Wednesday, June 14, 2006

Konichiwa 3

"Jepun penting untuk dilibatkan dalam Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG)" kataku, tanda setuju dengan pandangan (Tun)Dr.M

Hari kedua, 22 Mei. Aku bangun pukul 5 pagi. Solat Subuh. Haha..rupanya di Jepun pukul 5 pagi itu sudah Subuh Gajah! Di sana 3.30 pagi sudah mula terbit matahari! Tapi aku tengok aktiviti harian mereka tetap bermula sekitar pukul 8 pagi. Maksudnya aku kena bangun dan tidur semula..wah, tolak rezeki ni. Tidur malam pukul 12, bangun pukul 3..mabuk tak payah minum pun.

Kami ke College of Bioresources Science, Shonan Campus, Nihon University. Kira macam UPM di Malaysia la. College ni fokus kepada Pertanian, Perhutanan dan lain-lain. Nama pun Bioresources. Disambut meriah dengan diberi pen Pilot dan Jam Citizen khas. Duduk mendengar kuliah dari Prof-prof (bukan Prof. Madya atau Dr!), kami didedahkan dengan pelbagai hal berkaitan pengurusan alam sekitar di Jepun dan hal-hal berkaitan. Memang menarik. Kami di sana selama 2 hari, berulang-alik dari hotel.
____________________________________

Maaf aku tak dapat sambung tulisan tentang Jepun buat masa ini kerana perlu bergegas ke hutan untuk urusan pengumpulan data projek tahun akhir aku. Akan datang aku akan sambung..ada lagi hal-hal yang menarik!

Konichiwa 2

"Sssh!!!" Pensyarah aku mengingatkan aku bila aku ceritakan pada seorang teman bahawa ada pencuri mencuri menggunakan cincin yang tajam untuk memotong beg (pengalaman mak aku). Rupanya di Jepun itu cincin adalah kata lucah! Haha

Temuduga kali ini aku ulang sikap yang sama juga. Tanpa berdolak dalik. Kalau dulu aku katakan aku mengusik kerana tahu pegawai yang interview aku tu tak lebih tak kurang macam Ketua Cawangan UMNO di kampus, kali ini aku ulang kenyataan yang sama kerana sebenarnya itulah yang aku percaya dan diri aku.

Alhamdulillah selepas sebulan aku diberitahu terpilih. Susah payah juga membuat persiapan. Duit pun tak ada. Aku hanya bawa 15000 yen sahaja. 10000 yen aku tukar di Malaysia, 5000 yen lagi aku pinjam dari kawan di Jepun dan bayar selepas pulang. 15000 yen pada waktu aku buat tukaran bernilai RM498.

20 Mei sebetulnya hari akhir aku sebagai Ketua Fasi di Kem Hutan 2006 (Kem Wajib bagi semua pelajar perhutanan untuk bergraduat, biasanya untuk pelajar semester 1). Maka, aku bergegas sebaik majlis penutup kem petang itu (biasanya buat malam tetapi Dekan akan mengiringi kami bertolak di lapangan terbang, maka terpaksa diawalkan..haha,VIP juga aku ni!). Selepas majlis, aku masih di hutan bersama adik-adik dan kawan-kawan berbual-bual dan pulang untuk bersiap pada pukul 6 petang! Aku perlu ada di UPM pukul 8 malam untuk dihantar ke lapangan terbang.

Selepas urusan masuk di lapangan terbang, kami menaiki Boeing 797 dan meluncur tepat jam 11 malam untuk ke Lapangan Terbang Narita. Seronok juga naik kapal terbang lama ni, lebih kurang 7 jam dengan laju purata boleh dikatakan 900km sejam. Kami tiba di Narita dan selesai semua urusan keluar pukul 6 pagi. Jepun sejuk, 19 darjah. Waktu itu baru hujung musim bunga. Kami tidak sempat tengok Sakura. Sayang.

Kami disambut oleh penaja kami dan dibawa ke bandar Fujisawa. Hampir 3 jam dari Tokyo. Bertukar kereta api, bergerak pantas..rasa macam bersaing dalam program Mole pula! Mujur aku tidak bawa beg tarik, aku pakai harversack (beg mendaki gunung yang besar tu..). Semua iri dengan aku kerana aku mudah bergerak. Tiba di Fujisawa, kami diberikan wang belanja 48000 yen atau lebih kurang RM 1600. Duit itu dinyatakan untuk semua urusan - penginapan, makan dan pengangkutan. Maksudnya kami perlu berdikari.

