Tuesday, May 29, 2007

Jengok-Jengok Pilihan Raya ke-12

"Sekarang saya dapat bezakan antara sahabat dan politik" lebih kurang kata Dato' Nallakarupan semasa mengumumkan penarikan diri dari Parti keADILan Rakyat (PKR).

Entah kenapa tahun 2007 dari pandangan aku menunjukkan pelbagai peristiwa yang menarik dalam erti hidup bernegara, sekurang-kurangnya dalam kehidupan aku.

Tahun ini ada ramalan bahawa akan berlaku Pilihan Raya untuk sekian kalinya - ke 12. Dan sudah tentu, mengambil kira banyak kemungkinan, Pilihan Raya kali ini adalah antara Pilihan Raya yang dinantikan.

Sudah tentu ramai pihak mahu membuktikan sesuatu. Tokoh-tokoh baru dan lama juga akan mula mencongak jalan ke depan. Parti-parti akan meninjau cabaran dan langkah perjuangan.

Pilihan Raya, sebagai satu dari cabang indikator demokrasi nyata cukup penting. Dan kita sedar bahawa cabang ini pada satu tingkat sedang diuji. Bila wujud pertikaian yang banyak tentang ketelusan Pilihan Raya, sehingga pemboikotan berlaku. Bila ada isu-isu lain seperti keganasan dan suasana pemilihan yang tidak bebas, maka Pilihan Raya sebagai mewakili sebahagian makna demokrasi tercabar dengan sendirinya.

Pengalaman aku bertugas bersama MAFREL dengan akreditasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nyata memberi banyak pengalaman.

Dalam himpitan erti penglibatan dalam demokrasi (participatory democracy) akibat banyaknya kekangan seperti AUKU, OSA, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak (sekadar menyebut sebahagian)...aku tertanya..

"Akan adakah manifesto mahasiswa dalam Pilihan Raya kali ke-12 ini?"

Ini masa terbaik untuk mahasiswa kembali menjengok dan menumpu kepada dasar2 yang lebih bermakna untuk rakyat. Ini masanya mahasiswa muhasabah sama ada mereka hanyalah pak turut, terlibat dengan semangat kosong atau mereka benar2 mampu untuk sekurang-kurangnya memberi makna kepada penglibatan mereka.

Dalam proses ini mungkin kita akan melihat pertentangan GAMIS dan DEMA (mungkin ini yang lebih ke depan) dalam memacu idea-idea teras dan khusus untuk manifesto (dan sebenarnya ini baik untuk mereka). Dan kita juga MUNGKIN akan melihat kelompok Aspirasi tiba-tiba akan mengeluarkan manifesto mereka?

Semuanya serba mungkin..dan aku, dalam hangat menantikan perubahan pemikiran dalam kepimpinan mahasiswa sentiasa mengharapkan keajaiban mahasiswa malaysia mendobrak seni kepimpinan untuk dihayati generasi kini dan masa depan.

Selamat berjuang!

Friday, May 25, 2007

Keadilan

"It's not about how much that you know, it's all about how much that you share" Kata-kata yang sering aku pegang dalam perkongsian makna hidup (melalui pengalamanku).

Tajuk tulisan ini ialah keadilan. Ia bukan tentang Parti keADILan Rakyat (PKR) secara langsung tetapi sebaliknya secara tidak langsung.

Kebelakangan ini, sejak sebelum Ijok, semasa dan selepas, aku sempat luangkan masa bersama beberapa kelompok yang sudah lama aku tidak temui (sudah tentu bukan seluruhnya). Dalam hangat-hangat perbualan, cerita PKR tidak pernah lekang daripada sebahagian persoalan yang ditanyakan pada aku.

Entah kenapa, seingat aku telah aku ulang sekian kali sejak zaman belajar bahawa aku bukan orang parti, mana-mana parti sekalipun. Tetapi aku mahu jadi orang yang berpartisipasi dalam sistem demokrasi. Kata lain, seperti yang terungkap dalam cebisan perjuangan PKPIM - non partisann but with participation (lebih kurang bunyinya).

Aku sedar bahawa imej, karakter dan pendapat aku cenderung dekat dengan PKR. Jawabku mudah - kerana aku percaya bahawa kita perlukan reformasi. Dan aku ulangi di sini bahawa - reformasi adalah kerja semua orang. Sudah tentu aku memaksudkan pembaikan berterusan.

Dan peristiwa berantakan (mungkin istilah ini kurang tepat) dalam PKR adalah jawab paling kukuh untuk aku sajikan kepada teman-teman. Bahawa reformasi adalah kerja semua orang.
Dan pemusatan istilah reformasi kepada PKR, untuk aku, pada takah tertentu telah menjadikan agenda reformasi menyeluruh tenggelam kerana riuhnya isu siapa menang berbanding fokus yang lebih wajar diberi kepada agenda.

