Wednesday, August 30, 2006

Merdeka

"Apa yang kamu faham tentang merdeka?" Soalan ini adalah soalan lazim bila tiba waktu yang begini.

Merdeka datang lagi. Sebenarnya aku ada satu tulisan serius (bagi aku la) tentang merdeka. Harapnya sempat aku paparkan pada 31 Ogos 2006.

Aku ada keinginan lama yang kembali segar. Segarnya kerana aku tandus rujukan dalam Bahasa Melayu untuk projek aku. Bukan kerana tidak mampu merujuk kepada buku-buku bukan Bahasa Melayu, cuma terfikir tentang pengembangan bahasa.

Keinginan yang datang selepas meratapi nasib bidang pengajianku yang sering sesak nafas. Bidang aku Perhutanan..tidak, tidak, maksud aku yang sesak nafas ialah pengkhususan pengajianku - Pengurusan Rekreasi Luar. Hampir tidak ada rujukan di Malaysia. Jika ada pun ia bukan dari mereka yang lahir dalam bidang ini.

Tidak pasti adakah ia kerana kita tidak mahu menulis. Aku mahu! Dan moga aku akan sedia menulis tentang itu. Sekurang-kurangnya untuk simpanan sendiri..

Tuesday, August 22, 2006

Teologi (Ada tajuk yang lebih baik?)

"Kegiatan intelektual umat Islam telah mati" begitu kata ramai orientalis, tetapi dari pengalaman aku..aku hampir mahu berkata ya! Mujur aku ketemu sebilangan teman yang menyebabkan ya itu tidak ada titik..

(Terpulang la jika ada yang nak kata kita (orang Islam) tidak iktiraf kewujudan agama lain) Tiap agama punya dimensi intelektual, yang disebut teologi, falsafah dan genosis (jika terma ini dapat mewakili pengertian berhubung pengetahuan yang sifatnya memancar dan membebaskan). Islam, bagi aku tidak terkecuali dari prinsip ini malah bagi aku telah memainkan peranan yang cukup besar dalam proses mengembangkannya.

Dalam dunia intelektual Islam, kita tentu biasa bertemu perkataan makrifat, kemudian seterusnya kita bertemu perkataan falsafah yang dibawa dari tradisi Yunani -philo-sophia (kecintaan kepada pengetahuan. Seterusnya, pada abad-abad kemudian kita kenal pula istilah al-hikmah al-Ilahiyah atau theo-sophia, atau apa yang aku suka sebut pada kawan-kawan sebagai Ilmu Rabbani yang aku faham sebagai ilmu yang disertai ketundukan kepada Ilahi. Dan kita juga pernah mendengar istilah kalam.

Yang aku faham, semuanya digerakkan dan terbukti memainkan peranan yang cukup penting dalam perjalanan hidup manusia cuma aku juga faham bahawa penilaian kita tidak semestinya sama, justeru nasib falsafah di dunia Islam tidaklah begitu baik sama seperti teologi dalam dunia Barat.

Khabarnya dalam agama Kristian, teologi tidak hanya berusaha memberikan suatu pertahanan rasional untuk keyakinan, tetapi ia juga berusaha memberikan suatu 'pintu masuk' kepada penghidupan roh. Kalam, dalam Islam yang beerti 'kata' pula telah berkembang menjadi ilmu yang menjadi tunjang tanggungjawab kepercayaan agama secara kukuh, dengan bukti dan mengasir keraguan.

Saidina Ali k.w. dipercayai sebagai antara pelopor kelahiran kalam bila karyanya Nahj al-Balaghah memuatkan bukti-bukti rasional pertama tentang keEsaan Tuhan selepas Al-Quran dan Hadis. Hal ini mencerminkan bahawa sejak generasi pertama sahabat, meeka sudah dihadapkan dengan pelbagai persoalan tentang kepercayaan dan perlakuan, keaslian Al-Quran dan sebagainya. Lebih dari itu, perdebatan yang banyak terutama di Iraq dan Syria telah mengembangkan teks bersifat falsafah dan teologi semata-mata untuk mempertahankan pandangan masing-masing sehingga orang Islam membuat satu bentuk pengembangan rasional dari apa yang telah dimiliki untuk melindungi dan mempertahankan Islam.