Selesai urusan penginapan di Shonan Hotel (kecuali ini, ditaja khas untuk 5 malam), kami mula bergerak ke sekitar bandar Fujisawa mencari makanan. Menarik! Tapi kerana penat, kami hanya beli Bento (makanan bungkus) dan makan di ruang yang disediakan. Ada yang makan Tempura (nasi kanji Jepun dengan lauk) dan Yakitori (satay ayam). Aku sepanjang di sana banyak layan makanan laut la. Yang menariknya, kami selepas makan seperti di Malaysia masih duduk berborak. Tidak lama selepas itu tuan punya kedai datang dan minta kami beredar untuk beri ruang kepada pengguna lain duduk. Aku layan minum teh hijau Jepun..perghh, boleh la. Beli satu botol besar air Dakara (kira air seratus tambah la..100 plus la!).

Selepas itu kami pulang dan berehat sebelum keluar semula pukul 6 petang. Waktu di Jepun awal satu jam dari Malaysia. Maksudnya waktu tu pukul 5 petang la. Kami keluar bersama penaja kami dan makan di restoran berhampiran. Aku tak pasti ia budaya atau apa, tapi memang banyak kali kami di sana bila keluar beramai-ramai akan ada upacara Kampai atau Yamseng la kalau kat Malaysia. Masa ditanya nak makan apa, aku dah gelabah, apa yang boleh makan ni? Macam biasa aku pesan makanan laut. Kali ini aku diberi ikan mentah atau Sashimi. Layan..sedap juga makan dengan halia. Tempura aku tak jadi makan. Sebabnya? Aku dah tertuang sos yang dibuat campur kerbau pendek. Haha, sebenarnya aku tuang sos tu selepas dah rasa! Aku cicah sos tu dengan ikan dan udang aku..sedap! Siap suruh kawan-kawan rasa sos tu..rupanya..nasib aku tak termuntah! Terpaksa aku minta tolong kawan Chinese dan Indian yang semeja dengan aku untuk habiskan. Takut nanti penaja aku tu kecil hati. Memang gemuk la mereka semua tu makan banyak.

Malam tu semasa berjalan pulang, dua orang kawan yang ikut serta masuk ke sebuah kedai(kami seramai 7 orang dan hanya aku Melayu-Islam lelaki). Kedai tu di luarnya banyak buku, ada komik juga. Itu sepintas aku tengok. Agak lama menunggu, aku pun masuk mencari mereka berdua. Rupanya itu kedai jual buku, cd dan alat sex. Haha, terkena aku. Mereka ramai-ramai gelakkan aku sebab muka merah. Rupanya kawan-kawan yang lain tahu tapi sengaja buat-buat tak tahu! Hampeh! Dapat gak 'rezeki' percuma.
Kami singgah 100 yen shop (kira macam kedai RM2 kat Malaysia), survei cenderamata. Aku tak lama kat situ sebab teruja nak masuk bundle kat Jepun. Wah, rambang mata..sangat banyak yang cantik menarik tertarik kau memang da bomb!

Malam di hotel duduk seorang satu bilik. Mewah! Tapi bilik hotel di Jepun tidak seluas bilik hotel di Malaysia. Aku rasa separuh je. Tandas mereka sangat cantik. Siap mangkuk tandas tu boleh laras suhu lagi. TV Jepun ada cerita lucah! Kwang kwang kwang..tapi 3X je..maksudnya bahagian kemaluan digelapkan. Haha..mesti ustaz-ustaz yang baca blog aku geleng kepala. Aku tahu sebab kalau nak tukar siaran movie kena lalu siaran tu. Boleh je kalau nak buka lama-lama. (Eh eh, ada tanduk tumbuh pula kat kepala aku ni.)

Bosan di bilik aku keluar ke Lawson (kedai 24 jam macam 7E). Beli kad fon 1000 yen kemudian call rumah di Perlis, Malaysia bagitau aku dah sampai dan sempat la cerita serba sedikit tentang tempat aku.

Konichiwa 1

"O tsukare sama deska" ayat yang aku suka sebut sepanjang di Jepun.

Alhamdulillah. Cita-cita masa kecil untuk menjejakkan kaki di Jepun tercapai juga. Kalau kalian ada membaca The Star pada 14 Mei dulu (haha, punya lama cerita ni) ada satu tulisan tentang pemergian aku ke Jepun.