Maka, untuk berlaku adil - mari kita cerahkan makna reformasi - bahawa ia bukan milik PKR, NGO atau sebagainya. Ia adalah milik rakyat berjiwa merdeka dan kerja semua orang.
______________________________

Pasca Ijok, aku telah menulis sedikit tentang Angkatan Muda keADILan (AMK)..dan mungkin perkembangan dewasa ini adalah buah daripada 'kelemahan' AMK.

Masih belum sedia menulis tentang Pemuda UMNO. Sedikit waktu lagi..

Friday, May 11, 2007

Negara Kota : Munculnya Socrates

"(Tulisan) dia betul-betul mendamaikan aku" kata seorang teman bila aku menyarankan tulisan Fathi Aris tentang Ijok.

Kemudian muncul Socrates (469 SM) yang kemudian menjadi filasuf terkemuka. Dr. Ali Syariati pernah membuat hipotesis bahawa Socrates adalah seorang nabi khusus untuk bangsa Yunani. Socrates sangat kritis dan selalu mempersoalkan sesuatu yang telah dianggap benar. Dia tidak mudah percaya begitu sahaja kepada kebenaran dan kebajikan tanpa menyelidiki. Di sinilah kepentingan akal bagi Socrates. Akal harus digunakan untuk terus menerus meragukan dan bertanya sehingga kebenaran dan kebajikan ini terus difahami. Kaedah pencarian Socrates ini dikenali sebagai skeptical.

Agak menarik bila aku pernah hadir dalam siri awal kuliah pencerahan di Institut Kajian Dasar bila aku didedahkan buat kali pertama secara langsung dengan teks Yunani. Nyata soalan-soalan Socrates bukanlah soalan yang mudah untuk dijawab dan ia berhasil untuk melatih sikap kritis dalam diri. Waktu itu, soalan yang bermain di kepala aku ialah “Apakah kerana Islam ia adil atau kerana ia adil maka ia Islam”…aduh!

Socrates menghadapi penentangan kaum Sofis dan penguasa. Dia menentang kaum Sofis kerana pragmatisme yang acute, mencari keuntungan dari pengajaran, mengutamakan kepentingan praktis berbanding teori, melebihkan retorika serta demogogi politik berbanding metafizik dan falsafah. Dia juga menentang keras pandangan bahawa tidak ada yang baik dan buruk yang dibawa oleh kaum Sofis sebaliknya menegaskan bahawa manusia harus memiliki pengetahuan untuk membezakan kebaikan dan keburukan. Justeru, manusia memerlukan penggunaan akal secara maksimum.

Kerana dia dianggap sesat (atau merosakkan parti, haha..atau mungkin memecah belah masyarakat), maka penguasa berkonspirasi dengan kaum Sofis (ada konspirasi zaman tu tau tak! Hehe) untuk menghukum mati Socrates dengan meminum racun. Socrates mati pada 399 SM tanpa dibenarkan membela diri di muka pengadilan..

Labels:

Negara Kota : Athens yang runtuh dan bangkit semula

"Saya yang 2.000 (CGPA bergraduat) ni lebih mulia daripada dia (pegawai kanan universiti yang berpangkat PhD dan mendapat Profesor penuh baru-baru ini)" kata seorang kenalan aku kepada seorang pensyarah bila akhirnya dia sendiri merasa kezaliman yang sering didengarnya sebelum ini.

Sekitar tahun 400 SM, negara kota yang pernah dikenal agung ini runtuh dalam serangan tentera Sparta – Perang Peloponnesian di mana rakyat Athens sebahagiannya telah dijadikan hamba. Sparta berhasil mengalahkan Athens kerana kekuatan tentera dan ini tidak menghairankan kerana dalam konstitusi Sparta tertulis bahawa seluruh rakyatnya, tanpa pengecualian, adalah tentera! Setiap warga, berbeza dengan Athens, diberi latihan ketenteraan – baik lelaki atau wanita. Mereka telah dipersiapkan dengan kekuatan fizikal serta disiplin yang ketat.

