang sejak aku sampai Jepun memang ada yang bertanya sama ada aku ini anak dia atau ada kaitan kekeluargaan dengan Anwar. Aku tak rasa aku ada iras dengan Anwar..entahlah.

Dunia ni pelik. Dulu aku pernah dikeluarkan daripada senarai pada saat akhir kerana faktor Anwar, sekarang berbeza pula! Masa ini aku ketawa sendiri..kerana aku sahaja yang tahu pada waktu itu kenapa aku patut ketawa. Aku tak banyak cakap tentang politik. Jenis aku, aku tahu hormat majlis. Aku semakin pasti kenapa faktor Anwar ini penting..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home