Sebetulnya aku mendapat biasiswa tajaan Rotary Fujisawa untuk seminggu berada di Jepun. (Hah! Rotary? Haha..abis la aku kena tuduh jadi missionari lepas ni.) Biasiswa ini aku dapat selepas mengikuti dua peringkat temuduga selepas membuat permohonan. Sebetulnya ini bukan kali pertama aku memohon biasiswa ke Jepun. Pertama, sebaik tamat SPM, biasiswa Monbusho (biasiswa kerajaan Jepun melalui kedutaannya) aku pohon. Masih aku ingat jelas borang berwarna hijau itu. Tak dapat!
Waktu itu seingat aku semua berlumba untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Kali kedua di UPM untuk pertukaran pelajar selama setahun, sikap nakal aku mengusik penemuramah menyebabkan aku ditolak. Apa yang aku usik? Haha..aku nyatakan tentang Dato' Seri Anwar Ibrahim! Haha..tapi aku yakin masa temuramah tu aku agak 'outstanding' sebab banyak pemohon selepas tu jumpa aku cakap penemuramah tanya kat diorang tentang aku. Waktu itu aku ingat sebab aku cuba keluar dari kotak semasa menjawab soalan-soalan yang diberikan.

Kata aku "Saya mahu ke Jepun kerana 2 faktor. 1) Sikap aku yang sukakan cabaran, benda baru dan menjelajah. Aku juga suka meluaskan zon selesa aku dengan membiasakan diri dengan apa yang pendapat umum merasakan 'tidak sesuai' untuk mereka. 2) Kerana faktor Jepun itu sendiri. Ya, sejak kecil bila Dr. M (sekarang Tun) melancarkan Dasar Pandang ke Timur dan Buy British Last, entah kenapa nama Jepun jadi satu tarikan yang kuat untuk aku. Waktu itu Anwar Ibrahim ada membuat kenyataan bahawa dasar ini bukan untuk 'menjepunkan' orang Malaysia tetapi menerapkan nilai-nilai yang sesuai dengan kita. Sudah tentu ada yang unik tentang mereka! Hendak pula Malaysia dan negara ASEAN yang lain sangat memerlukan Jepun terlibat dalam pakatan ekonomi EAEG (East Asean Economic Group) dan juga ASEAN+3

Aku nyatakan kepada mereka "Program ini pertukaran budaya. Budaya itu apa? Saya cenderung memakai takrifan Sutan Takdir Alisjahbana yang mengatakan budaya itu adalah penjelmaan nilai-nilai dalam kehidupan dan nilai wujud dalam hidup manusia kerana ada agama. Saya pernah terbaca dan percaya bahawa nilai Jepun yang kita kagumi itu punya kaitan yang intim dengan kepercayaan Zen Buddhisme". Sebenarnya di Jepun kalau nak dikira agamanya saja mencecah ratusan ribu! Entah bagaimana mereka mahu tentukan ajaran mana yang sesat yang mana yang tidak sesat, haha!

Di mana cerita Anwar keluar dan kenapa aku ditolak pada waktu itu? Cerita keluar bila aku menyatakan buku penting yang aku baca dan punya kaitan dengan biasiswa yang aku pohon adalah Gelombang Kebangkitan Asia tulisan Anwar Ibrahim (bukan Asian Values tulisan Dr. M ya!). Waktu itu penemuramah aku, salah seorangnya orang kuat UMNO di kampus dan seorang lagi pegawai Unit Perhubungan Antarabangsa. Mereka terlopong dan terkejut, kemudian cuba 'cool' dan bertanya "Dia dah tulis buku ke?"

Aku jawab "Buku ini dah lama, sejak dia jadi orang besar dalam kerajaan". "Oo, Anwar dengan Dr.M siapa kamu suka?". Aku jawab "Pemimpin datang dan pergi, idea bergerak. Tidak timbul soal suka atau tidak. Bagi saya generasi saya harus mampu punya daya saring dan objektif dalam menelan idea. Sudah tentu ada sisi idea yang kuat dan lemah. Apakah kerana DS Anwar merengkok dalam penjara maka ideanya harus dilupakan? Apakah kerana DS Dr. M akan bersara maka ideanya akan dilupakan? (Waktu itu Dr. M belum bersara dan sudah tentu Anwar terpenjara). Aku tambah "Plato telah lama mati tapi ideanya masih segar dibincangkan".

Mereka angguk. Esoknya aku dapat panggilan. Dia (aku rahsiakan), nyatakan pada aku bahawa aku yang terbaik dalam banyak pemohon tetapi dia tak dapat lepaskan aku pergi kerana faktor Anwar Ibrahim. Dan dia pohon maaf. Tapi aku puas walaupun sukar juga menerima keputusan itu. Dalam hati bergurau, haha..rupanya Anwar Ibrahim ni memang ditakuti..dan dia memang 'menyusahkan' hidup aku dengan idea-ideanya! Haha..gurau saja. Mereka bimbang sebab bagi mereka yang terpilih perlu menduduki kelas politik, sosial dan ekonomi Jepun..mereka bimbang keterbukaan dalam perbincangan akan mengheret isu Anwar ke dalamnya.

Negara Kota 3

"Kegelapan tidak boleh dipadamkan dengan kegelapan juga melainkan cahaya. Begitu juga kebencian, hanya cinta dan kasih sayang yang dapat menghilangkan kebencian" Martin Luther King Jr.

Athens pada abad ke 5 pernah menjadi kota perdagangan kerana sebagai laluan pedagang, ia ikut serta maju hingga lahir masyarakat perdagangan. Proses perdagangan dengan cara tukar barang atau kita kenal sebagai sistem barter ini berlaku serentak dengan saling pengaruh antara budaya.

Khusus pada masa Perichles, dikatakan Athens berkembang menjadi negara demokrasi yang kuat armada tenteranya. Masyarakatnya terdiri daripada warganegara, imigran dan hamba. Pada masa Yunani klasik, kehidupan hamba tidak terlalu buruk kerana pada masa tertentu mereka boleh menjadi soldadu tentera dan pegawai dengan pengecualian tertentu. Mereka yang menjadi hamba kerana tahanan perang yang dikalahkan mungkin lebih malang berbanding hamba warga.

Inilah yang mungkin perlu dipecahkan oleh kita. Bagaimana dalam sebuah negara yang kita kenal sebagai watak contoh demokrasi boleh menghalalkan perhambaan? Ia malah diterima sebagai satu kenyataan sosial! Bukan saja pada orang awam tetapi juga pada pemikir besar seperti Aristotle! Dia membenarkan budak dengan dalih hukum alam dan juga menurut pandangannya bersifat fungsional - diperlukan untuk melakukan kerja bersifat fizikal dan kasar. Dengan demikian, para warga memiliki masa yang cukup untuk duduk memikirkan persoalan sosial dan kenegaraan tanpa harus membuang masa membuat kerja-kerja yang dibebankan kepada hamba tersebut. Aristotle berpendapat hamba tidak mungkin menjadi aritokrat!

Relevankan pemikiran pemikir Yunani ini?

Tuesday, June 13, 2006

Negara Kota 2

"Realiti kini berbeza dalam soal penafsiran negara. Soal empayar sudah tidak relevan" Lebih kurang pandangan Khalid Jaafar yang pernah aku dengan waktu mula mengenali beliau sekitar tahun 2001.

Apakah negara kota itu? Persepsi kita tentang ia berbeza jika dibandingkan dengan persepsi zaman Yunani kuno. Dalam sistem Yunani kuno, negara ditafsirkan sebagai masyarakat dan begitulah sebaliknya. Negara kota Yunani klasik juga jelas berbeza dengan negara moden dari segi keluasan wilayah, struktur sosial, jumlah penduduk dan juga lembaga politiknya. Jumlah penduduknya sekitar 30 ribu orang atau lebih kurang seluruh pelajar UPM! Dengan jumlah penduduk yang relatif kecil,ia memungkinkan rakyat negara kota tersebut untuk saling berinteraksi dan memahami. Mungkin sebab itu dari sudut komunikasi politik, demokrasi langsung (direct democracy) dapat dilaksanakan pada waktu itu. Setiap warganegara dapat turut sama membuat keputusan politik pada waktu itu. Di sini kita dapat lihat perbezaannya kerana negara moden relatif penduduknya besar dan sistem yang dipakai kini adalah perwakilan (representative government atau indirect democracy).

Tapi aku meragui dan percaya sistem perwakilan ini boleh dibaiki. Kerana wakil seharusnya mampu membawa suara warga, tidak seperti di Malaysia. Fakta kes MP Jasin itu sudah cukup menunjukkan bagaimana BNBBC gagal menunjukkan fungsi dengan semangat demokrasi yang tulen untuk warga.