Reaksi bersifat teologi ini bagi agama-agama lain dianggap sebahagian daripada usaha mencari kebenaran. Penyebaran Islam secara jelasnya dibawa oleh kelompok yang pelbagai, hingga kepercayaan tertentu jadi berbeza apatah lagi dengan bertambahnya masyarakat Muslim sehingga satu definisi yang jelas tentang pernyataan keimanan diperlukan.

Kerana tekanan yang berlebihan pada Hukum Islam dan perlaksanaannya, maka pernyataan keimanan yang asas jadi tidak sepenting credo dalam tradisi Kristian. Maka, ia jadi kesan kepada pengembangan faham Islam kepada masyarakat lain. Pernyataan iman umat Islam ini dinyatakan dalam Fiqh al-Akbar dan Wasiyyah, salah satu karya yang disandarkan kepada ajaran Imam Abu Haniffah.

Dengan teolog, maka kita mencabar..dan tercabar. Kerana percaya Tuhan yang satu..tapi manusia berbelah bagi, seakan lebih tahu.

Monday, August 21, 2006

Siti Nurhaliza dan Merdeka

"Siti panggil dia (Dato' K) Pak Besaq" jawab Siti dalam satu program bila ditanya panggilan mesra kepada Dato' K.

Hari ini 21 Ogos, bukan..bukan..kita merdeka 31 Ogos! Bukan cerita merdeka yang saya nak tulis.

Entah kenapa 21 Ogos 2006 tiba-tiba jadi satu tarikh yang penting. Meski ramai yang akan menganggap cerita Siti Nurhaliza kahwin Dato' K sebagai cerita yang tak penting kerana banyak lagi cerita lain yang jauh lebih penting seperti pergeseran PM dan mantan PM, Tun Dr M serta krisis di Palestin dan Lubnan yang masih belum jelas kedudukan akhirnya.

Ok, bagi aku cerita Siti dan Dato' K kahwin ada kena mengena dengan orang muda. Kalau ada yang tak setuju kena baca tagline blog aku la. Siti tu pun baru 27, maka dia muda. Apa yang aku nak tulis ada kena mengena dengan Merdeka, sempena namanya bulan Merdeka ni.

Cerita bertitik tolak sebab aku baca surat pembaca di Harakahdaily dan di blog orang lain yang menghentam saudara Hanif Baderun, Presiden Gamis yang buat surat terbuka kepada Siti Nurhaliza. Walaupun aku juga ada rasa sedikit jengkel, tindakan Hanif bagi aku boleh difahami dengan mudah, kata seorang teman Hanif cuba menunjukkan Gamis progresif..ada juga komentar yang kononnya daripada bekas Jawatankuasa Gamis yang seakan malu dengan kenyataan Hanif itu..

Aku cuma tertanya..

Andaikata Siti Nurhaliza, selepas beberapa ketika memakai tudung litup penuh dan banyak memperkata dan berjuang sebagaimana yang perlu untuk kebangunan Islam, apa rasa kepada pengkritik Hanif ini?

Itu saja.

Doakan saja yang baik-baik, yang buruk bukan untuk dicela semata tetapi ia datang untuk dibaiki..kecuali jelas ia batil (seperti adegan-adegan yang ya, kita patut kata tidak malah membantah seperti ada peluk cium orang yang mengaku Islam dalam filem..).

Entah kalian dapat mengaitkan cerita ini dengan tema merdeka itu atau tidak, terserah kepada kalian. Aku tidak pernah menghalang keinginan kalian untuk bebas berfikir dan bertindak selagi ia tidak menganggu ruang awam. Tapi sampai bila ya? Maksud aku makna diri individu terus tersedut dalam ruang awam yang tidak sedikit jelek itu? Kita merdeka?

Saturday, August 19, 2006

Liberal? Plural? Apa 'ral' lagi ada?

