Sunday, April 29, 2007

Ijok : Pasca Pilihan Raya 1

"Hanya satu kata untuk penindasan - Lawan!" begitu kata yang terpacul daripada sebahagian teman yang 'masih bersemangat untuk berjuang' selepas kekalahan Parti keADILan Rakyat di Ijok.

Pilihan Raya di Ijok selesai. Yang menang gembira dan yang kalah sugul. Itu lumrah yang tidak asing dalam persaingan kalah menang. Keputusan telah keluar dan diumumkan pada khalayak. Agak menarik untuk hadir dan melihat dengan kaca mata sendiri suasana di Ijok. Semangat, kesungguhan, keberanian, kerjasama dan tidak kurang jenaka saling jadi tanda yang aku rindu tatkala sunyi sendiri - tanda erti hidup bernegara secara merdeka.
Aku mahu menulis tentang ini. Ini detik hati yang meronta dan tak mahu aku nafikan. Terlalu banyak yang mahu aku ungkap hingga tak tahu yang mana satu. Dan aku tetap mahu mulakan..
Parti keADILan Rakyat (PKR)
Untuk aku, langkah PKR untuk bertanding dan mendapat laluan dari parti oposisi yang lain adalah satu langkah yang bijak. Dan PKR telah memulakan kempen di Ijok sesuai dengan imej PKR dalam real-politik BN-UMNO - bahawa PKR adalah parti yang punya upaya menggugat kekuatan hegemoni BN.
Nota : Kenapa aku menulis pada ayat di atas BN-UMNO dan seterusnya hanya menggunakan perkataan BN sahaja adalah cukup penting jika kita mahu berfikir lebih sedikit (tak banyak pun!).
PKR, pada aku, tidak perlu terlalu bersedih. PAS (boleh dirujuk surat TG Nik Aziz kepada Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim), telah lama bertarung dan sekian banyak kalinya KALAH! Dan sesungguhnya Ijok telah menunjukkan dengan jelas SEGALANYA tentang PKR.
Aku bukan orang parti. Tapi aku suka bercampur dengan orang parti politik. Pada mereka, jika aku berpeluang, aku kongsikan pandangan yang mungkin jauh berpijak dari realiti masing2. Tapi sekurang-kurangnya aku punya hak sebagai pemerhati luar. Politik itu juga cukup rapat dengan persepsi.
Apa persepsi aku tentang Ijok?
Aku tidak mahu komentar banyak tentang sistem. SPR, Pengundi Hantu, taburan duit, sistem dan sebagainya telah banyak diperkatakan. Entah betul atau tidak aku serahkan kepada orang ramai.
Yang mahu aku sebut di sini ialah bagaimana lemahnya kelihatan Angkatan Muda keADILan dalam pertembungan di Ijok. Kelemahan ini dengan sendirinya telah menunjukkan kekuatan Pemuda UMNO di Ijok. Lemahnya AMK ini pada hemat aku adalah lemahnya Parti keADILan itu sendiri kerana seharusnya Reformasi yang dilaungkan keADILan sebagai Politik Baru ditunjangi oleh pemuda. Pun begitu, bukanlah ramainya pemuda UMNO beerti mereka ditunjangi pemuda yang bercita untuk Politik Baru. Tapi cukup untuk aku membuat analisa awal bahawa keADILan akan kalah.
Cuba bayangkan bila (pemangku) ketua AMK turun ke padang hanya diiring oleh seorang dua teman, yang secara psikologinya jelas tidak menunjukkan 'crowd'..berbanding Naib Ketua Pemuda UMNO yang jelas turun dengan 'crowd' yang cukup menunjukkan dia penting.
Entah kenapa, aku berasa ada yang tidak kena pada AMK..dan aku tidak tahu apa jenis politik yang sedang dicatur oleh keADILan waktu ini. Dan seharusnya Ezam, sebagai mantan pimpinan tidak melihat ini sebagai enteng kerana dia harus menggalas tanggungjawab kepada generasi yang ditinggalkannya.
Ezam, pada aku tidak harus, mungkin kerana kecil hati atas perbezaan pendapat dengan Azmin, atau punya strategu lain, membiarkan AMK lemah dan hadir berjuang bersama parti atas kapasiti individu atau GERAK. Selaku benchmark kepada gerakan AMK, Ezam harus memainkan peranan yang lebih daripada apa yang ada sekarang.
Seorang teman menasihatkan aku, sia-sia mengkritik Ezam atau AMK kerana 1) aku bukan ahli parti 2) aku boleh memutuskan talian dengan orang2 politik penting 3) Ezam malah AMK boleh sahaja membelasah hujah2 aku yang sudah tentu tidak kemas kerana aku di luar struktur parti dan macam2 lagi..
Sikap aku? Aku tahu apa yang diperkatakan teman aku itu ada benarnya. Dan aku memetik nama Ezam bukan beerti aku menyerang dia secara peribadi, tetapi ingatan kepada generasi lama tidak kira siapa pun.
Dalam banyak hal generasi lama sering membanding bahawa zaman mereka lebih perit dan mereka telah terbukti berjuang. Dan sering generasi lama menyalahkan generasi baru dalam banyak hal. Tetapi tiba bab tanggungjawab dan hak generasi baru, semua seakan berlepas diri tanpa mahu mengakui bahawa sikap 'aku makan garam lebih' tu yang menyebabkan 'sakit jantung dan darah tinggi'!
Generasi baru bukan sombong atau angkuh mencabar generasi lama..tetapi lumrah kegelapan harus diterangi. Kita tidak mungkin dapat menghalau kegelapan, nyalakan lampu untuk menghilangkannya!
Dan sempena Kongres Parti keADILan Rakyat dalam tempoh sebulan ini, aku berharap sikap yang tegas dan berprinsip akan terus dipegang. Kelemahan dan kesilapan terus dibaiki. Pokoknya untuk aku rakyat mesti untung dari pelaburan mereka..dan sistem mesti memberi keadilan kepada rakyat untuk melabur mencari keuntungan mereka.