Kekalahan Athens menimbulkan trauma sejarah dan psikologi serta menjadi antara kisah yang paling diingati dalam sejarah pemikiran barat. Ratapan kekalahan ini dapat dilihat dalam banyak karya Plato. Namun demikian, kekalahan Athens ini juga pada sisi yang lain telah memberikan kesan positif di mana Athens menjadi pusat pengembangan ilmu pengetahuan dan falsafah kenegaraan pasca ketewasan mereka kepada Sparta. Jika kita renung semula, mungkin kebangkitan Athens ini tidak jauh beza dengan Jepun, selepas dilanda atom yang menjadi tanda ketewasan mereka kepada Amerika dalam Perang Dunia kedua, Jepun berhasil menjadi kuasa di rantau ini, malah suara yang diberi perhatian oleh dunia. Kita orang Islam, yang sering bangga dengan kesempurnaan ajaran kita, dalam meratapi runtuhnya pemerintahan Uthmaniyyah, masih keliru untuk bangkit semula. Pada hemat aku, kerana kita mengharapkan teks yang sempurna untuk bergerak walhal kita juga sering membaca bahawa “para sahabat r.a. adalah umpama al-Quran bergerak” malah kenyataan saidatina Aisyah r.a. “akhlaq Rasul s.a.w. adalah Al-Quran”. Di mana silap kita agaknya?

Athens, pasca perang, tidak terus terhakis pengaruhnya bahkan kekal menjadi pusat pendidikan negara sekitar Laut Tengah dan babak baru dalam sejarahnya menunjukkan lahir gerakan intelektual dan falsafah yang dipelopori kaum Sofis. Gerakan Sofis ini telah memugar pelbagai persoalan dengan soalan-soalan yang bersifat fundamental sehingga teknikal. Antaranya “apakah ada?”, “apakah Tuhan itu?”, “bagaimana Tuhan mungkin ada?”, “Apakah negara?”, “Mengapa perlu membentuk negara? “Bentuk negara apa yang paling baik?”, “Haruskah keadilan ada di dalam negara? Jika harus, apakah keadilan itu?” dan tentunya sejumlah besar lagi pertanyaan-pertanyaan yang berkait langsung dengan banyak proses hidup.

Kaum Sofis melihat negara sebagai alat yang digunakan manusia untuk memenuhi keperluan mereka. Manusia pula dilihat sebagai objek. Tidak ada yang buruk atau yang baik kerana semuanya ditentukan manusia, bergantung kepada sejauh mana nilai kegunaannya. Mereka berkembang menjadi kelompok pendidik dan mendapat bayaran dari pengajaran mereka. Kaum Sofis diakui menjadi perintis gerakan pendidikan zaman Yunani klasik. Pendidikan akhirnya menjadi satu keperluan hidup. Kaum Sofis ini pada satu tingkat yang lain tidak dipersetujui oleh kaum pemikir di Athens kerana mereka mencari pendapatan dengan mengajarkan pengetahuan.

Labels:

Siri Negara Kota Muncul Lagi!

"Aku tak dapat tidur kerana fikir tentang hal ini (nasib rakyat)" kata seorang teman pada aku bila aku lihat dia lesu kerana tidur yang tidak cukup.

Warganegara sebagai elit sosial-politik mempunya waktu lapang yang banyak untuk membolehkan mereka terlibat dalam kegiatan politik negara kota dan mereka juga punya hak istimewa dalam proses kenegaraan yang menjadikan status mereka begitu kukuh.

Sidang Ecclesia, forum yang merumuskan perihal urus tadbir dan kepentingan negara telah, diwajibkan kepada warganegara yang mencapai usia dua puluh tahun untuk ikut serta. Status kewarganegaraan diperoleh berdasarkan kelahiran (ascribed status) dan bukan prestasi (achieved status). Status ini dinilai sebagai kemuliaan tertinggi yang mewujudkan kebanggaan kepada warganegara.

Pericles menamakan sistem pemerintahan yang berhasil membangunkan Athens sebagai Athenian democratia. Saat ini Athens dikira cukup berjaya, berperadaban tinggi, adil dan makmur. Beberapa criteria dapat dikenalpasti daripada pemerintahan Pericles iaitu 1) pemerintahan oleh rakyat melalui penyertaan penuh dan langsung (participatory); 2) persamaan di depan undang-undang; 3) pluralisme yakni penghargaan kepada semua bakat dan pandangan serta 4) penghargaan terhadap pemisahan atau wilayah individu untuk mengekspresikan keperibadian individual.

Pemerintahan Pericles menyaksikan pemerintahan rakyat terbanyak dan bukan segelintir warganegara (oligarki). Pericles sedar bahawa pemerintahan segelintir warga hanya akan mendorong penyalahgunaan kuasa (abuse of power) kerana tidak adanya timbal balik kawalan terhadap penggunaan kuasa. Dalam hal persamaan hak di depan undang-undang, tidak wujud diskriminasi atas nama apa sekalipun dan isu pemerintahan negara bebas diperkatakan secara bebas oleh semua warga daripada semua golongan - bangsawan atau rakyat jelata, kaya atau miskin. Kebebasan bersuara ini membolehkan penyertaan rakyat dan menjelaskan lagi kesamaan semua di depan undang-undang. Kayu ukur kepada pandangan yang pelbagai ini adalah merit dan juga prestasi yang dimiliki. Dalam konteks dunia moden, prinsip-prinsip demokrasi ini dipanggil egalitarian.