"Aku Islam sejak lahir, tapi..." Bisik hati yang tak terungkap..

Sejak seorang teman, Aqil bertanya respon aku tentang kenyataan Sharifah Amani, di mana-mana banyak respon hadir. Rata-rata lebih banyak menghentam sedang aku lebih kepada 'tidak rasa apa-apa'..seperti yang aku nyatakan kepada Aqil.

Rasa tidak apa bukan kerana tidak peduli, tetapi aku cuba merealitikan teori. Lama juga aku faham bahawa teori datang selepas aksi. Manusia mengkaji dan membuat teori. Tapi kenapa sering berlaku juga aksi menyalahi teori?
________________

Waktu ini hati aku tak senang. Lepas kisah Amani, kisah surat terbuka saudara Hanif Baderun kepada Siti Nurhaliza yang dijawab dengan surat terbuka saudara Faisal Tehrani. Aku lantas meninggalkan pesan kepada saudara Faisal Tehrani tentang apa hanya jalan yang ada ialah 'perang'? Jawab beliau bahawa 'Kami di pihak defensif maka halakan soalan itu pada yang lain' cukup membuat aku bingung lantas menyoal diri.
________________

Adakah antara kita yang minta jadi Islam dan bukan Islam? Adakah antara kita yang melihat ta'aruf itu sebagai usaha SALING berkenalan? Banyak lagi. Soal serang menyerang antara fahaman untuk aku satu bentuk bagaimana kita tidak cukup terbuka meski dalam masa yang sama kita mengaku kita terbuka.

Antara teks dan konteks. Antara ruang awam dan ruang individu. Kita terperangkap dan lemas?

Thursday, August 17, 2006

Rasuah dan Orang Muda

"Bayangkan jika 30 peratus daripada golongan remaja tadi memimpin negara dan menjadi pentadbir ataupun pengurus sesebuah institusi, apa akan terjadi kepada negara jika mereka ini diberi kuasa," kata Isahak, Pengarah Institut Integriti Malaysia

Sebenarnya berita tentang 30% daripada golongan remaja sangup terima rasuah ini aku dengar telah lama. Waktu itu aku mewakili delegasi UPM semasa memegang jawatan dalam kabinet MPPUPM. Tapi waktu itu seingat aku ialah 30% ini dapatan kajian di kalangan mahasiswa! Memang agak tercabar..

Cuma yang aku kesal ialah sesi soal jawab yang aku bangkitkan dah jadi cerita lain. Waktu itu aku bangun dan perkenalkan diri sambil memberitahu bahawa aku punya 3 perkara untuk dinyatakan :-

1) Psikologi perasuah ialah mereka yang punya kuasa, sama ada dia Perdana Menteri atau Polis trafik..pendek kata dia ada kuasa. Maka, persoalannya jika yang berkuasa melakukan hal ini, sudah tentu yang lebih berkuasa sahaja yang mampu menanganinya dengan lebih berkesan. Logik mengatakan begitu. Justeru, bagaimana jika yang paling berkuasa dalam negara terlibat dalam rasuah? Atau misalnya kabinet?

2) Aku petik ungkapan sinis Prof Diraja Ungku Aziz (waktu itu aku bahasakan Pak Ungku Aziz saja), kebetulan masa tu UMNO sebut Politik Wang maka Pak Ungku respon "Kenapa panggil Politik Wang? Kenapa tidak sebut saja Rasuah? Aku sebut ini sebagai ingatan bagaimana orang politik yang mengawal kuasa tidak cukup menunjukkan political will dalam hal ini.

3) Aku sentuh tentang kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat yang terhad dalam negara ini yang tidak membantu kepada usaha memerangi rasuah. Bayangkan dalam banyak hal si perasuah dibela, whistle blower yang kena! Bukan sikit isu ini dalam negara! Cuba semak laporan polis oleh pihak pembangkang dan NGO malah individu tertentu.

Isu akhir-akhir ini yang dibangkitkan oleh Tun Dr M bahawa dia tahu dan ada bukti rasuah dan penyelewengan juga penting untuk kita lihat. Kenapa, dalam situasi Tun yang kononnya seorang negarawan tidak punya kekuatan untuk melaporkan kepada pihak polis? Malah sepanjang pemerintahannya dia sendiri tidak menunjukkan secara jelas kesungguhannya tentang hal ini. Siapa yang peka sudah tentu tahu kenyataan mahkamah oleh bekas Ketua Pengarah BPR bahawa Tun menghalangnya mengambil tindakan terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan (tak silap aku la nama ni) yang ditemui wang bersamanya sebanyak ratusan ribu!

Dalam hal ini, aku puji Rustam Sani. Rustam tidak lekas menyalahkan budaya yang pelik dalam negara dan dia lebih cenderung kesal kerana generasinya tidak mewariskan sesuatu yang baik untuk generasi baru dalam banyak hal. Pendek kata di sini, aku hanya mahu katakan bahawa beban perjalanan sejarah dan masa depan ini kita harus kongsi bersama. Maka, jadilah liberal! Jadilah plural! Kenapa mesti lekas takut pada istilah?

Sebenarnya bangsa kita korup bukan bila kita melakukan hal yang korup. Tetapi kita telah mula korup bila kita fikir korup itu tidak apa. Contoh hal ini aku dengar sendiri daripada seorang pendokong kuat Aspirasi Universiti yang dah bergraduat dan pernah bekerja dengan Ahli Parlimen serta beberapa orang politik yang lain. Katanya "Apa salahnya Mahathir tolong anak dia, itu normal la!". Entah dia akan kata yang sama jika benar Perdana Menteri menolong Khairy dan Kamaluddin tak pastilah.

Semua telah jadi gila. Ada seorang TNC yang mencantas Pengetua-pengetua yang tidak ngam dengannya. Alih-alih seorang Pengetua tu telah diangkat menjadi Pengerusi Sekretariat TNC di KPT. Maka sering TNC pencantas ni tidak hadir dalam mesyuarat TNC-TNC yang diadakan oleh KPT.

Ada lagi? Baaaanyak lagi! Dan kita masih mahu cakap soal Hadhari tanpa rasa malu?

Rasis

"Mereka ini pengkhianat bangsa" tuduh seorang penulis kepada sebilangan aktivis mahasiswa berbangsa Melayu yang bersama sebahagian aktivis mahasiswa berbangsa Cina dalam siri perjuangan mereka.

Saya kesal.

Dua kata itu bagi saya sudah cukup untuk menggambarkan perasaan saya. Bukan kesal kepada aktivis mahasiswa Melayu tersebut, tetapi kepada si penghasut yang memainkan isu perkauman. Dalam masa yang sama ada hati nak cakap soal isu hubungan etnik..lagi la nak pertahankan AUKU.

Kita, rakyat Malaysia perlu terus berjuang. Jika Amerika mengambil masa 100 tahun untuk berdepan dengan isu ini, kita harus bersedia untuk memastikan generasi akan datang turut sama mewarisi perjuangan memecah tembok perkauman ini.

Mungkin sang penulis terlupa bahawa Melayu ini bukan hanya ada di Malaysia. Dan dia mungkin lupa bahawa Melayu dari kajian sejarah juga dicatatkan berasal dari China (yang ni kena rujuk balik kat Metro bulan lepas, huhu).

Apapun, aku jemu..bila isu kemanusiaan lebih rendah dari batas perkauman dan agama. Ya, mungkin ada yang bersetuju soal kaum harus lebih rendah dari kemanusiaan dan aku pasti ada yang ragu tentang kenyataan soal agama harus di bawah faktor kemanusiaan.

Ya, aku punya keyakinan tentang itu. Bukan kerana agama itu tidak penting, tetapi agamalah yang mengangkat kemanusiaan itu lebih tinggi. Dah jadi macam soalan falsafah pula, yang mana datang dulu?

Wednesday, August 16, 2006

Konichiwa 5

"Bagaimana hasilnya?" soal Mr Kojima kepada Dekan aku

Dua minggu lalu penaja kami (peserta lawatan ke Jepun) datang. Namanya Kojima. Dia pernah beberapa kali datang ke Malaysia. Seorang peniaga yang berjaya. Bila dia datang ke Malaysia tempoh hari, dia minta untuk berjumpa kami. Sayang hanya 4 orang daripada kami yang ada. Yang lain telah bekerja.

Mr Kojima bawa bersama beberapa keping gambar yang diambil oleh rakan-rakannya semasa malam bersama Rotary Fujisawa. Malam itu kami buat persembahan kebudayaan, maka tak ada siapa yang tolong ambilkan gambar.

Petang itu hanya lebih kurang 45 minit. Tapi perbincangan agak serius. Dekan dan pihak Rotary Kajang cuba melanjutkan perbincangan tentang apa, bagaimana dan semua tentang program yang sudah dijalankan serta peluang masa depan. Perbincangan meski pun hangat, tetapi berlaku agak perlahan kerana memerlukan penterjemah. Kami yang tak faham ni hanya jadi pemerhati, sambil menghabiskan kuih-kuih yang ada. Bukan tak faham sebenarnya tapi tak mahu menyampuk.

Aku dapat rasakan bagaimana seriusnya perbincangan tersebut. Dan memang aku sendiri mahukan lebih ramai lagi berpeluang ke sana. Dalam hal ini, seperti mana dalam semua interview aku sejak dulu, aku sentiasa memuji Dasar Pandang ke Timur yang digagaskan oleh (Tun) Dr. M semasa beliau baru menjawat kerusi Perdana Menteri. Timur di sini bukan sahaja Jepun, tapi entah kenapa sejak dulu memang Jepun yang lebih sinonim bila kita sebut dasar ini.

Aku masih ingat malam itu semasa makan. Aku berada satu meja dengan ramai tokoh peniaga. Entah kenapa aku terpisah dengan kawan-kawan lain yang dapat duduk semeja 6 orang! Dalam hati rasa susah gak la sebab semua cakap Jepun. Aku kental je cakap Bahasa Inggeris. Rupanya aku tahu juga salah satu sebab kenapa aku dipilih ialah kerana rupa aku ada iras Anwar Ibrahim. Haha, aku rasa nak tergelak. Tapi memang sejak aku sampai Jepun memang ada yang bertanya sama ada aku ini anak dia atau ada kaitan kekeluargaan dengan Anwar. Aku tak rasa aku ada iras dengan Anwar..entahlah.

Dunia ni pelik. Dulu aku pernah dikeluarkan daripada senarai pada saat akhir kerana faktor Anwar, sekarang berbeza pula! Masa ini aku ketawa sendiri..kerana aku sahaja yang tahu pada waktu itu kenapa aku patut ketawa. Aku tak banyak cakap tentang politik. Jenis aku, aku tahu hormat majlis. Aku semakin pasti kenapa faktor Anwar ini penting..

Monday, August 14, 2006

Macam Bagus!

"When the judgement's weak, the prejudice is strong" Kane O' Hara

Aku dapat sms dari seorang teman. Katanya dia ikut kursus BTN. Dalam sms itu dia beritahu aku penceramah BTN yang namanya Azminizam (nama sebenarnya bukan ini, kawan aku salah taip kot, kalau masuk laman Idealis Mahasiswa tajaan BTN tu adalah namanya), bekas Presiden MPPUUM, kini mendakwa Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (entah siapa yang lantik tak pasti) ada mengatakan bahawa aku adalah kader IKD dan EXCO Pemuda keADILan. Haha, nasib tak ada bukti, kalau tak seronok juga dapat masuk mahkamah.

Dulu pernah juga aku nak heret mamat ni ke Mahkamah bila ada cubaan meng'Yahudi'kan aku dengan persamaan Matematik mudah - IKD ditaja oleh KAF, KAF Yahudi, Amin agen IKD, Amin agen Yahudi. Lebih kurang macam tu la mantiknya. Haha, nasib baiklah kawan-kawan aku lebih kenal aku. Dalam sms kemudiannya dia tanya aku penceramah ni macam bagus konon tahu semua tapi banyak fakta menyimpang! Aku senyum je, aku tahu kawan aku ni bukan jenis mahasiswa yang duduk terperuk dalam kampus, so, teorinya mudah, bila kita dicerahkan oleh keinginan untuk tahu atau cari kebenaran, kita tahu siapa penipu.

Ini bukan kes pertama nama aku diburukkan dalam siri ceramah BTN. Malah ada TNC yang menyampaikan kepada MPP bahawa jangan rapat dengan aku. Mujur aku ni jenis malas nak berperang sangat. Aku syukur kerana buat kerja REAL ni akan kenalkan aku yang mana kaca dan yang mana manikam.

Kerja BTN ni, kalau tokoh pembangkang kata menyemai rasis, aku kata lebih daripada itu..

Macam Bagus!

* Bila aku tulis BTN, aku tak memaksudkan semuanya, siapa makan cili dia terasa pedas

Thursday, August 10, 2006

Feudal?

"Beza orang politik dan dakwah : Orang politik melihat semuanya sebagai lawan hingga terbukti dia kawan. Orang dakwah melihat semuanya sebagai kawan hingga terbukti dia lawan" lebih kurang kata-kata Muhammad Natsir, tokoh Ulama' yang pernah menjadi Presiden Indonesia.

"Di mana Anwar Ibrahim?"

Entah kenapa lewat pertembungan Tun Dr. M dengan Perdana Menteri akhir-akhir ini timbul pertanyaan tersebut berulang kali daripada sebilangan teman - seolah-olah aku ini punya akses untuk tahu tiap gerak Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Seperti biasa jawapan aku kepada semua teman yang ada obsesi terhadap politik "Pemimpin datang dan pergi..kita bagaimana?". Sebab itu aku sering tertanya bila Tun Dr. M mahu bersara dulu..kononnya tak ada yang layak mampu mengganti. Ia sama bila kita katakan negara huru-hara jika Barisan Nasional tidak memerintah. Kita seolah tidak ada pilihan. Masyarakat kita seolah mandul. Tidak punya daya untuk menjaga negara. Dan kita tidak sedar bahawa ada atau tidak kita berbuat apa-apa untuk itu.

Bagi aku, praktis demokrasi penyertaan sangat terhad di negara ini. Sampai blog pun tak boleh! Jenis pemimpin apa aku pun tak pasti..

Sampai bila-bila pun kita akan perlu pemimpin. Tapi bila kita mahu serahkan segalanya kepada mereka, kita sebenarnya bermasalah. Dan masalah negara sebenarnya berpunca dari kita..secara tidak sedar.

Tuesday, August 08, 2006

Realiti Fikiran Umat

"Islam ditegak dengan hujah, bukan rumours" kataku semasa menegur seorang junior di Fakulti.

Tengah hari tadi dapat sms dari seorang junior menyebarkan tentang kematian pelukis karikartur yang kontroversi itu. Katanya dia mati terbakar hidup-hidup. Dia minta saya sebarkan. Lalu aku jawab "Jangan sebar jika tidak pasti". Lalu dijawabnya "Ye tahu tapi apa salahnya bukan merugikan pun biar orang takut sikit nak mempersendakan Islam. Niat saya baik. Nama pun khabar angin".

Bagi aku ini satu lagi masalah dalam fikiran umat Islam. Aku jawab bahawa niat yang baik itu aku puji cuma aku ingatkan bahawa aku pernah dan biasa bergaul dengan pelbagai tahap perbincangan yang aku sifatkan intelektual. Aku katakan padanya bahawa jangan ingat orang bukan Islam tidak membaca tentang Islam. Malah sebahagian mereka lebih tahu berbanding kita. Malah atas rasa superior, kita yang tak mahu ambil tahu tentang mereka. Sedang seingat aku, Za'aba sendiri pernah, sebagai satu inisiatif, menafsirkan Bible! Apa ingat Za'aba bengap? Aku hanya tinggalkan jawapan padanya seperti yang aku catat di atas.."Islam ditegak dengan hujah bukan rumours".