Labels:

Wednesday, April 25, 2007

Ijok

"Amin, jom ke Ijok. Aku nak dengar ceramah malam akhir saja" sms seorang teman lama kepada aku.

Ijok mungkin hanya nama sebuah tempat. Realitinya tempat inilah yang menjadi kayu ukur demokrasi dalam erti kata yang luas. Dalam rancak 'Gelombang Biru' menawan Pilihan Raya 2004, Ijok satu-satunya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoritinya tidak meningkat. Justeru, pertarungan di Ijok nyata sesuatu yang penting dan unik.

Untuk aku, Ijok tempat menguji kematangan rakyat sama ada yang berparti atau tidak, yang berpendidikan tinggi atau sebaliknya, dan macam-macam yang lagi. Kematangan ini bukanlah kematangan memilih semata-mata..tetapi kematangan dalam memahami peradaban.

Jom ke Ijok Jumaat ni..jalan-jalan dengar kempen..dan meraikan hak warganegara tanpa rasa takut tetapi kerana penuh sedar..

Labels:

Saturday, April 14, 2007

Hak dan Tanggungjawab

"Fanatisme adalah penyakit sepanjang abad" kata-kata Voltaire yang dipetik Aqil Fitri semasa berbalas sms ringkas dengan aku awal pagi tadi dalam merungai kemelut dunia Islam.

Sering dalam wacana kebebasan - media, bersuara dan sebagainya - diingatkan berkali-kali bahawa kebebasan ini sentiasa datang dengan tanggungjawab. Dalam isu yang terkini, mantan Presiden Gerakan sebelum melepaskan jawatannya, ada mengingatkan blogger tentang tanggungjawab mereka.
Serupa juga dengan mahasiswa di universiti, sejak orientasi hingga ke hari terakhir semasa pengajian, sering dibebel dengan soal tanggungjawab..
Di mana tanggungjawab si pembebel untuk memberikan hak kepada yang punya hak dan mengambil semula hak yang berada di tangan yang bukan hak?
Islam Hadhari? Moga tak jadi muluk di atas kertas...

Friday, April 13, 2007

Berani Kerana Benar

"Di sini aku berdiri" Rozaid Rahman memetik kata-kata Ezam Mohd Nor, suatu waktu dulu bila Ezam memutuskan untuk pulang ke Malaysia berjuang..

Berani kerana benar mungkin ayat muluk yang jadi sebutan dan seruan ramai manusia terutama mereka yang mendakwa 'sedang memperjuangkan sesuatu'.

Ya, aku percaya perjuangan memerlukan keberanian. Pengalaman aku menjadi berani memang benar didesak oleh rasa perjuangan yang cukup tinggi nilainya pada aku. Dan aku percaya bahawa tanpa keberanian, mimpi tak akan jadi makna.

Hingga satu takat, aku percaya bahawa keberanian yang paling tinggi ialah berkata benar kepada diri sendiri. Dan itulah keadilan..yang pernah menjadikan aku berani.

Meski yang benar itu sering jadi subjektif dalam isu dan idea yang dibentangkan kepada khalayak, nyatalah keberanian sahaja yang memungkinkan adanya peristiwa buruk dan baik, kecil dan besar sepanjang sejarah..meski kemudiannya sesuatu itu dinilai sebaliknya pada masa yang kemudian.

Ayuh, jadi berani..berani mencari kebenaran, berana memperjuangkan kebenaran dan berani menang!

* Kata-kata di atas adalah untuk memujuk diri sendiri..

Sunday, April 01, 2007

Probitas ed Fides

"...hanya untuk mereka yang mempunyai semangat Pencerahan, berani untuk tahu" kata akhir dalam pengantar Jeneral Jose Almonte, buku Towards One South East Asean.

Semalam aku kemas bilik. Makin lama semakin pening kerana bilangan buku semakin banyak dan aku tidak punya cukup ruang untuk menyimpan.

Walaupun keghairahan membeli buku tidak seperti dulu atas faktor kewangan yang membatasi, aku masih tidak dapat membuang rasa ketagih untuk mencari, singgah di kedai buku dan sekurang-kurangnya meminjam.

Sebenarnya kerajinan aku semalam didorong oleh kemahuan untuk mengelak daripada memikirkan rasa sedih yang bersulam (dalam hati) di sebalik kejayaan demi kejayaan yang aku capai (dilihat di mata umum).

Dalam mengemas tu, aku terjumpa satu buku yang taglinenya pernah dan masih lagi kuat menghantui aku. Kebetulan tagline tu sangat berkait rapat dengan kehidupan aku sejak akhir-akhir ini.

Buku itu? Sebuah novel tulisan Faizal Tehrani (ejaan terkini ialah Faisal Tehrani yang kian kontroversi dan sebahagian teman tidak pun mahu mempedulikan :)= ) tajuknya Cinta Hari-Hari Rusuhan dan taglinenya kejujuran kadangkala menakutkan.

Cuma dari hidup aku ini adalah kejujuran dan keberanian atau Latinnya disebut Probitas ed Fides. Maka, aku nyatakan kejujuran dan keberanian kadangkala menakutkan..tapi jika kejujuran dan keberanian itu akan menghancurkan aku, biarlah aku hancur..

Labels: