Tuesday, November 21, 2006

Amin?

Kebanyakan rakyat Malaysia hari ini berkongsi pandangan bahawa "(Abdullah) bukanlah seorang perdana menteri yang pintar", kata Penyelidik Pelawat Kanan Asia Research Institute di National University Singapura, Maznah Mohamad.

Kenyataan Maznah Mohamad itu mungkin akan dilihat dengan penuh prejudis hanya kerana dia adalah penyelidik pelawat di SINGAPURA. Sentimen ini akan mudah dimainkan - jika perlu.

Tempoh hari aku berkunjung ke pejabat GERAK sempena Majlis Dialog dan juga sambutan raya. Rupanya jalan ke pejabat GERAK agak jauh tersorok, meski sebenarnya laluan ke sana tidak sesukar yang aku fikir (dan tersesat) sebelumnya.

Sampai sedikit lewat dan bertemu dengan beberapa muka yang biasa kelihatan serta beberapa muka yang kurang biasa kelihatan, malah ada juga muka yang tidak disangka akan kelihatan!

Dialog dengan pengerusi GERAK, sdr Ezam Mohd Nor bagi aku positif. Ezam nyata punya kekuatan tersendiri untuk membentangkan keperluan wujudnya GERAK dari segi prinsip perjuangan, rangkaian dan peribadi. Ada kenyataan penting yang ditunjuk oleh Ezam tentang keperluan anak muda memilih perjuangan yang tepat, dan bagaimana Ezam meyakinkan kami akan rasuah sebagai musuh nombor wahid dalam negara.

Ini bukan dialog pertama berkaitan rasuah yang pernah aku ikuti. Pejabar Pelan Integriti Nasional juga pernah aku kunjung.

Kerja memerangi rasuah tidak mudah. Kerana rasuah sinonim dengan dengan kuasa. Logiknya tidak ada mereka yang terhegeh-hegeh cuba merasuah orang yang tidak punya kuasa! Dan tingkat kuasa ini pelbagai, dari seorang polis trafik hingga ke Perdana Menteri! Jika ada orang yang tidak punya kuasa dalam bentuk pangkat, rasuah juga boleh berlaku kepada mereka yang punya kuasa dalam bentuk maklumat. Contohnya seorang penganggur yang menjadi saksi kejadian bunuh. Potensi untuk dirasuah masih wujud.

Dalam hubungan ini, soalan asas yang penting aku ajukan pada sdr Ezam ialah bagaimana demokrasi dalam konteks suara rakyat terbanyak ini mampu menjamin korupsi tidak berlaku sedangkan fenomena kuasa dari tingkat tertinggi hingga ke bawah ini seolah-olah menunjukkan rasuah telah terlembaga!

Selain itu, Ezam turut berkongsi perkongsian semasa beliau ditahan. Bagaimana seorang pengedar dadah menjadi mangsa, sedang bos besar mereka enak bermain golf dengan mereka yang punya kuasa dalam negara!

Sebab itu aku yakin agenda pendidikan dalam negara penting dan mendasar dalam pembentukan idealisme orang muda. Dapatan kajian Transparency International yang dibentangkan oleh Institut Integriti Nasional bahawa 30% mahasiswa sedia memberi atau menerima rasuah merupakan kenyataan pahit untuk ditelan. Dan ingat, dapatan ini mungkin hanya sebahagian, kerana rasuah ini seperti zina - tidak ada yang mahu melakukannya terang-terangan! Statistik jenayah kolar putih yang tidak pernah merosot adalah tanda pahit dalam proses kehidupan bernegara di Malaysia.

Ini ditambah dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang menyatakan 'rasuah dalam parti hanya perlu diselesaikan dalam parti'. Lebih buruk lagi bila bukan sahaja Perdana Menteri menunggu ini membuat kenyataan angkuh dan bodoh seperti ini, tetapi ia sama seperti 'ibu ketam'nya, Perdana Menteri sendiri. Buktinya lihat kenyataan ini..

KUALA LUMPUR 4 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) membuat pengisytiharan harta sebelum akhir bulan depan.

Abdullah berkata, pengisytiharan itu perlu dibuat meliputi harta-harta yang dimiliki oleh wakil rakyat serta ahli keluarga masing-masing.

dan bandingkan dengan kenyataan ini..

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sehubungan itu, Abdullah menegaskan, beliau tidak bercadang membuat pendedahan tentang harta yang dimiliki oleh anak-anak mahupun menantunya.

''Itu (harta) adalah hak ahli keluarga saya, tak payahlah saya umumkan harta yang mereka miliki,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Tambahan pula, katanya, tindakan ahli keluarganya untuk memiliki harta bukanlah satu perbuatan yang salah.