Dulu, semasa menjawat jawatan dalam MPP, aku obses ingin mengadakan Dialog Antara Agama. Aku telah rangkakan bentuk perbincangan yang merangkum sudut sensitif dalam perbincangan. Seorang rakan baik - di dalam dan di luar MPP - Amir, aktivis PMI ada menzahirkan kerisauan beliau pada usaha itu (yang akhirnya terbengkalai atas sebab-sebab tertentu). Kata aku "Umat Islam tidak harus takut dan reserved dalam dialog jika kita percaya agama kita benar". Persoalan yang Amir letak pada aku juga tidak kurang penting.."Siapa boleh mewakili suara Islam?". Ia tak ubah sebagaimana usaha kerajaan dalam satu seminar "Siapa mewakili suara Islam, siapa mewakili suara Barat". Ia pada satu titik menentukan, meski aku percaya semua orang harus bebas berwacana di ruang awam. Usaha menafikan hak ini atas nama 'tidak cukup ilmu' bukan cukup baik jika kita mahu menjadikan kenyataan cita-cita besar seperti 'Negara Islam', 'Malaysian Malaysia', 'Masyarakat Bermaruah', Masyarakat Madani' dan 'Wawasan 2020' (sekadar memetik sebahagian.

Bagi aku ini satu titik penting dalam kemajuan hidup bernegara. Bukan adanya bangunan tertinggi atau bandar yang sofistikated, tetapi masyarakat berfikiran tinggi dan sofiskated! Jelas kita kurang bersedia..dan atas sebab itu kita sentiasa biarkan umat ini dalam ketandusan akal fikir melalui kongkongan dalam pelbagai rupa, kita biarkan rumours berjalan terus..dan pelbagai lagi yang aku sifatkan realiti pemikiran umat Islam yang perlu dibaiki (tanpa menafikan bahawa aku juga perlukannya).

Sebab itu dulu, bila aku bermatian mempertahankan istilah Islam Hadhari sebagai istilah yang perlu dilihat dalam konteks dan bukan permainan bahasa semata-mata, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kata mereka "Ah, sejak kau jadi MPP..kau dah jadi penyokong kuat Pak Lah ya?".

Apa sebenarnya yang kita cari? Kemenangan politik atau apa? Dan aku setuju dengan Pak Khalid bahawa mereka yang punya keinginan untuk bebas sentiasa ada yang tidak menyukai..Aku sudah merasainya secara real!

Saturday, August 05, 2006

Blog

"Goblog!", itu tajuk himpunan tulisan blog yang sedang diusahakan teman-teman di IKD.

Ada cerita bila Perdana Menteri memberi kenyataan sinis tentang pengaruh maya. Umum maklum kenyataan Perdana Menteri itu. Dan bagi aku, kenyataan itu adalah satu langkah ke belakang oleh Perdana Menteri. Apatah lagi Zam yang aku tak berapa pernah berminat, meski aku hormat dia atas sebab-sebab tertentu.

Umum melihat ada usaha mendiamkan blog kerana pengaruh dan sebarannya yang jelas serta menyeluruh. Sebenarnya usaha mengawal pengaruh maya ini bukan baru berlaku malah seawal usaha memunculkan idea ini. Sebab itu aku sentiasa, tanpa gagal, memuji Tun Mahathir sewaktu dia masih seorang Perdana Menteri tentang usaha menubuhkan MSC. Kerana sebagai aku yang percaya tentang kebebasan bersuara dan macam-macam jenis kebebasan lagi, projek ini akan mengajar kita tentang makna hidup bernegara dalam erti kata yang sebenar - berpijak di bumi yang nyata.

Aku sentiasa percaya bahawa ada langkah-langkah yang merugikan dalam perjalanan sistem negara bila suara dibungkam (hatta suara mereka di menara gading!itu yang paling kukesalkan..apatah lagi seorang Prof. yang bertindak begitu..). Justeru, adanya ruang maya ini akan mengajar mereka-meraka yang 'pandai' ini tentang makna hidup dalam konteks sekarang. Baik Prof., ustaz, pegawai BTN, siswa, pekerja dan sebagainya.

Aku sudah jadi tak peduli bila orang sibuk dengan simbol dan pertanyaan bodoh "dia ni orang siapa". Aku tahu aku rakyat dan aku ada peluang belajar ke peringkat universiti. Biar aku dianggap tidak bijak atau sebaliknya..aku tetap warga yang punya hak. Ya, itu selalu aku sebuh semasa zaman awal di kampus..kerana kita jarang bercakap tentang 'menunaikan hak, menjaga hak dan tidak menuntut hak..'. Terima kasih kepada dunia Tabligh yang mendidik hati.

Semoga kita sedar bahawa mematahkan hujah dengan kuasa bukan hadharah tetapi jahiliyah! Waima yang melakukannya bertarag mursyid. Saat itu ilmu jadi penting..betulkah selama ini kita katakan ilmu penting, sedang kita takut pada hujah?

Ah..persetankan! Maaf aku tidak senang..

Thursday, August 03, 2006

Aduh!

"Maka pelajar yang beban dan bebal disogokkan dengan keburukan dan kejahatan Amin" dari blog Nota Suara Aku.

Sudah lama aku tak update blog ni. Terbeban dengan masalah yang bertimpa-timpa.

Tadi jengok blog seorang teman, terkejut baca satu posting yang didakwanya ditulis selepas dia menjengok blog aku. Irman, seorang teman semasa jadi MPP, bekas pendebat terbaik debat diraja..dia, yang dicurigai kerana sering seiring fikir dengan aku.

Ada sesuatu yang memeritkan..bila kita cakap tentang Tun Mahathir vs Perdana Menteri, diselang dengan tinjauan ruang Anwar Ibrahim serta kegemparan pembangkang, diasak lagi dengan isu murtad, IFC..terus lagi dihambat krisis Israel dan Amerika terhadap Lubnan dan Palestin..ada lagi, isu demonstrasi Khairy..lagi? banyak lagi yang boleh..isu 'beruk-beruk' di UPM? Hmm..sampai yang tempias lagi..soal kawalan blog..aku tertanya, bagaimana harus aku bangga? Mungkin Jabdin, Che Mad Dollah atau Azrinizam di BTN boleh bantu aku jawab masalah ni. Maklumlah..orang besar la katakan.

Dalam penghujahan masing-masing, aku rasa tak ramai yang sedar bahawa kita selalu kehilangan gambaran umum (big picture yang aku maksudkan). Kita sangka dengan demonstrasi sudah cukup kita melawan..mujur Perdana Menteri ingatkan bahawa jangan cakap besar..isu Tun dengan PM..kita hilang gambaran tentang isu kebebasan bersuara dan demokrasi, sampai di Idealis Mahasiswa pun sunyi sepi cerita bughah (cit, poodah!). Di IM juga ada yang berkata seolah tak penting buku isu-isu semasa yang diedarkan semasa orientasi dapat kebenaran atau tidak, tetapi kandungannya..dan aku tergelak lagi bila di IM tu masih ada yang kagum dengan sikap bodoh sombong tukang kipas yang ada.

Aku ingat, bila aku duduki kursus Kemahiran Berfikir di kampus dulu..sebaik sahaja tamat kursus, aku ada hubungi pensyarah aku..kataku "Harap kursus akan datang akan diajar kepada siswa tentang falasi..kerana ia penting". Falasi atau kesalahan dalam berfikir ini cukup penting..aku juga selalu, bukan lagi sering terperangkap dalam falasi. Tapi aku tidak pernah diajar..cuma berguru pada buku..

Waktu ini hanya seorang sahaja akan popular..iaitu mereka yang cuba menjawab semua soalan yang ada semudah memetik jari. Dia popular bukan kerana bijak..tetapi kerana lambat laun orang akan kata dia bangang!

Ah, aku malas bercerita tentang semua itu..ada masalah lain yang aku mahu selesaikan kerana ia mungkin jadi sebab kepada perubahan dunia, siapa tahu?