Secara geografi, tempat-tempat yang sering dipilih untuk dibuat negara kota pada zaman dulu adalah di lembah-lembah, daerah bukit dan gunung serta berhampiran laut atau sumber air kekal. Haha, rasa macam belajar sejarah pula tentang kehidupan zaman agraria. Dalam banyak hal, perhitungan untuk memilih tempat bagi wujudnya negara kota didasarkan kepada upaya untuk berlindung dari serangan musuh, selain faktor makanan dan sebagainya. Di negara kota inilah semua kegiatan; dari pemerintahan kepada hal-hal kehidupan yang lain seperti sukan dan kesenian dijalankan.

Sudah menjadi satu kebiasaan orang Yunani kuno untuk membicarakan pelbagai persoalan hidup, termasuk masalah politik dan negara. Ada beberapa faktor yang aku fikir telah merancakkan hal ini antaranya 1) Negara mereka mengalami pelbagai bentuk pemerintahan seperti monarki, aristokrasi, autokrasi dan demokrasi. Aku percaya peristiwa-peristiwa ini membenihkan rangsangan timbulnya pemikiran politik.

2) Kerana masyarakat dan negara dilihat sebagai satu. Maka, semua persoalan hidup masyarakat adalah persoalan negara.

3) Adanya kebebasan bersuara (dan selepas bersuara, haha) dan bukan penggunaan senjata. Maka segala sesuatu akan dinilai dari sudut kekuatan hujah, bukan senjata. Dari hal ini sikap kritis rakyat dipupuk secara tidak langsung.

Kebebasan bersuara? Ah..ni semua propaganda pembangkang dan NGO yang pro pembangkang! Haha..aku tolong tulis bagi pihak BNBBC.

Berita Kepada Kawan

"Hidup ke lagi blog ini? Kalau tidak kita talqinkan saja!" komen Khalid Jaafar dalam ruangan komen blog aku.

Pertamanya aku nak ucap terima kasih kepada kawan-kawan yang masih sudi jengok blog aku yang dah lama juga tak dikemaskini. Kalau kawan-kawan perihatin, aku dah nyatakan kekangan semasa yang ada.

Aku sempat tinggalkan beberapa pesan di blog Pak Khalid khususnya, hanya sekali aku berpeluang akses ke internet semasa di Tokyo, Jepun. Itupun kerana pihak hotel menyediakan ruang itu secara percuma.

Semasa aku menulis ini, aku sedang menguruskan laporan akhir kunjungan ke Jepun tempoh hari untuk dipersembahkan kepada penaja bersama kami. Sebetulnya aku berada di Lumut sejak pulang dari Jepun kerana menguruskan pengambilan data projek tahun akhir aku.

Di kesempatan 'lari' ke UPM untuk tugasan yang aku nyatakan tadi, maka aku ambil peluang untuk 'menghidupkan' blog ini.

Harap kawan-kawan sedia maklum.

Banyak juga yang aku terlepas antaranya berita Pilihan Raya Negeri di Sarawak, percakaran Tun Dr M dan Pak Lah dan lain-lain. Ah, jangan terpesona sangat dengan realiti politik semasa. Kan kita sedang merayakan Piala Dunia?

Haha..aku sangat kecewa tengok kekalahan Jepun semalam. Tahun ini pasukan pilihan aku adalah England walaupun perlawanan pertama mereka sangat mendukacitakan. Antara pasukan lain yang aku pilih untuk pergi jauh ialah Belanda seperti biasa dan juga Argentina. Jerman? Aku suka kalau mereka turut serta dengan tiga pasukan di atas untuk ke separuh akhir.

Ada apa dengan Brazil? Haha..

Piala Dunia

"Dia katakan saya gemuk, semua orang tahu dia juga suka minum" balas penyerang bola sepak Brazil ketika ditanya komen Perdana Menteri Brazil bahawa beliau agak 'berat'.

Piala Dunia datang 4 tahun sekali. Ada apa dengan Piala Dunia?

Aku pernah menulis tentang Aku, Bola Sepak dan Politik. Jadi tulisan ini hanya satu kemaskini kepada tulisan lama aku masa EURO 2004.
__________________________________________________

21 Jun 2004, kuliah semester pertama 2004/2005 bermula. Seperti biasa hari pertama kuliah akan jadi medan bercerita aktiviti semasa cuti. Sebahagian mahasiswa menghabiskan latihan praktikal selain ada yang menghabiskan percutian dengan bekerja sementara di pelbagai premis dan bentuk perniagaan. Namun, topik yang sukar dibuang daripada isu lewat seminggu sebelumnya ialah Kejohanan Bola Sepak EURO 2004. Topik ini nampak lebih popular di kalangan siswa berbanding siswi. Sebahagian kami telah mula mewujudkan kelompok penyokong pasukan tertentu sebagai pilihan juara selain perbualan bagaimana individu-individu bertaraf bintang akan memainkan peran penting (playmaker) kepada pasukan masing-masing. Sebahagian pensyarah yang juga ‘kaki bola’ turut sama menyelitkan isu ini di dalam bilik kuliah dengan nada provokatif sambil mengadu minatnya menyebabkan tubuh tidak cukup segar semasa mengajar.

Selang beberapa hari bermula kejohanan, aku sempat hadir dalam satu forum anjuran Institut Kajian Dasar bertajuk ‘Masa Depan Politik Teologi’ atau bahasa mudahnya ‘Masa Depan Politik Agama’ bertempat di Shah Village Hotel, Petaling Jaya. Malam itu saya kira sambutan sangat menggalakkan. Peserta yang hadir untuk sama mengikuti kupasan terdiri daripada pelbagai latar belakang demografik. Aku kira sambutan yang begini bukan sekadar kerana isu yang cuba diketengahkan penting, tetapi juga disokong faktor kehadiran Astora Jabat, penulis kontroversi yang kini menjadi editor majalah Al-Islam selain Khalid Jaafar, Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD) sendiri dan Dr. Dzulkifli Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan Parti Islam se-Malaysia (PAS). Tapi itu bukanlah apa yang ingin aku ceritakan di sini – mungkin di ruangan lain. Cuma terkenang sebaris ayat yang dikeluarkan secara spontan oleh moderator forum pada malam tersebut, Fathi Aris Omar, seorang penulis yang cukup terkenal di kalangan aktivis media di Malaysia. Fathi yang awalnya sedikit tidak senang dengan kehadiran lewat ahli panel cuba mengingatkan sidang tentang masa yang perlu dipatuhi sambil berjenaka bahawa perlawanan Bola Sepak EURO akan berlangsung pada pukul 11.45 malam. Beliau juga sempat membawa fikiran hadirin bagaimana situasi kempen Pilihan Raya Presiden di Indonesia sedikit tenggelam dilanda demam Kejohanan Bola Sepak EURO 2004. Betapa besar kuasa bola!

Bola sepak pernah jadi sukan kegemaran aku ketika di zaman persekolahan menengah rendah hingga akhirnya aku terpaksa memilih untuk meninggalkan sukan ini kerana menumpukan perhatian pada akademik dan sukan lain (juga kerana sedikit masalah dengan jurulatih). Tapi kecintaan aku pada sukan ini masih tersisa biarpun sudah hampir sedekad sukan ini sudah ditinggalkan (sepenuhnya!). Mungkin aku tidak mampu bercerita dengan baik perkembangan bola sepak semasa, namun sedikit sebanyak, pengalaman tidaklah menjadikan aku janggal mendengar tentangnya.

Bola sepak sejenis sukan yang unik. Di mana-mana tidak sukar untuk kita bertemu dengan padang bola sepak. Sukan ini juga tidak sekadar dimainkan oleh golongan dewasa malah kanak-kanak. Aku sendiri mula bermain bola sepak sejak umur 4 tahun sebelum bermain secara serius ketika darjah 5. Waktu itu main dengan pakcik-pakcik dan abang-abang. Mereka memanggil aku 'Korea', mungkin kerana saiz aku yang kecil. Adik aku, ketika berusia 6 tahun dan bertadika pernah selamba menjawab pertanyaan guru tadikanya bahawa dia bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak apabila besar nanti (walaupun akhirnya dia senasib dengan aku!). Tidak hairan bola sepak jadi permainan nombor satu di dunia. Isu-isu hangat tentang bola sepak sering jadi perhatian media dan masyarakat. Masih ingat isu rasuah yang melanda bola sepak negara satu ketika dulu? Itu belum masuk soal Persatuan Bola Sepak Negeri yang menghadapi masalah kewangan dan beberapa isu bersifat popular seperti pertukaran pemain antarabangsa.

Bola sepak selain jadi isu turut memperagakan selebriti. Aku masih ingat bagaimana sepupu aku (seorang wanita) yang cukup mengkagumi David Beckham di zaman kenaikannya. Tidak ramai pemain bola sepak yang diberi perhatian seperti Beckham sehingga skandal seks beliau juga jadi bahan popular dalam media cetak malah pernah jadi bahan undian sms (sistem pesanan ringkas) di saluran televisyen! Rata-rata pemain bola sepak lebih dikenali kerana ‘keperwiraan’ mereka di padang seperti Zinedine Zidane. Umumnya ramai yang tahu dan berminat dengan sukan bola sepak secara serius atau sebaliknya. Zaman persekolahan adalah detik yang menjadi bukti bagaimana seorang pemain bola sepak jadi kebanggaan si dara (walaupun hanya sekadar mewakili sekolah!). Bola sepak akan sentiasa menjadi ‘permainan lelaki’ di kalangan pelajar sekolah selain sukan ragbi. Aku sendiri punya pengalaman menonton Piala Dunia Remaja secara ‘live’ di stadium bersama rakan-rakan lelaki dan wanita sekolah. Mungkin tidak banyak yang mereka tahu, tetapi tumpuan mereka biasanya kepada figura yang terkenal dan lebih penting ‘berpenampilan’ (sebut saja punya paras yang tampan!).

Bola sepak tidak akan jadi meriah tanpa penonton. Siapa tidak tahu bagaimana fanatiknya penyokong bola sepak England? Tanpa penonton bola sepak hilang seri. Di Malaysia mungkin berbeza berbanding di luar negara (entah sama, saya tidak punya pengalaman!), penonton kita selalunya ‘lebih pandai’ berbanding pemain dan jurulatih. Namun secara tersirat dapat difahami bahawa kritikan, komentar dan maki hamun mereka asasnya untuk menonton sebuah perlawanan yang sihat. Bila menonton EURO 2004 aku tidak banyak memfokuskan kepada perlawanan yang berlangsung.

Setakat penulisan ini aku masih boleh berasa lega kerana pasukan Belanda yang jadi pilihan aku untuk kali ini masih berjaya meneruskan sisa perjuangan mereka berikutan kekalahan Jerman kepada Republik Czech (akhirnya hanya dapat no. 3). Aku selalu menghimbau EURO 2004 dan kejohanan bola sepak antarabangsa sebagai satu aspek pengurusan yang bersifat sejagat. Terma sejagat ini bukanlah terma yang diungkapkan sekadar pemanis bibir. Terma sejagat pada aku adalah tema besar yang patut difikirkan secara serius. Sejagat itu sendiri adalah satu mesej jelas bahawa nanti akhirnya manusia akan sedar bahawa kita menghuni dunia yang sama. Dan sejagat juga tentunya membawa bersama segala jenis kepelbagaiannya yang ada. Sebab itu terma ini pada aku bukan terma picisan. Malah ia harus jadi tema yang mendasar. Direnung dan difikir peranan FIFA mengurus kesejagatan ini melalui bola sepak sedikit sebanyak ada membenihkan pujian dari aku. Paling jelas, aku pasti para penggemar sukan ini tahu kempen anti perkauman melalui iklan ‘Kick Out Racism From Football’.

Akhirnya, aku mula meneroka jauh dan mendasar. Bola sepak tidak sekadar permainan. Malah boleh jadi ia satu penyampai mesej kepada masyarakat sejagat. Aku lebih senang untuk menyebut bola sepak ini adalah tidak ubah seperti satu sistem yang digerakkan oleh pelakunya. Ini persis bagaimana perjalanan sistem yang ada di dunia yang pelakunya adalah terdiri daripada orang-orang politik. Paling utama yang aku lihat dalam sebuah sistem ialah keadilan. Dalam bola sepak ini ditekankan secara tidak langsung melalui pewujudan pengadil dan penjaga garisan. Seperti sebuah sistem, bola sepak juga punya undang-undang dan syaratnya tersendiri. Sebuah perlawanan yang ‘jantan’ dalam bola sepak tentunya akan dimainkan secara adil. Tidak pernah saya dengar perlawanan bola sepak boleh berlaku adil tanpa ‘level playing field’. Tema ini tidak ubah sebuah tuntutan politik yang sering kita dengar. ‘Level playing field’ inilah yang akan jadi azimat untuk sebuah persembahan yang dinamik dan adil dalam mana-mana pertandingan. Tentu penggemar bola sepak boleh mengingati bagaimana Perancis, ketika zaman gergasinya ‘diperbudakkan’ oleh Senegal dalam Piala Dunia 2002? Contoh yang ada tidak sedikit tetapi realiti.