Perdana Menteri berkata, begitu juga dengan anak-anak dan menantunya, mereka tidak perlu mengambil tindakan mengisytiharkan harta mereka.

Kita masih punya harapan dalam memberi erti hidup bernegara. Jangan marah bila orang mempersenda slogan-slogan angkuh dan penuh retorika seperti Agenda Melayu, Islam Hadhari dan sebagainya..

Ini juga peringatan kepada mereka-mereka selain pendokong pseudo-agenda ini (ini bukan dokong, ini jilat!). Cita-cita mentadbir negara adalah seperti lakonan. Bila anda di atas pentas, kami rakyat sentiasa mahukan persembahan yang menarik dan bukan tipuan dan khayalan semata-mata. Kerana hidup ini ada erti, maka erti itu yang selalu melonjak menjadi hadhari.

Dalam hal ini, teguran kepada pemerintah tidak mungkin berlaku dalam suasana ilmuan mengambil sikap 'buat apa sibuk-sibuk dengan politik, buat susah saja'. Di Barat, berbondong mereka yang bekerja di lapangan praktis mahu jadi ilmuan di universiti (untuk berkongsi realiti dengan mahasiswa). Di Malaysia, ramai ilmuan yang mahu menjadi ahli politik kerana 'kuasa' telah bermaharajalela dalam negara.

Kita yang sedar masih mahu 'amin'kan semua kata-kata?

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. tentang dua golongan yang jika baik keduanya maka baiklah seluruhnya, jika buruk keduanya maka buruklah seluruhnya. Bila ditanya, Baginda s.a.w. menjawab bahawa mereka adalah ilmuan dan pemerintah!

Belasungkawa

"Sejak awal lagi beliau menunjukkan minat dalam politik, terutama memperjuangkan nasib orang Melayu," kata Tun Dr Mahathir mengenang kembali perjuangan awal beliau bersama Tan Sri Khir Johari menentang Malayan Union.

Al-Fatihah untuk Tan Sri Khir Johari, salah seorang 'orang kuat' di sebalik tertubuhnya negara Malaysia secara rasmi.

Beliau telah meninggal dunia pada hari Ahad dan dikebumikan di Makam Pahlawan Kuala Lumpur.

Semoga perjuangan kemerdekaan yang diwariskannya kepada kita akan terus disemat di dalam dada dan tidak digunakan atas maksud yang bertentangan.

Al-Fatihah..

Friday, November 17, 2006

Etika Global

"Peace and freedom, these are the foundations of humane existence. Without peace and freedom, nations cannot develop, and mankind can enjoy neither happiness nor tranquility. Peace for the individual is impossible without peace for the community. Nor can peace for the individual be achieved without peace for entire nation.But peace without freedom is no peace at all" - Kondrad Adenauer, 1952

Aku tonton TV3 dan tengok sedutan hal ehwal Perhimpunan Agung UMNO. Isu etika global yang disebut oleh seorang perwakilan cukup menggamit aku untuk menulis, dan bukan isu Dato' Mukhriz Mahathir.

Tentang etika global dan cubaan meletakkan Islam sama taraf dengan agama lain. Aku tidak mendengar atau membaca hujah perwakilan ini tapi yang disebut dan dipetik dalam berita ialah kerana lambang Islam (?) diletak sebaris dengan lambang-lambang agama lain (?).

Kebetulan buku berkaitan etika global ini aku baca sejak 2001. Buku itu pun sudah dicetak sejak 1993! Dan kebetulan juga Konrad Adenauer Foundation (KAF), yang menerbitkan buku yang dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini disebut. Dan buku itu, aku pasti adalah lanjutan daripada buku umum Perisytiharan Ke Arah Etika Dunia yang dibincangkan dalam Parlimen Agama-agama Dunia pada 4 September 1993.
Cuma turut dinyatakan ada bersamanya terbitan filem-filem pendek yang diselitkan bersama buku kali ini - dan dikatakan mencabar sensitiviti dan kedaulatan Islam di Malaysia.

Ada kegembiraan dan kerisauan dalam diri. Gembira kerana isu-isu Islam sudah mendapat tempat secara nyata dalam Perhimpunan Agung UMNO. Risau kerana isu Islam ini dihujah dengan rasukan sentimen lebih daripada kemampuan berhujah. Maka, aku tertanya - Islam jenis inikah yang kita tawarkan?

Konrad Adenauer bukan nama baru bagi aku. Tokoh dari Jerman ini adalah Canselor pertama Jerman (Barat) selepas Perang Dunia, 1949. Jalan panjang yang ditempuh Adenauer nyata tidak semudah menjadi Naib Ketua Pemuda Parti Paling Besar di Malaysia. Di Jerman, Adenauer dianggap negarawan dan orang yang bertanggungjawab terhadap demokrasi. Hitler menggemari bapa kepada Eropah Bersatu (EU) ini namun tidak sedia menerima pandangan-pandangan Adenauer yang dilihat tidak membantu Agenda Nazi yang bersifat perkauman.

Ini bukan serangan pertama kepada KAF. Dalam ribut gerakan mahasiswa pasca reformasi. Dalam era Aspirasi (yang jelek! moga ada era yang lebih baik..), ada bekas pimpinan pelajar, malah institusi yang cuba 'memusuhi' pergerakan KAF di Malaysia yang bermula lebih lama dengan penglibatan ramai tokoh, yang mungkin di luar pengetahuan mereka. Dan lebih malang, mereka ini hanya menghentam pengaruh kecil yang lahir daripada program-program bantuan KAF kepada beberapa pertubuhan di Malaysia sedangkan mereka yang kaya raya dan punya aset kewangan dan tempat hampir gagal mewujudkan wacana penting, berkesan dan menentukan! Dan sekali lagi aku tertanya, Islam apa yang mereka tawarkan ini?

Aku percaya ada konsensus perlu dibentuk dalam menangani realiti. Syabas kepada Tan Sri Dato' Ahmad Sarji, Dato' Haji Ismail Ibrahim, Prof Syed Hossein Nasr, Prof Dr Mohammad Hamidullah dan ramai lagi yang mewakili suara Islam serta tokoh-tokoh yang mewakili agama dan kepercayaan masing-masing kerana sedia duduk dan membentuk etika global ini satu saat dulu. Dan aku yang membacanya tersenyum dengan komentar perwakilan UMNO tersebut.

Islam yang aku percaya bukan Islam yang takut kepada ilmu dan hujah. Islam yang aku percaya bukan Islam yang bangga dengan kezaliman perkauman dan perlakuan. Islam yang aku percaya bukan Islam yang memberi kasta kepada hidup kemanusiaan (kerana taqwa hanya ditentukan Allah s.w.t. sambil ditunjuk jalannya dari firman-Nya serta pesuruh-Nya).

Dan jenis islam yang dilontarkan perwakilan itu hanyalah islam versi Melayu..dan lebih malang lagi hanya jenis Islam Melayu-UMNO (dan disangkanya Islam sebenar)..

Aku menanti laungan perjuangan Islam daripada mereka-mereka ini kerana meletakkan Islam di tempat yang tinggi, wacana harus dibuka..dalam realiti sejarah Islam..Tuhan juga jadi subjek pembicaraan. Dan harus ada di kalangan umat ini yang mampu menjawabnya dengan hujah dan adab, bukan perintah dan biadab.

Kita perlukan lebih banyak ta'aruf (perkenalan) melalui jama' perspektif. Kesannya ialah pemahaman dan penghormatan yang segar. Tanpa sikap ini, mustahil kita dapat bina sebuah masyarakat yang stabil di mana penghormatan terhadap bani Adam sebagaimana Allah s.w.t. mengangkatnya dalam Al-Quran dan sikap saling percaya (bukan cakap baik depan, belakang atur strategi zalim! apatah lagi zalim terang-terangan!).

Saat kita mengecapi merdeka, Adenauer ada menyebut "Our enemies of today (selain Syaitan yang direjam - fikir ikut kepercayaan masing-masing) are not other nations. Our enemies of today are poverty, ignorance, disease and discrimination. What we need is co-operation based on the idea that the entire world is one human family. Ignorance and lack of understanding among Asian, African and Western nations is the greatest danger we are facing today".

Aku risau lagi..seruan Melayu dibajukan dengan Islam. Dan nama Islam diburukkan lagi oleh tindakan-tindakan yang mendahulukan sentimen berbanding hujah.

Katakan ya pada dialog! Katakan ya pada ilmu!

Allah s.w.t. tidak zalim, tanya pada diri kenapa Islam tidak dihormati lagi..

Semoga Allah s.w.t. beri kepada kita (terutama aku) kefahaman, kebijaksanaan, kejujuran dan keberanian untuk mendokong cita-cita Islam yang universal dan bukan ciptaan-ciptaan yang ada had dan hari (berdasarkan amalan kelompok tertentu).

Monday, November 13, 2006

Hadhari

"Jawapannya ialah sukar walaupun tidak mustahil. Kalau Dr Mahathir berjaya memesatkan persaraan Tunku dengan "restu Abdul Razak, dia hanya mampu mengulangi proses itu jika "disokong" oleh anak Abdul Razak bernama Mohd Najib," tulis Dato' A Kadir Jasin, bekas Ketua Pengarang The New Straits Times Press (NSTP) dalam blognya.

Berita dewasa ini memang berita yang mesti ditonton.

Cerita 1

Selain kes Altantuya yang tentunya belum selesai nyata bukan sekadar cerita pembunuhan biasa. Ia seakan imaginasi penulis novel yang dirasuk penderitaan. Tapi ia realiti! Dan ia melibatkan VIP, beberapa anggota polis dengan jawatan yang tidak kecil, hubungan luar negara dan untuk aku yang tentunya menarik ialah penggunaan letupan!

Cerita 2

Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa dia bukan Perdana Menteri satu penggal. Spekulasi bertiup..sebahagian daripadanya ialah kenyataan Dato' A Kadir Jasin bahawa hanya Dato' Najib Tun Razak yang boleh mempercepatkan persaraan Perdana Menteri.

Aku masih menunggu sama ada ramalan seorang kenalan pada tahun 2001 dulu menjadi kenyataan. Katanya "Pak Lah akan menjadi Perdana Menteri untuk satu penggal sebelum Anwar kembali".

Cerita 3

Tun Dr Mahathir tidak jadi hadir Perhimpunan Agung UMNO dengan alasan ingin rehat selepas diserang sakit jantung dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Cerita 4

"Lupakan dia" lebih kurang kata Rafidah Aziz, mengulas sikap Tun Dr Mahathir dewasa ini.

Cerita 5

"Rasuah politik di dalam Umno adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Disiplin dan Umno sendiri," begitu kata Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang disifatkan sebagai satu sekatan kepada BPR untuk menyiasat rasuah yang berlaku di dalam Umno.

Cerita 6

"Saya tidak benarkan. Saya langsung tidak bersetuju perkara macam itu berlaku. Kita kena ambil tindakan mengikut undang-undang," kata Mufti Dato' Harussani sambil mendakwa beliau kesal terhadap tindakan sekumpulan orang Islam daripada parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkumpul di perkarangan gereja terbabit untuk mendapatkan kepastian mengenai upacara yang disebut dalam SMS itu sehingga hampir mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Aku pun nak berkata "Hadharinya negeriku.." (rasa macam sedap pulak nak bersajak!)

Friday, November 10, 2006

Universiti Islam

"Setahu saya, hanya negara yang tidak maju yang memaksa atau terpaksa mengamalkan dasar kolonial, iaitu mengajar sains dalam bahasa asing" sindiran Dato' Dr. Hassan Ahmad, pejuang bahasa yang disegani.

Walaupun aku pelajar Ijazah Sains Perhutanan dengan pengkhususan Pengurusan Taman dan Rekreasi, aku sempat mengambil peluang menduduki kuliah Falsafah Pendidikan Islam pada semester 1 pengajian. Dan ini adalah sebahagian rahsia jika ada yang bertanya “Kenapa kau (Amin-aku le tu) tak grad lagi?”.

Kenapa aku mesti habiskan masa untuk ini? Jawab aku mudah – kerana aku ada cita-cita sosial.

Meski aku hanya dapat B+ (waktu itu tak ada lagi A-), aku terima dengan sedikit dukacita kerana daripada jumlah mata terkumpul aku kedua tertinggi, dan aku telah berkira-kira jika untuk peperiksaan akhir aku dapat 25/40 sudah cukup untuk dapatkan A. Mungkin ada silap aku semasa menjawab soalan peperiksaan akhir yang aku akui kurang bersedia.

Bukan itu yang nak diceritakan.

Soalnya kursus ini memberi peluang untuk melihat sedikit susur galur apa yang dinamakan Islamisme Ilmu dan juga kewujudan apa yang dinamakan Universiti Islam.

Ya, kita (umat Islam) obses dengan kedua-dua agenda tersebut sejak zaman hujung 60-an dan 70-an (tanpa menafikan bahawa ada yang perihatin sebelum dan selepasnya). Sayang sekali aku tidak cuba mendalami perkembangan UIAM dengan baik selain terlalu gembira mengetahui wujudnya ISTAC.

Dan hari ini kita melihat ‘Universiti Islam’ di banyak tempat – tempatan dan luar negara’. Di tengah-tengah umat Islam dihimpit dengan pelbagai mehnah, mungkin dalam sebuah negara di mana pemimpin Melayunya sibuk dengan agenda menjuarai isu Islam dan menunjukkan mereka yang paling ideal mewakili suara Islam dalam realiti majmuk Malaysia, mungkin kita dapat lihat sedikit tentang universiti.

Aku memang obses dengan universiti kerana sekian banyak ayat Al-Quran dan hadis serta petunjuk sirah/sejarah malah pengalaman praktis menunjukkan kepentingan ilmu. Hingga akhirnya aku membuat keputusan untuk tinggalkan obses aku kepada politik dan berenang di lautan ilmu (tanpa menafikan kepentingan politik. mungkin jiwa aku yang tidak suka realiti hitam-putih politik yang banyak memangsakan institusi ilmu sebagai pagar tamadun).

