Monday, July 10, 2006

Konichiwa 4

"Watashiwa namaenan Amin des" antara ayat Jepun yang awal aku belajar.

Ok, apa kami buat di Shonan Campus? Sebenarnya kami perlu duduk mendengar segalanya tentang pengurusan hutan di sana. Secara umumnya pengurusan hutan di sana agak berbeza berbanding di Malaysia kerana faktor musim dan juga kejadian bencana alam.
Prof-prof yang mengajar (sebenarnya aku lebih mahu mengatakan berkongsi) menggunakan bahasa inggeris yang mudah memandangkan mereka lebih gemar menggunakan bahasa jepun.
Jepun setakat ini masih mematuhi Protokol Kyoto dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar mereka. Mereka lebih banyak mengimport daripada mengeksport kerana kos lebih rendah. Penggunaan hasil bukan kayu di Jepun tidak begitu ketara tetapi ada.

Kami berpeluang terlibat dalam amali Patologi dan Entomologi bersama mahasiswa di sana. Alhamdulillah bagi aku tidaklah terlalu sukar sebab kami dah belajar apa yang diajar pada petang itu. Yang menariknya, pembantu Prof. dalam menjalankan amali tersebut adalah seorang Dr.! Bersama beliau ada dua orang pelajar Master yang membantu. Ada seorang dua pelajar masuk lewat. Aku difahamkan bahawa di sana tidak seperti di UPM. Maksud aku, kita di Malaysia khususnya UPM, kerana ISO..kehadiran pelajar direkodkan dan pelajar yang jumlah kehadirannya tidak mencecah 80% tidak dibenarkan mengambil peperiksaan akhir! Di Jepun, aku difahamkan bagi seorang pensyarah sudah cukup jika pelajarnya hadir biarpun lewat kerana itu tanda hormat pelajar.

Suasana dalam amali tersebut tak banyak berbeza dengan Malaysia. Ada yang buat kerja dan ada yang berborak..tapi kerja siap. Kehadiran kami membuat mereka tertanya-tanya. Rupanya orang Jepun terutama lelaki agak pemalu. Namun mereka cepat mesra bila kita telah memulakan perkenalan. Ichi, seorang siswa Jepun banyak membantu kami pada hari itu bila dia menawarkan untuk membawa kami berjalan-jalan sekitar Fujisawa. Ichi rupanya pernah mengikuti program pertukaran pelajar ke USA. Mungkin sebab itu dia agak fasih berbahasa inggeris. Sampai sekarang aku masih menyimpan hadiah ukiran nama aku pada batu yang Ichi buat untuk aku.

Malam itu kami belanja Ichi makan dan dia berlalu meninggalkan kami. Ada beberapa hal yang buat aku terkilan dari segi bentuk layanan kami kepada Ichi. Aku tidak sepenuhnya menyalahkan 'mereka' kerana mungkin atas faktor ketidakpastian itu risiko tidak diambil. Cuma aku rasa seolah kita tidak berbudaya. Tidak ada senyum manis atau sopan kalau ya pun kita tidak suka atau mahu orang lain menawarkan pertolongan.

Malam itu aku dan seorang kawan curi keluar ke Lawson. Aku jalan-jalan keluar menikmati udara di Fujisawa tanpa rasa terikat dengan jadual atau pengawasan orang lain. Beberapa kali cuba hubungi makcik aku di Prefecture (negeri) lain di Jepun, tapi gagal.

Masuk hari ketiga di Jepun, aku mulai suka keadaan di sana. Selama dua hari sebelum aku lebih banyak memerhati dan mengikut. Kini aku dapat rasakan apa itu 'kejutan budaya'. Tapi bukan aku terkejut kerana budaya Jepun yang sangat menonjol itu cuma aku terkejut kerana begitu besar makna budaya dalam hidup seperti apa yang aku sebut pada penemuduga aku "budaya adalah penjelmaan nilai-nilai dalam hidup"..

Dan aku mula mencari..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home