Aku percaya tidak ada penonton bola sepak, jika dia benar-benar seorang pencinta bola sepak, mahu pasukannya bermain secara tidak berkualiti dan menang dengan cara yang kotor. Tidak sukar untuk kita jumpa penyokong yang mengkritik dan memaki hamun pasukan kegemarannya sendiri atas pelbagai sebab. Malah kadangkala sokongan dialihkan kepada pasukan lawan sebagai tanda protes. Penonton adalah rakyat yang berpeluang menghakimi permainan melalui sesuatu yang mereka tahu setelah melihat.

Hal ini mengingatkan aku tentang idea ruang awam yang selalu diperdengarkan oleh Fathi dalam siri penulisannya ke arah kempen pendidikan demokrasi untuk rakyat. Pemberita adalah media yang jarang kita dapat lihat dan baca berita-berita palsu tentang bola sepak. Malah aku rasa tidak ada! Ini juga adalah satu keperluan dalam sebuah negara yang mendakwa mengamalkan sistem politik yang sihat. Melalui berita-berita yang benar inilah sedikit sebanyak penonton ‘di luar stadium’ beroleh maklumat dan terlibat, meskipun tidak seaktif mereka yang melihat sendiri permainan ‘di stadium’. Namun, seperti sebuah sistem, bola sepak juga terdedah kepada pengkhianatan pelakunya. Isu rasuah seperti yang aku nyatakan sebelum ini. Bola sepak juga boleh jadi terdedah kepada ‘human error’ sekiranya pengadil tidak mengesan kesilapan yang berlaku seperti kekasaran atau bola terkena tangan. Ingat ‘tangan ajaib Maradona’? Aku sendiri punya pengalaman mengadili sebuah perlawanan akhir peringkat sekolah hingga akhirnya aku dijadikan punca kekalahan tanpa mahu mengakui langsung bagaimana pasukan yang menang tersebut lebih layak menjadi juara dan ada beberapa pendekatan strategi yang silap telah dibuat. Bola sepak dalam mengangkat tema sejagat juga terdedah kepada bangkitnya semangat nasionalisme kepada warga. Nasionalisme atau semangat cintakan negara pastinya satu perkara yang sihat dan wajar dipupuk. Namun nasionalisme kadang-kadang menjadi duri dalam daging kepada pengkhianatan cita-cita sejagat. Itupun kalau dikesan, jika tidak?

Aku percaya masih banyak lagi ‘di sebalik bola sepak’ boleh difikirkan dengan lebih baik dan secara mendalam. Kadang-kadang aku tertanya, adakah ini sebenarnya mesej yang hendak disampaikan oleh bola sepak kepada jutaan warga dunia yang mencintainya? Atau hanya saya seorang yang ‘pandai-pandai’ mahu berfikir seperti itu? Apapun, itulah bola sepak dan kehidupan manusia. Sebanyak mana sekalipun pandangan yang wujud bola sepak akan terus jadi satu permainan yang paling diminati. Harapan aku moga bola sepak tidak akan selamanya mahu dilihat sebagai sukan semata-mata. Bola sepak juga punya tanggungjawab dalam realiti kini – dunia tanpa sempadan. Cuma aku meneka-neka, tidak ada satu sistem pun di dunia ini yang mampu bergerak sendiri tanpa pelakunya. Dan bola sepak bukanlah permainan yang hanya berbicara sekitar pemain-pemainnya yang ada sahaja, bahkan melangkau sempadannya. Cuma jarang-jarang kita mahu belajar dalam situasi serius ataupun tidak. Apakah boleh diharap ada perjuangan dari sikap yang begitu? Hidup ini kadang-kadang tidak seperti yang selalu kita harapkan. “Manusia yang tidak belajar daripada ilmu (seorang guru) akan diajar oleh hidupnya”. Itu kata Ibnu Khaldun. Sejauh mana kebenarannya, tepuk dada tanya selera. Mungkin bola sepak ada jawabnya.

Dan aku perlu kembali ke kampus untuk belajar berfikir. Mungkin itu dapat membantu.

Tulisan ini disediakan sempena kerancakan Kejohanan Bola Sepak EURO 2004
_________________________________________________