Soalannya apakah cita-cita sosial kewujudan sebuah universiti. Jika kita tengok cita-cita politik yang menjadikan universiti sebagai janji politik, ia nyata sungguh menakutkan, sama seperti ungkapan ‘tunggu sehingga 2008 untuk ubah dasar pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu). Bagi aku soalan ini penting kerana dalam realiti runtuhnya sistem khilafah dan munculnya negara bangsa, universiti turut terheret antara perang makna – universiti : lokal atau global. Jika kita renung, nyata sebuah universiti yang mempelopori ilmu sepatutnya, dari hemat aku, menelurkan sebuah pandangan universal (yang mungkin ini adalah dasar dalam merangka apa yang kita kenal hari ini sebagai Hak Asasi Manusia). Dalam tingkat lain, faktor sejarah yang dekat juga jadi sandaran untuk menerapkan elemen nasional. Dan ini adalah simpang penting untuk kita perhatikan. Kerana sudah tentu agenda nasional tidak kurang penting dalam agenda pembentukan sebuah dasar perjalanan universiti. Iran dengan Syiahnya barangkali, US dengan liberalnya, China mungkin dengan komunisnya, Malaysia dengan Sunni mazhab Syafienya (?) dan lain-lain negara. Ini pada tingkat tertentu mungkin bertindih, dan pada tingkat lain mungkin jauh bertentangan. Untuk menyatukan bahasa adalah satu agenda yang hampir mustahil meski bahasa Inggeris seperti memaksa dunia menerimanya sebagai bahasa nombor wahid di peringkat antarabangsa.

Maka, sebagaimana seruan Melayu yang aku nilai secara kritis di BTN dulu (hingga jadi sebab awal nyawa politik aku di kampus disentap), agenda Islam hanya mungkin disatukan dengan kalimah ‘La Ilaha Illallah, Muhammad Ar-Rasulullah’. Dan hari ini aku kian mengerti, meski aku percaya dalam realiti kini mungkin berbeza, bila Dr. Asri Zainul Abidin (yang sebahagian daripada kita menyangkalnya keras dan sebahagiannya menerima kehadirannya dengan kritis sedang sebahagian menerima bulat) “Islam mesti dinilai dari pintu Tauhid” (dan aku sendiri tertanya keadilan yang patut kita beri untuk menilai Barat dan jama’ kepercayaan yang sedia wujud di muka bumi dalam agenda menyantuni hak warga).

Maka, bagaimana kita menyikapi pembentukan insan secara menyeluruh, bukan hanya aspek akal fikiran semata-mata kepada mereka yang melangkah ke dunia pendidikan kita? Maka, perang budaya yang sering dilontarkan sebagai wacana oleh sdr. Faisal Tehrani (saya tidak mahu terperangkap dengan tuduhan sebahagian kita tentang beliau menebarkan agenda Syi’ah secara halus tetapi lebih gemar menyantuni kepelbagaian ini dengan hati terbuka), untuk saya relevan dalam konteks kita pada hari ini di mana beribu-ribu umat di hantar ke serata dunia atas maksud ilmu, tempias budayanya memang sukar ditampung.

Namun, kita perlu mendidik umat ini dengan jelas – bahawa kesatuan kita adalah atas asas tauhid di mana umat Islam, biar dari ceruk mana sekalipun datangnya, adalah satu atas dasar tauhid meski budaya luaran kita sedikit sebanyak menonjolkan ciri nasional masing-masing. Memahami aqidah sebagai aqdun (dari kata Arab) nyata lebih memberi makna. Beruntung benar mereka yang dikurniakan kesempatan belajar Bahasa Arab dalam konteks memahami dakwah Rasulullah s.a.w. dari matannya. Ikatan spiritual yang tidak kelihatan nyata satu aset yang sering kita abaikan.

Berikut sedikit sedutan ucapan Dr. Roderick French di Cambridge satu tika dulu. (Jika ada yang tahu bagaimana boleh aku uploadkan video di blogspot, sila bantu)

By western standards, Cambridge is one of the oldest universities among the half dozen that survives. If we look back 8 centuries ago when Cambridge began, we find ourselves at the end of Roman Empire; the soldiers withdraw from England in that year. There is little or no connection between our university and the classical Greek or Rome. More plausible scholars say that it was the legacy of the Islamic schools of learning.
It was the changing philosophy, natural science, and mathematics, Medicine that far outshines anything that was found in Europe. It has been argued that modern university is an Arab invention. For instance, the Islamic institutions of learning gave the source of the idea of calling together student from many lands… more important still is the universal validity of qualifications as an Arab concept. Equally certain is that Mathematics derives from Arabic roots. Anyone who tries to solve arithmetic using Roman numeral will see what I mean. The great tradition of natural science founded on Mathematic on which Cambridge is pre-eminently known in Science and technology would not have been possible without the Arabic tradition.
From Mathematics, the Arabs gained expertise in Astronomy and navigation, which laid the foundation of systematic sea travel. From the study of medicine, the Arabs were centuries ahead of Europe. The buildings we see around today which have been carefully crafted by His Highness enshrine the idea of those memorable centuries of skill and tradition.


Semoga kita sedia belajar, mengajar dan diajar. Dalam seruan kita kepada Bahasa Melayu atas hujah “setiap nabi diturunkan dengan bahasa kaum mereka”, kita harus jelas di mana ciri nasional dan cita-cita sosial masyarakat Islam.

Thursday, November 09, 2006

Ekonomi

"It's economy, stupid" begitulah bunyi manifesto yang pernah popular dan mengangkat naik seorang Presiden US.

Ekonomi sering dinisbahkan dengan duit. Tapi realiti kini, bila cakap soal ekonomi kita nisbahkannya kepada kestabilan sosial. Sebab itu kata-kata 'duit bukan segalanya' tidak hidup kerana jawabnya 'segalanya nak duit'. Cakap-cakap mudah tentunya 'masuk tandas pun kena bayar 30 sen tau!' (walaupun tandas tak pernah dijaga dengan baik, huh!)

Kenapa dikaitkan dengan kestabilan sosial? Kerana kayu ukur kestabilan sosial bagi aku integral dengan keadilan sosial. Dan keadilan sosial ini sering dibeli dengan duit. Contoh politik - bila diberi wang RM50 serta sedikit kain batik dan sebagainya, maka ada mereka yang gelap mata dan memilih mereka yang perasuah (?) untuk naik menjadi 'somebody' dalam masyarakat. Dan 'somebody' inilah yang mengaut harta kekayaan, menjadi angkuh dengan kuasa dan sebagainya yang jelek. Dan nilai RM50 tu jadi nilai prinsip individu kerana dengan RM50 manusia sanggup gadaikan 'perancangan sosial' dan ia petunjuk bahawa RM50 sudah cukup penting dalam kehidupan sosial masyarakat kini (jika RM50 terlalu kecil di KL, bolehlah ditaburkan di Perlis atau Sabah barangkali). Tanya saja siswa yang sanggup menunggu sehingga jam 2-3 pagi untuk mendapatkan RM50 'duit raya Menteri Besar' tempoh hari.

Dan pengumuman kerajaan bahawa DEB telah dicapai dengan perangkaan 36.6% jelas satu tamparan hebat sebenarnya. Kerana pada hari ini amat jelas bahawa masih ketara masyarakat miskin di mana-mana.

Kenapa ia tamparan hebat?

Pertamanya tentu sekali dakwaan angkuh 18.9% yang pernah sedap mulut dicakap oleh orang-orang besar kita malah ada yang keterlaluan.

Kedua, seperti yang pernah aku dakwa..bahawa sebahagian besar kekayaan dari hasil DEB ini HANYA DIMILIKI oleh tidak lebih 10000 orang berbanding berjuta umat Melayu yang ada di Malaysia. Malah tidak mustahil angkanya sekitar 5000 orang. Daripada 36.6% ini, mungkin 25% hanya dimiliki oleh orang-orang tertentu, dan jika dinilai lebih halus akan tertulis bahawa si polan dan si polan punya kaitan politik dengan si polan dan si polan - secara akrab! Jika tidak bisnes, cukuplah menjadi seorang think tank..jika dapat memasukkan RM100 000 dalam akaun seseorang jadi cukup mudah, selain hadiah berlian dan barangan kemas..maka, sudah tentu nilai kekayaan beberapa kerat individu ini cukup lumayan.

Justeru, kerelevenan sebuah dasar ekonomi yang lebih menyeluruh pada aku satu tuntutan yang cukup wajar. Hal ini aku rasakan cukup dalam bila menilai semula emolumen universiti dalam dasar pengkorporatan IPTA dan bagaimana jerit perih seorang siswa bersabung 10-15 tahun untuk hanya membayar hutang pinjaman pelajaran.
Ada banyak alasan boleh disenaraikan sebenarnya.

Agenda memerdekakan graduan dan universiti daripada masalah kewangan adalah satu tuntutan kestabilan sosial sebenarnya untuk aku. Kerana pendidikan tidak boleh digadai untuk apa juga kepentingan sempit termasuk faham agama (yang sempit!)..misalnya jika seorang Sunni mendakwa mereka yang paling benar dan larangan dikeluarkan untuk membincangkan perkara Syiah, Liberal dan sebagainya. Ataupun mungkin seorang Melayu melarang perbincangan tentang tuntutan Suqiu.

Kedua, tenaga muda yang bergraduat mesti dioptimumkan. Jika seorang anak muda telah 'diperangkap' dengan 'beban hutang lapuk' yang sentiasa meningkat - bagaimana realiti hidup berkeluarga dan sebagainya di celah gembar-gembur pengangguran, masalah jenayah, tenaga muda yang tidak balik berkhidmat dalam negara serta seribu macam kisah yang mengongkong sumbangan anak muda.

Pokoknya semua mesti berkongsi cita-cita membangun sebuah negara yang adil dan makmur. Kerana adil untuk aku adalah cita-cita masyarakat yang beragama. Di mana hak ditunaikan kepada semua warga. Dan warga akan merasai kemanisan sebuah sistem yang ditadbir dengan roh agama bila yang elok terus ditambahbaik, yang kurang elok malah buruk itu bersama berkongsi cita dan tindakan menghapuskannya.

Yang ideal itu sentiasa nampak sempurna dalam fikiran. Bukankah yang sempurna itu sering kita dakwa sebagai agama atau kepercayaan kita?

Juang

"Jika kamu tidak menemui sesuatu yang kamu sanggup berkorban apa saja untuknya, maka kamu belum hidup (tak layak untuk hidup)" Martin Luther King Jr

Berjuanglah!

Juang mungkin kata yang punya suntikan daya. Menyebut perkataan perjuangan juga akan mengheret faham yang berbeza dengan seruan misalnya buatlah. Hari ini kita tengok berita, banyak sungguh yang menarik dan pelik.

Tun Dr. Mahathir masuk IJN kerana diserang sakit jantung. Cerita sakit jantung Tun ni dah lama kita dengar. Moga-moga Tun cepat pulih dan dikurniakan usia yang panjang dalam ketaatan.

Abdul Razak Baginda, penganalisis politik yang prolifik di Malaysia direman untuk kes tuduhan terlibat dalam pembunuhan seorang model Mongolia dengan cara yang amat dahsyat - dipercayai ditembak sebelum diletupkan dengan peledak C4.

Cerita rasuah di dalam UMNO boleh dibawa ke siasatan BPR atau tidak.

Cerita isytihar harta PM dan ahli keluarganya.

Berita Saddam Hussein, bekas Presiden Iraq yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah.

Berita parti yang didokong Bush kalah dalam Pilihan Raya US dipercayai kerana protes rakyat.

Cerita kelantangan pejuang bahasa Melayu dan kebebalan menteri yang semacam berpolitik kerana menunggu 2008 untuk mengubah dasar.

Indeks rasuah negara..

dan banyak lagi..nama pun berita.

Jatuh sebuah tamadun sentiasa menunjukkan bila kezaliman berleluasa dari tingkat pemerintah hingga ke bawah. Bangunnya tamadun sentiasa didokong dengan semangat kebebasan dan pengkayaan agenda ilmu. Ilmu sentiasa ditunjuk akan hidup dalam realiti bebas..yang ni aku tak tahu la sama ada pendakwa yang sering mendokong bahawa "kamilah yang benar" faham tentang kepentingan bebas ni. Sebab kalau tak faham maka akan cenderung zalim..

Maka, apa yang hadharinya? Berjuanglah kita..bukan berpolitik (dalam erti kata yang sempit)

Sunday, November 05, 2006

Sedar

"Allahu Akbar, Allah Akbar" gema azan di subuh sunyi..dari corong surau betul2 di depan rumah sewaku

Sedar selalu dinisbahkan kepada keadaan 'bangun dari tidur', 'menemui kesilapan', 'mengetahui sesuatu' dan sebagainya..ini yang aku faham dalam konteks tanpa merujuk kepada mana-mana kamus atau ensiklopedia.

Baru-baru ini aku seolah kembali ke lorong lama, lorong di mana aku rancak dan begitu bersemangat sekali mencari kebenaran hidup. Lorong yang menemukan aku dengan jamak perspektif..yang menemukan aku dengan sejumlah karakter manusia - semua bersemangat, dalam laku, kata dan diam..

Bila aku bahasakan lorong lama, bukanlah beerti aku kini berada di lorong yang baru sangat. Lorong kini adalah pilihan lorong-lorong pasif yang ada..sikapku masih sama.

Apa kena mengena semua ni?

Aku rasa aku mulai sedar..ada sesuatu di lorong lama itu yang aku kian kurang menyebutnya meski 'bahasa baru' yang aku pakai tidak pernah sedikit pun cuba meremehkan 'bahasa lama' itu sebaliknya atas niat komplimen..

Ya, aku sedar..dalam banyak lorong itu kita lebih gemar menyebut sejumlah nama dari lokal ke global - dari DS Anwar, TG Haji Hadi, TG Nik Aziz, Tun Dr. M, DS Abdullah Ahmad Badawi hingga ke Syeikh Wahab, Ayatollah Khomeini, Syeikh Hassan Nasrullah, Bush, Saddam dan sebagainya..

Kita dah kurang merujuk terus kepada sabda Rasulullah s.a.w..
Kita dah kurang kurang memetik nas dari Al-Quran dan hadis..

Memang tidak salah menyebut tokoh-tokoh kini dan buku-buku kini..tapi seperti yang sering aku ingatkan teman, aku juga mahu mengingatkan diri sendiri..akarnya dari mana? Semoga aku insaf dan kekal sedar..

* Kita di atas mungkin hanya aku..

Friday, November 03, 2006

Pergi

"Innalillah.." kata spontan mendengar belasungkawa.

Sdr Umar Tan telah pergi dijemput Ilahi.

Aku tidak rapat dengan arwah, tapi kali akhir jumpa semasa di Chinese Assembly Hall waktu DSAI dijemput beri kuliah tentang Hubungan Etnik anjuran Youth For Change. Dia ada ajak aku duduk, tapi aku mahu segera pulang..

Sdr Umar Tan, meski kami tidak rapat, kejujurannya dapat aku rasai di hati yang dalam..bukan dibuat-buat. Dan dia, aku percaya, hanya mahu melangsaikan perjuangan tanpa menuntut apa-apa kemudiannya dalam bentuk ganjaran duniawi yang sering dikejar politikus.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Aku ingin pinjam jujurmu buat teman.

Kenal?

"Tak kenal maka tak cinta" kata orang tua-tua..

Ini bukan kisah cinta meleleh. Ini kisah cinta juga, tapi yang bagaimana ya?

Aku rasa mahu menulis tentang dia yang aku kenal dari jauh. Dia seorang penulis
muda yang sangat berbakat..banyak tulisannya menggamit hati aku. Tapi sangka aku
panas hingga ke petang tapi hujan di tengah hari.

Tapi tak apa..seperti kawan-kawan lain, aku tidak lekas marah jauh sekali dendam.
Insan ada sisi-sisi istimewanya, tapi tak terhindar dari salah silap. Cuma hati yang keras sahaja lambat menemukan kebenaran untuk akur..

Dan aku masih di sini lagi. Mencari diri..dan aku tidak mahu tersepit di celah cakap-cakap sihat yang di'demam'kan..

Akhirnya, aku tahu..dia tidak sejujur mana..

Wednesday, November 01, 2006

Lawan

"Saya tidak akan letak jawatan" pendirian TDM bila ditanya tentang cadangan untuk menggugurkannya daripada menjadi penasihat Petronas, Proton dan LADA.

Lama juga tak menulis. Hampir bosan. Aku fikir nak wujudkan lagi satu blog sebab blog ni dah macam caca marba dengan macam-macam tulisan. Blog lagi satu nanti aku akan fokuskan balik tulisan tentang Barat seperti niat aku sebelum ini.
________________

Dengan selambanya TDM terus menghentam PM kita di celah-celah kesibukan orang ramai menyambut perayaan. Strategi ini agak menarik kerana memang telah jadi kebiasaan orang kita 'mengumpat' pada satu Syawal. Ini sekaligus memeningkan kepala sesetengah pihak yang berharap pertemuan TDM dengan PM dapat menjernihkan kekusutan yang ada. Hasilnya kini, pertemuan kedua akan diatur.

Jelas sekali TDM lebih ke depan - merakam perbualan dengan PM sedangkan PM hanya mencatat dengan tulisan tangan. Dan kesan daripada perbalahan mereka berdua, tiba-tiba aku terlihat wajah DSAI terpacul di TV3 memberi komen kepada TDM tentang kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di Malaysia. Bila aku semak dalam internet, rupanya ada juga kenyataan tentang Negara Polis oleh DSAI. Jelaslah, terpampang muka DSAI di TV3 bermotifkan politik sebelah pihak.

Lanjutan daripada itu, berita perletakan jawatan Ketua AMK dihebahkan dan saudara Ezam tak menunggu lama untuk membuat kenyataan untuk mengheret TDM dan PM dalam isu rasuah. Seperti biasa, spekulasi berundurnya saudara Ezam disusuli dengan khabar-khabar angin. Satu lagi cerita popular raya ini ialah cerita keangkuhan ADUN di Selangor yang membina rumah untuk anak-anaknya yang sangat besar itu..bagusnya ADUN ni.

Untuk aku, sebagai rakyat, semua cerita ini hanya satu..soalnya korupsi mesti dilawan. Tidak kira apa juga kedudukan, pangkat, bangsa dan apa juga yang menyebabkan manusia lebih tinggi daripada kedaulatan hukum dan undang-undang.

Cuma satu yang aku tertanya, apa undang-undang untuk melindungi si peniup wisel? Ini juga harus di'lawan'..