Pericles berhasil mewujudkan rasa bangga dan memiliki (self pride and belonging) seorang warga terhadap negaranya. Negara telah menjadi pusat kehidupan. Seni dan agama adalah seni dan agama negara. Apa juga perbuatan yang dapat memberikan nilai kebesaran dan keagungan bagi negara Athens adalah ritual heroisme politik tertinggi bagi negara. Segalanya menjadi hebat bila ia dapat memberikan nilai kepada kehidupan dan kebesaran Athens.

Ritual seperti ini disuarakan Pericles dalam pidato pemakamam (funeral oration) kepada parajurit yang terkorban semasa menentang tentera Sparta. Katanya “…Saya berharap setiap hari saudara akan memusatkan perhatian kepada keagungan Athens, sampai saudara diliputi rasa cinta terhadapnya. Dan jika saudara terpesona kerana keagungannya itu, saudara akan menginsafi bahawa negara ini telah didirikan oleh orang-orang yang tahu akan kewajipannya dan memiliki tekad untuk berbuat demikian. Mereka yang tidak pernah kenal takut untuk turun ke medan tempur; yang mereka sedar bahawa jika mereka terkorban sekalipun tidak akan mengorbankan kehormatan negara mereka, tetapi dengan sukarela akan mengorbankan jiwa mereka sebagai persembahan termulia kepada negaranya”. Di Athens, Pericles berhasil mewujudkan suasana di mana setiap warga adalah bersaudara seperti keluarga dan hubungan penguasa dan rakyat adalah seperti hubungan bapa dan anak-anak.

Labels:

Tuesday, May 01, 2007

Nasib Pelajar

"About 30 students of public institutions of higher learning in the Klang Valley were found to have campaigned in the recent Ijok state by-election and may face disciplinary action" Higher Education Minister Datuk Mustapa Mohamed said.

Seorang kawan bertanya tentang kenyataan Pak Menteri yang aku petik di atas. Aku ketawa dan menjawab "Kau ni kenal aku sehari ke?"
Sudah tentu kenyataan Pak Menteri ini cukup aku kesali. Mari kita tengok justifikasi Pak Menteri ini
He said students were free to voice their opinions but through the proper channels."The ministry frequently holds meetings with students of public institutions of higher learning and students are free to voice their opinions at these forums, including criticising the government," he said.
Sebab itu aku ketawa. Kerana Pak Menteri kita ini, bukan kerana tak tahu, tapi membuat kenyataan dalam keadaan serba tahu bahawa dialog terhad antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan pelajar terdiri daripada wakil pelajar yang telah 'dipasung' keberaniannya dan majoritinya adalah mereka yang terpilih dari pengendalian sistem yang cukup busuk! Dan sebahagian daripada kebusukan ini adalah di bawah kawalan Pak Menteri yang bersuara!
Ya, aku tahu akan ada yang berkata "Kalau kau kata pengendalian sistem itu busuk, kemenangan kau dalam pemilihan MPP dulu apa?"
Jawab aku "Busuk! Dan aku bertarung dengan kebusukan ini, bukan membiarkannya!".
Sebahagian teman2, meski mereka pro kerajaan, atau pro UMNO secara totok sekalipun boleh mengakui kebusukan ini. Dan kebusukan inilah yang dinamakan 'ruang bebas bersuara melalui saluran'. Bukan sedikit mereka yang bersimpati akan nasib aku dan aku tahu sebahagiannya.
Jika ada sekalipun suara yang berani dalam saluran, mereka ini akan dipasung! Sungguh malang pelajar di Malaysia. Hampir tidak ada harga diri.
Sejarah jadi saksi semua para Nabi a.s., Rasulullah s.a.w. dan seluruh sahabat yang mahsyur selalu menegaskan bahawa mereka akan memberikan hak kepada yang berhak dan mengambil hak dari yang tak berhak..kita menurut contoh teladan yang mana.
Relevan sungguh pantun SN Dato' Usman Awang yang pernah dibacakan oleh mantan Naib Canselor UPM
Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong bolehkah jadi Menteri?
Mungkin Pak Menteri boleh siasat juga pelajar2 yang jadi ahli politik sayap parti2 tertentu.. malah pegawai Universiti yang angkuh berjumpa pelajar dengan memakai tag parti politik.
Selalu aku tertanya "Islam Hadhari ni tak ajar orang ingat akhirat ke?"

Labels: