Sunday, July 23, 2006

Orang Muda?

"Kita buat pengorbanan besar untuk mendapatkan hak keistimewaan melayu" kata Dr. Marzuki, UIAM seolah-olah bertentangan pendapat dengan hujah aku ketika menyatakan masalah perkauman di Malaysia.

Semalam di UIAM, aku dijemput sebagai panel berlima tentang isu Mahasiswa dan Politik. Sebagai panel terakhir, jenuh juga la sebab aku cuba memberi kelainan daripada apa yang telah diungkap oleh semua panel. Panel lain adalah Dr. Marzuki Pensyarah Sains Politik dari UIAM, Saudara Wan Mohd Firdaus, Presiden UKEC, Saudara Radziq, Presiden MPPUIAM dan saudara Akmal Presiden Persatuan Pelajar Sains Politik UIAM.

Pembentangan aku agak berterabur juga, semata-mata nak gunakan masa yang ada untuk sentuh perkara yang tak disentuh oleh panel lain. Maksud aku kalau isu sama pun cuba bagi perspektif berbeza. Sebaik saja aku berdiri aku pun mengomel la..kataku terima kasih kepada penganjur sebab sudi jemput aku yang kontroversi ni. Bersama seorang pensyarah dan Presiden-presiden terkini, aku kata aku tak kekok sebab sekarang ni orang lebih suka dengar suara mantan-mantan...haha.

Pastu aku sentuh isu Mahasiswa dan Politik sebagaimana biasa..tak banyak beza dengan sikap aku dalam banyak tulisan aku 1) Debat di Idealis Mahasiswa 2) Pembentangan aku di BTN semasa berkursus sebelum Pilihan Raya Kampus dulu 3) Forum UmmahOnline 4) Siri diskusi di UBU dan beberapa program IKD.

Cuma aku fokus kepada Pembangunan Modal Insan dalam konteks kehidupan realiti Malaysia. Maksud aku bagaimana aktivis atau pemimpin pelajar harus bersedia dengan zeitgeist atau semangat zaman yang mencabar ini. Aku gariskan kelemahan kita terutama dalam aspek ekonomi. Mahasiswa hari ini memang aku lihat pada diri aku sendiri gagal menguasai isu ekonomi sedangkan isu ini boleh dikatakan tulang belakang kepada politik. Kerana kegagalan memahami zeitgiest, bahawa perkembangan negara telah banyak berubah dan pendekatan harus berbeza daripada nostalgia 60-70an dengan sikap yang jelas telah menyebabkan mahasiswa tersorok ke ceruk yang tidak dipeduli. Aku tidak mengatakan bahawa demonstrasi tak perlu tapi aku katakan bahawa pemimpin hari ini rata-rata adalah siswa zaman lalu yang kita katakan zaman kemuncak itu. Justeru, kebijaksanaan harus ditingkatkan. Penguasaan isu harus digerakkan.

Semua isu di atas ini aku ingat isu asas sahaja. Aku mahu lebih bertumpu kepada masalah perkauman. Kata Perdana Menteri semasa menarik balik buku Hubungan Etnik di UPM ialah masyarakat kita belum keluar daripada masalah perkauman. Lebih parah ialah kita tidak berbuat apa-apa untuk itu tetapi terus menerus menanam ideologi benci dalam diri anak muda Melayu tentang kebangkitan Cina dan bagaimana Ketuanan Melayu perlu diselamatkan. Jawab aku pada Dr. Marzuki ialah "..memang kita berkorban untuk mendapatkan hak istimewa Melayu, tetapi adakah kita mahu berkorban lagi semata-mata kerana berkubu di sebalik apa yang kita sebut hak istimewa Melayu ini!". Kita sedia menjadi zalim hanya kerana Melayu..dan kita sebut Melayu itu Islam. Kita seolah mengasosiasikan zalim dengan Islam. Sampai kiamat orang akan melihat Islam itu bukan alternatif!

Sebab itu aku percaya persoalan Melayu ini harus jelas. Melayu bagaimana harus kita bantu. Sabda Rasul s.a.w. bila ditanya sahabat tentang makna Assobiyah ialah 'kamu tolong saudara kamu dalam masa yang sama kamu zalim kepada yang lain'. Adakah Rasul s.a.w. tidak benarkan kita tolong saudara kita? Tidak..malah digesa..namun tidak dihalalkan zalim untuk itu!

Di mana sikap siswa??

Video yang tersebar di internet tentang perlakuan siswa UPM amat memeritkan hati kerana aku rasa terbeban juga. Maklumlah misi ke arah memuliakan insan sebagaimana Allah s.w.t. memuliakan Bani Adam nampak tercabar dan tidak dipedulikan. Malah mereka yang terpekik agenda Hadhari, agenda Nasionalisme dan agenda Bangsa sendiri tidak jelas duduknya.

Aku sebut dalam forum berkenaan tentang revolusi gelombang ketiga yang mencabar makna individu dan kolektif dalam hidup bernegara. Kita tidak boleh lagi selesa dengan pandangan lama kerana manusia mula bertanyakan hak bila mereka mulai sedar dan celik kerana perkembangan ini.

Dan kami bersetuju bahawa siswa harus ke depan kerana kita tidak mahu dipimpin oleh si bodoh yang membahlolkan mahasiswa. Penguasaan ilmu yang sering dilaungkan oleh aktivis tidak harus hanya jadi tema gempak tanpa isi kerana pada hari ini aktivis sendiri tidak bersedia untuk duduk dan mendengar (tidak dipaksa bersetuju pun!). Dan aku ulang kepada aktivis Islam yang ada di dalam dewa..bahawa Islam tidak pernah dipersetujui oleh umatnya jika dituduh tertegak dengan mata pedang. Konon kata kita Islam tertegak dengan hujah, apakah kita sedia untuk itu? Dan aku katakan pada satu waktu bila Rasul s.a.w. didatangi 5 pemuka agama untuk mengajak Baginda bersama mereka, kata Baginda "Apakah kamu mahu mengajak aku tanpa hujah?"

Dan aku tinggalkan sidang dengan penuh tanda tanya dan provokasi bahawa perjuangan dan agenda siswa di Malaysia praktisnya GAGAL.

p/s : bila aku katakan gagal, aku tak pernah kecualikan diriku...

Thursday, July 13, 2006

Belum Habis Lagi!?

"Glamour la kau!" kata pensyarah aku masa kami duduk minum bersama.

Minggu Orientasi Universiti atau di UPM disebut Minggu Putra Perkasa baru tamat minggu lepas. Alih-alih ada kawan datang memberitahu bahawa nama dan gambar aku dipamerkan dalam satu slot ceramah BTN sebagai antara pelajar yang disenarai hitam oleh BTN. Yang dikhabarkan kepada aku ialah gambar semasa demo SMM di UPM dan juga gambar dalam satu program..aku tak pasti yang mana, mungkin semasa aku jadi panel Forum Muda Malaysia atau gambar dulu semasa aku hadir dalam satu program bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sayang sekali aku tak pernah bergambar dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kalau tak sudah tentu gambar itu akan aku poskan ke BTN. Mungkin Pak Khalid dapat bantu aku bergambar dengan Dato' Seri..haha..

Monday, July 10, 2006

Konichiwa 4

"Watashiwa namaenan Amin des" antara ayat Jepun yang awal aku belajar.

Ok, apa kami buat di Shonan Campus? Sebenarnya kami perlu duduk mendengar segalanya tentang pengurusan hutan di sana. Secara umumnya pengurusan hutan di sana agak berbeza berbanding di Malaysia kerana faktor musim dan juga kejadian bencana alam.
Prof-prof yang mengajar (sebenarnya aku lebih mahu mengatakan berkongsi) menggunakan bahasa inggeris yang mudah memandangkan mereka lebih gemar menggunakan bahasa jepun.
Jepun setakat ini masih mematuhi Protokol Kyoto dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar mereka. Mereka lebih banyak mengimport daripada mengeksport kerana kos lebih rendah. Penggunaan hasil bukan kayu di Jepun tidak begitu ketara tetapi ada.

Kami berpeluang terlibat dalam amali Patologi dan Entomologi bersama mahasiswa di sana. Alhamdulillah bagi aku tidaklah terlalu sukar sebab kami dah belajar apa yang diajar pada petang itu. Yang menariknya, pembantu Prof. dalam menjalankan amali tersebut adalah seorang Dr.! Bersama beliau ada dua orang pelajar Master yang membantu. Ada seorang dua pelajar masuk lewat. Aku difahamkan bahawa di sana tidak seperti di UPM. Maksud aku, kita di Malaysia khususnya UPM, kerana ISO..kehadiran pelajar direkodkan dan pelajar yang jumlah kehadirannya tidak mencecah 80% tidak dibenarkan mengambil peperiksaan akhir! Di Jepun, aku difahamkan bagi seorang pensyarah sudah cukup jika pelajarnya hadir biarpun lewat kerana itu tanda hormat pelajar.

Suasana dalam amali tersebut tak banyak berbeza dengan Malaysia. Ada yang buat kerja dan ada yang berborak..tapi kerja siap. Kehadiran kami membuat mereka tertanya-tanya. Rupanya orang Jepun terutama lelaki agak pemalu. Namun mereka cepat mesra bila kita telah memulakan perkenalan. Ichi, seorang siswa Jepun banyak membantu kami pada hari itu bila dia menawarkan untuk membawa kami berjalan-jalan sekitar Fujisawa. Ichi rupanya pernah mengikuti program pertukaran pelajar ke USA. Mungkin sebab itu dia agak fasih berbahasa inggeris. Sampai sekarang aku masih menyimpan hadiah ukiran nama aku pada batu yang Ichi buat untuk aku.

Malam itu kami belanja Ichi makan dan dia berlalu meninggalkan kami. Ada beberapa hal yang buat aku terkilan dari segi bentuk layanan kami kepada Ichi. Aku tidak sepenuhnya menyalahkan 'mereka' kerana mungkin atas faktor ketidakpastian itu risiko tidak diambil. Cuma aku rasa seolah kita tidak berbudaya. Tidak ada senyum manis atau sopan kalau ya pun kita tidak suka atau mahu orang lain menawarkan pertolongan.

Malam itu aku dan seorang kawan curi keluar ke Lawson. Aku jalan-jalan keluar menikmati udara di Fujisawa tanpa rasa terikat dengan jadual atau pengawasan orang lain. Beberapa kali cuba hubungi makcik aku di Prefecture (negeri) lain di Jepun, tapi gagal.

Masuk hari ketiga di Jepun, aku mulai suka keadaan di sana. Selama dua hari sebelum aku lebih banyak memerhati dan mengikut. Kini aku dapat rasakan apa itu 'kejutan budaya'. Tapi bukan aku terkejut kerana budaya Jepun yang sangat menonjol itu cuma aku terkejut kerana begitu besar makna budaya dalam hidup seperti apa yang aku sebut pada penemuduga aku "budaya adalah penjelmaan nilai-nilai dalam hidup"..

Dan aku mula mencari..